Label

2017 2022 A.Halim Ali Adat Agama Aktiviti HA Aktiviti IPS Al-Quran Alur Amil Jaya Ammi Manja Analisis Analisis Puisi Andekdot Anekdot Anugerah Anugerah Pena Kinabalu Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Apresiasi Apresiasi Sastera Ariffin Artikel Artikel Sastera Artistik ASAS ASIS2 2024 ASN Azlinah Azrone Baca Puisi Bagandang BAHASA Bahasa Melayu Bait-bait Baitul Muqaddam Baju Baju Hasyuda Abadi Bakhtin Basirah Bayaran BBK Bengkel Puisi Berimpak Tinggi Berita Harian Online Bernama Bicara Karya Biodata Biodata Ringkas Biodata Ringkas2 Budaya Bukit Selembau Buku Buku Puisi Burung Burung-burung Demokrasi Catatan Perjalanan Cerpen Dajal Data Hasyuda Abadi Datuk Hj Suhaibun Yussuf DBP Malaysia DBP Sabah Deklamasi Puisi Demokrasi Desigining Dewan Masyarakat Dewan Sastera di Samudera Dialog Teluk 11 Dialogisme Diam diLembukan Dr Mahathir dunia sastera Ekokritik Emin Madi Esei Esei Sastera Fatwa Sastera Islami Fauziah Moksin Filem Fitri Foto Frost Futuristik gagasan Galeria Visual Hasyud Abadi Gapena Gizi H1 N1 HA Arts Hadiah Puisi K.Bali Hadiah Sastera Hadiah Sastera Sabah Hadijah Haji Hamka Hari Kebangsaan Hari Sastera Hasyuda Abadi Hedonis hiper Hirah HSPM Hujan Hutan Ayah Hutan Ayah (Cover) Hutan Ayahm IPS Idea Ikatan Penulis Sabah Ilustrasi intelek Intertekstualiti IPS Istiqomah Izzuddin Fitri Jakim Jamdin Buyong Janatan Kandok Jasni Matlani Jheains Juara Rakyat Julia Kristeva K.Bali Kata Kata-kata Katapilar Keberhasilan Keberhasilan Tertinggi Hasyuda Abadi Kekuasaan Kelahiran Sekuntum Cermin Keluargaku Kemali di Lahad Rahsia Kematangan Kembali di Lahad Rahsia Kembara Kalimantan Kepaduan Keratan akhbar Sabah Kesenian Islam Kesusasteraan Borneo Ketua Satu IPS Khilaf Klise Komposisi Kota Kota Kinabalu Kota Literasi Dunia Kota Sastera Kritikan Lagu IPS Larut Lirik Lagu Penulis Sabah Literasi Lukisan Maal Hijrah Madani Mahathir Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Majalah Makalah Makkah Maktab Sabah Malam Hari Tiga Malaysia Madani MAPENA KINABALU Masa lalu MASTERA Maulidurrasul MBSS Melawan Melawan Kebiasaan Membakut Memilih Memuji Menikahi Merdeka MHT Miri Montaj Motto IPA Muhasabah Muizz Musim Perubahan di Negeri Kami Muzalifah Nadwah Sastera Islam Nadwah Serantau Persuratan Islam Naratif Kesempatan Narudin Nasyid Norawi Hj Kata Numera Nur Nusantara Orang Jaga Panduan Menulis Puisi Panji Pratama Pantun Paradox Patriotisme Pelancaran Buku DBP Pemikiran Hasyuda Abadi Pena PENA. Hasyuda Pencalonan ASNS3 Pengarang Pengolah Pengurusan Sastera Penulis Penulis Kreatif Penulis Sabah Penyair Penyair Islam Percakapan Tentang Tema Perpaduan Persidangan Persuratan Kebangsaan Perspektif Persuratan Islami Pilihan raya Pingat Penulis Sabah plagiarisme Pokok politik Politikj Potugis PPS PPSB PPSMI Profesional Proper Psikologi Puisi Puisi Adalah Puisi Adalah... Fenomena Puisi Amil Jaya Puisi Esei Puisi Islami Puisi kabur Puisi Ramadan Pustaka Iqbal Nazim Putatan Rabbani Rahman Shaari Raja Lawak Rencana Riadah Seni Rumah Kita Rumah Puisi Hasyuda Abadi RupHA RupHAm Sabah Sabah Maju Jaya Sahara Sajak Koperasi Salam buat Kekasih Sastera Sastera Islam Sastera Kanak-kanak Sastera Nusantara Sastera Sabah SASTERAWAN Sasterawan Negara Sasterawan Negeri Sabah ke-3 Sasterawan Sabah Sayembara Sayembara Puisi Adalah SEA Write Award Seberkas Idea Tentang Pohon Sejarah Hadiah Puisi K.Bali Sengsara Sepanggar Sepasang Sayap Jelita Sesekali Menoleh Ke Belakang Siapa Hasyuda Abadi SMJ SMK St John Suara yang Terbuka Suntik Sunyi Surat Surat Khabar Susatera Tadabur Teater Terjemahan Tinta Titik di kalbu nazim Tokoh Mahrajan 2014 Toleran Tots Tuan Tun Juhar TYT Sabah Ucapan Ulasan Cerpen Ulasan Sayembara Peraduan Menulis Cerpen Sempena Hari Malaysia 2020 UNESCO utube Utusan Borneo Wacana Sasterawan Wasatiyyah Wawancara Zubaidi Zubir Ali

Jumaat, September 09, 2022

Pengantar Buku - MUSIM PERUBAHAN DI NEGERI KAMI

MUSIM PERUBAHAN DI NEGERI KAMI
SALAH seorang penyair yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah ialah Hasyuda Abadi. Penyair ini mencipta rekod dalam sejarah sastera Sabah sebagai penyair yang amat menyerlah dalam genre puisi. Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisinya yang bervariasi, dengan permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini, saya selalu cenderung mengatakan, matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain dengan begitu indah dan mengagumkan.

Saya bertemu dengan Hasyuda Abadi pada tahun 1980-an, ketika saya baharu berjinak-jinak dengan dunia perpuisian. Saya tidak ingat dengan pasti tarikhnya, tetapi apa yang pasti ketika saya baharu merangkak-rangkak menulis puisi, penyair ini sudah pun memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam genre puisi pada tahun 1984 melalui puisi yang berjudul Salam dari Kekasih. Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera yang paling prestij di Malaysia itu pada ketika saya baharu memasang impian untuk menjadi penyair, dan bayangkan jarak atau jurang yang terpaksa saya tempoh untuk mengejar dan mengekori kehebatannya. Melihat pencapaiannya waktu itu seolah-olah saya menatap bintang di langit yang bersinar terang, sedang saya baharu meraba-raba di bumi, dibayangi kegelapan.

Hasyuda Abadi merupakan sosok penyair yang mengagumkan. Gaya pengucapan dan teknik penulisan puisi yang ditekuninya amat berbeza dengan penyair lain di Sabah, malah di Malaysia. Dia menggunakan seni sebagai satu bentuk pengucapan untuk membawa realiti ke pentasnya. Baginya, seni puisi bukan sesuatu yang kosong dan tidak berpihak, sebaliknya memihak secara luar biasa dan dengan penuh pertanggungjawaban terhadap hati nurani manusia. Nilai estetiknya sudah pasti meresap dalam getar keindahan, pada waktu yang sama menggalurkan sejumlah pesan dan amanat yang berguna kepada perkembangan sastera dan proses menyerlahkan nilai-nilai ketamadunan yang tinggi. Sebahagian daripada amanat dan pesan itu diungkapkan dalam bentuk gaya bahasa yang indah tetapi kritis.

Melihat senario perkembangannya sebagai penyair, kita akur bahawa berlaku proses pasang surut yang lumrah dalam konteks kepenyairannya merentas zaman. Namun daya kreativiti Hasyuda Abadi bagi saya, tetap konsisten, berterusan dan mengalahkan ramai penulis dari segi kekuatan estetiknya. Memperkatakan karya puisi Hasyuda Abadi, kadang-kadang saya menghela nafas kagum. Bahasa dan ungkapannya selalu segar dan memukau. Nuansa dan jangkauan puisinya sangat luas, puisinya mempunyai beberapa tingkat pengertian yang perlu digali dan dijernihkan maknanya. Kadang-kadang dipenuhi kejutan dan keajaiban. Puisinya membuka peluang yang mampu membimbing kita meneruskan kehidupan. Kata Horace, seorang penyair Roman, sastera itu bersifat “Manis dan berguna”, saya menganggapnya seperti madu, yang mempunyai khasiat yang banyak, tetapi selalu tidak diperdulikan orang. Sifat madu biasanya manis, tetapi sukar didapatkan, apa lagi madu berkualiti tinggi. Sesiapa yang memerlukannya terpaksa memanjat pohon yang tinggi, dalam hutan tebal yang penuh rintangan. Begitulah analoginya jika kita hendak menelaah karya puisi yang dihasilkan Hasyuda Abadi.

Justeru itu, puisi beliau yang termuat dalam buku kumpulan puisi Musim Perubahan di Negeri Kami ini harus dibaca dan dihadam dengan tenang dan penuh renungan. Sebahagian besarnya saya anggap sangat berkualiti dan mampu menjana ketamadunan bangsa dan negara, proses mendapatkannya atau menghasilkannya, saya fikir, bukan mudah. Hutan yang dilalui mungkin terlalu tebal. Ranjaunya mencabar. Masa yang diperlukan untuk menempuhnya mungkin agak panjang. Malah, kekuatan, komitmen dan iltizam penyair barangkali telah dieksploitasi sebaik mungkin, bagi memastikan karya yang dihasilkan tinggi nilai estetiknya, dan penyair sendiri terus berada di atas landasan yang betul, dalam konteks menyumbang sesuatu yang bermakna, khususnya melalui penghasilan karya sastera berkualiti, yang boleh dipertangunggjawabkan segi pemikiran, wacana, wawasan dan nilai estetiknya. Inilah yang dilakukan Hasyuda Abadi dalam kebanyakan karya puisi yang dihasilkannya.

Karya sastera dalam konteks ini puisi, memang subjektif sifatnya, terutama berkaitan aspek keindahan. Namun, semacam ada konsensus atau persetujuan bersama yang diterima pakai di mana-mana, yang menegaskan sastera itu mempunyai sisi kemanusiaannya tersendiri, mempunyai keunggulan tersendiri dalam membangun peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Hal ini sangat jelas, apatah lagi jika dihubungkan konsep sastera untuk kebaikan, sastera untuk kebenaran, yang ditenun melalui bahasa yang indah, yang menyebabkan khalayak dapat mencerna dengan mudah, akan kebaikan dan kebenaran yang terkandung dalam sesebuah karya sastera itu keseluruhannya.

Kamus Dewan merumuskan “Sastera” sebagai hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaannya tertentu, atau seni karang mengarang. Jika dihubungkaitkan dengan institusi negara dan bangsa, maka maksudnya, ialah karya sastera yang dihasilkan selaras dengan keperluan paradaban dan ketamadunan sesebuah bangsa dan negara itu. Jika sebelum ini, khalayak diperkenalkan dengan istilah “Sastera Rakyat” yang bermaksud sastera yang berkembang dalam kalangan rakyat dan disebarkan melalui pertuturan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain seperti mitos, lagenda, mantera dan sebagainya. Justeru hari ini sastera dalam konteks negara kita, bermaksud hasil karya sastera moden yang ditulis dalam bahasa Melayu tujuannya bagi menyemai semangat kebangsaan,  cintakan bangsa dan negara, mempunyai wacana pemikiran, yang menjurus kepada pembangunan peradaban manusia dan menghala kepada peningkatan kualiti hidup manusia, peningkatan mobiliti sosial dan mencetuskan semacam gerakan semangat patriotik terpimpin, berketerampilan dan menggerakkan ketamadunan bangsa itu sendiri dari segi prestij keilmuan dan pertumbuhan masyarakatnya secara menyeluruh. Karya Hasyuda Abadi yang termuat di dalam buku kumpulan puisi, Musim Perubahan di Negeri Kami ini ternyata memenuhi akan keperluan berkenaan.

            Secara peribadi saya ucapkan tahniah di atas kelahiran buku ini, dan mudah-mudahan buku ini membantu perkembangan khazanah sastera kita. Kita juga berharap ia akan menjadi bahagian daripada komitmen kita memperkasa peradaban dan ketamadunan negara bangsa kita. Kita berharap  gugusan puisi yang terdapat di dalam buku ini bakal menyerlahkan nilai jati diri dan menentukan taraf negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarnegaraan, yang bebas daripada sebarang bentuk tekanan, pengaruh asing dan new colonialism. Kita berharap puisi yang terdapat di dalam buku ini memberikan makna baharu kepada hak asasi manusia, kebersamaan, kebebasan dan kemerdekaan dan mesti disejajarkan dengan perjuangan rakyat negara kita dalam konteks menegakkan maruah bangsa dan negara, seiring penentangan terhadap penjajah dan hegemoni Barat, seterusnya membina peradaban bangsa dan negara menurut acuannya sendiri dan secara terpimpin. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan berharap lebih banyak lagi buku kumpulan puisi lain yang akan lahir dari tangan Hasyuda Abadi selepas ini.

DATUK JASNI MATLANI
Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)

Penerima SEA Write Award 2015

Tiada ulasan: