Rabu, Mac 25, 2009

Kenangan sering ditinggalkan

Setiap tanggal 1 Januari menjadi hari yang istimewa buatnya. Kami membawa buah tangan tidak lebih daripada buku, buku catatan dan kertas lukisan. Dalam banyak peristiwa satu yang tidak akan saya lupa iaitu tentang namanya. Saya dan sahabat-sahabat perlu berhati-hati ketika menulis namanya kerana beliau pernah menegur kami disebabkan kesilapan yang tidak disedari. Bagaimana ejaan 'Shuhaibun' dan 'Yussuf' yang betul. Ini antara kenangan bersama ayahanda kami yang bernama Datuk Haji Shuhaibun Yussuf.

Ikatan Penulis Sabah (IPS) antara organisasi sastera yang amat akrab dengan arwah. Beliau menjadi idola, penasihat dan penyokong paling penting sehingga IPS tetap bergiat cergas terutama saat-saat cemas sekitar 1998. Beliau merupakan Ahli Kehormat IPS. Beliau gemar menghargai seseorang. Sebagai seorang tokoh, pemergiannya merupakan kehilangan yang amat dirasai. Arwah seorang insan biasa yang mesra dan tidak kedekut memberikan pandangan terhadap permasalahan budaya dan sastera tanah air.

Beliau merupakan insan pengumpul bahan yang baik untuk dicontohi. Sesiapa yang pernah berkunjung ke Dangau Budaya rumahnya di Kampung Pengalat Kecil, Papar tentu biasa untuk mencatatkan buku lawatan. Ribuan orang termasuk pelajar universiti, penulis dan pengkaji budaya telah berkunjung kerana Dangau Budaya menyimpan begitu banyak koleksi, artifak budaya dan bahan-bahan persuratan. Beliau telah meninggalkan sejumlah khazanah yg tidak ternilai banyaknya. Sewajarnya cita-cita arwah untuk menyimpan khazanahnya itu diberikan perhatian. IPS sering mendengar hasratnya itu diucapkannya tetapi ia tetap menjadi angan-angan semata-mata sehingga akhir hayatnya.

Ketika beliau mula sakit beliau juga sempat bercerita tetang beberapa manuskrip yang perlu diterbitkan. Arwah menjadi amat aktif walaupun telah berusia dengan memenangi pelbagai peraduan penulisan selain menerima Hadiah Sastera Sabah. Ini menjadi teladan yang baik kepada generasi baru. Saya tidak pernah lupa arwah satu-satunya insan yang gemar mengutus surat. Kali terakhir beliau menulis ketika perkahwinan anak perempuan saya hujung tahun lepas, walaupun tengah sakit, arwah punya kesempatan menulis sesuatu buat saya. Tiada pengganti untuk ayahanda kami ini. Tiada dua orang 'Shuhaibun Yussuf' di dunia ini. Dialah satu-satunya.

Entri yang lain:
Laliman Ahmad - Doa untuk Ayahanda Pak Shuhaibun
Abd Naddin Shaiddin - Datuk Shuhaibun Yussuf telah Tiada
JY - Mengingati almarhum ayahnda Datuk Haji Shuhaibun Yussuf
Merlenny Deen Erwan - Pak Shuhaibun Meninggal Dunia
Oneh Latifah Osman - Datuk Haji Shuhaibun Yussuf telah pamit...


Selasa, Mac 24, 2009

Patriotisme Sebuah Akademi

Patriotisme sering diungkapkan oleh ramai pemimpin. Kepada generasi muda khususnya, patriotisme mengujarkan semangat mencintai negara dan bangsa. Mencinta dengan bacaan menyayangi, memelihara dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak bangsa yang merdeka. Namun ungkapan ini tidak mudah untuk dijelaskan kerana ia lebih kepada bagaimana setiap individu itu merasai 'api yang membakar jiwanya', ia tidak sekadar diucapkan tetapi dianjak sebagai benteng yang asas dalam mempertahankan bangsanya daripada 'dijajah' oleh budaya yang memecahkan tradisi, memporak porandakan paduan hala tuju bangsanya, melemahkan jati diri yang dibina dalam membangun sahsiah masyarakat majmuk sebagai pokok yang berakar tunjangkan Rukun Negara dan sebagainya.


Setiap tahun rakyat diingatkan tentang mahalnya sebuah kemerdekaan yang sedang kita nikmati sekarang. Saban tahun juga rakyat dipertenguhkan semangat cintakan tanah airnya menerusi pelbagai program merakyatkan kemerdekaan. Patriotisme menjadi landas dan alatan yang amat relevan. Para pemimpin dalam institusi kekeluargaan, pendidikan di sekolah dan IPT sehingga kepada kepemimpinan masyarakat secara menyeluruh tidak pernah lupa meletakkan patriotisme berada di atas daripada segala-galanya. Persoalannya apakah rakyat menyedari diri mereka memiliki semangat tersebut? Apakah penanda aras setiap rakyat atau warganegara kita menginsafi hanya patriotisme sahaja mampu membawa negara kita terus terjamin sebagai negara yang makmur, harmoni dan membahagiakan rakyatnya?

Kita sering juga mendengar hujahan kemakmuran negara menerusi perpaduan. Setelah merdeka lebih setengah abad, kita masih berhujah tentang perpaduan, mungkin agak kerterlalu untuk dikatakan bahawa kedudukan masyarakat kita menjadi semakin lemah kerana tumpuan lebih kepada bagaimana seluruh rakyat yang beraneka etnik itu harus menjaga rasa, budaya, kepercayaan menerusi ikatan kata perpaduan. Kita harus menerima hakikat bahawa tanpa nilai-nilai cinta kita tidak dapat menikmati kebahagiaan atau kemakmuran hidup. Dengan saling timbul rasa curiga dan kurang percaya terhadap satu sama lain, klita mungkin gagal untuk sama-sama membangunkan sebuah bangsa yang merdeka. Kerana itu mencintai negara dan bangsa harus bersama seiring dengan apa juga keperluan untuk masyarakat multi etnik negara kita.

Kita jadikan semangat patriotik itu sebagai sebuah akademi. Melalui dunia pembelajaraan tentu tidak semata-mata di institusi pendidikan, ia harus terus berkembang dalam kehidupan harian. Kita mendalaminya, sebagaimana kita melalui proses kehidupan itu sendiri, ada masanya kita melalui kepayahan. Namun akhirnya kita belajar sehingga mampu meletakkan semangat tersebut sebagai sebuah jati diri yang tidak mudah diubah. Dengan itu juga tidak mudah dirobek oleh pukauan orang-orang yang tidak berpendirian (baca: tidak memiliki jati diri).

Barangkali kita boleh mencari titik kepada persoalan-persoalan yang sedang berlaku sekarang dengan kepelbagaian enigma terhadap bangsa. Terutama kepada generasi baru dan akan datang, mereka bakal melalui warna-warni nilai yang sedang terjadi sekarang. Generasi sekaranglah pembentuknya. Jika masyarakat terus dilalai dan akhirnya dilalikan oleh hujahan-hujahan yang merugikan untuk jangka masa yang panjang, tidak ada jalan lain yang lebih kukuh selain memperkasakan semangat patriotisme dan Rukun Negara sepanjang hayat di kandung badan.

Isnin, Mac 23, 2009

Berlabuh jauh

Mereka telah berlabuh jauh
sambil sauhku abadi di tengah samudera sukma
lahadku di dalam tiram
diam di dasarnya

untuk apa lagi, kata mereka
berlagu tanpa irama

berlabuhlah meski di hujung paksi lautan
dengan irama yang dipunya yang difahaminya
memandang fauna dan flora unggas manusiawi
kembali dan pergi meninggalkan tiada
hanya luka dan air mata

lahad rahsia menakluki seluruh naluri
dan hari-hari tenggelam

mereka berlabuh jauh dan jauh
masih aku di samudera yang sama
beramah dengan awan dan bahasa sukma.

Pustaqa Iqbal Nazim
19 Mac 2009