Terdapat sekurang-kurangnya 9 emosi yang diberi tumpuan dalam teori rasa-fenomenologi. Dalam kehidupan biasanya dikenali sebagai rasa kasih, riang, sedih, marah, bertenaga, takut, jijik, hairan dan tenteram. Tetapi apabila emosi ini dirakam oleh seorang pengarang dalam karyanya, maka emosi ini menjadi Ekspresi sastera, yang kemudiannya dikenali sebagai rasa berahi, rasa lucu, rasa berang, rasa wira, rasa dahsyat, rasa benci, rasa kagum dan rasa tenang. Tujuh daripada unsur rasa yang dinyatakan terdapat dalam cerpen-cerpen Hasyuda Abadi yang termuat di dalam Kumpulan Cerpen Sepasang Sayap Jelita. Tujuh unsur ini ialah rasa dahsyat, rasa kagum, rasa duka, rasa berang, rasa wira, rasa berahi dan rasa benci. Ketujuh-tujuh unsur rasa ini akan diperikan.
Rasa Dahsyat
Rasa dahsyat dalam teori rasa-fenomenologi dikaitkan
dengan sesuatu pengalaman pengarang yang amat tragik dan pengalaman ini
kemudiannya dituangkan ke dalam karya yang akhirnya dihayati sebagai suatu pengalaman amat dahsyat oleh pembaca. Apakah pengalaman
dahsyat yang pernah dialami oleh Hasyuda Abadi yang akhirnya dirakamkan dalam
karyanya yang berbentuk cerpen? Cerpen
‘Citra Tidak Berakhir di sini’ mempunyai salah satu unsur emosi yang terdapat
dalam teori rasa-fenomenologi iaitu rasa dahsyat. Walau pun cerpen ini tidak
mencitrakan penerangan seperti yang dilakukan oleh A.Samad Said tetapi ia turut
menceritakan tentang kekejaman dan penindasan yang dilakukan penjajah Inggeris
terhadap penduduk peribumi. Tidak ada kebaikan yang terdapat dalam sesuatu
penjajahan kerana penjajahan juga selalu diiringi peperangan. Oleh itu, ia juga
menagih pengorbanan, ramai yang akan menjadi korban sia-sia daripada kerakusan
penjajah untuk menjajah. Peperangan yang terhasil daripada penjajahan akan
mengakibatkan manusia membunuh dan terbunuh dengan kejam.
Penjajahan akan memberikan kesan kepada manusia sama ada dari segi fizikal atau pun mental. Penjajahan membawa implikasi di luar jangkaan manusia. Penjajahan menyebabkan manusia lupa kepada hakikat dirinya, lupa kepada persekitaran dan lupa kepada segala-galanya. Manusia hilang pertimbangan dan menjadi terlalu tamak haloba. Manusia hilang kewarasan. Manusia hilang segala-galanya. Yang ada hanyalah penderitaan, kesengsaraan dan pembunuhan yang dilakukan terhadap masyarakat peribumi. Dalam cerpen ‘Citra Tidak Berakhir di Sini’ pengarang menyatakan hal ini:
Tok Wah banyak bercerita tentang kezaliman,
penganiayaan dan sikap tamak orang-orang Eropah. Tok Wah mengisahkan bagaimana
kedatangan Inggeris di kampng halamannya di Tibabar. Orang-orang kampng
termasuk ayah dan abangnya serta adik kembarnya bangun menentang. Tetapi mereka
gugur. Beberapa orang tali barut Inggeris telah menyiksa dan membunuh apabila
orang-orang kampung gagal menyerahkan cukai. (Hlm. 24)
Penyeksaan dan pembunuhan dilakukan oleh tali barut
Inggeris terhadap orang-orang kampung termasuk keluarga Tok Wah hanya
semata-mata kerana tidak membayar cukai memang memeritkan. Tok Wah tidak
terbunuh. Tok Wah terselamat tetapi jiwanya terus memberontak, pendedahan yang
dibuat oleh Toh Wah memerlihatkan bagaimana masa dan keadaan menjadikan manusia
mangsanya. Ayahnya terbunuh. Begitu juga abang dan adik kembarnya. Semua itu
meninggalkan kesan mendalam dalam hidup Tok Wah. Sungguhpun Toh Wah terselamat,
tetapi jiwanya terus dipenuhi dendam dan pemberontakan. Dia sangat membenci
penjajah dan sentiasa mengingati segala kekejaman serta penindasan yang
dilakukan penjajah dan konco-kononya. Berikut gambaran tentang Tok Wah dalam
cerpen tersebut:
Tok Wah
terselamat namun jiwanya tetap memberontak. Dia telah mengenal makna kekejaman
dan penindasan. Jiwa halusnya mengenal siapa penjajah, siapa bangsa yang
bertamadun dan siapa bangsa yang berperibadi mulia.”(Hlm.
24)
Sesungguhnaya pemerian perwatakan yang diasosiasikan
pula dengan teknik pengkisahan nasib seseorang yang trauma terhadap kekejaman
penjajah ini menjadi satu unsur dialogik yang berkesan untuk pembaca
berimaginasi dan berempati dengan korelatif objektif yang dihidupkan oleh
pengarang. Emosi pembaca tetap terus berubah dan berubah ke arah emosi estetik.
Objektif estetik semakin menyerlahkan dirinya dalam minda pembaca.
Toh Wah kemudian digambarkan sebagai sangat benci
terhadap penjajah, sikap ini juga menular ke dalam diri watak “Saya”. Malah
tidak mustahil rasa tersebut turut dialami dalam imaginasi dan proses berempati
pembaca:
Tok Wah benci kepada penjajah dan penjajahan. Sampa saya menjangkau usia enam belas tahun Tok Wah masih tidak berubah. Ceritanya sama sehingga saya turut membenci merera. Entahlah, rupa-rupanya segala cerita Toh Wah memberi kesan dalaman yang membawa keinginan-keinginan untuk berhadapan dengan orang-orang yang telah merampas kasih sayangnya. Penjajah telah merampas kasih sayang keluarganya. Kematian telah mengasingkan belaian mesra yang diimpikannya. (Hlm.24)
Daripada
perspektif determinisme, perwatakan Tok Wah ini ternyata dicorak oleh kesan
kekejaman dan penindasan penjajahan. Kekejaman dan penindasan penjajahan telah
memusnahkan hidupnya, telah menghilangkan sinar hidupnya dan telah menghitamkan
kanvas hatinya. Implikasi penjajahan terhadapnya memang amat buruk. Pembaca
dapat merasakan betapa pengarang telah mengungkayahkan kembali pengalamannya
dengan begitu berkesan. Memahami falsafah yang mendasari cerpen ini merupakan
proses memantapkan pemahaman pembaca melalui pengkonkritan estetik.
Pembaca mungkin
tidak pernah mengalami secara langsung atau hidup pada zaman penjajahan British
di negara ini. Tidak pernah mengalami segala bentuk kekejaman dan penindasan
yang dilakukan oleh satu bangsa yang
menjajah. Tetapi keadaan ini tidak bermakna pembaca tidak dapat menghayati
kekejaman dan penindasan penjajah sebagai korelatif objektif yang dirakam dalam
karya. Hal ini kerana terdapat banyak buku yang ditulis mengenai keburukan
penjajahan dan peperangan yang berlaku hanya semata-mata kerana hendak mengusai
sesuatu wilayah. Banyak novel yang ditulis mengenai penjajahan dan kesannya
terhadap masyarakat peribumi. Begitu juga media massa yang sering memaparkan
kisah suatu bangsa atau suatu negara memerangi dan menjajh suatu bangsa dan
suatu negara yang lain.
Melalui
pengalaman secara tidak langsung ini, pembaca didedahkan kepada erti penjajahan
dan peperangan. Akhirnya, ini membantu penghayatan pembaca terhadap karya yang
berkaitan dengan kekejaman dan penindasan yang terlahir daripada penjajahan dan
peperangan. Pembaca dengan pengalaman yang secara tidak langsung itu berdialog
dengan pengarang melalui karya. Unsur dialogik berlaku di sini dan unsur
menjadi salah satu faktor penting membolehkan pembaca melakukan proses
praestetik bagi membina pemahaman awal pembaca terhadap sesebuah karya. Justeru
itu pembaca bersedia ditransformasikan oleh karya yang dibacanya.
Rasa
Kagum
Menurut Sohaimi Abdul Aziz lagi, rasa kagum ialah satu
situasi ataupun peristiwa yang berhubung dengan sesuatu yang luar biasa. Dalam konteks
karya sastera, keluarbiasaannya itu ada hubungannya dengan perwatakan watak
tertentu. Misalnya di tengah-tengah penjajahan terdapat kemuliaan. Di
tengah-tengah kesengsaraan ada manusia yang berhati murni. Di tengah-tengah
manusia yang terdesak dan mendesak ada manusia yang istimewa. Di tengah-tengah
noda dan dosa ada kesucian.
Melalui cerpen Laut
Masih Bercahaya Hasyuda Abadi memaparkan bagaimana seorang anak yang
derhaka terhadap orang tua, menghalau ibu sendiri, suka berfoya-foya dan tidak
pandai mengurus perniagaan keluarga, rupa-rupanya seorang yang sangat bijak dan
baik. Berbanding Ishak (menantu yang kononnya baik) tetapi sebenarnya seorang
penyangak, menyelewengkan dan
menggelapkan duit/harta keluarga dan duit parti. Dia menipu dan tidak membayar
gaji pekerja, malah menghabiskan duit dan harga bapa mentuanya sahaja.
Dalam cerpen Hanya
Namanya Khartizah, pengarang menggambarkan pula bagaimana watak utama dalam
cerpen ini iaitu Khartizah sebagai seorang wanita yang dibenci kerana
memusnahkan kemanusiaannya sendiri dan secara terang-terangan melanggar hukum
agama. Tetapi, di tengah-tengah semua keburukan itulah dia digambarkan juga
sebagai seorang wanita yang mempunyai kebaikan, boleh memimpin dan seorang
ketua masyarakat. Seorang hawa yang mengepalai sebuah kariah.
Saya jadi benci
kerana manusia Khartizah ini telah memusnahkan kemanusiaannya sendiri yang
dengan terang-tenang melanggar hukum agama. Dia tidak menyedari rupanya di
pundaknya terpikul satu tanggungjawab yang besar lagi mulia. Dia ketua
masyarakat. Dia seorang hawa yang mengepalai sebuah kariah. (Hlm.136)
Sementara dalam cerpen Sahabat Saya yang Hilang, Hasyuda
Abadi menggambarkan pula bagaimana sahabat yang dikatakannya sebagai seorang
yang berfoya-foya dan kaki perempuan, tetapi pada waktu yang sama dia juga
seorang kutu buku. Pembaca dapat merasakan bahawa perangai atau tabiat “kutu
buku” itu sudah pasti sangat kontradiksi dengan tabiat suka berpeleseran dengan
wanita, tetapi di tengah-tengah sikap buruk atau perwatakan watak “sahabat” itu
tadi, pembaca juga masih dapat mengesan kemuliaan, nilai hidup atau perwatakan
yang baik iaitu perwatakan menghargai ilmu.
Anda tahu,
sahabat saya ini suka melakukan sesuatu yang aneh-aneh. Dia seorang kutu buku.
Dia juga kutu perempuan. Kutu embun. Kutu kata-kata.
Perkataan “anda” di awal petikan ini juga menunjukkan
interaksi secara langsung antara pembaca, pengarang dengan karyanya, yang turut
membantu penerokaan pembaca terhadap persoalan yang hendak diketengahkan
pengarang, melalui perwatakan watak yang diwujudkannya.
Sementara itu, dalam satu petikan lain, Hasyuda juga
menggambarkan perwatakan “sahabat” itu sebagai seorang yang samseng boleh
bertindak seperti seekor serigala apabila marah. Tetapi pada ketika yang lain
dia juga terkenal dan istimewa kepada kelembutannya. Hal ini turut dirasai oleh
pembaca dan ia berubah daripada pengalaman emosi tetap pembaca kepada
pengalaman emosi estetik pembaca.
Justeru emosi rasa kagum ini juga terdapat dalam
beberapa buah cerpen Hasyuda Abadi yang ada dalam buku ini. Unsur rasa kagum
diperlihatkan oleh pengarang melalui pemaparan watak istimewa dan menggunakan
teknik persetentangan. Pemaparan watak seperti ini telah memberikan kesan
kepada penghayatan pembaca kerana ia memberikan ruang kepada proses estetik
intertekstual dan proses pengkonkritan estetik.
Rasa
Duka
Rasa duka juga merupakan satu unsur emosi dalam teori
rasa-fenomenologi. Rasa duka ialah peristiwa atau suasana yang membawa kepada
kedukaan dan kesengsaraan, seperti kemalangan, kecelakaan, perpisahan,
penjajahan dan peperangan. Dalam cerpen Di manakah Laila? pengarang
antara lain menceritakan kedukaannya selepas berpisah dan kehilangan Laila.
Pengarang tidak memerikan perpisahan atau kehilangan itu secara konkrit,
sebaliknya membawa pembaca merasai pengalaman dukanya secara langsung. Dia
membawa pembaca turut menghayati mendapan duka yang bertaut pada emosi
tetapnya. Emosi ini, setelah dirangsang dan ditransformasikan, maka menjadi
satu tenaga kreatif yang kuat sehingga terhasilnya sebuah karya yang mempunyai
nilai estetik yang tertentu. Perhatikan petikan yang dirakamkan pengarang ini:
Begitulah ketika ingin memulakan sebuah cerita sebagai
kebiasaanku, bukan mudah memulakannya. Barangkali aku akan berkata begini: aku
ingin bercerita tentang kedukaanku kerana kehilangan Laila. (Hlm.60)
Seterusnya pengarang mengajak pembaca untuk
mempercayai kematangan dan kedewasannya pula. Namun, kematangan dan kedewasaan
itu juga diperoleh pengarang selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit dan
duka. Kegetiran demi kegetiran. Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma.
Perhatikan pemerian pengarang dalam petikan berikut:
Tapi percayalah aku semakin memperoleh kematangan yang
lain, kedewasaan yang baharu tentunya. Selepas melaluinya. Kegetiran demi kegetiran.
Tragedi demi tragedi. Trauma demi trauma. Sedangkan aku tidak pernah mengaku
kalah meski apa pun akan berlaku. (Hlm. 60)
Begitu juga
dalam cerpen Aduhai Dayang Sarah watak Pak Brahim berdukacita kerana
terpaksa berpisah dengan Dayang Sarah akibat desakan yang kuat dalam hatinya
untuk merantau. Mula-mula Pak Brahim merantau ke Sarawak kemudian ke Utara
Semenanjung Tanah Melayu. Dia kemudiannya berkahwin di perantauan dan mendapat
dua orang anak lelaki. Kedua-dua anaknya itu meninggal dunia selepas terlibat
dalam satu tragedi kemalangan jalan raya.
Selain itu, rasa
duka juga terdapat dalam cerpen Sepasang Sayap Jelita yang menjadi tajuk
buku kumpulan cerpen Hasyuda Abadi ini. Welin watak utama cerpen ini hidup
dalam suasana duka terpaksa bergantung hidup dengan kerusi roda untuk bergerak
di dalam dan di luar rumahnya. Kedua-dua belah kakinya lumpuh. Namun, kerana
imaginasi pengarang, maka Welin tiba-tiba dikurniakan sepasang sayap yang
membolehkannya bergerak dan terbang dari satu tempat ke satu tempat seperti
burung.
Cerpen Seniman
juga ada unsur dua - terutama apabila watak seniman dalam cerpen ini
terpasa hidup penuh penderitaan dan duka nestapa setelah tinggal di rumah orang
tua pada penghujung usianya dan dianggap sebagai seniman nyanyuk. Sementara di dalam cerpem Sireggi, Kekasihku, rasa
duka ini digambarkan oleh pengarang seperti dalam petikan berikut:
Rintan seperti melihat seseorang dalam genangan minyak
yang berkilauan. Lambat laun mengabur. Pendengarannya hanya menangkap suara
samar-samar. Mirip khutbah yang datar dari seseorang yang berjalan menjauh. Ini
memang hari yang ditakutkan. Hari yang mengingatkan trauma itu, ketika Sireggi
tewas dalam sebuah kemalangan. (Hlm. 93)
Pemerian
pengarang tentang pengalaman duka dalam beberapa cerpen yang terdapat dalam
buku kumpulan cerpen in memang merangsang imaginasi pembaca untuk menghayati
suasana yang tegang, resah gelisah dan menakutkan. Rasa duka sebagai satu
Ekspresi sastera telah dieksploitasi oleh pengarang sebaik mungkin bagi
melahirkan kesan-kesan tertentu kepada pembaca. Sesuatu yang berkaitan dengan
penderitaan dan kesengsaraan bukanlah sesuatu yang asing pula kepada pembaca,
kerana mereka juga mengalami pelbagai pengalaman penderitaan dan kesengsaraan
proses kehidupannya. Justeru ini sudah tentu membantu mereka menghayati karya
yang memaparkan unsur emosi duka melalui dua proses iaitu estetik
intertekstual dan proses pengkonkritan
estetik.
Rasa Berang
Rasa berang ialah paparan peristiwa atau situasi yang
berhubungan dengan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan dan diperlihatkan
dengan tindakan seperti membalas dendam, cemburu, memfitnah, menghina dan
sebagainya. Hasyuda Abadi melalui beberapa buah cerpen yang termuat dalam buku
ini juga turut mengetengahkan karya yang mempunyai unsur rasa berang. Dalam
cerpen Bagai Dedalu misalnya, masyarakat Kampung Bahagia marah atau
berang kepada ketua kampung mereka yang baharu iaitu Othman, kerana membuat
keputusan yang melibatkan kepentingan masyarakat Kampung Bahagia tanpa merujuk
dan berbincang dengan penduduk kampung berkenaan terlebih dahulu:
“Kampung
Bahagia ni dah tak bahagia lagi Pak Tua. Orang luar dah duduk sana dan duduk
sini. Semua ini angkara KK Othman. Mereka tu punya tujuan, ada udang di sebalik
batu. Ketua kita tu dah kena penyakit!” Ramlin menekan suaranya. (Hlm.
49)
Petikan di atas menjelaskan pandangn Hasyuda Abadi
terhadap masalah pendatang tanpa izin yang berlaku secara berleluasa di
Negerinya. Masalah pendatang tanpa izin yang sebahagiannya mendapat restu
penduduk tempatan ini menjadi satu isu yang amat kompleks dan kompleksiti ini
ada hubung kait dengan “penyakit”. Penyakit sosial yang boleh menjejaskan
ketenteraman masyarakat dan negara. Justeru, kita yakin bahawa Hasyuda Abadi
sebelum menulis cerpen Bagai Dedalu ini telah melalui proses estetik
intertekstual yang akhirnya terjelma dalam sebuah karya dan membawa kepada ufuk
pemahaman, tanggapan dan penghayatan yang mudah bagi pembaca. Unsur dialogik
begini memang sangat relatif dalam teori rasa-fenomenologi pada peringat
praestetik.
Rasa
Wira
Rasa wira pula ialah satu unsur emosi yang menunjukkan
bagaimana Ekspresi dibangunkan oleh korelatif objektif dan kemudiannya
memperlihatkan semacam satu semangat atau tenaga yang menguasainya. Cerpen Bagai
Dedalu sekali lagi bukan hanya menyelitkan ‘rasa berang’ tetapi terdapat
juga ‘rasa wira’.
Haji Sadikin dan Ramlin misalnya, adalah contoh dua
watak yang memperlihatkan semangat kewiraan dalam cerpen ini. Mereka
mempertahankan kampung halaman mereka iaitu Kampung Bahagia daripada terus
dipenuhi oleh pendatang asing tanpa izin. KK Othman yang bertanggungjawab
membawa dan membenarkan mereka tinggal dan mengusahakan tanah terbiar di
Kampung Bahagia itu mesti disingkirkan. Jika tidak, orang-orang kampung sudah
pasti akan berhijrah dan lebuh buruk lagi pertumpahan darah mungkin berlaku.
“Saya tidak tahu
apa sudah jadi dengan Othman. Pada hal dialah orang harapan kita. Sekarang dia
pula yang melakukan angkara ini. Jika benar, seperti cakap kamu, kita akan
susah!” Tiba-tiba Haji Sadikin bersemangat.
“Benar Pak Tua.
Lihat saja berapa ramai orang kampung yang meninggalkan kampung ini. Pak Tua
tahu puncanya? Tanya Ramlin. Haji Sadikin tidak bersuara tetapi
mengangguk-anggukkan kepalanya yang sudah penuh dengan uban tanda mengerti. (Hlm.
50)
Petikan ini menunjukkan rasa tidak berpuas hati
masyarakat Kampung Bahagia yang dipelopori oleh Haji Sadikin dan Ramlin.
Pembaca memang dapat merasakan gelodak dan kegusaran yang berlaku dalam jiwa
kedua-dua watak ini kerana fenomena ini sering berlaku di sekeliling mereka.
Sekali lagi ia ialah proses estetik intertektual yakni sesuatu yang berlaku
dalam masyaraat dan akhirnya menjelma dalam bentuk karya dan turut bertelora
dalam pengamatan, pengalaman dan imaginasi pembaca.
Sementara itu dalam cerpen Citra Tidak Berakhir di
Sini watak Salim pula memperlihatkan semangat dan tenaga untuk melawan
penjajah kerana pengaruh perjuangan Tok Wah seperti dalam petikan berikut:
“Saya
mahu merantau macam pak cik. Saya nak… nak…” ungkapan saya terhenti seketika
untuk berfikir. Kemudian menyambung, “Saya nak lawan penjajah!”
…
“Guru
saya pernah kata lawan penjajah bagus. Kita mesti hidup bebas. Eh, kenapa pak
cik terkejut? Kawan-kawan saya juga suka jadi pahlawan menentang penjajah. Kami
mahu jadi macam Mat Salleh, Antanom…” ujar saya. Tok Wah tiak berkata apa-apa.
Petikan ini menunjukkan bahawa pengarang dikuasai oleh semangat luar
biasa dalam menentang dan melawan penjajah Inggeris. Perjuangan membebaskan
tanah air daripada belenggu penjajah merupakan sesuatu yang baik. Tidak mahu
tunduk dan akur kepada telunjuk penjajah bermakna dia harus berjuang menentang.
Mungkin pengarang tidak mengalami atau tidak pernah hidup pada zaman penjajahan
Inggeris, tetapi pembacaan dan penceritaan orang lain sangat membantu, Pengkaji
perlu menyingkap latar belakang pengarang dan hubungannya dengan karya yang
dihasilkannya kerana ia merupakan kajian pada peringkat praestetik menurut
Sohaimi Abdul Aziz lagi, begitu penting untuk merekontruksi karya pengarang
supaya proses pengkonkritan estetik akan berpandu dan terkawal.
Rasa
wira ini juga dapat dilihat dalam cerpen Memilih Diam. Watak ‘aku’ dalam
cerpen berkenaan merupakan seorang yang berpendirian teguh dan berani melalui
pelbagai kesukaran hidup demi mengukuhkan peribadi dan pemikirannya. Perhatian
monolog berikut:
Memang, aku harus memiliki pendirian. Aku mesti
mengekalkan pendirian itu. Aku telah berani melaluinya. Sambil pada waktu yang
sama meninggalkan yang lain. Walaupun tak ada kesedihan tetapi kenangan selalu
mengajar dan mengingatkan kesiapaan aku itu. Kehadiran aku di antara sesiapa
yang membentuk peribadi, pemikiran dan pendirianku.
