Ahad, Disember 31, 2017

Mandala 2018 - harapan-harapan untuk sastera Sabah

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

HARI ini betul-betul penghujung tahun 2017. Sesekali menoleh kembali ke belakang barangkali sesuai dibuat pada hari ini. Sesekali kita melihat semula apa yang telah berlaku paling tidak sesuatu yang kita laksanakan sama ada berjaya mahu pun sebaliknya. Biasanya di sinilah apa yang kita impikan telah dirai dan diraih hasilnya. Pada masa yang sama impian tinggal sebagai impian atas masalah atau kendala yang dihadapi.

Setiap di antara kita sudah pasti mempunyai sikap masing-masing terhadap apa yang diperkatakan di atas. Ada yang mengambil sikap semua itu tidak perlulah difikirkan sangat. Apa yang penting baginya ialah melakukannya sedaya mampu. Ada yang ingin menilai sama ada hal-hal yang ingin diraih itu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau sasaran utama tahunannya. Seperti yang bermajikan, mereka mempunyai sistem pengukuran perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan. Dalam sektor perniagaan atau industri semua ini amat penting. Keuntungan dan kerugian selalunya diambil perhatian dari sudut sasaran ini.

Dalam dunia persuratan juga ada yang menggunakan pendekatan begini. Pada penghujung tahun telah dijadualkan senarai sasarannya dengan seboleh-bolehnya menghasilkan jumlah karya tertentu. Nah, apakah bagi anda ini memadai apabila mencapai sasaran yang dibuat itu menandakan anda telah berjaya untuk tahun tersebut? Sejauh mana nilai dalam karya-karya itu memberikan sesuatu nilai yang besar. Katakanlan novel anda dinobatkan sebagai peraih hadiah sastera kebangsaan, sejauh mana novel tersebut memberikan impak kepada pembaca. Apakah ada ahli masyarakat yang berubah setelah membaca naskhah karya yang terbaik itu? Ada tidak sajak-sajak yang benar-benar dinikmati pendengar? Misalnya pada tahun 2017 ini sebuah antologi puisi yang ditulis khusus kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, apakah sikapnya terhadap puisi-puisi yang ditulis itu? Kita percaya sudah pasti ada sesuatu kesan yang dirasai pemimpin kita ini. Alhamdulillah, tahun 2018 ini sebuah lagi kompilasi karya kreatif akan diterbitkan khusus buat YAB dan kali ini genre cerpen sedang diungkahkan.

Sumbangan para sasterawan tidak harus dipandang ringan sebenarnya. Setiap diri daripada mereka memiliki pandangan yang tersendiri terhadap sesuatu perkara. Sebagaimana para pemimpin yang berdedikasi dalam kepemimpinannya juga mempunyai sesuatu nilai untuk diterjemahkannya kepada khalayaknya. Khalayak pemimpin adalah rakyat yang dipimpinnya atau rakyat yang menyokongnya. Bagi sasterawan pula khalayaknya sudah tentu lebih luas lagi. Sasterawan tidak cukup mempunyai sebuah disiplin semata-mata apabila menuangkan pemikirannya di dalam karya-karyanya. Paling tidak seseorang sasterawan mempunyai pengetahuan yang luas terhadap alam persekitaran, sewajibnya mendalami dunia bahasa yang meluas, senario politik dan budaya masyarakatnya, bidang antropologi dan sosiologi serta dispilin-disiplin kejiwaan yang dia harus miliki. Sudah tentu seseorang sasterawan itu bukanlah calang-calang insan jika ingin menjadikan dunia sastera dan kesenimanannya sebagai sebuah kerjaya yang serius.

Wajarlah juga dalam memberikan penghargaan kepada para sasterawan itu harus dilihat secara lebih meluas lagi. Setelah meraih pelbagai anugerah persuratan baik dalam negeri di Sabah ini sendiri mahu pun di Kuala Lumpur bahkan di peringkat Nusantara, sasterawan yang berwibawa memang wajar diperingati. Menghargai mereka jangan tunggu setelah ketiadaannya di dunia ini. Berilah apa pun juga namun itu masih belum mampu menyamai peranan yang telah ia mainkan sepanjang kehidupannya.

Tahun 2017 adalah tahun terbaik buat penulis Sabah. Kita telah menyaksikan tiga orang tokoh sasterawan iaitu Datuk Haji Hussain Kasau, Datuk Jasni Matlani dan Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim telah dinobatkan anugerah tertinggi sempena hari jadi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah. Beberapa orang yang lain juga telah diiktiraf berdasarkan pencapaian masing-masing dalam dunia persuratan terutama kepada mereka yang terlibat sebagai pendidik dan aktivis persuratan.

Lebih menggembirakan para penggiat sastera dan kesenian di negeri Sabah berikutan pengumuman peruntukan RM3 juta oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman semasa membentangkan bajet negeri Sabah bagi 2018. Keprihatinan pihak Kerajaan ini ternyata bakal meningkatkan keghairahan golongan penulis dan aktivis sastera di negeri Sabah berkarya seiring dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan negeri ini sesuai dengan dasar TN50.

