Sabtu, Januari 15, 2022

PIJAR KILAU KERIS


 
Menjadi bahana orang-orang besar
menarikan pencak silat risau rasanya.
 
Di hadapan cermin dendam lampau
keris hujah diacah ke arah sesiapa saja
tidak jelas siapa musuh
harus dirusuh
siapakah pak gendang
memberi pedoman?
 
Dengan keris hujah tanpa balut
kependekaran orang-orang besar dicemar
sekadar gema
bertempik membaca lincah langkah
beradu dalam gelanggang tanpa lawan
yang ada hanyalah
permainan pantomin seekor gajah
sekawan kuda belang dan sekumpulan seladang
keran diperbodoh mainkan!
 
(Sesekali mengenali semula
janji Tuah dengan Jebat
antara taat setia dan saudara
tewas di hujung senjata buta
tapi pendekar di sini
telah lelah
dijerat jeritan perdaya  dan makna setia)

Kilau keris persis orang-orang besar
menggetarkan tanah pulau
yang kacau!

Bayangkan ketika keris hujah patah
genta loceng meronakan suasana
bertalun di seluruh ceruk rimba
di mana nanti mencari pida paduka
yang diwarisinya di puncak Gunung Agung
menggapai kaki langit menyerah restu.

            Bayangkan tatkala balutnya
            mencari keris hujah yang patah
            pantomin gajah, kuda belang dan seladang
            akan menamukan tanah seberang
            sedia siaga menakluk teluk kemelut
            harus menjelmakan teguh
            bukan kerana jaguh
            tetapi suluh masa depan. 
 

1993

Dewan Sastera, Januari 1993

CITRA WARGA TATKALA TERSIAT MAKNA CINTANYA TERHADAP TANAH AIR YANG TERCINTA


I
Kami sentiasa tergerak sambil menjunjung bendera moyang
Kami diikat di bawah bimbung harapan-harapan wawasan
Kami dikumpul merapatkan segala citra seniman.
 
Bendera sebenarnya berkibar matabatin yang yakin
bertebar, memutar angin peralihan, membina minda wira
mara menyemarak tinta.
Wawasan sesungguhnya rumah jati diri mengubah waja berani
fajar bakti merelung bumi, tanah air kami, diikat seutuhnya
tanpa sedikit pun luntur ketika tunas sudah menjadi pohon rimbun
Hanya seniman yang membina bangsanya, mentafsir
ketulusan warga, menterjemah kata mekar juang
siaga memartabat negara, satu, tiada dua!
 
II
Kami, kumpulan wira bumi yang kecil tapi bernas dan ceria
Kami, kumpulan warga terampil yang menjunjung sejuta citra
Kami, kumpulan muda yang menjulang tinggi cita-cita.
 
Kami tak undur walaupun satu, satu tak bertinta
dan satu, satu tak berdarah merah
walaupun satu, satu kehilangan kata-kata
dan satu, satu tak berpunca hala.
Di sini daerah kami yang murni, memelihara makna percaya
seiring berganding fikirdan bicara
meletakkan pedoman masa silam meraih makna masa depan.
 
Di tangan kami dunia harus menebus segala luka sengketa
segala luka dusta, segala luka haloba
 
III
Beginilah tatkala tersiat di dada pisau makna cinta
mencairkan beku darah yang kemudian terbakar,
membuaki bahangnya ke seluruh rasa
menyeberang ke jambatan batin, membakarnya, kemudian
tertegun apabila siap tiang bendera yang akan dikibarkan
dan berarak segak, bangga siaga menuju rumah hari depan.
 
 
1994