Label

2017 2022 A.Halim Ali Adat Agama Aktiviti HA Aktiviti IPS Al-Quran Alur Amil Jaya Ammi Manja Analisis Analisis Puisi Andekdot Anekdot Anugerah Anugerah Pena Kinabalu Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Apresiasi Apresiasi Sastera Ariffin Artikel Artikel Sastera Artistik ASAS ASIS2 2024 ASN Azlinah Azrone Baca Puisi Bagandang BAHASA Bahasa Melayu Bait-bait Baitul Muqaddam Baju Baju Hasyuda Abadi Bakhtin Basirah Bayaran BBK Bengkel Puisi Berimpak Tinggi Berita Harian Online Bernama Bicara Karya Biodata Biodata Ringkas Biodata Ringkas2 Budaya Bukit Selembau Buku Buku Puisi Burung Burung-burung Demokrasi Catatan Perjalanan Cerpen Dajal Data Hasyuda Abadi Datuk Hj Suhaibun Yussuf DBP Malaysia DBP Sabah Deklamasi Puisi Demokrasi Desigining Dewan Masyarakat Dewan Sastera di Samudera Dialog Teluk 11 Dialogisme Diam diLembukan Dr Mahathir dunia sastera Ekokritik Emin Madi Esei Esei Sastera Fatwa Sastera Islami Fauziah Moksin Filem Fitri Foto Frost Futuristik gagasan Galeria Visual Hasyud Abadi Gapena Gizi H1 N1 HA Arts Hadiah Puisi K.Bali Hadiah Sastera Hadiah Sastera Sabah Hadijah Haji Hamka Hari Kebangsaan Hari Sastera Hasyuda Abadi Hedonis hiper Hirah HSPM Hujan Hutan Ayah Hutan Ayah (Cover) Hutan Ayahm IPS Idea Ikatan Penulis Sabah Ilustrasi intelek Intertekstualiti IPS Istiqomah Izzuddin Fitri Jakim Jamdin Buyong Janatan Kandok Jasni Matlani Jheains Juara Rakyat Julia Kristeva K.Bali Kata Kata-kata Katapilar Keberhasilan Keberhasilan Tertinggi Hasyuda Abadi Kekuasaan Kelahiran Sekuntum Cermin Keluargaku Kemali di Lahad Rahsia Kematangan Kembali di Lahad Rahsia Kembara Kalimantan Kepaduan Keratan akhbar Sabah Kesenian Islam Kesusasteraan Borneo Ketua Satu IPS Khilaf Klise Komposisi Kota Kota Kinabalu Kota Literasi Dunia Kota Sastera Kritikan Lagu IPS Larut Lirik Lagu Penulis Sabah Literasi Lukisan Maal Hijrah Madani Mahathir Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Majalah Makalah Makkah Maktab Sabah Malam Hari Tiga Malaysia Madani MAPENA KINABALU Masa lalu MASTERA Maulidurrasul MBSS Melawan Melawan Kebiasaan Membakut Memilih Memuji Menikahi Merdeka MHT Miri Montaj Motto IPA Muhasabah Muizz Musim Perubahan di Negeri Kami Muzalifah Nadwah Sastera Islam Nadwah Serantau Persuratan Islam Naratif Kesempatan Narudin Nasyid Norawi Hj Kata Numera Nur Nusantara Orang Jaga Panduan Menulis Puisi Panji Pratama Pantun Paradox Patriotisme Pelancaran Buku DBP Pemikiran Hasyuda Abadi Pena PENA. Hasyuda Pencalonan ASNS3 Pengarang Pengolah Pengurusan Sastera Penulis Penulis Kreatif Penulis Sabah Penyair Penyair Islam Percakapan Tentang Tema Perpaduan Persidangan Persuratan Kebangsaan Perspektif Persuratan Islami Pilihan raya Pingat Penulis Sabah plagiarisme Pokok politik Politikj Potugis PPS PPSB PPSMI Profesional Proper Psikologi Puisi Puisi Adalah Puisi Adalah... Fenomena Puisi Amil Jaya Puisi Esei Puisi Islami Puisi kabur Puisi Ramadan Pustaka Iqbal Nazim Putatan Rabbani Rahman Shaari Raja Lawak Rencana Riadah Seni Rumah Kita Rumah Puisi Hasyuda Abadi RupHA RupHAm Sabah Sabah Maju Jaya Sahara Sajak Koperasi Salam buat Kekasih Sastera Sastera Islam Sastera Kanak-kanak Sastera Nusantara Sastera Sabah SASTERAWAN Sasterawan Negara Sasterawan Negeri Sabah ke-3 Sasterawan Sabah Sayembara Sayembara Puisi Adalah SEA Write Award Seberkas Idea Tentang Pohon Sejarah Hadiah Puisi K.Bali Sengsara Sepanggar Sepasang Sayap Jelita Sesekali Menoleh Ke Belakang Siapa Hasyuda Abadi SMJ SMK St John Suara yang Terbuka Suntik Sunyi Surat Surat Khabar Susatera Tadabur Teater Terjemahan Tinta Titik di kalbu nazim Tokoh Mahrajan 2014 Toleran Tots Tuan Tun Juhar TYT Sabah Ucapan Ulasan Cerpen Ulasan Sayembara Peraduan Menulis Cerpen Sempena Hari Malaysia 2020 UNESCO utube Utusan Borneo Wacana Sasterawan Wasatiyyah Wawancara Zubaidi Zubir Ali

Rabu, April 09, 2014

Penyair dalam diri sendiri


SAYA dilahirkan di tangan Nenek Susur - bidan kampung ketika masyarakat Sabah berada di bawah era pentadbiran British North Borneo Company pada tahun 1960. Ayah saya berasal daripada suku kaum Murut Muslim, bekerja sebagai penoreh getah; sementara ibu suku kaum Jawa. Latar awal kehidupan kecil, dibesarkan dalam kawasan perladangan getah (Lumadan Estate) dan terdedah dengan aktiviti seni pementasan bangsawan, sandiwara, persembahan kugiran dan tarian di tempat kelahiran yang dipergiat oleh para pendidik sekolah dan warga ladang. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru dan pekerja ladang getah. Setiap bulan diadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang. Lumadan Estet (kini Ladang Lumadan, getah diganti dengan penanaman kelapa sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan. Ada sebuah panggung wayang di ladang itu di mana di situlah saya pernah beraksi membaca puisi ketika dalam tahun tiga sekolah rendah (berusia sembilan tahun). Saya pernah bercita-cita menjadi guru tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Apakah bakat namanya(?) tiba-tiba menjelma ketika berhijrah ke Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran kerja di Jabatan Penyiaran (RTM Sabah). Di Kota Kinabalu (1979), saya berkenalan dengan Hajah Zaiton Haji Ajamain, penulis dan pemimpin Kumpulan Anak Seni. Saya menjadikannya guru awal saya dalam dunia sastera. Di sinilah semuanya bermula; daripada menjadi penari kepada 'penggila' puisi.

Saya sentiasa belajar daripada pengalaman masalalu dan malah pengalaman yang bakal tiba. Daripada kritikan kedua orang tua yang amat saya sayangi tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan oleh para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada bakat penulisan yang saya punyai. Begitu juga para sahabat yang dekat, mengakrabi kehidupan mereka. Saya sering membaca tanda-tanda sebuah kehidupan yang saya alami dan saya percaya pengalaman itu dialami juga oleh orang lain. Pengalaman yang sama tapi tidak serupa ini barangkali boleh dikongsikan nikmat dan hikmahnya. Bezanya tentu sahaja kerana saya bercerita melalui puisi yang langgamnya bersifat peribadi, namun ada juga yang memerlukan jangkauan lebih mendalam dan memerlukan bacaan lebih lanjut.

Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. Setiap detik dan hari ada bicara bungkam yang lahir dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa. Dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi  kias  serta  panduan  yang  terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil.

Sebagai penyair saya selalu memandang sesuatu itu tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain sama ada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan pelbagai peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar, kecil atau sederhana. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.

Antara sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan komunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.

Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan sebagainya.

Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tidak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di manapun kita berada, kita akan mengamati situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menterjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa melahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminkan peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah kepada kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun sebaliknya.

Dan saya berada di dalamnya, dalam individu penyair yang tidak henti mengharung gelora kehidupan. Dengan puisi membesarkan jiwa. Puisi menenggelamkan semua perasaan yang menakutkan. Puisi difahami sebagai terapi dan taman paling indah. Jangan berikan apa-apa kecuali puisi. Puisi itu kehidupan dan cermin sejuta mata.


Tiada ulasan: