Sabtu, Februari 21, 2009

John Mui dan Anak Seni

Apabila bertemu semula, kita bertemu dalam situasi yang berbeza, walaupun mereka atau diri saya tetap sama; nama yang sama, wajahnya serupa, cara bersapa yang tidak banyak peubahannya. Hakikatnya, dulu dan sekarang memang berbeza. Bercakap tentang masa sudah sering kita mengulang kenangan, mencari teman-teman seperjuangan, mengulang kenangan paling indah dan paling mencuka. Itulah nikmat kehidupan dan beza antara satu dengan yang lain saya fikir hanyalah kenangan. Tidak semua mampu dikongsi bersama namun hakikatnya dengan kenangan hidup menjadi lebih hidup lagi. Itu anugerah Ilahi bairpun banyak perit daripada suka dan namanya pun kehidupan, itulah asam garamnya atau resepi enak tidaknya keindahan yang diberikan untuk kita.

Beberapa orang sahabat lama saya temukan, 3 orang sebenarnya. Seorang teman rapat ketika memulakan kehidupan di Kota Kinabalu kerana bekerja dan dua yang lain ialah mantan teman sekelas di sekolah menengah. Cerita kami tiada jauh bezanya. Mencari teman-teman lain entah di manakah mereka berada. Mengungkai betapa pengetua sekolah kami yang paling jahat kami temui (mungkin itu persepi kami semasa di bangku sekolah).

Kami bersekolah di St John's Secondary School Beaufort. Dari Kota Kinabalu jaraknya 100 km dan dari kampung saya sekolah itu punya jarak 10 atau 12 km. Memang jauh juga berbanding sekarang kerana perhubungan masa dulu tidak sebaik sekarang. Jalan raya belum beraspal, kenderaan pun mengharapkan kereta 'pick-up' yang memuatkan 10-12 orang pelajar sekolah. Pernah juga berjalan kaki dari kampung lantaran tidak ada kenderaan masuk akibat jalan raya rosak teruk. Selain daripada itu, banjir kerap menenggelamkan sekolah kami. Apabila air Sungai Padas melimpah ke atas paras bahaya, bandar Beaufort akan tenggelam hingga 5 meter. Sebab itu kedai-kedai di bandar itu dibina tinggi, begitupun bila banjir tiada sebab lain untuk mengelak. Apabila banjir surut, kerja kami sebagai pelajar membersihkan kelas. Begitulah kelazimannya saat banjir tiba. Beaufort sudah sinonim dengan banjir. Mungkin orang hairan jika Beaufort tidak lagi mengalami banjir. Baru-baru ini banjir yang melanda pekan di Pedalaman Sabah ini boleh dianggap besar juga. Walaupun sebahagian besar telah ditembok lebih tinggi daripada biasa, tempat-tempat sensitif banjir tidak lagi terkecuali. Ketika banjir memberi makna yang lain buat kami, gembira tentunya. Ini kenangan masa banjir.

Berbalik kepada kisah pengetua kami yang jahat itu. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Geografi masa saya berada di Tingkatan Lima. Masa itu masih dalam aliran Bahasa Inggeris. Baiknya pengetua kami ini dia suka bergurau membuat kami tidak mengantuk atau pun bosan. masa belajar. Tapi buruknya dia ni hanya satu, iaitu apabila mukanya merah kami tahu dia baru saja 'minum'. Pernah seorang kawan ditempelengnya, agak memeranjatkan juga. Namun ketika itu, apapun yang guru-guru lakukan tidak dibawa keluar. Maksudnya tidak sampai ibu bapa campur tangan. Saya tidak berani memberitahu ayah atau ibu saya apa yang guru saya telah buat di sekolah melainkan perkara-perkara yang baik belaka. Saya tahu saya akan malah dimarahinya. Lebih baik diam. Bukan seperti sekarang, banyak kes melibatkan guru-guru yang harus berhadapan dengan ibu bapa murid-muridnya setelah mereka bertindak sedikit 'kasar'.

Bila bercerita semula tentang sekolah, rakan-rakan yang saya temui akan bertanya di manakah si anu dan si polan itu. Ada juga yang sudah pergi meninggalkan kami, ada yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing. Jadi bos, jadi YB pun ada, jadi peniaga bahkan tidak kurang yang tetap berada di kampung, menjadi bilal dan bekerja di ladang kelapa sawait. Mereka juga tetap hidup bahagia, membesarkan keluarga dengan aman. Kami juga begitu berada dalam situasi yang tidak banyak bezaanya. Mungkin sahaja kedudukan dalam organisasi di mana kami bekerja. Mereka yang pandai masa sekolah dulu tentu sahaja tempat lebih baik daripada kami. Apa yang penting menghidupkan kehidupan ini.

Seorang sahabat yang banyak masanya bersama-sama sekitar tahun 1979, dulu juga bertanyakan sahabat-sahabat sepermainan. Masa itu saya baru berhenti sekolah dan berhijrah dari kampung ke Kota Kinabalu. Di situ saya bertemu dengannya dan ramai kawan lain. Bermula ketika kami menyertai Skuad Kecemasan St. John Ambulance, sahabat ini membawa saya bertemu dengan sekumpulan belia di Pantai Tanjung Aru. Di sana rupanya diadakan perjumpaan mingguan penggiat seni. Saya berkenalan dengan mereka dan salah seorangnya ialah Hajah Zaiton Ajamain. (Hajah Zaiton kini menjawat Ketua Bahagian Sastera Moden di DBP Kuala Lumpur). Siapakah insan ini, saya tidak tahu langsung ketika itu. Manalah saya tahu tentang dunia penulis atau dunia seni. Orang kampung seperti saya agak terkejut juga tetapi menarik hati saya yang tidak tahu apa yang saya patut buat di bandar Kota Kinabalu ketika itu. Bila berkenalan selepas itu saya dipelawa menyertai kumpulan tersebut iaitu Kumpulan Anak Seni. Kawan-kawan yang aktif masa tu memang sudah tidak aktif lagi masa ini. Saya belajar menari. Saya boleh menari tapi tarian yang rasa boleh saya ikut hanya 2 iaitu Tarian Limbai dand Tarian Adai-Adai. Sebabnya hanya satu, mudah dipelajari. Langkahnya memang tidak rumit. Selepas itu barulah saya boleh menarikan Tarian Asli, Joget, Inang, Endang dan beberapa jenis tarian yang lain. Saya juga belajar bermain drama. Kebetulan masa itu aktiviti kesenian termasuklah teater begitu rancak. Maka sempatlah saya menyertai persembahan dan pertandingan teater. Memang hebat masa itu dengan kumpulan-kumpulan teater yang tidak calang-calang orangnya. Agresif bila tewas. Kumpulan Anak Seni juga bukan kurang, saya masih ingat satu ketika apabila beberapa orang kawan entah bagaimana menemui serpihan kertas yang memuatkan catatan pemarkahan sebuah pertandingan tarian. Kumpulan kami mendapat tempat kedua, namun begitu apabila mendapat tahu sapatutnya kami juara sebenar berdasarkan maklumat pada serpihan kertas yang ditemui, kami menyerbu pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah. Masa itu penjawatnya ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah sekarang ini iaitu Datuk Masidi Manjun. Kami pun berhujah. Maklumat yang ditemui dipersembah. Akhirnya keputusan dibuat kumpulan kamilah yang menang. Itu belum cukup lagi, ada kumpulan yang kalah sanggup mencerderakan atau mengugut panel hakim.

Itulah kemeriahannya. Dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Dulu hanyalah kenangan untuk sekarang. Jika indah memang patut dijadikan pedoman, jika tidak pula biarkan saja sebab keindahan itu pun terpulang kepada persepi masing-masing. Ada yang berkata di sebalik kekurangan ada hikmahnya untuk mencari keindahan yang lebih hakiki. Dan bila mengenang semua itu saya tidak mungkin melupakan Kumpulan Anak Seni misalnya, walaupun persatuan kesenian ini telah lama berkubur, ia tetap saya jadikan aras bermulanya seorang saya di arena persuratan seperti yang saya kenali sekarang. Begitu juga dengan tempat saya menimba ilmu, walaupun kelulusan saya hanya cukup makan, saya harus berbangga menemui seorang pengetua yang jahat tetapi telah mengajar kami erti perjuangan. Perjuangan yang tidak setakat apa yang diterima sekarang tetapi harus mencari dan mencari ilmu-ilmu baru tanpa jemu. Saya tahu beliau juga telah pergi jauh, setidak-tidaknya bila berjumpa dengan matan teman-teman sepersekolahan, insan itulah yang menjadi fokus perbualan kami. Terima kasih Mr. John Mui dan terima kasih Kumpulan Anak Seni.

Khamis, Februari 19, 2009

Isi Memorandum GMP kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia

Latar Belakang
1. Sebagaimana kita semua maklum, dasar pengajaran sains dan matematik dan semua mata pelajaran lain dalam bahasa kebangsaan di Sekolah Kebangsaan telah dilaksanakan secara tegas sejak tahun 1970.

Setelah dasar itu berjalan selama 37 tahun hingga tahun 2003 tiada apa-apa masalah serius yang berlaku pada keupayaan pelajar kita dari semua kaum untuk menguasai ilmu sains dan matematik dan segala cabangnya dalam bahasa kebangsaan.

Buku-buku teks dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan dari darjah Satu hingga ke Tingkatan VI semuanya cukup, tidak timbul apa-apa masalah kekurangan buku teks.

Hasil kegigihan Dewan Bahasa Dan Pustaka membina peristilahan sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan, yang melibatkan ratusan ahli bahasa dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu, masalah peristilahan sains tidak timbul lagi dalam tempoh itu.

Kandungan penuh boleh dilihat di sini.

Berkaitan | Menarik: Memorandum Akademi Sains Malaysia

Rabu, Februari 18, 2009

Wasiat Keramat

: :Dinda

Kupersembahkan sebuah makna
yang dikafankan di lahad rahsia
membenih sunyi tanpa harap ratap
hanya kalimah disulam amanat
Nur suluh perjalanan jauh
kupasrah usrah bersauh

yang kupunya hanya wasiat
azimat mempertaruh masa sudah
yang tak pernah goyah
seribu tahun menanti mesti
persada merimbuni istirahat
yang lebih abadi

ini kupersembahkan suatu bunyi
yang ghaib menerjahi bumi diri
datang dan pergi sering kembali
dari titik ke titik
hanya ain sukma
dilepaskan tapi tak pernah pergi

yang kupunya hanya wasiat
yang ditinggalkan ingatan keramat
dalam lebur jasad tak hancur kalbu
dalam tiada gerak tak hilang rindu.

HASYUDA ABADI,
Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.
17-18 Februari 2009.

Sebuah Sunyi


Betul bahawa dunia ini hanya sebuah pentas. Kita pelakon yang diperlukan dan juga yang dilupakan. Akhirnya merasakan tidak ada apa-apa kecuali sebuah kesunyian. Keluarga, kawan dan sahabat handai bahkan insan lain juga akan mengharunginya: sunyi, bila masanya tidak penting. Sama ada ditinggalkan atau meninggalkan, akhirnya akan terjadi juga. Saat itu kita tidak menjadi sesiapa kerana masing-masing harus berhadapan dengan kudratnya.

Isnin, Februari 16, 2009

PPSMI: Hishammuddin persoal laporan polis oleh Gapena


KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini mempersoal tindakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) membuat laporan polis berhubung Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.

"PPSMI ialah satu dasar yang telah kita laksanakan selama enam tahun sebelum saya memegang jawatan Menteri Pelajaran lagi. Jadi tindakan sebegini menjadi tanda tanya apa sebenarnya hasrat dan niat mereka (Gapena) melakukannya pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Gapena membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

PPSMI didakwa menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan selain bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk semua.

Hisammuddin berkata, peluang seluas-luasnya telah diberi kepada pihak yang tidak berpuashati dengan dasar itu untuk mengutarakan pendapat mereka tetapi sebarang pengubahsuaian tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata.

"Saya juga telah menyatakan bahawa mesyuarat meja bulat telah pun diadakan dan akhirnya keputusan untuk dasar ini bukan keputusan saya sendiri ia akhirnya terpaksa dibentangkan pada pihak jemaah menteri setelah ianya diambil kira oleh semua pihak," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains, Hishammuddin berkata, laporan berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Peperiksaan kini masih dalam dwibahasa. Jadi tak ada sebabnya mereka boleh menyatakan dasar ini merupakan punca penurunan TIMSS yang sebelum ini naik dan membanggakan.

"Pelajar kita diberi peluang menjawab dalam dwi bahasa, kalau sekiranya dasarnya hanya dalam satu bahasa sahaja dan kita tengok penurunan, bolehlah kita kata puncanya ialah dasar PPSMI," katanya. - Bernama

Ahad, Februari 15, 2009

Gapena buat laporan polis mengenai PPSMI

Disalin daripada mstar.com (Ahad Februari 15, 2009)
Bahasa Inggeris: Gapena buat laporan polis

Sumber: http:// profabdullah1.wordpress.com

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) hari ini memfailkan laporan polis berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields tengah hari tadi.

Ketua I Gapena, Tan Sri Ismail Hussin berkata, tindakan memfailkan laporan polis merupakan langkah awal pihaknya menggunakan kaedah perundangan menghadapi isu berkenaan kelak.

“Kita mahu polis siasat laporan itu kerana apabila kerajaan melaksanakan PPSMI ia sebenarnya tidak sah mengikut undang-undang.

“Dengan melaksanakan PPSMI, jelas sekali kerajaan telah membelakangi Akta Pendidikan dan Perlembagaan Pesrkutuan,” katanya kepada mStar Online.

Dalam laporan itu, Gapena menekankan bahawa pelaksanaan PPSMI adalah bertentangan dengan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Dinyatakan dengan lebih terpeinci dalam laporan polis berkenaan bahawa Perkara 152(1) meperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi “maksud rasmi”) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori “maksud rasmi”.

Berasaskan kepada kehendak Perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu.

Kira-kira 20 tokoh dan pejuang bahasa mengiringi Ismail ketika membuat laporan polis berkenaan.

Penghujung tahun lalu Gapena menetapkan 15 Februari iaitu hari ini sebagai tempoh muktamad untuk mengambil tindakan undang-undang di mahkamah sekiranya kerajaan masih meneruskan PPSMI.

Pemilihan tarikh itu adalah sebagai simbolik kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang menyentuh soal kedudukan bahasa kebangsaan.

Ditanya mengenai ‘perarakan keranda 152′ yang dirancang sebelum ini, Ismail berkata, Gapena sentiasa rasional dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

“Kita menerima banyak cadangan termasuklah nak bawa keranda itu, tapi apabila diperhalusi lebih baik kita lakukan bantahan dengan cara yang lebih sopan dan teratur.

“Kalau nak bawa keranda kita kena dapatkan kebenaran pihak berkuasa…kena ikut peraturan,” katanya.

Berhubung hasrat untuk menyaman kerajaan di mahkamah berhubung isu PPSMI ini, beliau tetap menegaskan bahawa perkara itu masih dibincangkan.

“Kita masih mendalaminya, buat permulaan kita failkan laporan polis dahulu,” katanya.


Berkaitan:
Kenyataan Akhbar GMP