Sabtu, April 04, 2009

Mengalir Manis

manis itu mengalir setelah pahit menggigit kalbu, takkan habis seluas alam kerana segala-galanya tercipta untuk membenarkan insan mengenali dirinya. kehidupan sering berulang kesedihan dan kegembiraan, bagai pergerakan bumi, takkan kekal pernah sama meski pengalamannya serupa. kita tetap di bawah walaupun sudah berada di atas. Itu lebih baik kerana di sisi Ilahi bawah adalah taraf yang abadi. bagai debu yang menyatukan tubuh yang berkecai jua akhirnya. kehidupan tidak tercipta untuk tewas selagi faham mengapa ia tercipta semata-mata kerana Kesempurnaan Yang Maha Esa.

Jumaat, April 03, 2009

Nasib Si Rusa

Bila suka sehabis puji dan bila tidak suka sehabis dikeji. Lakukanlah apa sahaja, baik atau tidak, ikhlas atau tidak; bila sampai masanya akan menerima pujian atau momokan. Saat masih merasakan keberuntungan memihak kepadanya, satu cara menghargainya ialah mengangkat seseorang itu dengan lambungan pujian. Bila sampai saat yang lain pula, semua yang telah dilakukan itu salah, buat baik atau tidak, tetap salah. Dulu lain sekarang lain. Dulu kawan sekarang lawan. Dulu sayang sekarang dah benci.

Mendalaminya, masih tidak juga bertemu dengan persoalan apakah itu suatu budaya, cara hidup, pilihan seseorang untuk kehidupannya dalam masyarakat yang menjadikan dirinya ada, 'berada', hadir dan seterusnya. Merasai juga omongan yang tidak memberikan makna untuk kehidupan, jika asas kepada kebenaran itu sering dijadikan api yang diadukan sehingga menyala dan merugikan. Di bumi telah sekian kalinya menyala api sengketa. Ramai menjadi gajah yang berjuang mati-matian walaupun barangkali telah menyedari nasib si rusa yang sering menjadi mangsa.


Khamis, April 02, 2009

Percakapan dari Luar

ada yang ketawa di luar sana
memandang telatah kita
mereka bersorak melihat orang-orang benar
menjelaskan segala persoalan
menimbang hukuman
mereka menarikan irama daling-daling
di pasar permata
menyorok budi yang kering
oleh bahang iri gulana
mereka ketawa
sebelum meratapi perginya
harga diri
kepercayaan dan hari depan.

*Petikan dari Buku 'Kembali di Lahad Rahsia' m/s 22

Isnin, Mac 30, 2009

Promosi Buku


Kumpulan Puisi 'KEMBALI di Lahad Rahsia'
karya HASYUDA ABADI


Inilah imej sebenar buku saya yang baru siap dicetak. Kumpulan Puisi 'Kembali di Lahad Rahsia' yang mengandungi 122 buah puisi kerohanian melengkapkan jumlah buku saya kepada 8 buah termasuk sebuah lagi buku pantun dan sebuah Kumpulan Cerpen. Barangkali ramai daripada anda pernah membaca puisi-puisi dalam buku ini melalui sebuah blog yang saya sediakan. Namun jika ingin memilikinya anda sentiasa dialu-alukan untuk mendapatkan naskah yang sebenar dengan harga RM15.00 senaskah. Sekiranya anda berminat sila hubungi saya melalui emel (hasyuda@yahoo.com) atau SMS (012-8330664).

Lihat:
Bung HB Johar