Sabtu, Ogos 30, 2008

Teks Ucapan Malam Penghayatan Kemerdekaan

UCAPAN YANG BERBAHAGIA
KOL. HAJI AZLAN MUSTAFAR
KOMANDAN KEM TANAKI TAMBUNAN
DI MAJLIS ’ MALAM PENGHAYATAN KEMERDEKAAN’
SEMPENA PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA
PADA 29 OGOS 2008


Yang Berusaha Mejar (B) Zainan bin Sangit Timbalan Komandan Latihan

Yang Berusaha Kapten Ahmad Zul-Izzi Omran, Timbalan Komandan Pengurusan

Yang Berusaha Saudara Jasni Yakub, Ketua Fasilitator PPSB

Semua Ketua-ketua Jurulatih dan Jurulatih Kem

Semua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya

dan seterusnya semua wira dan wirawati yang dikasihi sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi-wabarakatuh dan selamat malam.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) kerana mengundang saya hadir di Majlis Malam Penghayatan Kemerdekaan pada malam ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 kepada semua warga kem Tanaki.

Sebagaimana siri-siri yang sudah PPSB merupakan salah satu landasan penting untuk menerapkan nilai-nilai cintakan Negara dan tanah air di kalangan para pelatih Program Latihan Khidmat Negara. Program ini juga melatih untuk memupuk kerjasama yang tinggi para pelatih yang terdiri daripada berbilang keturunan dan kepercayaan untuk menghasilkan sebuah produksi yang akan dipersembahkan sebagai tontonan kita bersama.

Kehadiran dan impak PPSB sebagai salah satu komponen dalam PLKN kini semakin dirasai, diperakui dan diiktiraf oleh pihak saya selaku Komandan Kem mahupun pihak pengurusan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Dalam usaha untuk mencapai matlamat PLKN, PPSB dilihat sebagai instrumen untuk menyuburkan semangat patriotik di kalangan para pelatih PLKN. Ia amat berkait rapat dengan pembinaan jati diri bangsa, selain dapat menerapkan semangat perpaduan dan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda yang bakal menjadi tonggak Negara pada masa hadapan.

Tuan-tuan, puan-puan dan wira wirawati sekalian,

Negara kita yang berada dalam era kemerdekaan 51 tahun tidak mungkin mampu mencapai kecemerlangannya dengan percuma. Sejarah telah merakamkan jerih perih rakyat dan para pemimpin menggembleng tenaga dan fikiran ke arah itu. Pemimpin yang telah menggalas amanah menyusun strategi, membuat dasar-dasar tertentu untuk membangunkan negara dan melaksanakannya yang kemudiannya disokong oleh kesediaan rakyat berganding bahu menjalankan kewajipan masing-masing dengan cemerlang. Perjalanannya cukup panjang. Setelah terlepas daripada cengkaman dan juga kongkongan penjajah lebih 300 tahun, negara kita merangkak perlahan-lahan dan dari hari ke hari menggerakkan roda kemajuan dengan jayanya.

Semua ini menjadi landas kesejahteraan serta kemakmuran sebagaimana yang kita kecapi hari ini. Apa yang kita inginkan boleh kita mampu perolehi walaupun dari hari ke hari kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang tidak dapat dielakkan. Cabaran globalisasi misalnya menyebabkan masyarakat kita sentiasa berhadapan dengan pengaruh luar. Cara hidup sebilangan masyarakat mengikut rentak perubahan kesan daripada dasar langit terbuka yang mendedahkan pelbagai perkara. Pengaruh luar ini begitu cepat menular terutama di kalangan generasi muda.

Globalisasi menerusi teknologi digital dan IT yang tidak dikawal memberi wadah yang amat membimbangkan. Generasi muda kita tidak dapat menangkis gelombang yang melanda kehidupan moden ini dengan mudah. Lihat sahaja cara mereka berpakaian, cara berkomunikasi, gerak-geri anak-anak remaja kita sudah jauh daripada landasan yang asal, yang pernah datuk nenek kita pertahankan dan pelihara turun temurun. Pada saya , tidak ada langkah atau usaha lain yang lebih mujarab untuk membentuk serta mengajak anak-anak bangsa kita mengenali diri peribadi mereka selain menerapkan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan, nilai-nilai cintakan kebebasan daripada penjajahan budaya luar, nilai-nilai jati diri yang harus diperkukuh melalui program- program yang dirancang oleh kerajaan. Contoh yang paling dekat dengan kita semua ialah PLKN yang para wira dan wirawati hadiri pada ketika ini. Sudah tentu banyak kebaikan yang telah diterima oleh para pelatih dan bekas pelatih yang menghadiri program ini. Sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan kita tahun ini yang berbunyi ‘Perpaduan Teras Kejayaan’, menjadikan program ini begitu sinonim dengan hasrat menerapkan nilai kerjasama. Kerjasama tersebut meletakkan kejayaan yang diinginkan. Ini dapat dibuktikan dengan jelas sejak wira dan wirawati menjejakkan kaki di kem ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan wira wirawati yang dikasihi,

Bersesuaian dengan konsep dan asas program ini yang menjurus kepada semangat patriotik, konsep PPSB yang sebelum ini dinamakan ‘Malam Citra Puisi’ telah memperluaskan konsepnya menjadi ‘Malam Penghayatan Kemerdekaan’. Ini merupakan puncak program bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan pelatih sempena ulang tahun kemerdekaan tanah air. Malam Penghayatan Kemerdekaan ini diselaraskan sebagai acara sambutan kemerdekaan yang lazim menjadi aktiviti tradisi di kem-kem PLKN di seluruh Negara oleh pihak pengurusan kem, pada setiap menjelangnya tanggal 31 Ogos.

Dalam tempoh 3 hari ini, saya percaya semua fasilitator PPSB telah melatih sebaik mungkin agar program tersebut dilaksanakan dengan jayanya. Persembahan yang diperagakan pada malam ini memberikan mesej yang penting iaitu penterjemahan makna cintakan Negara melalui seni sastera seperti deklamasi sajak dan puisi tradisional. Saya juga percaya para pelatih telah menerima sebuah pengalaman baru yang menarik.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang bekerja keras melaksanakan program malam ini. Sebagai mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin sudahi dengan dua rangkap pantun:

Irama puisi memaut rasa,
Gambus dialun gendang dipalu;
Indah peribadi kerana bahasa,
Sopan santun diamal padu.

31 Ogos gema kemerdekaan,
51 usia Negara cemerlang;
Bertema Perpaduan Teras Kejayaan,
Sastera budaya dijunjung gemilang.

Sekian, terima kasih.

(Teks ucapan yang saya sediakan sempena 'Malam Penghayatan Kemerdekaan' di Kem Tanaki Tambunan dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya pada 27-29 Ogos 2008)

Isnin, Ogos 25, 2008

Perpaduan Teras Kejayaan - Sebuah Pandangan

Saya sungguh bertuah kerana diberikan peluang membaca puisi Gema Merdeka di Auditorium Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 Ogos lalu melalui slot Baca Puisi Kuala Lumpur. Terutama sekali Ayahanda Dato' Kemala yang bertindak sebagai hos meminta Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) mengundang saya. Sesetengah orang barangkali ini proses biasa tanda kehadiran penyair Malaysia tetapi pada saya ini suatu penghormatan untuk menyatakan sesuatu dalam puisi pada pentas yang lebih besar dalam erti kata pencerahan fikiran di arena lebih tinggi. Saya berfikir begitu apa lagi dengan kehadiran Sasterawan Negara Dato' a.Samad Said dan Ketua Pengarah DBKL Datuk Haji Salleh Yusup meningkatkan lagi semangat cintakan negara ini menerusi pentas sastera. Saya amat berbesar hati juga sekiranya berpeluang berjumpa dengan Dato' Seri Syed Hamid Jaafar Albar, Menteri Dalam Negeri dan Dato' Norliza Rofli (yang saya kecil cukup lama), Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, tapi tidak kesampaian apabila mereka tidak hadir walaupun namanya merupakan antara pembaca puisi yang disenaraikan. Begitupun dengan penampilan Haji Mokhtar Yassin dari Melaka, Zubir Ali, Selina SF Lee, Dr. Krishnan Maniam, Roy (penyanyi lagu-lagu patriotik), Grup Pemuisi UiTM dan Zamzuriah Zahari (penyampai Gurindam ASWARA) sudah cukup memberikan saya pengalaman tersendiri. Baca Puisi Kuala Lumpur ini dijuruacarakan oleh personaliti Klasik Nasional Mansor Abu Bakar merupakan anjuran bersama oleh KALAM, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, DBP dan DBKL.

Sesuai dengan tema: Perjuangan dan Patriotisme, program baca puisi ini mencambahkan kesedaran terhadap kecintaan kita pada tanah air yang harus sering dipertingkatkan, dipelihara dan dipertahankan. Rasa cinta sahaja tidak memandai tanpa perjuangan. Apabila perjuangan digembelingkan membentuk sebuah jati diri yang utuh kita mampu membangunkan maruah serta martabat negara kita. Segala warga tentu inginkan kedamaian, kebebasan, kemerdekaan yang dikecapi ini berlangsung buat selama-lamanya. Namun semua itu tidak bermakna kita leka dan lalai apabila di sekeliling kita sudah ada ruang dan berang yang mahu menggugat segala rasa indah dan bahagia kita sebagai generasi yang merdeka. Menerusi pentas puisi saya amat yakin apa yang para penyair fikirkan dan hayati mampu diterjemahkan oleh warga di luar selain yang hadir menyaksikan persembahan baca puisi tersebut.


Saya teringatkan sahabat dan rakan taulan di Kota Kinabalu ketika itu. Pada saya sewajarnya dapat mentranformasikan program sastera semurni mungkin. Kita perlu bergerak selari walaupun tanpa ehsan daripada pihak-pihak yang sering kita harapkan pertimbangan. Kita perlu menyatakan sesuatu menerusi intipati yang kita fahami demi melahirkan generasi yang kukuh minda dan jati diri sebagai anak-anak yang merdeka. Kita juga sedar kemerdekaan bukan sekadar menyatakan dengan lidah atau menerima seadanya kesenangan hidup, kemakmuran atau kebebasan padahal tanggungjawab kita semua harus digalas dengan waras. Apakah kita pernah memikirkan apa akan berlaku pada tahun-tahun mendatang ketika berhadapan dengan senario pertembungan ideologi serta pendekatan politik yang bercelaru dan budaya manusia moden?

Kehidupan ketika ini berlangsung begitu pantas. Orang berlumba-lumba mendapatkan ilmu, berlumba-lumba maju ke hadapan, berlumba-lumba naik ke atas, berlumba-lumba mencari dan menyimpan harta, berlumba-lumba mendapatkan kedudukan, berlumba-lumba meraih simpati dan penghormatan. Saat ini apabila semua berebut-rebut mencapai impian, hasrat dan cita-cita masing-masing, mereka lupa kepada jati diri asas mereka. Mereka lupa kepada pelabuhan yang mereka tinggalkan yang pernah memberikan mereka kejayaan dan kesenangan dalam kehidupan. Mereka menjadi si Tenggang, mula mencerca, menghina, menfitnah - dalam erti kata lain lupa kepada sejarah bagaimana negara mereka dibentuk dan menjelma sebegini hebat. Siapakah yang harus mampu menyatakan semua ini dan difahami? Penyair hanya bahagian kecil manusia yang mewargai Malaysia. Penyair hanya punya daya intuisi fikir, mampu menyusun baik diksi dengan indah, membentuk nilai kata mengajak kita menilai sesuatu. Ada waktunya suaranya mengilhamkan sebagai sebuah protes namun penjelmaan daripada semangat protes ini mempelawa kita merenung ke dalam relung kalbu kebenaran yang diluahkan. Penyair Malaysia zaman ini mahu suara mereka didengar sebagaimana penyair-penyair dan sasterawan awal dulu. Mungkin penyair hari ini tidak punya sejarah seperti penyair sebelum dan pasca merdeka, namun begitu peristiwa tetap menjadikan penyair manusia istimewa yang memiliki pentas mengungkapkan peristiwa tersebut.


Sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun, 'Perpaduan Teras Kejayaan' memerikan reaksi yang menjadi teras memperteguh hasrat kita semua bahawa kejayaan untuk bangsa kita tidak dapat mengetepikan unsur-unsur perpaduan kaum yang sedia ada. Kaum-kaum yang didewasakan sepanjang 51 tahun bebas merdeka ini sahaja yang mampu mengangkat negara kita kekal makmur, kekal hebat dan kekal merdeka.