Bernaung dari dalam kasmaran kesamaran diri. Sambil menzahir seribu satu pertanyaan yang sama namun jawapannya juga tetap sama. Perbualan itu sangat mendatar. Pernahkah berasa ada cabaran memetik bunga daripada ribuan kelopak di taman larangan? Tentu ada pengalaman yang lain tetapi tentang suatu masa menjadi sesiapa bukan mudah. Kebijaksanaan bagaimana meletakkan bunga itu, menaunginya, membajai atau cakna seorang yang berwibawa menyantuni nilai keindahannya. Indah itu ghaib, tak kelihatan tetapi dinikmati tanpa sedar berasa sangat sempurna mempunyai segalanya. Sehingga terlupa bukan apa-apa yang ada, bukan sesiapa yang dianggap sempurna melainkan objek kesementaraan. Saat terlupa, kembalilah ke peribadi asal, mengenyahkan luapan bara yang mewarna legam hitam fikiran, lempar jauh sejauhnya. Dengan raga yang menjati pasak tiang iman melawan tombak-tombak bisikan jahat, rafakkan doa-doa dalam zikrullah dan salawat ke atas Rasul. Pelihara iman dan jiwa yang tenteram. Beranikan kepulangan kepada penghulu diri, perlengkap jurus-jurus langkah pada ucap batin. Iltizamkan damai ketika membuka pintu utama, iaitu diri, istiqomah merawat luka dengan nama-nama Agung Ilahi, akbarkan seluruh ruang dengan kewafatan buruk sangka yang menutupi mata iman. Dirikan tiang agama agung, perkasakan peribadi, perkasakan peribadi, perkasakan peribadi kerana musuh utama bukan sesiapa tetapi diri sendiri!
Akademi Rupha
Dinihari 31/10/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan