PENGANTAR
HASYUDA ABADI (2023) |
Dalam usia yang mendewasakan itu, sastera di Sabah telah melahirkan ramai penulis terkenal baik yang bersifat lokal mahupun nasional. Ada dalam kalangan penulis ini pula telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, Misalnya Ismail Abbas (Amil Jaya) dan Jasni Matlani yang telah dianugerahkan dengan anugerah Sea Write Award yang sangat berprestij itu. Di peringkat negeri Sabah pula telah dinobatkan tiga orang penulis yang sudah boleh dianggap sebagai penulis mapan sebagai Sasterawan Negeri Sabah yang juga satu pengiktirafan tertinggi di negeri Bawah Bayu ini. MeReka adalah Ismail Abbas, Azmah Nordin dan yang terkini Haji Sukor Usin@ HusSin (Hasyuda Abadi) sebagai penerima ketiga.
Ini belum dikira pemenang pelbagai hadiah di peringkat negeri dan
kebangsaan yang dianjurkan saban tahun. Tidak sedikit jumlah penulis Sabah yang
telah memenangi hadiah-hadiah ini misalnya Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera
Islam Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Jika diambil kira juga dengan penerbitan
buku-buku kreatif dan non-kreatif, jumlahnya bukan lagi ratusan tetapi sudah
mencecah ribuan jika sebuah jenis genre sastera diambil kira. Demikianlah, sedikit
latar yang dapat memberi suatu gambaran bahawa negeri Sabah sudah ke hadapan
dari sudut perkembangan dan pembangunan sasteranya.
PERMASALAHAN
Dengan perkembangan yang dikira rancak dan subur itu, apakah sudah ada
yang memikirkan secara serius ke manakah arah Sastera Sabah ini hendak dibawa?
Penulis yang puluhan dan ratusan jumlahnya yang sudah sekian lama bergiat aktif
di manakah semestinya tempat singgah mereka? Apakah sekadar mengikut arus atau
mengekori di belakang kelibat dua tiga kerat tokoh tersohor tetapi sudahnya
sekadar mengikut sahaja. Ditambah dengan kemunculan ramai penulis baharu yang
semangatnya seperti air bah, datang dan kuat semangatnya bermusim tetapi
surutnya tidak dipupuk dengan baik.
Apakah sudah cukup dengan hanya tiga orang sahaja penerima anugerah Sasterawan Sabah? Apakah sudah disediakan calon-calon penerimanya bagi kali keempat, kelima, keenam dan kali yang seterusnya? Atau kita hanya sekadar duduk menunggu sesiapa yang berminat, yang berasakan dirinya layak untuk memohon atau dicalonkan? Adakah memadai dengan hanya tiga orang tokoh dari Sabah yang dapat menembusi laluan ke Bangkok untuk meraih anugerah SEA Write Award? Dalam hal SEA Write Award ini Jasni Matlani sejak tahun 2008 telah mengeluh panjang tentang nasib Sabah di wilayah Borneo berbanding Negara Brunei Darussalam yang lebih ramai menerima anugerah berprestij itu pada hal Sabah lebih awal menikmati kemerdekaan berbanding negara Brunei Darussalam.
Perkembangan sastera di Sabah samalah juga keadaanya di negeri-negeri lain di Malaysia ini - bergerak dan digerakkan sebagai satu kerja sambilan dan bermusim. Penulis dan aktivis yang ada semangat jati diri dan mencintai tamadun bangsanya seta mahu melihat wajah, rupa bentuk dan warna peradaban bangsa sentiasa hidup dan subur menjadi pejuang dan pengurus yang mentadbir, mengurus, melaksana, memaju dan menyebarluas. Meskipun tanggungjawab ini besar, tetapi ia kurang muncul dan tidak melekat dalam minda dan tidak dirasai di dalam hati nurasi hamper kebanyakan manusia bangsa itu sendiri.
Justeru, penulis Sabah tidak harus berasa kecil dan ketinggalan. Membanding perkembangan di Sabah dengan perkembangan sastera di negeri-negeri lain dari satu sudut ada baiknya, tetapi dalam banyak hal ia tidak sangat perlu. Melihat ke dalam diri adalah satu langkah bijak dalam konteks untuk menjadi Sabah tempat subur bagi pertumbuhan sastera.
Ada tiga hal yang lebih perlu penulis di Sabah ambil sebagai satu
perkara yang serius iaitu;
a) Perancangan strategik yang dapat menentukan hal tuju Sastera pada
masa hadapan
b) Pembinaan rangkaian/jaringan kerjasama yang berimpak
c) Pemugaran potensi kearifan tempatan Sabah sebagai sumber daya maju sastera beridentiti local-global.
PERANCANGAN
YANG STRATEGIK
Berdasarkan pengalaman di negeri-negeri lain di Malaysia, boleh dikatakan tiada suatu usaha terancang dibuat oleh pihak persatuan, pihak kerajaan negeri, malah DBP sendiri mungkin bagi mempersiapkan tokoh-tokoh tertentu di negeri mereka atau dalam kawasan pentadbirannya agar tokoh-tokoh ini dapat dipenuhkan keperluan-keperluan yang ditetapkan. Penulis sendiri yang lazimnya mengambil inisiatif untuk menyediakan dirinya sebagai calon juga diusahakan oleh badan atau persatuan.
Sesudah Ismail Abbas (1992), Azman Nordin (2009) dan Jasni Matlani (2015) terpilih menerimanya, maka persatuan atau badan-badan yang berkaitan dengan sastera di Sabah dengan dukungan DBP Cawangan Sabah perlu merencanakan secara serius untuk mencalonkan dua atau tiga orang tokoh untuk dicadangkan sebagai penerima anugerah SEA Write Award bagi tahun 2022, 2023, 2024 dan seterusnya. Beberapa tokoh penulis yang boleh diketengahkan adalah Sukor Usin (Hasyuda Abadi), Arifin Arif, Ramlee Awang Murshid. Manakala tokoh-tokoh perlu perlu dipersiapkan untuk beberappa tahun ke hadapan pula adalah Norawi Hj Kata, Soibin Madun, Abd Naddin Shaiddin, Ruhaini Matdarin, dan Dayangku Mastura.
Untuk mempersiapkan tokoh-tokoh penulis Sabah sebagai calon penerima SEA Write Award ini, maka badan-badan dan persatuan penulis serta penulis khususnya harus memahami kriteria-kriteria yang diperlukan bagi melayakkan nama-nama tokoh ini tersenarai untuk diangkat dan dinilai oleh pohak Sekretairat SEA Write Award Malaysia. Aspek-aspek yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan adalah;
(a) Penghargaan/pengiktirafan/hadiah yang pernah diterima di peringkat antarabangsa/ kebangsaan /negeri (seperti Hadiah Sastera MASTERA, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Negeri dan sebagainya.
(b) Prolifik dan tekal dalam berkarya.
c) Ketokohan, keterampilan dan sumbangan pemikiran yang memberikan
kesan dan impak kepada kemajuan dan perkembangan sastera Iltizam (komitmen) dalam
kegiatan yang menyumbang ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.
PROJEK DESIGNING HASYUDA ABADI
Tidak boleh dinafikan keberadaan Hasyuda Abadi dalam peta perpuisian sangat signifikan
dengan perkembangan Sastera yang semakin ke hadapan di Sabah sejak dekad 1990an hingga dekad muatakhir. Dengan tidak menafikan ramai lagi penulis lain, nama Hasyuda Abadi adalah tokoh terkehadapan dalam bidang puisi Melayu moden di Sabah dekad ini. Hasyuda memilik ketekunan, semangat, dan nuansa perjuangan yang tinggi yang meletakkan dirinya dalam dunia sastera Sabah dengan tekad yang penuh dan jitu. Seganding dengan Hasyuda adalah Jasni Matlani yang lebih menyerlah menerusi genre cerpen dan kritikan dan Azman Nordin yang unggul dengen genre cerpen dan novel.
Pencapaian Hasyuda Abadi dalam genre puisi sangat membanggakan. Beliau pernah meraih Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah pada tahun 1997, Hadiah Tinta Sastera kategori puisi (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda juga telah menghasilkan lebih 1000 buah sajak dan diterbitkan dalam pelbagai media.
Sajak-sajak Hasyuda dimuatkan dalam buku-buku kumpulan puisinya seperti ‘Balada Paduka Mat Sal eh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), ‘Menginai Badai’ (DBP, 2004), ‘Sirna Sirna’ (DBP, 2006) dan ‘Kembali di Lahad Rahsia’ (Iris,2008), ‘Suara yang Terbuka’ (ITBM, 2014), ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ (Iris, 2021), ‘Musim Perubahan di Negeri Kami’ (Iris, 2021), ‘Melawan Kebiasaan’ (DBP, 2023) dan ‘Hutan Ayah’ (IPS, 2023). Puisi-puisi Hasyuda Abadi juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain di Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Indonesia melalui 73 buah antologi puisi. Hasyuda juga pernah dianugerahkan gelaran Tokoh Penyair Islam Sabah pada tahun 2008. Pada tahun 2022, Hasyuda Abadi diperakui sebagai penerima Tokoh Seni Sastera Islam Sabah.
Berdasarkan rekod pencapaian, penglibatan dan sumbangan besar Hasyuda dalam dunia sastera baik dii Sabah mahupun di Malaysia, Hasyuda sudah selayaknya boleh menjejak kaki ke Bangkok untuk menerima anugerah SEA Write Award. Jika perancangan dibuat dengan baik oleh pihak persatuan, badan-badan sastera di Sabah, terutama dalam konteks melengkapkan keperluan yang ditetapkan pihak penganjur.
Hasyuda wajar diberi sokongan bagi mengangkat Ketokohan, keterampilan dan sumbangan pemikiran yang memberikan kesan dan impak kepada kemajuan dan perkembangan sastera Iltizam (komitmen) dalam kegiatan yang menyumbang ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan. Perlu ada pendedahan karya-karya Hasyuda untuk dikaji oleh pelajar sarjana dan Ph.D. Demikian juga perlu diadakan wacana yang membincangkan pemikiran Hasyuda. Hasil wacana ini dibukukan dan diterbitkan.
Tidak mustahil Hasyuda dalam tempoh 10 tahun ke hadapan mempunyai harpaan cerah untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah tertinggi sastera negara. Selain Hasyuda, Jasni Matlani antra tokoh penulis Sabah yang mempunyai ruaang untuk nama mereka dicalonkan. Kerja keras perlu disusun dari sekarang (2023). Penghasil karya dalam bentuk genre puisi perlu ditingkatkan, diterjemah, didiskusikan, dikaji, disebarkan dan dinampakkan keberadaannya.
Liputan penglibatan Hasyuda harus diperluaskan dan diperbanyakkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. DBP Cawangan Sabah wajar memainkan peranan mempromosi Hasyuda dalam pelbagai bentuk wacana dan acara. Nama Hasyuda dari Sabah harus muncul di pentas wacana ilmu bukan setakat Borneo tetapi juga di peringkat Antarabangsa. Menerusi Sekretariat MASTERA Malaysia, DBP Cawangan Sabah boleh menyediakan ruang kepada Hasyuda menjadi tokoh wacana sastera bandingan yang akan menyampaikan siri kuliah di bebrapa buah negara anggota MASTERA.
Rumah puisi Hasyuda Abadi (RupHA) sangat menginspirasikan bagi sesiapa mencintai ilmu dan dakwah. RupHA menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah tempat pengajian al-Quran yang menghasratkan untuk memandaikan bangsa melalui al-Quran di Baitul Muqaddam. Sudah pasti RupHA sangat istimewa bagi sastera Sabah, kerana ia satu-satunya wadah ilmu, sastera, agama dan perubatan yang berdiri dan wujud di Sabah. RupHA tentu menyamai Rumah Puisi Taufik Ismail penyair tersohor Indonesia yang dibangunkan di pesisir Jalan Padang Panjang, Bukit Tinggi, Sumatra. Dan mungkin juga persis rumah puisi Fadli Zon di ibukota Jakarta, atau sepertimana yang diusahakan oleh Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan dengan Rumah BETA di Taman Gombak, Selangor.
RupHA jika diperluaskan fungsikan boleh menjadi destinasi pelancongan sastera di Sabah dengan rangkaian destinasi dengan bandar raya Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu dan beberapa destinasi pelancongan lain. Persinggah penggungjung ke RupHA tidak sekadar untuk menziarahi Hasyuda Abadi tetapi yang lebih penting adalah menghidupkan sastera dalam bentuk institusi dan rangkaian pelancongan. Hasyuda telah mengusahakannya dengan titik peluhnya RupHA yang tentu bukan semata untuk dirinya sensiri tetapi untuk kehidupan ilmu yang ada di dalamnya sastera, bahasa dan segala macam illmu lagi. Justeru, untuk melihat RupHA dalam 10 tahun ke hadapan sebagai aset sastera yang penting di negeri Sabah , maka DBPCS dan juga badan-badan serta persatuan harus mengusahakan sesuatu yang dapat meluruskan dan meringankan kerja-kerja Hasyuda abadi.
Bagi diri Hasyuda, beliau telah dianugerah dengan gelaran tokoh Penyajak Terbaik Berita Sabah pada tahun 1997, Tokoh Penyair Islam Sabah pada tahun 2008. Pada tahun 2022, Hasyuda Abadi diperakui sebagai penerima Tokoh Seni Sastera Islam Sabah.Pada tahun 2023 Hasyuda diiktiraf pula sebagai tokoh Sasterawan Sabah. Penokohan ini wajar diberi satu atau tanda masyhurnya misalnya `Penyair Islami`, `Sasterawan Kinabalu` sesuai dengan keberadaanya di Sabah dan bidang kepakaran sasteranya iaitu puisi bernuansa Islami. ini harus dipromosikan dalam bentuk yang santai, mudah, mesra tetapi berinti ilmu yang memberi faham dan kebijaksanaan.
Peranan DBPCS sangat penting bagi menyokong usaha bagi menjayakan projek designing Hasyuda Abadi. Projek ini bukan semata-mata bagi menempatkan Hasyuda Abadi pada mercu kecemerlangan untuk dirinya tetapi Hasyuda secara kolektif adalah mewakili Sabah secara keseluruhannya. Hasyuda dalam satu perspektif adalah milik bersama secara kolektif masyarakat sastera Sabah. Pada diri Hasyuda itu dapat dinampakkan wajah dan warna puisi Sabah.
RUMUSAN
Sabah beruntung dalam banyak segi dalam konteks keluasan peluang yang ada
di hadapan membawa sasteranya maju jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri
lain di Malaysia. Sabah kaya dengan sumber kearifan tempatan khususnya
kepelbagaian etnik, bahasa, budaya, seni, warisan dan budaya. Sabah juga
memilik DBPCS yang memberi fokus khusus untuk negeri Sabah sahaja. Sabah juga
mempunyai barisan penulis pelapis yang ramai di samping latar sastera yang baik
di sekolah mahupun di dalam masyrakat awam. Sabah mempunyai orang sastera yang
aktif dalam politik kerajaan. Ini tidak bermakna orang sastera perlu
berpolitik, namun ruang dan peluang yang ada harus sentiasa dimanfaatkan.
Pelbagai usaha boleh diikhtiarkan supaya sastera dilihat penting kepada pembangunan
insan di negeri Sabah ini.
Projek Designing Hasyuda Abadi tidak bermakna penulis lain tidak
penting dan diketepi, tetapi ianya sebagai satu model untuk memastikan hala
tuju sastera ada batu tandanya, ada target, ada wawasan dan masa depan yang
terancang. Puluhan penulis yang muncul saban hari adalah aset yang boleh
memberi makna kepada kejayaan sastera Sabah. Hal ini tidak sukar untuk dicapai,
kerana sumber-sumber yang ada di Sabah sangat lumayan dan masih banyak yang
belum terusik. Hasyuda Abadi adalah salah satu antara aset sastera Sabah yang
masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
[1]
A.Halim Ali atau nama penuhnya Dr. Abdul Halim Ali ialah Profesor Kesusasteraan
Melayu di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Beliau juga adalah Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan