Sabtu, Julai 12, 2014

Sastera Multimedia



ANDAI diawali dengan kelisanan sebagai wahana utama untuk memasyarakatkan karya sastera, ia sudah melepasi zamannya. Kelisanan sebagai tradisi sastera tidak lagi diamalkan sesudah tampuknya diambil oleh tradisi persuratan atau penulisan. Dunia sastera berkembang selaras dengan inovasi mesin cetak dan lahirnya buku-buku, majalah dan sebagainya. Namun begitu tradisi ini juga sebenarnya berhadapan dengan aliran baru dan keunikan baru dalam dunia lalu lintas sastera. Kewujudan teknologi maklumat memberi pilihan baru kepada masyarakat dalam menikmati bukan sahaja karya sastera tetapi sumber informasi, hiburan dan pembelajaran.

Integrasi media dalam teknologi maklumat jauh lebih kompleks dan menuntut perubahan dan inovasi dalam laluan sastera itu sendiri. Internet membuka kepada interkasi sosial yang lebih terbuka menerusi facebook, blog, google plus, twitter, instagram, dan segala macam pembaharuan lain. Pembaharuan ini memerlukan sastera bergerak seiringan agar ia kekal dinamik dan terbuka untuk semua. Buku-buku yang hanya terpenuhkan foto dan teks berganti dengan laman yang diselimuti multimedia. Keseronokan dan interaksi menjadi pemangkin kepada populariti dunia siber dan multimedia. Sastera harus dibangunkan dalam bentuk baru yang lebih praktikal agar dapat bersama dalam arus pembaharuan. Ledakan persuratan menggantikan kelisanan sudah dilihat sebagai suatu pembaharuan yang amat menuntut kepada dimensi dan gaya baru persembahan sastera. Apa lagi kehadiran multimedia ia memerlukan perubahan yang ketara dalam penikmatan dan penghasilan karya sastera. Jika perubahan ini gagal ditangani sastera akan terhindar dari lalu lintas zaman yang berubah.

Kita harus memikirkan bagaimana sastera berdaya maju dalam tatapan khalayak. Sastera harus dibawakan ke alam siber dengan bentuk dan dimensi baru. Alam multimedia yang hadir sekarang memerlukan sastera dihidangkan dalam dimensi yang lebih mudah dan fleksibel. Kesedaran inilah yang memungkinkan Kesusasteraan Melayu Komunikatif melalui Kertas 3 membawa dimensi baru dalam pembelajaran sastera iaitu Multimedia Dalam Sastera. Kita harus benar-benar memahami konsep dan fungsi kedua-dua bidang ini. Pertama fungsi sastera sebagai bahan yang mahu disampaikan. Kedua, fungsi multimedia sebagai wahana baru penyampaian sastera.

Kita harus memahami bagaimana ciri-ciri multimedia itu sejauhmana ia dapat berfungsi mengangkat karya sastera sebagai bahan atau isinya. Keupayaan multimedia membawa dua elemen penting iaitu audio dan bunyi atau muzik sekaligus adalah cabaran dunia teks yang hanya tulisan selama ini. Elemen baru ini perlu dikuasai untuk membina khayalak dan kepentingan sastera tidak terjejas. Malah keupayaan interaktif yang ada dalam multimedia juga harus menjadi upaya yang dapat membawa dimensi baru penikmatan karya sastera. Malah dalam pembelajaran sastera, barangkali keupayaan multimedia dan kemampuan interkatif ini akan mengurangkan keperluan guru bersama pelajarnya. Atau upaya baru ini amat memerlukan kreativiti dan inovasi yang dapat meletakkan sastera sebagai subjek yang popular dan diminati.

Sebagai perbandingan mudah: suatu latar dalam karya sastera yang memberi gambaran kehidupan di kaki gunung Kinabalu. Ia dilatari oleh hiasan kata-kata pengarang dalam novel atau cerpennya. Pembaca hanya menikmati karya berkenaan daripada sudut pandang yang diberikan pengarang. Tetapi kehadiran dunia multimedia membolehkan foto kaki gunung Kinabalu dipaparkan dalam foto dan video. Segala yang selama ini sukar dibayangkan akan mudah dilihat dan difahami oleh pembacanya. Ditambah pula dengan muzik yang menggambarkan masyatakatnya maka pengalaman yang terpapar dalam novel atau cerpen tadi diperkayakan dengan muzik, foto dan video yang berinformasi. Inilah elemen baru yang dapat membina kesan baru dalam penikmatan dan pembelajaran sastera. Pelajar mudah mendapat informasi yang jauh lebih luas dari dunia teks itu sendiri. Minat dan keinginan untuk mengkaji dan membaca sudah pasti dapat ditingkatkan. Malah ada yang berpandangan bahawa melalui multimedia dunia luar boleh dibawa ke bilik darjah dengan mudah. Interaksi antara pelajar dengan karya sastera menjadi lebih luas dengan adanya multimedia. Apa yang pelajar baca ditambahkan dengan multimedia berupa foto, video dan muzik yang membantu pelajar. Disebut juga bahawa kemahiran pelajar juga berpindah daripada hanya membaca kepada mendengar, melihat, dan menambahkan kemahiran kognitif mereka.

Dalam kajian sastera Kertas 3 Kesusasteraan Melayu Komunikatif, prinsip multimedia yang harus dikuasai meliputi teks, grafik, audio visual, dan animasi. Kita harus memahami prinsip berkaitan dalam pembinaan bahan multimedia sastera. Kita juga harus memahami peranan dan kepentingan papan cerita (story board) dalam penghasilan multimedia. Episod cerita, puisi, atau bahan prosa lain perlu diteliti dengan mendalam untuk melihat bagaimana konteks penceritaan dari sudut inti cerita dan kefahamannya. Dari sinilah bertolaknya penghasilan kerangka papan cerita. Bagaimana episod tadi diterjemah ke dalam papan cerita sebagai kerangka baru penghasilan multimedia. Sesudah tersedia papan cerita maka elemen-elemen pengisian untuk menjadikan episod atau puisi yang terpilih sebagai hasilan multimedia tadi dikaji. Apakah penceritaannya memerlukan animasi, grafik atau video? Bagaimana pula kesan audio visual yang digunakan sama ada bersesuaian atau tidak? Bagaimana pula dari sudut saiz teks dan fon yang digunakan? Apakah kaedah teks itu digerakkan atau dianimasikan dalam bahan multimedia? Jika memerlukan animasi grafiknya bagaimana warna yang dipilih agar bahan menarik dan berkesan. Demikian secara ringkas antara keperluan dan kemahiran yang perlu ada dalam melahirkan multimedia sastera.

Keperluan lain dalam penghasilan multimedia bukan sekadar merubah atau mengadaptasi karya sastera berbentuk tulisan kepada multimedia semata-mata. Kita harus mengutamakan juga tujuan pengarang menghasilkan karya sastera. Ada elemen yang tersurat yang dapat diterjemahkan dalam teks. Ada pula elemen tersirat yang harus turut dinikmati audien sekiranya ia berubah kepada multimedia. Kita sering mendengar keluhan bahawa novel yang baik setelah diterjemah ke dalam media baru seperti filem banyak kehilangan elemen seni dan roh sasteranya. Penikmatan karya menjadi amat berbeza dan memberi kesan berbeza dari novel asalnya. Jika ditinjau dari sudut pembelajaran pula, bagaimana multimedia tadi dapat membantu kefahaman dan penghayatan pelajar dalam dimensi baru itu? Kesan-kesan sastera dan seni sastera tidak harus dikorbankan semata-mata kerana adaptasi. Penghasilan dari sudut pembelajaran adalah diharapkan ia dapat membantu kefahaman teks secara lebih bermakna. Ia diharap dapat membina keyakinan dan kesoronakan pelajar menikmati karya sastera. Yang penting adalah keupayaan bahan multimedia membuka ruang pemikiran, dan kesedaran pelajar terhadap unsur-unsur sastera yang dikaji. Pelajar dapat melihat dan mengesan secara kritis apa yang selama ini tidak dapat ditemui dalam pembacaan.

Antara kepentingan yang diharap dapat membantu pelajar dalam penggunaan multimedia adalah: Keupayaan multimedia membantu pelajar memahami dunia pengarang. Melalui pendedahan dengan bahan bantu secara multimedia pelajar dapat memahami pemikiran pengarang serta karyanya. Pelajar juga dapat menikmati karya sastera dengan lebih mudah apabila mereka dapat akses kepada rujuan lain seperti biodata pengarang, istilah sastera, dan makna kosa kata dalam karya sastera. Pelajar dapat memahami latar dengan mudah melalui foto dan video. Ini membolehkan pelajar dapat menimba pengalaman yang sama sebagaimana pengalaman pengarang ketika menghasilkan karya sastera. Pelajar juga dapat menikmati karya sastera dari pelbagai perspektif seperti diperdengarkan bagaimana teks sastera itu dibaca atau dideklamasi, serta keupayaan melihat dimensi lain seperti perspektif ekonomi, sosial, dan sejarah dalam karya berkenaan. Bahan-bahan bantu ini antara yang penting untuk menjadikan multimedia lebih relevan dengan teks semata-mata.

Pandangan ini adalah sebagai dimensi yang harus difikirkan dalam penggunaan multimedia dalam sastera. Meskipun tujuan bahagian ini diketengahkan kepada pelajar adalah untuk membolehkan pelajar menghasilkan bahan sastera menggunakan multimedia, tetapi pengetahuan tentang kepentingan multimedia dalam pendidikan juga harus diperolehi. Ia sebagai langkah pertama ke arah penghasilan bahan sastera mengunakan multimedia.

Kita harus bergerak dalam perubahan ini. Sastera harus dinikmati dengan gaya baru dan wahana baru yang lebih berkesan. Kita tidak harus biarkan sastera tertinggal dari arus pembaharuan ini sebaliknya berupaya membina dimensi yang lebih efektif dengan pembaharuan yang ada.
 

PUSTAKA IQBAL NAZIM

1 ulasan:

Unknown berkata...

Masih membeli dan membaca buku tetap memberi pengalaman yang bermakna.