Ketika memberikan respon terhadap pengumuman itu, Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA berkata agihan peruntukan itu benar-benar memberi manfaat dalam membantu persatuan penulis membiayai kegiatan penulisan mahupun pertemuan sastera di negeri ini, khususnya Festival Penulis Sabah, dan juga Mahrajan Persuratan Islam Peringkat Nusantara yang bertaraf serantau. Dengan peruntukan itu diharap membantu menghasilkan lebih banyak buku dan karya kreatif seterusnya mengangkat martabat para penulis Sabah yang benar-benar memberikan sumbangan yang besar di negeri ini.

Sehubungan dengan perkara ini ada juga baiknya dicadangkan agar mereka ini diberi pengiktirafan oleh kerajaan dengan pemberian hadiah lumayan setanding dengan nilai yang diberikan oleh beberapa kerajaan negeri lain kepada tokoh penulis. Ramai tokoh penulis kita yang berkelayakan diraikan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Sabah bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan amat besar di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau.Hal ini perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan 2018 bakal melihat gerakan sastera kita terus rancak dan memberikan maksud yang lebih besar dalam kalangan penggiat. Kita berharap juga agar dapat diperuntukkan untuk membina Pusat Dokumentasi Persuratan atau Muzium Sastera di Sabah, untuk dimanfaatkan para penulis negeri ini. Di samping itu juga  dapat membantu menggerakkan industri penerbitan buku, memugarkan industri buku tempatan, bagi membantu piawaian status negeri Sabah sebagai sebuah negeri maju di Malaysia.

Seperti disebutkan tadi, tahun 2017 menjadi antara tahun terbaik buat para sasterawan dan penulis. Aktiviti sastera begitu giat dilaksanakan. Pelbagai anugerah sastera dirai dan diraih. Penerbitan buku terus mantap meskipun tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Gerakan sastera tampak diberikan perhatian. Minat orang awam juga meningkat. Dalam keghairahan merai dan meraih segala macam penghargaan serta anugerah tidak semuanya diterima tanpa polemik. Ini lumrah. Sudah pasti ada pro dan kontra. Secara tidak langsung sastera juga menghadapi senario yang menarik. Saya fikir polemik tidak akan melemahkan gerakan sastera bahkan terus diperhebatkan. Gerakan ini perlu dimantapkan sejalur dengan kehebatan disiplin-disiplin yang lain. Program Suntik adalah contoh terbaik yang dianjurkan sejak bulan Ogos 2017. Kesan terhadap program ini amat besar terutama dalam melahirkan pengkritik tempatan.

Memang tidak semua aktiviti berlangsung dengan jayanya yang wajar menerima teguran namun tidak bermakna sebarang teguran itu menjadi tular pendekatan yang tidak sihat. Profesionalisme amat penting. Jika dijalankan mengikut jalan yang benar teruskan mengikut jalan itu dengan syarat buktikan hasilnya benar-benar jitu tanpa berselindung dengan niat, mesej dan agenda peribadi atau kelompok yang menyebabkan pertikaian terjadi. Sastera hanyalah alat, andai alat itu digunakan dengan betul sudah pasti manfaatnya memberi nilai yang hebat.  Misalnya kemenangan buku Kumpulan Cerpen ‘Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo‘ karya Datuk Jasni Matlani, puisi eceran karya Hajah Sahara Jais berjudul ‘Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur’ dan drama berjudul ‘Buang’ karya Roziah Adama dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 menampakkan bagaimana nilai profesionalisme dalam berkarya.

2018 bakal menjelang bersama azam dan harapan. Apakah peranan kita semata menulis untuk menuliskan semula sesuatu untuk dijadikan renungan dan ikhtibar? Mengarang novel, cerpen, puisi atau drama, apakah untuk sekadar kepuasan jiwa atau semata-mata meraih kehendak diri atas tawaran hadiah yang lumayan? Barangkali kita berada dalam kelompok-kelompok yang berbeza tetapi kebersamaan kita sentiasa berpaksikan nawaitu yang sama. Apapun sikap kita, dunia sastera pasti menginginkan citra bangsa yang dinamis, memiliki jati diri yang hebat seterusnya menjanjikan satu paradigma sikap yang hebat dalam dunia kepengarangan dan perjuangan. Elok dalam berjuang, elok membangun fikrah bangsa, elok memartabat budaya dan sastera.

Ramai telah meletakkan sesuatu pada aras-aras tertentu mengenai masa-masa lalunya dan masa-masa yang akan menjelma. Sesungguhnya antara hari ini dan esok serta hari-hari berikutnya hanya dibezai oleh angka satu. Apakah kita akan berubah selepas itu atau sekadar menyimpan azam melakukannya hanya pada setiap awal tahun? Kita tidak sedar barangkali bahawa orang lainlah yang akan berkata kita telah melakukan perubahan. Semoga, tahun yang mendatang ini memberikan kita semua kecemerlangan dalam melanjutkan perjuangan dalam kehidupan termasuklah cabaran dunia susastera tanah air. Bagaimana kepedulian masyarakat yang semakin menirus terhadapnya. Cabaran tidak akan banyak berubah malah akan lahir cabaran-cabaran yang bersilih ganti, kerana dengan cabaranlah kita terus siaga melestarikan makna kehidupan hatta makna perjuangan yang sebenarnya. Selamat Tahun Baharu, 2018!

© 2017 PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: