Rabu, Februari 01, 2023

MENCARI ITU BERUSAHA

Setelah bertahun dalam takluk orang lain, anda wajar keluar dari lingkungan itu. Fahami konsep hijrah. Seseorang ingin mengubah kehidupannya bukan semata-mata supaya lebih baik, tetapi memberitahu keberanian untuk berubah. Jangan nilai secara semberono. Setiap orang punya impian. Dorongilah bukan kecam. Apakah anda sahaja yang berhak mencari yang terbaik? Mencari itu berusaha. Apatah lagi mencari ilmu, menggali ilmu, mendekati rakan-rakan. Ini antara usaha. Andai duduk diam, jadi tunggul kadang-kadang jadi kerbau dan sebagainya sudah pasti tiada jaminan meraih sesuatu yang bererti untuk kehidupannya. Ayuh, jangan merungut, muliakan hati, lapangkan fikiran, berdoa pada Allah - permudahkanlah semua urusan secara baik dengan hasil yang berganda baik.

HARI-HARI SASTERA

Hari-hari sastera hidup sebenarnya. Seseorang kata tidak tahu apa benda sastera, sebenarnya dia telah pun memiliki pemikiran sastera secara diam-diam. Jika tidak, mana mungkin seseorang itu mampu berbahasa, beremosi, menilai kehidupan dari sudut seni, bahkan berpolitik.
Jangan risau andai gagal menemui seseorang yang memiliki selera sastera yang tinggi, kita bakal menemuikan ramai lagi yang 'buta' tetapi percayalah dia sebenarnya mampu memberikan nilai yang lain. Duitnya? Tidak semestinya.
Tidak salah untuk mencari (bukan mencuri) duit seseorang yang berkuasa (sebenarnya dia tidak ada apa-apa pun) kerana yang penting memahami bahawa sastera adalah kehidupan sehariannya.
Tidaklah perlu puisi, meminati cerita-cerita kreatif apatah lagi menulis novel. Peranan seseorang yang tiada selera teradap sastera tetap wujud. Sebelum wujud pemahaman ini kita perlu faham terlebih dahulu sastera ini apa sebenarnya?
Bah, bergerak kita ke Kota Belud ya.
6/8/2022

PERIHAL MENULIS

Idea datang tanpa dicari. Sebenarnya idea tu ada di mana-mana. Idea ni macam rezeki. Perlu dicari kata sesetengah orang. Kalau duduk diam rezeki tak datang. Idea macam tu juga. Bezanya idea ni boleh ditemui di mana-mana dan secara tiba-tiba. Misalnya semasa membaca. Semasa ikuti tazkirah. Semasa dengar tadabur di radio. Semasa memandu. Semasa menemui seseorang. Semasa kawan telefon. Semasa tengok sekawan bangau lalu depan rumah. Mungkin pokok tua tumbang tiba-tiba atau daun gugur tu betul-betul di hujung kaki. Bagaimana dengan mood berkreatif? Ada idea sayangnya tiada mood pula. Tiada emosi. Menulis puisi jika tiada mood atau emosi payah juga. Tetapi jika semua ini ada mudah saja kata-kata terindah muncul. Pelbagai gaya bahasa menjadi. Tinggal lagi diadun dalam acuan berkarya. Bagaimana pun setiap pengarang ada rahsianya sendiri. Cara dan teknik berkreatif masing-masing. Secara asas inilah. Jika ada kesamaan tentu secara kebetulan. Apa mahu diceritakan inilah keadaan yang saya alami. Sebab itu ada masa yang lama tiada karya mampu dilahirkan. Dipaksa agar karya ditulis juga. Misalnya untuk turut serta peraduan. Maka, ada saran menulis mesti ada disiplin. Penulis cereka, ya. Menulis puisi kalau saya bukan syarat. Iya, jika mau ikut sayembara yang mengejar tarikh tutup.
Celoteh sambil ngupi petang.
18/8/2022

Menulis puisi sebenarnya tidak mudah, perlu juga dipaksa, namun biarlah keterpaksaan yang menyenangkan. Pertama idea, seterusnya memilih diksi, susun atur gaya bahasa menjadi himpunan kata-kata yang bermakna. Apa yang kita ingini menjadi dengan cara ini. Kedua, puisi juga bermain dengan emosi, emosi yang dibina oleh kata-kata yang sesuai. Olahannya juga mesti segar, semula jadi. Ada pembaca kata tidak faham. Biarkan saja. Bila tidak faham itu sebuah kejayaan. Siapa kata ini? Puisi bukan untuk difahami tetapi dinikmati. Siapa lagi kata ini? Tidak perlu faham apa yang penulisnya faham. Puisi harus dinikmati, maka jika menulis puisi, jangan risau ada yang marah seperti mengatakan karya apa ini? Kalau aku editor masuk bakul sampah. Jangan ragu kepada ejekan begini. Syarat seterusnya terus melatih diri, rajin dan berani. Kuasai bahasa. Fahami suasana. Boleh siapkan puisi sekali duduk, mungkin dua-tiga kali duduk. Mungkin dua-tiga kali duduk pun belum menjadikannya sebuah karya. Bila karya menjadi bagus? Siapa boleh nilai itu karya bagus atau sebaliknya? Pengkritik. Haha ramai dah gerun bila sebut kritik atau pengkritik. Jadikanlah pengkritik tu sahabat bukan kawan. Takut berlaku kritikawan. Haha, gurau saja ba. Perlu pengkritik atau penganalisis. Memang tidak dapat dielak soal kelemahan. Raikan apa jua pandangan. Itu kata dia, sikapp kita pun perlu dipertahankan. Bukan soal siapa betul atau siapa salah. Jangan begitu. Mari menjadi pendengar dan penyampai yang baik. Raikan saja jika pengkritik balun dengan segala macam teorinya. Dengan syarat setiap karya itu harus dipertanggujawabkan. Maksudnya ada rangka ia ditulis dan kita pegang sikap mengapa karya itu ditulis sebegitu rupa. Harus diingat soal hak kepada ciptaan kita. Atau biasakan saja dengan rasa rendah diri bila sebut soal mencipta. Sebabnya kita hanya meminjam apa yang telah ada di muka bumi ini baik yang tampak atau yang bersembunyi. Tugas penulis menuliskan fikirannya, pengalamannya. Menulis kebaikan bermakna menyampaikan kebijaksanaan.
17/8/2022

Puisi terbit dari akal, dari fikiran. Terhadap mahluk Allah, beza antaranya adalah kerana punya akal yang sihat.
Akal adalah nikmat besar yang Allah swt titipkan dalam jasmani manusia. Akal merupakan salah satu kekayaan yang sangat berharga bagi diri manusia. Keberadaannya
membuat manusia berbeza dengan makhluk-makhluk lain ciptaan Allah. Bahkan tanpa akal manusia tidak ubahnya seperti binatang yang hidup di muka bumi ini.
Dengan bahasa yang singkat, akal menjadikan manusia sebagai makhluk yang berperadaban. Tetapi meskipun demikian, akal yang selalu diagung-agungkan oleh golongan pemikir sebut saja golongan ra'yu atau mu'tazilah
juga memiliki keterbatasan dalam fungsinya .(Nasution Harun, 1986: 71)
Boleh juga difahami manusia yang berpendidikan tinggi juga masih tidak mampu mengawal fikiran yang jahat.
Apabila kita membaca fikiran orang lain sering berlaku silang tanggap. Isu besarnya mulai kesasar terjun ke lautan api persengketaan. Ini berlaku apabila akal jahat mulai disegarkan hasutan syaitan.
Terjemahkan kata-kata dalam olahan yang seseni mungkin. Kalau sedih lihatlah saat daun-daun terlepas dari tangkainya. Bila amarah gubah diksi kepada fiksi yang masih mempertahankan peradaban.
Ambiguiti manusiawi tak terbatas luasnya. Tinggal lagi bagaimana menanganinya. Di tampuk akal yang sihat pasti menjadi jala yang boleh mengawal fikiran-fikiran yang jahat.
9/8/2022

Biarlah puisi berlangsung secara semula jadi. Tiada bersifat kenegerian, kenegaraan, keantarabangsaan dan sebagainya.
9/8/2022

Menulis puisi menulis fikiran, berat bunyinya. Secara semula jadi memang beginilah dan tanpa disedari sesiapapun. Saat ia berkreatif idea-idea mengalir. Idea-idea itu berupa salinan fikirkan kepada bentuk kata. Kata-kata dari salinan diksi-diksi. Kata-kata terpilih digubah menjadi bentuk dan gaya bahasa menjatikan lagi ciptaan. Semakin padat semakin sedap tetapi harus berhati-hati agar aliran idea menerusi diksi atau kata-kata terpilih tidak kesasar atau tidak fokus sehingga melahirkan karya yang hambar, klise, lemah dan sebagainya.
Tiada peraturan dalam menulis puisi (Fahd Razy dalam SMP). Sebagai sebuah karya seni, biarlah ia berlaku secara semula jadi. Puisi tidak dapat diajar tetapi boleh dipelajari. Ada pendekatan sainsnya. Maknanya menghasilkan karya kreatif genre ini tidaklah semudah yang disangkakan. Pasti boleh siap tetapi bukan siap yang sebenarnya. Telusuri karya-karya besar atau karya-karya biasa tetapi segar.
Sekarang banyak puisi ditulis, diedar dan kita membaca. Tolak dulu mengapa puisi itu dihasilkan tetapi mengapa puisi semudah itu ditulis. Dalam sayembara, karya yang harus dibentangkan hendaklah sebuah hasil yang terhabis baik untuk pertembungan karya. Bukanlah yang terbaik, kerana tiada yang terbaik sebenarnya berbanding ciptaan Ilahi. Namun, sebagai sebuah karya kreatif, terlalu banyak yang boleh dibentuk mengikut acuan idea, fikiran atau tema-tema yang dikehendaki.
Jika mendasari 'cadangan' sains dalam menulis puisi, akhirnya kita boleh melihat semula, atau merasai kembali suka duka menghasilkan puisi. Namun jika itu kepuasan, kita belum berjaya sebenarnya. Menulis apapun karya kreatif merupakan percubaan-percubaan lain daripada kehidupan sebenar agar ia dirasai indah dan sebagainya.
Menulis puisi hanya separuh daripada perjalanan, kata buku SMP. Bahgian pertama rumus dalam berkarya. Seterusnya, tidak kurang penting juga apakah jodoh puisi tersebut? Mungkin sebilangan penulis tidak kisah, karyanya nanti bagaimana. Karya yang melekat dalam fikiran pembaca, apakah berlaku begitu? Jika ada karya yang bisa mengubah kehidupan seseorang tentu lebih baik. Soalnya ada tidak sesiapa menyatakan demikian. Sebab menikmati sesuatu agak sukar dibicarakan dalam bentuk kata-kata. Hal-hal ghaib ini mungkin ada.
Di akhir penulisan itu, pasti inginkan jodoh yang terbaik selain diterima pembaca, iaitu dinobatkan sebagai karya yang diketengahkan sebagai contoh untuk diberikan hadiah dan sebagainya. Tiada salahnya, namun usahakan sebaik mungkin ketika kita memulakannya. Menyemak ketika membina. Membaiki sebelum diberikan kepada sesiapa.

CATATAN-CATATAN KECIL

Saat datang sanjung orang lupa saat ia disanjung sebahagian nikmat Allah telah gugur. Sebab itu ia terus mencari sanjung agar ia sendiri tak gugur. Saat berandaian begitu meski berasa tersanjung sesungguhnya bersama nikmat yang kosong. Dan ia terus tanpa henti mendamba. Sehingga tak tahu pada satu hari ia ingin kembali seperti asalnya itu lebih mulia, lebih tiada adalah lebih ada di sini-Nya.

28/8/2022

Merdeka dulu dan sekarang ini ujian. Dulu dengan ujian-ujiannya. Kini dalam ujian-ujiannya juga. Tugas merdeka kita sekarang tentulah bukan kerana mahu melawan penjajah. Tugas kita sekarang ialah melawan sesuatu yang salah berlaku di tanah air kita. Sedar atau tidak inilah fokus rakyat sekarang. Lazimnya pada setiap merai ulangtahun kemerdekaan seluruh negara akan menyambut dan memberitahu bagaimana negara bebas daripada belenggu penjajah dan penjajahan. Nyatanya masa lalu itu telah pergi, yang tidak pernah pergi adalah perbuatan jahat yang ditinggalkan bangsa penjajah. Perbuatan jahat inilah yang harus dilawan. Namun sebilangan rakyat sangat taasub kepada yang jahat ini. Inikah bala yang Tuhan telah kirim? Setiap tahun rakyat melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdekakah kita dalam kebodohan ini?

28/8/2022

Berjiwa besarlah duhai sahabat biar pun dilihat seperti tidak berguna. Setiap perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hari akhir kelak. Yakini dalam perjuangan kita bakal menemui saat yang sangat merimaskan iaitu ketika berada di suatu puncak kejayaan. Bahkan tidak semata-mata perbuatan zahir tetapi lebih rahsia daripada itu. Kita tidak tahu betapa Allah memelihara aib kita.

26/8/2022

Kisah mega berada di hujung. Kalau episod berakhir hari ini esok dengar cerita baharu. Semua orang inginkan suatu pengakhiran dengan kemenangan cuma tidak pasti di pihak mana? Sutradara yakin pada skripnya boleh diubah takdir. Kun fayakun Allah. Hanya semoga dipermudahlan buat semua pihak. Baik yang melawan rasa tidak bersalah atau yang menentang kuasa yang telah luruh tetapi masih mengharapkan keajaiban terjadi.

23/8/2022

Biasanya dialog orang lama terbatas pada masa lalu. Dialog orang muda memandang masa depan. Dialog perlu terus berlangsung. Libatkan dua golongan ini. Sangat berguna.

23/8/2022
 rea

GELAP

Mereka taasub tak berasa apa-apa. Mereka dibiasakan tanpa perasaan. Orang buta yang berjalan di taman gelap. Dia menemui sesuatu di dalam gelap. Masuh ke dalam gelap membawa deritanya membawa kebencian di saku yang digelapkannya. Ada suara tangisan di jendela, padahal dia enggan memecahkan kegelapan, dia memilih berjalan-jalan di dalam gelap. Segalanya gelap. Tak sedikit cahaya membuka pintu kegelapan.

28/8/2022

SEKELUMIT MAKNA KEHIDUPAN

Apabila mahu maka bertanyalah agar terbuka dinding masalah. Namun andaian tidak semestinya sama sebagaimana kejadian selepas itu. Mungkin di situlah memahami sekelumit makna kehidupan. Memahami manusia sangat rumit jika dirumitkan. Jika wujud rasa keterbukaan perkongsian sering dipermudahTuhan. Akhirnya kembali di pangkal diri, memilih lebih banyak jalan dan pintu. Pasti ada di mana-mana, itu pesan.
Semoga.

BERUBAH

Kita tidak sedar bahawa kita berubah. Berubah baik atau berubah sebaliknya. Hanya orang lain yang nampak perubahan itu. Sama ada berubah baik atau berubah sebaliknya. Eloklah selalu bertanya apakah perubahan diri kita itu berubah baik atau sebaliknya. Lazimnya jarang akan mengatakan kita berubah baik apa lagi berubah sebaliknya. Hingga pada satu tahap betapa 'tingginya diri' kerana berasa baik dalam penilaian sendiri semata-mata memiliki kedudukan atau segala gelar. Ingat sekeliling sentiasa memerhati. Bahkan, Allah lebih dahulu Maha Tahu.

Selasa, Januari 31, 2023

SEBENTAR KATA-KATA

Kata-kata seperti air kau boleh berbahagia atau lemas kerana kebijaksanaan tidak selalu bersama. Kata-kata itu api kau memerlukan bahangnya ketika dingin, juga ketika kebijaksanaan terabai kau terbakar sendiri atau menghanguskan jiwa orang lain. Kata-kata hidup seperti kuasa yang boleh meletakkanmu jauh sangat berjarak tetapi boleh begitu dekat apabila kebijaksanaan memanipulasi setiap kata diurai dalam kalimah terpilih, dihindar emosi tanpa batas. Bahkan pautan nilai-nilai waras, sabar, terbuka sewajarnya melahirkan kebijaksanaan bersama. Selalu kita lalai apabila dibuai 'kuasa" kata-kata sehingga terjerumus ke daerah kesombongan dan keangkuhan bahkan pembohongan serta kerakusan. Sebab itu diam lebih baik ketika sedang marah, biarlah api yang sedang marak tidak membesar sebaliknya kembali memilih kebijaksanaan. Kata-kata selalu menyelamatkan selalu juga membunuh banyak hal. Kawan-kawan membawa diri, misalnya. Padahal kata-kata itu biasa tetapi sesetengah orang tidak begitu. Tatkala kata-kata telah melukai bukan diibaratkan perahu yang boleh diundur kerana perahu tiada perasaan seperti manusia. Mustahil kita tidak memilih daripada meluahkan sesuatu melalui kata-kata. Hanya kebijaksanaan bakal memelihara maruah daripada memiliki banyak sekali kehilangan. Wallahu'lam
28/3/2022

BEZANYA HANYA EJAAN


Memandang lautan, lebih hidup jika berada di tengahnya, ketika ombak masih tidur dan saat ia hidup penuh pesona!
Kau inginkan apa sebenarnya, menatap warna lautan yang sering menipu kita. Konon ada ketenangan memaut suara angin. Tiba-tiba kau sekadar melupakan sesuatu tentang masalalu. Di sisi primadona, mungkin lahir bait-bait puisi orang tua yang lain. Tentang pekikan rindu pada Tuhan. Selain bukan berjalan-jalan memungkinkan kelainan.
Lautan sama di mana pun juga. Jika berbeza hanya ejaan yang mempelbagai hujung catatan. Andai seorang sasterawan, begitulah. Aku hanya pencatat perbualan, tanpa gelar yang boleh merobah fikiran orang, tanpa jasa wajar dijajakan. Kau ternama dan bernama kerana terpana oleh kemahuan sepele menumpahkan masa orang lain pada kanvas kesesiaan.
Akademi Rupha
20/9//2022