Jumaat, Januari 02, 2009

Cerpen | KETIKA SEMAKIN MENJAUH


APAKAH yang dapat dilakukan lagi? Segala-galanya telah berlalu dan berlaku. Waktu begitu pantas meninggalkan kita. Dalam keadaan yang perlu kurelai walaupun terlalu pahit. Pedih dan melukakan. Barangkali cerita ini kelihatannya terlalu melankolik, hambar dan membosankan. Namun hakikatnya aku mahu menceritakan juga walaupun kau semakin jauh. Dan tak pernah mengunjungkan khabar. Aku juga tak pernah menjangkakan akan menemuimu dalam masa yang terdekat ini. Apa lagi untuk memohon maaf jika berlaku keterlanjuran masa lalu. Aku terlalu manusia tanpa menyedari berlakunya sesuatu di luar duga. Misalnya pertemuan ada perpisahan. Tapi, selepas terpisah adakah pertemuan semula?

Entahlah, jawabku ketika hati selalu bertanya apakah kesudahan pencarianku. Barangkali aku sudah kehilangan arah dan punca. Bumi ini tidak kecil untuk kujelajahi, malangnya aku tak tahu di mana harus memulakan langkah kaki. Malah aku mungkin tersesat jalan ketika menemui desa-desa lama yang sudah berwajah moden. Aku tak akan menemui lagi sebuah desa terpencil di mana kita dipertemukan dulu. Sebuah desa tradisional yang ketinggalan waktu itu. Mungkin tidak lagi sekarang selepas lebih empat puluh tahun megecapi kemerdekaan.

Sepatutnya perubahan-perubahan yang berlaku sekarang memudahkan pencarianku. Prasarana yang ada di depan mata sudah cukup memukau, tetapi ketika masa yang sama kau semakin menjauh. Mungkinkah dengan kecanggihan teknologi menerusi IT yang kini merubah permikiran masyarakat kita akan memberi jawapan kepadaku? Tapi siapalah kita, kalaulah setiap insan di dunia ini memiliki laman webnya sendiri sudah tentu kau kutahu di mana.

Aku percaya, kau juga telah mengalami perubahan, maksudku perubahan mengenai maklumat-maklumat terkini terhadap penggunaan IT khususnya di kalangan masyarakat. Boleh dikatakan bahawa hampir semua rakyat di negara ini mengetahui IT. Sudah pasti perubahan yang diharapkan ialah perubahan positif yang membawa kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Malah faedah-faedah yang boleh diperolehi daripada IT ini telah disenaraikan dengan begitu teliti sekalipun ramai yang belum jelas bagaimana matlamat itu dapat dicapai.

Tiada siapa yang berani menafikan segala faedah yang dicapai melalui IT. Bagaimanapun, seperti yang pernah kita dengar, apa saja yang memberi faedah tidak akan terlepas daripada kesan negatif yang kadang-kadang di luar jangkaan. Dalam keghairahan kita menyambut, menyanjung dan menjulang IT kita tidak seharusnya lupa dan lalai daripada kesan negatif yang dibawanya. Kau pernah mendengar nama Bill Gates, pakar IT yang terkenal di seluruh dunia itu. Semasa aku mendalami bidang pengkomputeran di ITM beberapa tahun lalu, aku sempat menelaah sejarahnya dan seterusnya melalui buku tulisan Gates sendiri berjudul Jalan Di hadapan.

Menurut Gates, banyak kesan negatif yang dikesan melalui kecanggihan yang telah diperkenalkan kepada masyarakat kita di era ini. Ia membabitkan soal-soal keselamatan, sosial, kekeluargaan dan sebagainya. Keselamatan negara boleh terancam sekiranya tidak berwaspada daripada penceroboh yang memasuki sistemnya untuk mencuri maklumat rahsia. Transaksi melalui internet, misalnya, mungkin dapat dipintas dan diambil kod rahsia atau sekurang-kurangnya telah ada laporan mengatakan nombor kad kredit telah dicuri dan pencuri telah membeli pelbagai barangan melalui internet dengan menggunakan kad kredit berkenaan. Pemilik kad kredit tersebut terpaksa membayar harga barangan yang dibeli oleh orang lain. Dari aspek sosial kekeluargaan kesan negatifnya cukup jelas. Kesan ini mungkin dilihat dari sudut ketagihannya mahupun dari sudut isi dan maklumat yang diperolehi melalui laman web yang beratus ribu jumlahnya. Seseorang mungkin berada di hadapan komputer berjam-jam hanya untuk melayari internet kerana ingin melihat maklumat-maklumat di laman-laman web yang berlainan. Isteri mungkin tidak memperdulikan suami lagi. Anak-anak mungkin lalai dari mengulangkaji pelajaran mereka. Kesannya mungkin akan memporak-perandakan rumah tangga.

Aku percaya ini tidak berlaku dalam keluarga kita, keluargaku mahupun keluargamu. Realitinya mencari seseorang sepertimu, begitu memudahkan jika laman web dapat diteroka. Namun ini tak mungkin. Kita belum sampai di situ. Walaupun tidak mustahil. Yang pasti, aku hanya mampu mengingatimu dan mengulang-ulang kenangan. Bukan melalui internet atau membiarkan jejariku mengklik tetikus mengarahkan menu utamanya di skrin komputer sesuatu yang kuinginkan, tapi melalui ingatan yang ada pada otak - anugerah Tuhan yang aku miliki. Dan ingatanku tak pernah hapus. Otak manusia tidak pernah kekurangan bit untuk menampung maklumat kehidupannya.

Kau masih ingat bukan, ketika pada suatu pagi kita menuju ke destinasi yang sama, lapan belas tahun dulu.

Bukan lapan belas tahun, lebih dari itu. Mungkin hampir dua puluh tahun. Maafkan aku, kadang-kadang aku jadi seorang yang pelupa untuk menghitung bilangan hari yang telah menjarakkan kita. Masa itu kita adalah angkatan muda yang kental mencari sesuatu untuk kehidupan kita ketika remaja. Sesuatu yang mencabar tentunya, selain keseronokan dan bersuka-suka.

Kita ingin berbakti kepada masyarakat sebenarnya. Berbakti kepada agama yang kita muliakan. Berbakti kepada negara yang makmur dan membenarkan kita dibesarkan di buminya. Dengan berbakti begini kita menjadi patuh kepada kehendak rukun negara. Kita menjadi warganegara yang setia dan sanggup mempertahankan maruah bangsa daripada anasir luar. Misalnya pengaruh negatif yang masuk ke dalam budaya masyarakat kita. Budaya hippis, budaya rock, budaya compang camping, budaya ganas, agresif dan berbagai-bagai lagi. Peninggalan penjajah yang telah mendarah daging bangsa kita terus mengakarkan budaya yang bertentangan dengan nilai agama.

Kita telah disedari tentang itu. Sampai sekarang ini pun perjuangan kita masih belum selesai. Kita harus bersama-sama mempertahankan maruah bangsa kita. Kita mesti percaya bahawa kita mampu berdiri di atas keunggulan bangsa kita sendiri. Tidak mengikut telujuk barat yang sejak berkurun mendendami keunggulan bangsa yang harmoni dan aman di dunia ini.

Tentunya aku tidak memikirkan semua itu dulu. Bahkan kau juga begitu. Kita masih anak-anak yang baru menikmati dunia yang diberikan sedikit kebebasan oleh ibu dan ayah. Kesempatan itulah yang mempertemukan kita. Kau merupakan seorang yang mesra dan aku tertarik dengan kemesraan itu. Walaupun mungkin aku terlalu malu seperti biasa mendekati seseorang sepertimu namun perasaan itu tiba-tiba sahaja seumpama kabus yang beransur hilang ketika cahaya matahari menjengahkan matanya. Ada matahari antara kita!

Dan, ditakdirkan kita menemui kebun persahabatan yang luas terbentang. Kita menjadi pekebun yang rajin dan pengusaha tanaman kasih yang tak pernah mengalah oleh petaka kemarau dan hujan yang luar biasa. Bukankah itu ujian dari Tuhan? Ada rahmat yang tak terjangkau oleh akal kita. Walau apapun yang dihadapi kita menghadapinya dengan tabah. Kau kulihat begitu bersemangat menjadi ‘petani’ walaupun aku sedikit kaku. Entahlah, jawabku lagi jika kau bertanya mengapa aku begitu.

Sebenarnya aku menjadi serba salah. Aku tak pasti jika ada pertemuan lain yang akan diatur selepas ini. Aku juga tak tahu bilakah saat itu berlaku. Walaupun selepas hampir dua puluh tahun kita tak berhubung kata. Tapi percayalah pada kata-kataku bahawa hubungan rasa tak pernah kurahsiakan untuk kukatakan. Aku mungkin tidak mengharapkan sangat jika tidak ada pertemuan yang terbaru dan aku tak mungkin berkesempatan bertanya sesuatu. Jika itu kehendak Tuhan, mungkin. Jika kehendak Tuhan kita dipertemukan, bagaimana?

Entahlah, jawabku lagi. Aku mungkin belum begitu percaya kau akan menghubungiku. Sedangkan aku bukan seperti dulu seperti juga kau bukan seperti dua puluh tahun yang lalu. Jika kau pernah membaca karyaku bertajuk Sebuah Pertemuan Yang Terdekat, mungkin dapat kau telaah siapakah kita masa ini. Ya, benar kau bukan lagi seseorang yang harus kuhampiri kerana ikatan perkahwinan. Begitu juga aku. Anak-anak yang semakin membesar dan mengejar usia kita yang semakin lanjut ini. Jadi, mustahil kita menjadi seperti dulu lagi.

Namun kenangan tak mungkin hilang begitu sahaja. Semakin usia mendekati titiknya, kenangan semakin berdiri megah di hadapan kehidupan kita. Aku tak akan tenang tanpa membuka lembaran sejarah.

Mengapakah aku mengingatimu?

Ada sesuatu yang istimewa dan tak pernah kuceritakan kepada sesiapa walaupun dengan orang yang terdekat, apa lagi isteriku. Aku tidak mungkin menceritakan kepadanya. Demi menjaga hatinya. Tak akan ada luka baru untuknya dan aku bukanlah seorang yang hipokris dan zalim. Realitinya aku menyimpan rahsia yang amat mahal untuk dikongsi tapi rakan kongsiku terhadap rahsia ini hanyalah kau.

Jangan kau kunci kenangan itu. Aku harap begitulah, walaupun kau berada di negeri yang jauh atau di desa-desa tua yang sudah moden sekarang. Atau di pinggir banjaran Crocker atau di lembah yang mendatar di pedalaman sana mahupun di pulau-pulau yang dijarakkan oleh Laut Cina atau Laut Sulu. Aku harap kau bahagia. Bersama anak-anakmu juga suamimu. Maafkan aku jika cerita ini sampai ke pengetahuan mereka sedangkan risikonya memungkinkan kau menjadi sasaran yang tidak sepatutnya berlaku.

Sesungguhnya keikhlasan yang dapat kukatakan, hanya kalimat ini yang mampu mendekatkan kita. Itupun jika ditakdirkan ada waktu yang terdekat ini kita dipersuakan semula. Sebagai insan. Aku tidak mengharapkan pertemuan itu berlaku seperti dalam karya yang kutulis beberapa tahun lalu bertajuk Aduhai Dayang Sarah yang mewajibkan Ibrahim menjelajah kota tua yang menjadi kotaraya moden semata-mata mencari Dayang Sarah. Rasa rindu yang menebal bukan semata-mata kerana Dayang Sarah pernah menyayanginya, tetapi nostalgia kepada kampung halaman, budaya masyarakat masa lalu yang tak mungkin dapat diulang laku semula.

Namun di situlah kelainannya. Kelainan yang akan memberi beberapa pedoman. Masa lalu selalunya akan meninggalkan jejak pengajaran untuk memperbaiki kelemahan, kekurangan atau kesilapan. Bukan untuk mengulang laku semula tetapi dengan segala jejak yang terkesan kita akan menjadi insan yang tidak lupa kepada fitrahnya bahawa insan itu mahluk yang tidak sempurna. Ini tak mungkin kuceritakan juga. Kau juga menyedarinya bukan?

Sebab itulah kita sering mendengar berleluasanya perubahan sikap masyarakat kita hari ini bersama-sama masalah yang tidak pernah bernoktah. Percakaran sesama agama Islam berlaku di Asia Barat sana walaupun menyedari dalangnya adalah masyarakat barat. Demikian juga krisis perkauman di negara-negara bekas Komunis. Negara kita juga sering dituduh secara semborono oleh barat. Tapi kita bernasib baik kerana memiliki para pemimpin yang bijaksana malah menjadi wira Asia seperti gelaran yang diberi kepada Perdana Menteri kita Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad, berani menyuarakan pendapat kita secara lantang. Beliau bukan sekadar mahu berkata lantang tetapi membuktikan setiap ungkap kata yang diperjuangkannya.

Namun atas keberanian itu kita tidak lepas daripada sabotaj, berpatah arang berkerat rotan barat dan sasaran dendam kesumat yang tak kunjung selesai sejak berzaman. Masa ini misalnya, kegawatan ekonomi yang melanda negara tentunya disebabkan oleh gelagat barat yang sengaja ingin menyusahkan negara-negara yang tidak mengikut telunjuk mereka. Tetapi negara kita masih seperti biasa. Biarpun perluru-peluru berpandu keji barat mahu menghancurkan keampuhan ekonomi kita, negara kita tidak banyak terjejas kerana kemampanan ekonomi kita sejak beberapa tahun lalu.

Masalah tidak juga akan selesai sampai bila-bila biarpun kita sanggup berhadapan dengannya. Tetapi manusia yang berada di negara ini telah dianugerahi Tuhan sebagai insan yang pemurah dan baik hati. Pemerintah seringkali memandang masalah dari sudut kemanusiaan. Sebab itu negara kita yang terlalu makmur ini menjadi persinggahan warga luar yang datang secara tidak sah mengharapkan simpati. Sungguh menakjubkan malah menggerunkan. Aku tak dapat membayangkan jumlah yang semakin membiak. Di mana-mana sahaja pelusuk negeri manusia dari kelompok itu bertapak seperti parasit.

Mujur jugalah kerajaan kita memperlihatkan keagresifannya untuk menangani masalah pendatang tanpa izin ini. Mereka dihantar pulang dan kita mungkin kelihatan lega kerana kehadiran mereka menyebabkan banyak kegiatan jenayah yang bukan menjadi budaya hidup masyarakat kita. Besar amat wang yang dikeluarkan untuk menangani masalah ini. Bukan ribuan tapi jutaan ringgit!

Namun kita tidak dapat mengelakkan semua itu daripada berlaku. Ini ditambah lagi dengan situasi kegawatan ekonomi negara-negara jiran, semakin ramai pendatang tanpa izin ini mendarat di perairan negara. Ini menambah beban kita. Tapi penahanan tekong-tekong yang membawa masuk pendatang tanpa izin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri akan memberi kesedaran kepada mereka. Mudah-mudahan segala pembohongan dan penipuan akan terbongkar. Kita mahukan kehidupan yang selesa, harmoni, aman dan bebas dari segala ancaman jenayah yang banyak dilakukan orang asing.

Bukan sahaja jenayah tetapi perbuatan-perbuatan mungkar berlaku di sana-sini hinggalah pada suatu ketika berlakukan ribut besar beberapa tahun sudah. Tentulah kau pernah mendengar ini. Ya, benar seperti katamu, tidak siapa yang tidak mengetahui tragedi Greg dan pengajaran di sebalik tragedi itu. Semua itu berlaku kerana lupa kepada ajaran yang dituntut oleh agama. Perbuatan mungkar yang menyalahi peraturan agama wajar menerima hukuman.

Moral yang semakin menipis di kalangan anak muda juga menjadi bualan masyarakat kita termasuklah para pemimpin negara. Susah juga untuk mencari puncanya. Pengaruh luar mungkin, dan sikap kita juga yang tidak tahan uji oleh perubahan yang berlaku di sekeliling kita, merupakan satu hal lain. Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat selalu ditekankan, tapi mengapa masih juga berlaku perbuatan-perbuatan yang membawa kecoh di kalangan anak-anak remaja kita? Mengapa masih berlaku juga segala gejala sosial ini? Bukankah golongan remaja merupakan pewaris kepimpinan negara kita?

Entahlah, jawabku lagi, jika soalan yang sama kau utarakan kepadaku. Kita tidak harus hilang arah. Tidak mungkin kita kehilangan arah jika kita mempercayai apa yang diajar dalam kitab suci Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.. Kita beritikad dan melakukan yang disuruh serta menjauhkan diri dari perbuatan yang ditegah.

Syukurlah jika ada kesedaran baru di kalangan masyarakat. Memang kita tidak mungkin menjadi masyarakat yang seratus peratus bersih daripada segala macam gejala yang tidak sihat itu. Fitrahnya, seperti aku katakan tadi, manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Demikian juga gejala perebutan kuasa, kedudukan dan pangkat di kalangan pemimpin kita hari ini. Apakah aku perlu menceritakannya padamu. Tentu kau tersenyum bila mendengarkan ungkapan pemimpin, cita-citaku sejak dulu. Aku tak mungkin menjadi pemimpin seperti itu. Jika aku menjadi pemimpin aku tidak akan berusaha mencari peluang dan kesempatan semata-mata mahukan kedudukan, kuasa dan pangkat. Gelaran jawatan bukan membawa makna apa-apa jika memungkinkan kita kehilangan kewarasan, hati budi dan arah tuju. Kepalsuan sering menjadi kata-kata manis. Menjadi pembohong tidak mungkin menjadikan aku seorang pemimpin yang bijaksana dan adil. Tidak mungkin tercapai kecemerlangan kepimpinan jika tujuan dan matlamat, niat dan falsafah yang ingin didokong itu terkeluar daripada landasan yang sebenar.

Mengapa harus bercakaran sesama sendiri. Di manakah budaya masyarakat harmoni dan penyayang yang dilaung-laungkan selama ini? Aku tidak akan mengatakan semua ini jika tidak merasai kesakitan yang kita rasai sekarang. Apabila berhadapan dengan seseorang yang kita kenal dan dia merupakan seorang pembohong dan penipu yang licik tiba-tiba bercita-cita menjadi seorang pemimpin, tentulah berkali-kali aku menggeleng-gelengkan kepala. Sungguh sedih dan memilukan. Masyarakat kita akan teripu oleh kelicikan mereka, oleh empanak atau kata-kata manis mereka dan oleh tingkahlaku mereka yang palsu belaka. Inikah corak pemimpin yang kita mahu? Inikah bentuk pemimpin yang ingin kita pilih untuk menerajui kepimpinan negara?

Entahlah, aku hanya ingin berkata begitu kerana aku hanyalah pemimpin kepada diriku, keluargaku dan kelompok kecil masyarakat yang percaya kepada kebenaran. Bukan kepalsuan, penipuan, pembohongan, rompakan dan segala macam kezaliman.

Tidak ada keadilan selagi manusia tidak mempelajari kehidupan dengan sejarahnya. Golongan wanita selalu mengatakan tidak ada keadilan dalam kehidupan. Mungkin ada benarnya. Aku pernah berbual-bual ilmu dengan rakan-rakan terutama sekali kaum wanita mengenai isu gangguan seks di tempat bekerja. Ketidak adilan berlaku di mana-mana ketika manusia sudah kehilangan kewarasan dan arah pandu. Barangkali kau setuju jika kukatakan bahawa wanita yang menjadi mangsa gangguan seks seumpama ini harus berani mengenengahkan aduan mereka kepada pihak berkuasa. Aku sungguh sedih dan amat benar dukacita kerana perlakuan sumbang ini berlaku di mana-mana termasuk di pejabat-pejabat kerajaan. Penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran hanya tertumpu kepada budaya kerja tetapi bukan secara menyeluruh termasuk nilai moral di kalangan kakitangannya. Perbuatan itu seperti diizinkan dan menjadi perkara biasa di kalangan anggota organisasi tersebut. Gangguan itu dianggap semata-mata sebagai gurauan. Tapi alangkah moleknya jika di peringkat awal wanita yang diganggu itu menegur walaupun orang yang melakukan itu seorang majikan atau ketua tempat bekerjanya. Soal maruah diri tidak memilih siapa. Apakah kedudukannya. Aku percaya kepada kata-kata ini: Manusia harus disedarkan!

Dengan membiarkan dan menganggapnya sebagai biasa maka, akhirnya menjadi budaya gurauan yang tidak bermoral. Aku percaya kau juga jijik melihat perlakuan itu. Bayangkanlah orang yang diganggu itu isteri, anak perempuan, adik perempuan atau sesiapa sahaja yang ada kaitan darah dengan mereka yang mempunyai habit tidak bermoral itu. Tentulah dia seorang yang hipokrit dan tidak bermoral. Dia tahu jika aduan dibuat siapakah yang sanggup menjadi saksi terhadap perbuatannya. Adakah siapa yang mahu mempercayai seorang majikan akan melakukan perkara tidak bermoral itu? Barangkali benarlah bahawa sudah tiba masanya habitat haiwan menyerap ke dalam diri manusia yang hilang pertimbangan hidup.

Tentulah tidak ada keadilan. Aku bingung memikirkan hal-hal ini. Barangkali hanya Tuhan sahaja yang boleh menghukum insan seperti itu. Tapi apakah hanya berserah kepada Tuhan dan semua itu akan selesai? Sebagai wanita yang bermaruah sudah tentu mereka berani mencari kebenaran, keadilan dan tuntutan hak mereka.

Aku harap kita dapat bercerita lebih lanjut lagi jika ada pertemuan. Walaupun aku gagal untuk menyatakan bila kita akan bertemu kerana aku tidak mungkin meramalkan apa-apa untuk diriku apa lagi untuk kita berdua. Banyak aku tidak tahu ingin kuketahui darimu. Sejak hampir dua puluh tahun, kau bayangkan, banyak hal yang rahsia masih berada di dalam benak kepalaku. Aku sering bertanya pada diriku apakah ada ruang lain untuk kuketahui semua itu. Maksudku punca perpisahan kita yang menjadi misteri selama ini. Kau tidak pernah mengutus khabar padaku walaupun kau tahu aku di mana. Apakah masalah kau sebenarnya?

Aku percaya. Kau tidak mungkin melupakanku juga kawan-kawan lama kita. Jika pun kerana suamimu atau anak-anak kau pergunakan masa yang begitu banyak untuk mereka, teruskanlah. Kehidupan yang bahagia seperti yang kau alami tentunya, adalah lebih baik daripada memikirkan sesuatu yang belum pasti berlaku. Yang mungkin, kita abadikan sahaja segala sejarah dan kenangan itu. Barangkali bunyinya semakin melankolik tapi percayalah kau masih aku ingati.

Maafkan aku kerana ada panggilan telefon. Sebenarnya pagi tadi aku menerima pesanan telefon. Dari seseorang, kata setiausahaku. Malangnya dia tidak sempat mencatatkan nama pemanggilnya. Aku tak tahu mengapa. Aku keliru juga dan kesal. Dua puluh tahun aku menunggu suara seseorang. Dan, panggilan ini entah dari siapa. Mungkinkah kau?

Merebut Peluang

Bila ada ruang dan peluang jangan biarkan terbuang, rebut dan bulatkan tekad untuk mendapatkan sesuatu yang mungkin memberikan pulangan yang membahagiakan. Ungkapan ini saya tujukan buat adik dan sahabat saya, JY. Masa berjumpa petang tadi, kami bercerita panjangan tentang pelaburan dan hari esok yang menjanjikan sesuatu. Apatah lagi apabila membaca blognya, juga tentang peluang yang harus diperjuangkan. Rezeki itu tidak datang tanpa dilakukan usaha yang jitu, gigih dengan semangat yang hebat.

2.
Seseorang telah menerima hukuman sebagai balasan perbuatan yang telah dilakukannya, kita tidak pasti apakah hukuman itu memadai. Bekas seorang VIP tidak mungkin boleh terlepas namun saya pernah membayangkan bagaimana mungkin tidak semua orang menikmati kejujuran dalam hidupnya.

SABAH 2 Jan. - Bekas menteri kabinet Sabah Datuk Conrad Mojuntin hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kerana mengugut ahli perniagaan Doughty Disimon Oktober 2005. — Bernama


Kedudukan atau status dalam masyarakat sering disalahpakai, disilaptafsir, dikaburpandang - namun tidak siapa boleh dialihkan daripada kepentingan hidup dalam masyarakat dengan membiarkan mereka menggunakan keistimewaan yang mereka miliki. Realitinya setiap keistimewaan itu pun ada hadnya. Natijahnya penghargaan yang pernah diberi tidak mungkin mampu mengatasi apa juga kesalahan yang disengajakan atas perbuatan yang melanggar keharmonian dan keselamatan.

3.
Tentang azam, saya juga menyemai benih impian yang harus dilakukan tahun 2009 ini. Sekurang-kurang dapat menulis cerpen dan puisi sebanyak mungkin seterusnya menerbitkannya. Tahun sudah telah tercipta pelbagai penghargaan yang tiada henti menikmati rasa syukur. Begitupun masih ada yang terlepas, misalnya penerbitan buku masih belum berhasil. Buku puisi saya yang sedang diurus percetakannya belum lagi menjalani percetakan atas sebab-sebab teknikal yang bukan sahaja rumit bahkan ruwet dan cerewet. Sukar juga mahu difahami. Kelihatannya menggunakan wang sendiri lebih mudah. Barangkali ini juga azam yang harus saya perhatikan iaitu mengumpul wang untuk menerbitkan buku sendiri. Mudah-mudahan berhasil.

4.
Saya terlalu mengingati seseorang dan beberapa orang yang lain sebenarnya, entah apakah mereka juga begitu, maksud saya mengingati saya. Dulu saya sering berkata (bahkan kami) bahawa ingatan membuatkan fikiran bertemu, ingatan menyatu. Apakah keadaan itu masih berlaku?


Khamis, Januari 01, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Utusan Malaysia, 1 Januari 2009

AZAM


Membuka pintunya setiap awal tahun
apa yang kupandang di hadapanku kocakan warna
sambil mengombak lautan kenangan
menyampaikan ujaran makna lukisan silam

Masih betah mengumpul sesal
mengulang-ulangkan kesilapan
biar pun telah berbeza antara malam dan siang
bergegas melangkah ke tahun baru tersipu malu
dan seperti biasa – menanti hari-hari berlari
meninggalkan pengalaman
bekas yang membangun rindu, bersilih ganti
tidur dan bangun mengunyah rasa
tak pernah punah malah sasa perkasa

Hutan malam dan cahaya bulan yang hadir
tenggelam,
azam membuka pintunya menarik usiaku
masuk ke dalam
sementara berkata, kubertanya
dan menunggu jawabnya
menjadi tajuk perbualan kami
yang tak pernah lelah
apa lagi mengaku alah.

Pustaka Kreatif
Kota Kinabalu


Rabu, Disember 31, 2008

Sambut Tahun Baru, Perbaiki Kelemahan


Pixel Code Graphics

MINGGU ini adalah minggu yang penuh bermakna. Tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertukar pada minggu ini. Dua hari lalu umat Islam meraikan tahun baru Hijrah ke-1430. Perayaan ini lebih dikenali sebagai Maal Hijrah yang membawa maksud bergerak bersama hijrah. Esok pula tahun Masihi yang baru akan muncul. Tahun 2009 Masihi seperti biasa akan disambut oleh segenap lapisan masyarakat. Pelbagai program dibuat bagi menyambut tahun baru ini. Bukanlah tujuan penulis ingin menyanggah program sambutan tahun baru, tetapi sambutan itu biarlah berpada-pada dan mempunyai maksud yang jitu. Sambutan Maal Hijrah dan tahun baru sepatutnya dibuat dengan objektif memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun ini dan tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjentik minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimana pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiada gunanya tahun berlalu tanpa sebarang manfaat yang kita peroleh. Tiada manfaatnya tahun berlalu tanpa kita memperbaikinya untuk masa akan datang. Apa yang berlaku sudah tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa dapat mengubahnya. Sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh yang demikian, kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang tahun, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita. Bersama-samalah kita meneliti kembali apa yang berlaku dan mencari jalan bagaimana mengatasinya. Umpamanya alam bersuara kerana kerakusan manusia melakukan pembangunan yang langsung tidak mengambil kira panduan yang diberikan agama. Walaupun al-Quran menegaskan gunung ganang itu adalah pasak bumi, ketamakan manusia mengatasi panduan ini kerana mereka memusnahkan pasak yang akan mengelakkan tanah runtuh dan malapetaka. Itulah sebabnya Allah memberi amaran kepada kita dengan mendatangkan musibah. Namun, ternyata Allah masih sayangkan kita kerana musibah yang melanda masih kecil berbanding musibah yang terpaksa ditempuhi orang lain di tempat lain. Ramai juga yang menanam keazaman tatkala muncul tahun baru. Namun, azam itu kebanyakannya hanya tinggal azam tanpa mendatangkan hasil. Inilah yang menjadi masalahnya kerana tiada kesungguhan di dalam merealisasikan keazaman masing-masing.

Penulis mengharapkan tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambahbaikan itu mula dirasai, ia bukannya suatu jaminan agar umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Walaupun keputusan beberapa kes di mahkamah berpihak kepada Islam, peguam Islam perlu menghadapi lebih banyak kes yang mencabar kedaulatan Islam pada tahun depan. Melihat kepada cabaran akan dihadapi nanti, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru. Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya.

Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama. Bagi anak yang mula melangkah ke alam persekolahan tentulah 2009 menjanjikan kelainan kepada pelajar. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Begitu juga bagi pelajar lain yang bercuti lebih sebulan akan memasuki semula sekolah masing-masing. Sudah pasti ketika cuti sekolah pelbagai aktiviti dilakukan bagi memanfaatkan cuti sekolah mereka. Rutin harian persekolahan akan kembali mewarnai hari persekolahan. Penulis juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula akan dapat ditingkatkan di samping saling menghormati antara satu sama lain sejajar prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita. Apa yang penting ialah kita menelusuri sejarah dan berpegang dengannya. Jangan sesekali mengherdik orang lain seperti kita sendiri tidak mahu diri kita diherdik. Jangan memperlekehkan orang lain seperti kita tidak mahu diri kita diperlekehkan. Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi 1430H/2009M ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada 2009. Perjuangan tidak akan berhenti.

Perjuangan memerlukan pengorbanan. Perjuangan masih belum selesai. Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan syiar Islam. Setiap orang penting dan perlu menggalas tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil, Allah yang menentukannya. Walaupun 2008 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2009 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang berlaku. Untuk itu pihak kerajaan, -badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa. Moga pertautan erat sebegini akan dapat diperkukuhkan tahun depan dan seterusnya. Semoga keimanan kita makin bertambah.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Isnin, Disember 29, 2008

Sebagai renungan sempena Maal Hijrah

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur'an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga 'peperangan' yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.

oleh
Mohd Farid Mohd Shahran
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Ahad, Disember 28, 2008

Hadiah Masa Yang Telah Berlalu

Pada penghujung detik tahun muhasabah diri memandang kembali masa lalu. Banyak peristiwa menghimpunkan kenangan, manis berbaur hiba, jaya bergaul gagal, gembira bercampur duka. Begitu banyak meraih kejayaan begitu juga perkara-perkara yang dirancang yang tidak kesampaian. Barangkali ada hikmahnya biar pun sebesar debu. Menghitung jumlah detik, masa berlalu dengan begitu pantas sekali, sedar tak sedar hari ini adalah puncak 1429 Hijrah sedang esok bermulanya Muharam 1430 Hijrah yang memberikan ruang baru untuk melangkah di hari muka sebagaimana doa yang dipanjatkan petang tadi setelah mengakhiri doa penutup takwim. Yang telah berlaku menjadi sejarah, menjadi ingatan dan kenangan yang terpahat sepanjang hayat. Tidak semua mungkin dapat diingat melainkan beberapa peristwa yang benar-benar berbekas di kalbu.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata beberapa kejayaan yang dianggap cemerlang datang tanpa mengira waktu. Tidak kurang rasa kehilangan yang benar-benar menghiba rasa. Tidak juga percaya sesuatu yang tidak dijangka terjadi. Air mata tidak mampu menghadang jika ia terjadi dan harus terjadi. Kata-kata menjadi sirna, lidah kelu, pandangan berpinar dan akhirnya sirna tanpa suara. Selebihnya redha, rela dan pasrah.

Kehidupan ini tidak mungkin sempurna. Sebagai insan yang tidak sempurna tetap mengharapkan kesempurnaan walaupun sedikit. Biar apapun, saya tetap bersyukur kerana Yang Maha Esa menganugerahkan pelbagai kejayaan dan pelbagai dugaan. Tahun yang baru berlalu itu meletakkan saya pada satu tahap yang amat mencabar. Dalam bidang sastera tempatan saya pernah 'bermuhasabah' dengan pihak DBP Cawangan Sabah, berkonfrantasi terhadap beberapa perkara melalui suara yang sedikit 'keras' meskipun niat sebaliknya demi kelestarian sastera secara menyeluruh. Memang ada hikmahnya. Alhamdulillah saya telah berlembut dan kembali seperti biasa, apatah lagi sebagai pemimpin serta aktivis sastera, tindakan drastik saya tidak harus diperpanjangkan. Apa yang penting dan diutamakan ialah apa yang harus diberikan untuk sastera.

Saya menerima Anugerah Penyair Islam Sabah 2008, suatu hadiah peribadi yang tidak pernah difikirkan sebelumnya. Saya sentiasa mensyukuri apa juga rezeki yang diberikan Allah. Ini juga sebagai hadiah yang tidak mungkin saya lupakan kerana bukan mudah menerima keyakinan insan lain dalam keadaan saya yang serba kekurangan. Beberapa hari kemudian, ketika berada di Bali, Indonesia saya menerima berita tentang Hadiah Sastera Perdana menerusi sebuah puisi saya yang terbit di Dewan Sastera pada tahun 2005 berjudul 'Tsunami Bukan Hanya Nama'. Malah kejayaan menjadi berganda apabila sebuah lagi puisi saya yang bertajuk 'Sebagai Ayah Entah Apakah Yang Dihargai, Anak' telah tersenarai sebagai antara karya terbaik Hadiah Sastera Sabah 2006/2007. Syukur alhamdulillah.

Tahun yang baru berlalu ini juga meletakkan saya setingkat dalam kerjaya saya di Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia apabila dinaikkan pangkat yang kemudiannya diletakkan di Bahagian Pendidikan Pengundi. Berada pada satu tingkat bermakna satu tingkat tanggungjawab perlu digalas dan amanah harus saya lestarikan. Dalam keluarga pula saya menerima menantu di hujung tahun. Kebahagiaan begitu dinikmati apabila tampak wajah-wajah ceria orang-orang yang saya sayangi - bonda, ayahanda, isteri dan anak-anak serta seluruh keluarga.

Alhamdulillah, walau apapun yang dianugerahi Ilahi, dalam rasa gembira atau rasa duka, semuanya harus berjalan seiring tanpa melupakan segala pemberian-Nya itu pasti mengandungi hikmah sebagaimana rasa hiba saya kerana 'kehilangan' yang tidak dapat diungkapkan di sini. Kesedihan atau kehibaan juga dirasai orang lain malah lebih tinggi darjat kesedihan dan kehibaan masing-masing. Mudah-mudahan 'hijrah' yang dinikmati ada hikmah yang dapat dipelajari, direnung seterusnya dijadikan panduan untuk menjejak masa-masa yang mendatang. InsyaAllah.