Justeru, tidak
dinafikan bahawa unsur emosi rasa wira ini memang terdapat dan agak dominan
dalam beberapa buah karya Hasyuda Abadi yang termuat dalam buku kumpulan cerpen
ini. Pembaca dapat merasakan keberanian dan kewiraan pengarang dipaparkan
secara berkesan melalui perlukisanwatak-wataknya terutama dalam cerpen Bagai
Dedalu, Citra Tidak Berakhir di Sini dan Memilih Diam. Memang ada
korelatif objektif rasa wira dalam cerpen Hasyuda Abadi yang disebutkan ini
bersifat personal tetapi ada juga yang berkaitan dengan peristiwa ataupun
situasi yang ada hubung kaitnya dengan watak yang memperlihatan semangat
perjuangan kebangsaan. Menentang penjajah dan membebaskan tanah air daripada
belenggu penjajah.
Rasa
Berahi
Rasa berahi berkembang daripada dua korelatif objektif
iaitu pertemuan dan perpisahan. Pertemuan kebiasannya digambarkan seperti
menikmati kenyamanan musim, keindahan kalungan bunga, bersiar-siar di dalam
sebuah taman, bersenang-senang diri melihat orang yang tercinta, mendengar suaranya, bergurau senda dan
berseronok-seronok. Manakala korelatif objektif yang berhubung dengan
perpisahan pula merakamkan situasi ataupun peristiwa yang berkaita rapat dengan
adanya harapan yang disandarkan selepas perpisahan itu. Apabila berpisah
seorang gadis misalnya mengharapkan satu pertemuan lain atau memperlihatkan
kerinduannya semasa berpisah.
Menurut Sohaimi
Abdul Aziz, terdapat perbezaan ketara antara perpisahan ang menjadi korelatif
objektif dalam rasa berani dan rasa duka. Perpisahan dalam rasa berani diiringi
semacam harapan. Tetapi dalam rasa duka perpisahan kebiasaannya diiringi
keadaan putus asa dan rasa berdukacita.
Hasyuda Abadi
menerapkan unsur emosi rasa berahi ini amat jelas dalam cerpen Aduhai Dayang
Sarah. Pengarang memaparkan bagaimana Pak Brahim yang berpisah beberapa
dekad dengan Dayang Sarah akhirnya mengharapkan pertemuan yang lain dengan
Dayang Sarah. Perhatikan petikan ini:
Pak Brahim tidak
kecewa kalau dia tidak bertemu dengan Mansur. Yang penting baginya sekarang
ialah Dayang Sarah. Dayang Sarah yang pernah berlakon sebagai heroin di dalam
sebuah cerita bangsawan di Kampung Air pada tahun 1950-an dahulu. (Hlm.
1)
Kerinduan Pak
Brahim untuk bertemu Dayang Sarah ini ialah korelatif objektif yang berkait
rapat dengan perpisahan dalam kajian unsur rasa berahi teori rasa-fenomenologi.
Sementara dalam cerpen Sepasang Sayap Jelita, pengarang memaparkan watak
Welin yang sentiasa mengharapkan sebuah pertemuan dengan lelaki yang
dirinduinya setelah berpisah dengan lelaki itu setelah perhubungan mereka
mendapat halangnan daripada ibu Welin sendiri. Setelah perpisahan itu, Welin
dikatakan hidup dibelenggu kesedihan dand menanggung beban rindu yang amat
berat. Perhatikan petikan berikut:
Kesedihan Welin
semakin menjadi-jadi ketika ia ingat laki-laki di seberang jalan itu. Welin
rindu ingin ketemu lelaki itu. Welin ingin menatap mata laki-laki itu yang
lembut menggetarkan, mampu memberinya ketenteraman. Welin ingin bercanda,
tertawa dan … ups! (Hlm. 82)
Sesungguhnya,
pembaca yang membaca cerpen Hasyuda Abadi bertajuk Sepasang Sayap Jelita ini memang dapat merasakan kesedihan yang
dipaparkan melalui perlukisan wataknya. Pengarang telah berjaya merakamkan suasana
sedih dan keinginannya untuk bertemu dengan lelaki pujaannya. Dua elemen ini
menjadi mekanisme yang cukup bertenaga bagi pembaca berinteraksi dengan karyanya. Unsur dialogik yang terdapat
dalam cerpen ini membuka ruang pula kepada pembaca melakukan proses estetik
intertekstual dan seterusnya proses penkontritan estetik.
Rasa
Benci
Rasa benci, unsur terakhir dalam penilaian
cerpen-cerpen Hasyuda Abadi ini ialah satu Ekspresi sastera yang turut menjadi
kajian dalam teori rasa-fenomenologi. Ia ada hubung kait dengan situasi yang memaparkan perkara yang tidak enak, jijik, palsu atau yang
memudaratkan. Ekspresi ini dalam sastera biasanya diperlihatkan melalui paparan peristiwa dengan penglihatan, merasa,
menghidu, menyentuh, dan mendengar perkara yang tidak menyenangkan.
Sebagai contoh
rasa benci dapat dilihat dalam cerpen Bagai Dedalu. Dalam cerpen ini
rasa benci diperlihatkan oleh Ramlin terhadap pendatang asing tanpa izin yang
dibawa masuk oleh KK Othman di kampungnya. Namun jika matlamat pembaca adalah
untuk melihat paparan peristiwa atau gambaran latar yang menjijikkan atau
memualkan dalam cerpen Hasyuda Abadi seperti yang terdapat dalam kebanyakan
cerpen A.Samad Said atau Shahnon Ahmad, hal ini mungkin tidak kesampaian.
Tetapi, Hasyuda Abadi jelas turut mengungkapkan rasa benci ini sebagai Ekspresi
sastera dalam karya cerpennya ini.
Kesimpulan
Sesungguhnya cerpen-cerpen yang termuat dalam Kumpulan
Cerpen Sepasang Sayap Jelita ini memang memperlihatkan kekuatan Hasyuda
Abadi sebagai cerpenis yang berpotensi di negeri Sabah khasnya dan Malaysia
umumnya. Walaupun ada beberapa cerpen tidak dapat diperkatakan kerana pengkaji
beranggapan ia tidak sesuai untuk dikaji menggunakan pendekatan
rasa-fenomenologi, tetapi cerpen-cerpen ini tetap menarik dan membawa kelainan.
Cerpen-cerpen berkenaan walaupun lebih
cenderung dianggap sebagai cerpen eksperimen yang mengenepikan unsur
konvensional sesebuah cerpen, dengan pemaparan watak yang tidak jelas dan tidak
ada pemerian tertentu tentang watak, tetapi cerpen-cerpen tersebut tetap
merupakan sebuah karya sastera yang menarik.
Ada juga cerpen
yang hanya menggunakan simbol-simbol seperti cerpen bertajuk Ekor,
Kepala-kepala, Diideakan tentang Sesuatu yang Melompat, Seberkas Idea tentang
Pohon, Besi @ Debu @ Sebuah Kebosanan dan beberapa buah yang lain lagi yang
tidak mempunya unsur latar dan plot yang jelas malah hanya merupakan
pernyataan-pernyataan pengarang terhadap sesuatu isu, tetapi ia bukanlah
cerpen-cerpen yang gagal sepenuhnya. Pada tanggapan pengkaji ia hanya tidak
begitu sesuai untuk dibincangkan menggunakan pendekatan rasa-fenomenologi.
Walaupun
terdapat dua lagi unsur yang tidak dapat diperkatakan iaitu unsur rasa lucu dan
rasa tenang tetapi tulisan awal pengaplikasian teori rasa-fenomenologi ini diharapkan
masih dapat membuka satu dimensi baharu berkaitan konsep keindahan dan kritikan
sastera moden di negeri Sabah selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan