Isnin, September 25, 2023

LAPORAN PENILAIAN ANUGERAH SASTERA NEGERI SABAH KETIGA

LAPORAN PENILAIAN

ANUGERAH SASTERA NEGERI SABAH KETIGA

OLEH

YBRS. DR. MOHD HANAFI IBRAHIM

PANEL PENILAI ANUGERAH SASTERA NEGERI SABAH KETIGA

 

3 MAC 2023 (JUMAAT)

7.30 MALAM

GRAND BALLROOM,

HOTEL SHANGRI-LA TANJUNG ARU     


Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan dukungan Kerajaan Negeri Sabah telah meneruskan pelaksanaan Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS) buat kali yang ketiga pada tahun 2022. Anugerah ini buat kali pertama diperkenalkan pada tahun 1990 dan dimulakan semula pada tahun 2020. Untuk pencalonan ASNS Ketiga, pihak urus setia telah menerima pencalonan lima sasterawan negeri Sabah untuk dinilai. Setelah meneliti sumbangan kelima-lima pencalonan, satu pencalonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat. Empat pencalonan dibawa ke peringkat perbincangan seterusnya agar dapat dipilih seorang calon yang layak sebagai penerima ASNS Ketiga.

Panel Penilai bersetuju sebulat suara mengangkat pengarang prolifik, Haji Sukor bin Haji Usin, yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi, sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketiga. Penilaian telah dilaksanakan berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangan beliau, yang dinilai dari segi kesan pemikirannya kepada masyarakat, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang ini, khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di negeri Sabah bahkan pada peringkat kebangsaan. Pemilihan ini adalah atas ketekalan pengkaryaannya, pencapaian mutu karya dan ketokohan kepengarangannya sepanjang lebih empat dekad. Sumbangan dan pencapaian calon ini memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah pada kali ini.

Haji Sukor bin Haji Usin dilahirkan pada 1 Oktober 1960 di Beaufort, Sabah. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik. Dalam dunia kesusasteraan, Haji Sukor menggunakan nama pena Hasyuda Abadi dan tampaknya nama pena ini lebih menyerlahkan namanya di pentas persuratan.

Kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi. Bakatnya dalam penulisan puisi bermula sewaktu beliau berusia dua puluh tahun. Sejak tersiarnya puisi beliau yang berjudul “Mengapa Oh Mengapa” dalam Sabah Times bertarikh 13 Disember 1980, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 1000 buah puisi yang tersiar dalam akhbar dan majalah. Sejumlah puisi beliau turut diterbitkan dalam lapan buah kumpulan puisi perseorangan dan lebih daripada 60 buah antologi puisi, bersama-sama dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan “forte” Hasyuda Abadi ialah puisi. Di samping itu, Hasyuda Abadi telah menghasilkan kira-kira 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antolog dan kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008). Esei beliau diterbitkan dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015). Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005). Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam pelbagai genre.

Hasil karya beliau sering tersiar dalam media tempatan di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo. Karyanya turut termuat dalam media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak karyanya mula diterbitkan pada tahun 1980, Hasyuda Abadi terus prolifik apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar dalam media di Sabah. Ketekalan pengkaryaannya, pencapaian karya dan ketokohannya sepanjang lebih empat dekad, memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah.

Beliau juga memberikan masa yang tidak sedikit demi gerakan berpersatuan dalam bidang persuratan, khususnya di Sabah. Sejak tahun 1990, beliau bersama-sama penulis-penulis kreatif di Sabah telah menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS). Pada masa awal penubuhan IPS, kebanyakan ahli IPS merupakan penulis baharu. Hasyuda Abadi pernah memegang jawatan penting dalam IPS, iaitu sebagai Ketua Dua pada tahun 1992 dan kemudiannya menjadi Ketua Satu (1999-2019). Dalam tempoh 20 tahun menerajui persatuan, pelbagai kegiatan persuratan dilaksanakan dengan jalinan kerjasama agensi lain, antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. 

Kegiatan pengembangan dan pemasyarakatan sastera digerakkan oleh beliau dengan penuh iltizam mencakupi pelbagai bengkel penataran dan penulisan, wacana sastera, pertemuan sastera dan juga penerbitan. Satu pencapaian yang penting IPS semasa kepimpinannya ialah daya usaha penubuhan Institut Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. Misi INPES semasa penubuhannya antaranya memberikan penilaian terhadap karya dan penulis serta membuat kajian ilmiah mengenai budaya, bahasa dan sastera. Selain itu, bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan dengan kerjasama INPES ini turut disertai dengan kegiatan pembitaraan karya. Berdasarkan khidmatnya yang panjang dan cemerlang di IPS, beliau diangkat sebagai Ahli Kehormat dan Pengerusi Majlis Penasihat. Beliau juga merupakan ahli seumur hidup Badan Bahasa dan Sastera Sabah. Di samping itu, beliau turut menyumbang bakti pada Kelab Kegiatan Komuniti Buku Sabah dan Institut Penilaian Sastera Sabah yang diasaskannya.

Kejayaan Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Malaysia yang kemudian diberi nama baharu Hadiah Sastera Perdana Malaysia, menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang-pengarang nasional yang lain.

Sebagai seorang karyawan Islam, Hasyuda Abadi sedari awal kepenyairannya telah mencipta puisi-puisi berunsur Islam. Kumpulan puisinya yang mewakili tema ini ialah Kembali ke Lahad Rahsia (2008). Unsur Islami juga terdapat dalam kumpulan puisinya yang lain seperti Menginai Badai (2004), Sinar Sirna (2006) dan Suara Yang Terbuka (2014).

Sama ada karya kreatif atau bukan kreatif, Hasyuda Abadi ternyata berusaha meneroka pelbagai dimensi kehidupan yang dilaluinya. Terdapat puisi-puisinya menjurus kepada puisi ketuhanan dengan mengagumi hebatnya ciptaan Maha Esa dengan mengungkapkan sifat kehambaannya yang kerdil di sisi-Penciptanya. Unsur-unsur dakwah dalam puisinya merentasi pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai latar dan budaya di Sabah namun tetap berpayung di bawah satu akidah, addin yang satu yakni Islam.

Empat tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi “Salam Buat Kekasih” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu. Panel Penilai Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 turut memberikan tanggapan yang baik terhadap sumbangan puisi Hasyuda Abadi yang bernuansakan Islami.

Kemenangan ini disusuli pula dengan kejayaan puisinya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 melalui puisinya “Tsunami Bukan Hanya Namamu”. Pencapaian ini turut diraih melalui puisinya “Pada Hari-hari yang Berharga” dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun penilaian 2017/2018. Sepanjang penglibatan Hasyuda Abadi dalam ranah sastera, kecemerlangan pencapaian karyanya dalam pelbagai kegiatan pengiktirafan sastera membuktikan daya pengucapan seninya yang bermutu tinggi.

Hasyuda Abadi juga amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh awal seperti Paduka Mat Salleh, seorang pejuang tempatan di Sabah yang digelar sebagai pemberontak oleh penjajah Inggeris. Penjajah telah memanipulasi sejarah bagi mempengaruhi rakyat Sabah untuk menidakkan semangat perjuangan tokoh-tokoh pejuang untuk menuntut kebebasan tanah air. Hasyuda Abadi melalui puisinya menangkis dakyah penjajah dengan mengangkat Mat Salleh sebagai pejuang yang patut disanjung dan dihargai oleh rakyat tempatan. Hal ini dibuktikan dengan terbit kumpulan puisinya berjudul Balada Paduka Mat Salleh.

Selain tokoh Paduka Mat Salleh, penyair Hasyuda Abadi juga menyanjung pemimpin kontemporari Sabah yang dianggapnya sangat berjasa memajukan rakyat dan negeri Sabah, umpamanya melalui puisi “Saat yang Penghabisan” bagi mengenang Tun Datu Mustapha. Semangat nasionalisme dan kecintaan kepada pahlawan-pejuang juga terbayang dalam cerpennya “Citra Tidak Berakhir di Sini” melalui watak Salim dan Tok Wan. Cerpen-cerpen Hasyuda Abadi diolah dengan strategi naratif yang cuba mengelak konvensi. Beliau memasukkan idea, sistem tanda, imejan serta metafora dalam jalinan plot kebanyakan cerpennya. Idea tentang integriti serta makna kemerdekaan jiwa turut disentuh dalam cerpennya “Diideakan Sesuatu Tentang Pohon.” Sementara dalam cerpen “Diideakan Tentang Sesuatu yang Melompat” memetaforakan diksi ‘melompat’ sebagai pernyataan perlakuan dan karenah kehidupan manusia sebagai haiwan-politik dan haiwan-berfikir. Kegagalan mengenal diri akan menjerumuskan manusia ke kancah kehidupan yang kacau dan kasat mata, digambarkan dalam cerpennya “Besi, Debu atau Sebuah Kebosanan.” Kepala, sebagai sebahagian anggota tubuh, juga simbol kekuasaan dan ketuanan, diujarkan dan dimetaforakan dalam cerpen “Kepala, Kepala.”

Sebagai anggota masyarakat pula, iaitu masyarakat yang mempunyai pengalaman sejarah sosiobudaya dan sosiopolitik yang panjang serta beraneka coraknya, Hasyuda Abadi turut mengujarkan tema sejarah dan sosial dalam karya-karyanya. Tema ini kebanyakannya  tersisip dalam karya-karyanya dalam kumpulan cerpen Balada Paduka Mat Salleh (1989), Musim Perubahan di Negeri Kami (2018) dan MH370 yang diusahakan bersama Jasni Matlani dan Sitti Rahimah G. Ibrahim (2014).

Tentang genre puisi Hasyuda Abadi, sasterawan, Jasni Matlani dalam pengantar kumpulan puisi Kembali ke Lahad Rahsia menyebut: “...dunia kepenyairan Hasyuda Abadi sebenarnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.”

Ramli Jusoh, penulis dan penggiat sastera di Sabah dalam tanggapannya terhadap kumpulan Menginai Badai menyatakan bahawa keindahan puisi-puisi yang termuat dalam kumpulan ini banyak bersandarkan pada nilai dan etos masyarakat sekelilingnya. Sewaktu berhadapan dengan laungan gerakan reformasi pada suatu ketika, Hasyuda memilih kebenaran, keperluan, keupayaan, kesempurnaan, keunggulan, keadilan, kesaksamaan dan kemerdekaan bagi menyempurnakan tujuan hidup murninya. Hasyuda menekankan bahawa keamanan dan kesentosaan negara perlu dikekalkan. Justeru, dia mengharapkan barisan kepimpinan negara semestinya menjalankan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Keresahan dan harapannya itu diungkapkan seperti dalam frasa ‘menjadi dalang kehancuran harmoni rakyat/menjadi wayang kehidupan pura-pura.’. Dia mengharapkan suatu bentuk kepimpinan yang berintegriti bahawa, kerusi bukan di dalam rumah/kerusi harus di halaman rumah/duduk bersama rakyat jelata/mata dan hati bersama/bukan yang payah didekati.

Dr. Ramzah Dambul menanggapi puisi-puisi Hasyuda Abadi sebagai cenderung memberi kritik sosial Dalam kumpulan puisi Suara Yang Terbuka, puisi-puisi Hasyuda Abadi ditanggapi sebagai merentas pelbagai dimensi, sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Suara yang diolah dan dilontar sangat bercirikan kontempori, menyuarakan kritikan tajam terhadap situasi masa kini, melibatkan sekecil-kecil entiti  seperti kalangan sahabat, keluarga dan organisasi, hinggalah melangkau domain yang lebih besar seperti masyarakat, negara dan dunia.’

Tokoh ini memiliki dimensi kreativiti puisi yang menyeluruh, yang turut sedar akan hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta dan pada masa yang sama mampu mentafsir hubungan horizontalnya dengan sesama manusia, alam, flora dan fauna, memanfaatkan bakatnya bagi menanjakkan karya bermutu yang sarat dengan pesan demi kemanusiaan. Justeru, selayaknyalah Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketigaf.

Demikianlah rangkaian intipati kekuatan kepengarangan dan pencapaian penerima anugerah ini yang dapat saya sampaikan kepada hadirin dan hadirat.

Padi segemal bertanam-tanaman,

Seusai musimnya meraih laba;

Emas sebungkal menjadi taruhan,

Jasa juga dipandang mulia.

 

Sekian, Salam Takzim,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Tiada ulasan: