Sabtu, Oktober 25, 2008

Jatuh di Kolam Diam

kau ada dan sentiasa datang
menulis senyapku di dinding perih pedih
tanpa bunyi. kau ada dan sentiasa merasa
jelita di sebalik maka aksara dan kata meski
tanpa suara. kau ada dan sentiasa rahsia
di antara rahsia yang kau bingkaikan di sukma
di antara sejuta satu warna di gudang purba.
kau ada dan sentiasa memberiku hiba
menolakku jatuh ke kolam diam
maha dalam.

Khamis, Oktober 23, 2008

Kenduri Puisi

Dalam perancangan IPS dan Kemsas tahun 2009 ini memang ada acara baca puisi. Kertas konsep sedang diperbaiki agar lebih menjadi. Bukan sekadar sempurna dalam kertas tetapi dilaksanakan.

Kita banyak belajar daripada hari-hari yang terjadi sebelumnya. Tentu sahaja tidak ingin mengulangi kesilapan dan kelemahan yang sama. Kita perlu mematangkan minda dan tindakan. Ramai audiens bukan bererti kejayaan, begitu juga apabila sambutan tidak mengalakkan bukan bermakna suatu kegagalan. Namun demikian impaknya memang besar apatah lagi jika kita tidak dapat membuat perancangan yang teliti.

Isu utama saya dalam catatan ini ialah melakukan sesuatu dengan penuh tanggungjawab dan bertertib. Maksud saya mudah, kita jangan mengambil mudah terhadap sesuatu perakara yang kita rasakan enteng dan kononnya itulah 'gelanggang' kita. Bila kita terus mengamallkan sikap begini, yang mudah bertambah payah, mudah memberi idea tetapi payah meraih jaya. Orang ramai menerima seadanya dan tidak memungkinkan murninya dunia pemikiran melalui pentas puisi. Walaupun dengan membaca atau mendeklamasi sebuah puisi pendek. Apatah lagi sebuah puisi panjang tetapi dengan corak bacaan yang 'melucukan'. (Rem, juga telah tesenyum malam tu...)

Sama ada namanya 'Kenduri Puisi', 'Pengucapan Puisi', 'Baca Puisi' atau apa juga yang pengisiannya merupakan hidangan puisi, yang penting relevansi acara supaya tidak kesasar daripada matlamat. Apakah sebuah puisi yang dipindah kepada sebuah lagu tetapi yang kedengaran sebuah nada pop dan rock itu wajar diterima? Saya akhirnya percaya bahawa tidak semua juga penulis puisi mampu membaca puisi dengan baik, apatah lagi yang memang tidak tahu membaca dan menulis puisi, tiba-tiba berada di pentas membacakan puisi dengan nadanya yang mencacatkan keharmonian teks puisi berkenaan. Benar juga pada fikiran saya bahawa membaca puisi memang ada pendekatan dan disiplin tersendiri tapi bila ramai yang menjadi 'bidan terjun', macam-macamlah yang terjadi.

Apapun juga, secara peribadi saya memandang positif acara-acara baca puisi yang dilaksanakan termasuklah Kenduri Puisi di UMS baru-baru ini. Tiada siapa yang harus mengangkat program sastera seumpama ini jika bukan para pemuka sastera dan penggiat yang penuh iltizam terhadapnya.

NIPIS KIKIS

di angkasa terawang ketika memandang zarah-zarahku
bersatu dalam makrifat kembali ke azali. nipis kikis musnah
dalam keagungan cinta. apakah ada manis yang mengalir
air susu untuk kuteguk? aku digoda dunia dosa yang memenjara.
saat terputus suara mengungkap segala hasrat segera
menyertai burung-burung di angkasa. apakah semua pelayaran
damba hamba diterima, menghidu wangi dan menikmati manis
firdausi? dalam awangan menuju keabadian tanpa rupa hanya
wajah-wajah silam menanti di hadapan al-Hakam.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu,
S A B A H.

Isnin, Oktober 20, 2008

K E T I A D A A N

Barangkali ketiadaan tidak menyentuh sedikitpun
rasa, barangkali juga dunia ini
telah menengelamkan ramai orang
untuk menikmati apa sahaja
seadanya. Mereka tidak lagi betah berkata
sebagai pencaran fikiran. Dunia juga
memungkinkan segala kamar telah terisi,
tanpa langkah lain atau berkesempatan
menjengah jendela yang sering terkunci rapat.
Sambil memerhati kehadiran
satu persatu yang diharapkan
namun hanya 'ketiadaan juga'
menggantikan ayat-ayat yang berkubur...

Dan hanya kata-kata juga
menyebati di dalam keperibadian seniman
selebihnya masa lalu terungkap
bersama irama sunyi...

4 Jun 2008