Sabtu, Januari 06, 2018

Penyajian Puisi Keperluan Sejagat

APABILA membicarakan puisi terus kita digambari sebagai salah satu ragam karya sastera yang terikat dengan irama, ritma, rima, bait, larik dan ditandai dengan bahasa yang padat. Puisi merupakan seni tertulis yang menggunakan bahasa sebagai kualiti estetiknya atau keindahannya. Puisi juga mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan. Mendengar puisi sepertinya sudah tidak asing lagi bagi para penulis yang telah mendapatkan ‘roh’ dan juga tugas untuk membuat puisi.
Semata ingin mengulang jelas maksud puisi dan asal usul puisi: Kata puisi secara etimologis berasal dari bahasa Yunani Kuno (ποιέω/ποιῶ (poiéo/poió) = create, adalah seni tertulis di mana bahasa digunakan untuk kualiti estetiknya sebagai tambahan, atau selain erti semantiknya. Sedangkan dalam bahasa Inggeris, padanan kata puisi ini adalah poetry yang erat dengan poet dan poem. Mengenai kata poet, Coulter (dalam Tarigan, 1986:4) menjelaskan bahawa kata poet berasal dari Yunani yang bererti membuat atau mencipta. Puisi itu sendiri sebelum sampai ke Nusantara, sudah sangat terkenal di dunia barat. Banyak karya kuno, dari Veda India (1700-1200 SM) dan Zoroaster's Gathas (1.200-900 SM) ke Odyssey (800-675 SM), tampaknya telah disusun dalam bentuk puisi untuk membantu menghafal dan lisan dalam pra-sejarah dan masyarakat kuno.

Puisi yang tertua adalah Epos Gilgames, dari milenium ke-3 SM di Sumeria (di Mesopotamia, sekarang Iraq), yang ditulis dalam naskhah tulisan kuno berbentuk baji pada kepingan tanah liat dan kemudian papirus. Puisi epik kuno lainnya termasuk Yunani epos Illiad dan Odyssey, Old Iran buku-buku yang Gathic dan Yasna Avesta, epik nasional Romawi, Virgil Aeneid, dan India epos Ramayana dan Mahabharata.

Saya percaya masih ramai penulis yang belum mampu menulis puisi sebaiknya atau seindahnya. Akhir-akhir ini ramai penulis mencuba menulis puisi. Mereka menyertai pelbagai penerbitan antologi-antologi puisi. Dalam banyak itu terdapat seorang dua novelis memenangi hadiah sastera bagi genre puisi. Bagaimana pun genre utama mereka bukan puisi. Ini bermakna menulis puisi sebenarnya mudah. Apatah lagi bagai penulis yang pengkhususan mereka merupakan puisi. Mudah menuliskannya tetapi merapikannya sebagai hasil karya seni yang indah bukan semudah itu.

Puisi merupakan karya seni yang berupaya berdiri teguh secara mandiri tanpa perlu berkhidmat untuk atau kepada sesiapa. Puisi tidak wajar dizahirkan untuk tujuan lain selain untuk berpuisi. Ia tidak harus dinilai oleh prinsip retorik moral, mahupun disukat dengan berjana politik ataupun sebarang piawaian yang bukan estetika. Namun begitu, tidak bermakna puisi itu anarkis kerana sebagai karya seni yang tulen, ia mengandungi unsur-unsur pendidikan yang etmpengaruhi pembentukan masyarakat dan budaya masa hadapan. Bukankah 'sastera' cermin masyarakat?

Penulis dan ahli falsafah Jerman seperti Kant, Goethe dan Schiller, misalnya, sependapat bahawa karya seni haruslah mempunyai autonomi atau hak sendiri ke atas hasil ciptaan berbentuk seni. Idea seni untuk seni begitu jelas dalam perbincangan Victor Hugo dalam bahagian prakata Cromwell (1827) dan Hernani (1830). Bagaimana pun, beliau sama sekali tidak menolak persoalan moral meskipun tidak semestinya menjadi asas untuk diberikan fokus puitik.

Puisi merupakan santapan jiwa dan halwa raga kepada sesebuah masyarakat yang bertamadun. Legasi puisi dalam membina jati diri bangsa-bangsa teragung telah sekian lama diperikan dalam lembaran-lembaran sejarah dunia.

Ironinya, peranan puisi di negara kita pada dekad-dekad ini dianggap tidak lagi relevan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi bidang sastera sudah lama dipinggirkan demi mengejar janji-janji alaf. Generasi hari ini tidak lagi memandang aliran sastera, apatah lagi bidang puisi, sebagai salah satu tonggak moral dan teras jati diri sebuah masa depan yang bermaruah. Jika ada sekali pun hanyalah dalam kelompok yang amat rendah. Memang betul, setiap tahun puluhan buku puisi diterbitkan dan setiap minggu di media masa serta setiap detik di media sosial puisi-puisi diperlihatkan, berapa ramai pula orang yang mengambil berat terhadapnya.

Tegasnya, aliran sastera hari ini tidak lagi berupaya menjadi gerbang impian yang menjanjikan harta dan laba untuk kesejahteraan masa hadapan bagi generasi muda. Ditambah pula dengan sikap kebanyakan orang yang gemar mengejar sesuatu yang baru dan mencicirkan apa yang dikendong sekian lama. Walhal, bukan itu gagasan dan aspirasi negara.

Anehnya, dalam seluruh kegawatan masa hadapan buana puisi negara yang tidak ketentuan ini, sesetengah penggiat puisi kita masih leka berpolemik sesama sendiri. Sesetengahnya lebih gemar membentuk kelas atau kelompok tertentu dalam menilai mutu seni sesebuah karya puisi. Tidak kurang pula yang menyokong usaha pengelasan sebegini demi menjayakan agenda peribadi untuk mengangkat hasil karya sendiri.

Jangan terkejut jika dikatakan bahawa puisi hari ini terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Ia bukanlah fenomena globalisasi mahupun glokalisasi - bahkan ekoran daripada sikap kita sendiri yang kurang ambil peduli.

Secara umumnya, masyarakat sudah arif dengan mutu dan nilai seni mahakarya-mahakarya agung puisi-puisi garapan para Sasterawan Negara. Meskipun tidak akrab, tetapi kebanyakan daripada kita sudah biasa. Justeru, mercu pencapaian mereka tidak perlu dikupas bicara dan diragu sangsikan lagi. Atas akauntabiliti seni, mereka berkarya untuk masyarakatnya.

Malangnya, dalam usaha kita mengiktiraf mercu-mercu yang terbina itu, kita diajak pula menolak jerih usaha para pemuisi lain yang juga membina mercu-mercu karya mereka dengan hala cara yang sedikit berbeza. Mereka memilih untuk menzahirkan makna karya secara terang-terangan.

Puisi yang mudah difahami sebegini dengan pantas dilabelkan oleh para sarjana sastera sebagai prosa puitis atau puisi prosaik yang rendah mutu seni ciptaannya. Manakala bagi mereka yang mengambil pendekatan untuk keluar daripada klise dan retorik puisi dengan tidak menzahirkan makna karya mereka pula akan dilabelkan sebagai `puisi atau sajak kabur'. Kedua-dua kategori ini dilabelkan berada pada kelas yang sama oleh sekelompok penilai kesusasteraan puisi Melayu. Di Sabah hal ini belum melalui kajian yang terperinci.

Buana puisi Melayu sudah sekian lama berpolemik antara seni untuk seni atau seni untuk masyarakat. Mutu dan nilai seni yang dipiawaikan kepada kedua-dua kelas ini tidak perlulah dinyatakan lagi. Sudah terang lagi bersuluh.

Jesteru, industri cetakan buku-buku puisi harus diimbangi dengan aktiviti apresiasi dan bedah karya yang berterusan. Penyair juga harus menerbitkan karya sendiri bukan semata mengharapkan undangan atau usaha sama penerbitan anotologi. Bagi generasi penyair muda yang baru barangkali wajar tetapi kewajaran ini harus diberikan kesinambungan melalui projek buku. Pelestarian karya-karya mega yang bakal dimegahkan generasi akan datang bertitik tolak daripada sekarang. Karya yang megah mungkin sinonim dengan karya musiman yang sifatnya tidak abadi. Begitu karya-karya ini lahir dengan sengaja mengikut keperluan, penyairnya juga lahir mendadak. Apa yang diinginkan bukan nilai estetika tetapi mesej yang langsung membara semangat yang sementara juga bentuknya. Sudah pasti bukan puisi-puisi begini yang diperlukan sebagai benteng jati diri penyair dan puisi-puisi Melayu.

Para penggiat puisi harus terus menyatakan pilihan mereka dalam berkarya. Barangkali saat anda begitu ghairah menulis kerana menyertai operasi perbukuan, soalnya, apakah kayu ukur yang telah dikenalpasti karya-karya yang dihasilkan itu menyatakan impak tertentu kepada masyarakat. Mungkin ia hanya ingin menyampaikan gagasan tertentu tetapi mengabaikan elemen keindahan. Pada masa yang sama atas keghairahan membukukan karya tetapi lupa sama ada keberadaan karya itu mampu dipertahankan untuk meletakkan kebitaraannya. Ke arah itu, sudah tentu keberanian untuk memperjuangkan masa hadapan genre puisi harus berpaksikan ilmu, kesejagatan ilham dan pemurnian fikiran.

Mudah-mudahan pembicaraan puisi-puisi para penulis kita di Sabah akan diungkayahkan sempena Festival Penulis Negeri Sabah anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) pada 2018 ini. Sebaiknya perbanyakkan penglibatan para penulis terbabit melalui wacana proses kreatif masing-masing. Selain daripada itu memperagakan buku-buku yang pernah diterbitkan di samping memungkinkan dianjurkan juga pameran para penulis puisi seluruh Negeri. Salah satu bentuk mengenali para penulis puisi ialah melalui pemeragaan karya selain wacana kreatif yang dimaksudkan.

© 2018 PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Disember 31, 2017

Aktiviti HA Sepanjang 2017


MAC 2017

Nadwah Sastera Islam
Bicara Proses Penulisan Sastera Islam
sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam
Nusantara kali ke-6 2017 Membakut Sabah

APRIL 2017

Peperiksaan Semester Januari 2017
Universiti Terbuka Malaysia (OUM)

10/4/2017 - Adat Istiadat Melayu
12/4/2017 - Filem dan Teater Melayu
13/4/2017 - Pelancongan dan Produk Budaya
22/4/2017 - Keusahawanan

4/4/2017
Festival Penulis Sabah 2017
Baca Puisi di Park Tang Dynasty Hotel
Kota Kinabalu

5/4/2017
Festival Penulis Sabah 2017
Baca Puisi di Institut Pendidikan Guru Kent
Tuaran Sabah

15/4/2017
"PUISI ADALAH ..."
Sempena Festival Penulis Sabah 2017
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA)
Kampung Gudon Kota Kinabalu

di SM Sains Sabah Tuaran

MEI 2017

5-6/5/2017
Perhimpunan 1000 Penulis
PWTC Kuala Lumpur


MEI 2017

5-6/5/2017
Perhimpunan 1000 Penulis
PWTC Kuala Lumpur


JULAI 2017

16/7/2017
Majlis Rumah Terbuka
Hari Raya Aidil Fitri 2017
Perkarangan Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Kampung Gudon Manggatal
10.30 pagi


27/7/2017
Kursus Pengendali Makanan
Hotel Sri Perkasa
Kota Kinabalu
9.00 pagi

29/7/2017
Pelancaran Buku
Puncak Iqra'
Papar
10.00 pagi


OGOS 2017

5/8/2017
Panel Bicara Karya Eceran
Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah
9.00 pagi


8-10/8/2017
Menghadiri Majlis Konvokesyen
Diploma Syahfierah
Politeknik Kuching
Sarawak


Peperiksaan Semester Mei 2017
Universiti Terbuka Malaysia
OUM
14/8/2017 - Pengantar Kebudayaan & Kesenian Melayu
16/8/2017 - Islam & Kebudayaan Melayu
20/8/2017 - English for Workplace Comm

SEPTEMBER 2017

28/9/2017
Bicara Karya & Forum Sastera
Sabah dan Sarawak di Pentas Global
Kota Kinabalu

29/9 hingga 1/10/2017
Dialog Teluk
Hotel Seri Malaysia
Lawas, Sarawak

OKTOBER 2017

12/10/2017
Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan
Peringkat Negeri Sabah
Dewan Amil Jaya DBP
Cawangan Sabah Kota Kinabalu

14/10/2017
Berbalas Pantun Peringkat Negeri Sabah
Anjuran JKKNS dan BAHASA
dan Majlis Penyampaian Hadiah
Peraduan Menulis Karya Pilihan
anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah
Kompleks JKKNS Kota Kinabalu

NOVEMBER 2017

11-12/11/2017
Bengkel Produk Homeopati
Anjuran Zarras Medicare
Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Kg Gudon Manggaral Sepanggar

18-19/11/2017
Bengkel Memasak
Anjuran Tarbiyatun Nisa Tuaran
dengan Kerjasama Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Tarbiyatun Nisa Tuaran

28/11/2017
Majlis Penyampaian
Hadian Sastera Perdana Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur

DISEMBER 2017

12/12/2017
Majlis Pelancaran
Sayembara Menulis Puisi
Mahrajan Persuratan Islam Nusantara
Wisma MUIS
Kota Kinabalu

15-16/12/2017
Penggambaran Program TV
Inspirasi Borneo
Rumah Puisi Hasyuda Abadi
& Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Kota Kinabalu

31/12/2017
Program QuranHour
BaitulMuqaddam 
Rumah Ngaji BaitulMuqaddam
Kota Kinabalu

31/12/2017
Program QuranHour
Negeri Sabah
Masjid Negeri Sabah, Sembulan
Kota Kinabalu

Keratan akhbar 2017







Mandala 2018 - harapan-harapan untuk sastera Sabah

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

HARI ini betul-betul penghujung tahun 2017. Sesekali menoleh kembali ke belakang barangkali sesuai dibuat pada hari ini. Sesekali kita melihat semula apa yang telah berlaku paling tidak sesuatu yang kita laksanakan sama ada berjaya mahu pun sebaliknya. Biasanya di sinilah apa yang kita impikan telah dirai dan diraih hasilnya. Pada masa yang sama impian tinggal sebagai impian atas masalah atau kendala yang dihadapi.

Setiap di antara kita sudah pasti mempunyai sikap masing-masing terhadap apa yang diperkatakan di atas. Ada yang mengambil sikap semua itu tidak perlulah difikirkan sangat. Apa yang penting baginya ialah melakukannya sedaya mampu. Ada yang ingin menilai sama ada hal-hal yang ingin diraih itu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau sasaran utama tahunannya. Seperti yang bermajikan, mereka mempunyai sistem pengukuran perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan. Dalam sektor perniagaan atau industri semua ini amat penting. Keuntungan dan kerugian selalunya diambil perhatian dari sudut sasaran ini.

Dalam dunia persuratan juga ada yang menggunakan pendekatan begini. Pada penghujung tahun telah dijadualkan senarai sasarannya dengan seboleh-bolehnya menghasilkan jumlah karya tertentu. Nah, apakah bagi anda ini memadai apabila mencapai sasaran yang dibuat itu menandakan anda telah berjaya untuk tahun tersebut? Sejauh mana nilai dalam karya-karya itu memberikan sesuatu nilai yang besar. Katakanlan novel anda dinobatkan sebagai peraih hadiah sastera kebangsaan, sejauh mana novel tersebut memberikan impak kepada pembaca. Apakah ada ahli masyarakat yang berubah setelah membaca naskhah karya yang terbaik itu? Ada tidak sajak-sajak yang benar-benar dinikmati pendengar? Misalnya pada tahun 2017 ini sebuah antologi puisi yang ditulis khusus kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, apakah sikapnya terhadap puisi-puisi yang ditulis itu? Kita percaya sudah pasti ada sesuatu kesan yang dirasai pemimpin kita ini. Alhamdulillah, tahun 2018 ini sebuah lagi kompilasi karya kreatif akan diterbitkan khusus buat YAB dan kali ini genre cerpen sedang diungkahkan.

Sumbangan para sasterawan tidak harus dipandang ringan sebenarnya. Setiap diri daripada mereka memiliki pandangan yang tersendiri terhadap sesuatu perkara. Sebagaimana para pemimpin yang berdedikasi dalam kepemimpinannya juga mempunyai sesuatu nilai untuk diterjemahkannya kepada khalayaknya. Khalayak pemimpin adalah rakyat yang dipimpinnya atau rakyat yang menyokongnya. Bagi sasterawan pula khalayaknya sudah tentu lebih luas lagi. Sasterawan tidak cukup mempunyai sebuah disiplin semata-mata apabila menuangkan pemikirannya di dalam karya-karyanya. Paling tidak seseorang sasterawan mempunyai pengetahuan yang luas terhadap alam persekitaran, sewajibnya mendalami dunia bahasa yang meluas, senario politik dan budaya masyarakatnya, bidang antropologi dan sosiologi serta dispilin-disiplin kejiwaan yang dia harus miliki. Sudah tentu seseorang sasterawan itu bukanlah calang-calang insan jika ingin menjadikan dunia sastera dan kesenimanannya sebagai sebuah kerjaya yang serius.

Wajarlah juga dalam memberikan penghargaan kepada para sasterawan itu harus dilihat secara lebih meluas lagi. Setelah meraih pelbagai anugerah persuratan baik dalam negeri di Sabah ini sendiri mahu pun di Kuala Lumpur bahkan di peringkat Nusantara, sasterawan yang berwibawa memang wajar diperingati. Menghargai mereka jangan tunggu setelah ketiadaannya di dunia ini. Berilah apa pun juga namun itu masih belum mampu menyamai peranan yang telah ia mainkan sepanjang kehidupannya.

Tahun 2017 adalah tahun terbaik buat penulis Sabah. Kita telah menyaksikan tiga orang tokoh sasterawan iaitu Datuk Haji Hussain Kasau, Datuk Jasni Matlani dan Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim telah dinobatkan anugerah tertinggi sempena hari jadi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah. Beberapa orang yang lain juga telah diiktiraf berdasarkan pencapaian masing-masing dalam dunia persuratan terutama kepada mereka yang terlibat sebagai pendidik dan aktivis persuratan.

Lebih menggembirakan para penggiat sastera dan kesenian di negeri Sabah berikutan pengumuman peruntukan RM3 juta oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman semasa membentangkan bajet negeri Sabah bagi 2018. Keprihatinan pihak Kerajaan ini ternyata bakal meningkatkan keghairahan golongan penulis dan aktivis sastera di negeri Sabah berkarya seiring dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan negeri ini sesuai dengan dasar TN50.

Ketika memberikan respon terhadap pengumuman itu, Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA berkata agihan peruntukan itu benar-benar memberi manfaat dalam membantu persatuan penulis membiayai kegiatan penulisan mahupun pertemuan sastera di negeri ini, khususnya Festival Penulis Sabah, dan juga Mahrajan Persuratan Islam Peringkat Nusantara yang bertaraf serantau. Dengan peruntukan itu diharap membantu menghasilkan lebih banyak buku dan karya kreatif seterusnya mengangkat martabat para penulis Sabah yang benar-benar memberikan sumbangan yang besar di negeri ini.

Sehubungan dengan perkara ini ada juga baiknya dicadangkan agar mereka ini diberi pengiktirafan oleh kerajaan dengan pemberian hadiah lumayan setanding dengan nilai yang diberikan oleh beberapa kerajaan negeri lain kepada tokoh penulis. Ramai tokoh penulis kita yang berkelayakan diraikan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Sabah bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan amat besar di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau.Hal ini perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan 2018 bakal melihat gerakan sastera kita terus rancak dan memberikan maksud yang lebih besar dalam kalangan penggiat. Kita berharap juga agar dapat diperuntukkan untuk membina Pusat Dokumentasi Persuratan atau Muzium Sastera di Sabah, untuk dimanfaatkan para penulis negeri ini. Di samping itu juga  dapat membantu menggerakkan industri penerbitan buku, memugarkan industri buku tempatan, bagi membantu piawaian status negeri Sabah sebagai sebuah negeri maju di Malaysia.

Seperti disebutkan tadi, tahun 2017 menjadi antara tahun terbaik buat para sasterawan dan penulis. Aktiviti sastera begitu giat dilaksanakan. Pelbagai anugerah sastera dirai dan diraih. Penerbitan buku terus mantap meskipun tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Gerakan sastera tampak diberikan perhatian. Minat orang awam juga meningkat. Dalam keghairahan merai dan meraih segala macam penghargaan serta anugerah tidak semuanya diterima tanpa polemik. Ini lumrah. Sudah pasti ada pro dan kontra. Secara tidak langsung sastera juga menghadapi senario yang menarik. Saya fikir polemik tidak akan melemahkan gerakan sastera bahkan terus diperhebatkan. Gerakan ini perlu dimantapkan sejalur dengan kehebatan disiplin-disiplin yang lain. Program Suntik adalah contoh terbaik yang dianjurkan sejak bulan Ogos 2017. Kesan terhadap program ini amat besar terutama dalam melahirkan pengkritik tempatan.

Memang tidak semua aktiviti berlangsung dengan jayanya yang wajar menerima teguran namun tidak bermakna sebarang teguran itu menjadi tular pendekatan yang tidak sihat. Profesionalisme amat penting. Jika dijalankan mengikut jalan yang benar teruskan mengikut jalan itu dengan syarat buktikan hasilnya benar-benar jitu tanpa berselindung dengan niat, mesej dan agenda peribadi atau kelompok yang menyebabkan pertikaian terjadi. Sastera hanyalah alat, andai alat itu digunakan dengan betul sudah pasti manfaatnya memberi nilai yang hebat.  Misalnya kemenangan buku Kumpulan Cerpen ‘Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo‘ karya Datuk Jasni Matlani, puisi eceran karya Hajah Sahara Jais berjudul ‘Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur’ dan drama berjudul ‘Buang’ karya Roziah Adama dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 menampakkan bagaimana nilai profesionalisme dalam berkarya.

2018 bakal menjelang bersama azam dan harapan. Apakah peranan kita semata menulis untuk menuliskan semula sesuatu untuk dijadikan renungan dan ikhtibar? Mengarang novel, cerpen, puisi atau drama, apakah untuk sekadar kepuasan jiwa atau semata-mata meraih kehendak diri atas tawaran hadiah yang lumayan? Barangkali kita berada dalam kelompok-kelompok yang berbeza tetapi kebersamaan kita sentiasa berpaksikan nawaitu yang sama. Apapun sikap kita, dunia sastera pasti menginginkan citra bangsa yang dinamis, memiliki jati diri yang hebat seterusnya menjanjikan satu paradigma sikap yang hebat dalam dunia kepengarangan dan perjuangan. Elok dalam berjuang, elok membangun fikrah bangsa, elok memartabat budaya dan sastera.

Ramai telah meletakkan sesuatu pada aras-aras tertentu mengenai masa-masa lalunya dan masa-masa yang akan menjelma. Sesungguhnya antara hari ini dan esok serta hari-hari berikutnya hanya dibezai oleh angka satu. Apakah kita akan berubah selepas itu atau sekadar menyimpan azam melakukannya hanya pada setiap awal tahun? Kita tidak sedar barangkali bahawa orang lainlah yang akan berkata kita telah melakukan perubahan. Semoga, tahun yang mendatang ini memberikan kita semua kecemerlangan dalam melanjutkan perjuangan dalam kehidupan termasuklah cabaran dunia susastera tanah air. Bagaimana kepedulian masyarakat yang semakin menirus terhadapnya. Cabaran tidak akan banyak berubah malah akan lahir cabaran-cabaran yang bersilih ganti, kerana dengan cabaranlah kita terus siaga melestarikan makna kehidupan hatta makna perjuangan yang sebenarnya. Selamat Tahun Baharu, 2018!

© 2017 PUSTAKA IQBAL NAZIM