Isnin, Oktober 27, 1997

Catatan Bengkel Puisi MASTERA di Jakarta

(Selepas menyertai Bengkel Puisi I MASTERA di Jakarta, 1997)

KETIKA pesawat Penerbangan Malaysia mendarat di lapangan terbang Soekarno-Hatta, Cengkerang, saya tidak sabar untuk menjejak bumi Indonesia yang pernah saya baca dan dengar. Selepas beratur begitu lama untuk pemeriksaan imigresen barulah saya tahu keadaannya, cuaca dan manusianya yang memiliki dunia yang berbeza dengan dunia negara saya. Keluar dari salah satu pintu lapangan terbang seumpama keluarnya saya dari pintu gua sedangkan di hadapan saya adalah suasana hingar bingar, kesibukan yang luar biasa. Saya seolah-olah bermimpi kerana sudah berada di tempat yang amat saya impikan selama ini untuk menggali sebaik mungkin peluang-peluang ilmu yang dimiliki para pengarang mahupun penyair-penyair besarnya.

Saya dapat membayangkan betapa bertuahnya ketika itu terutama sekali dapat interaksi dengan ramai pengarang-pengarang besar Indonesia khususnya Taufiq Ismail (editor kanan majalah Horison), Prof Dr.Sapardi Djoko Damono (Dekan Fakulti Sastera, Universiti Indonesia) dan Dr. Abdul Hadi W.M. (Bayt Al-Quran dan Muzeum Istiqlal) kerana kebetulan mereka menjadi pembimbing utama bengkel puisi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang saya hadiri. Mereka memang mempunyai pengalaman yang tidak mungkin diragui. Pengalaman mereka dalam dunia sastera khususnya puisi cukup luas dan amat mengesankan.

Salah seorang anggota panatia Bengkel Puisi MASTERA, Drs. Abdul Rozak Zaidan memberi tahu bengkel tidak diadakan di Bogor. Amat amalang sekali katanya. Bogor menurut beliau merupakan sebuah bandar yang terletak di sebuah pergunungan yang indah dan damai tetapi akibat kejatuhan nilai mata wang rupiah yang melanda Indonesia, aktiviti ini diubah tapak ke Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa di Jakarta.

Bengkel Puisi Mastera pertama ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Prof Ing Wardiman Djojonegoro bersekali dengan pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Indonesia 1997. Aktiviti tahunan Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Jakarta ini menyediakan program-progam yang menarik. Antaranya, Sayembara Penggunaan Bahasa Indonesia, Sayembara Mengarang Siswa, Lomba Deklamasi Siswa, Dialog Sastera dan Pameran Kebahasaan. Peserta-pesertanya terdiri daripada para pelajar, kakitangan kerajaan (karyawan) dan sasterawan Indonesia.

Saya melihat apresiasi sastera dan penggunaan bahasa yang baik harus dimulai di peringkat remaja. Golongan ini yang rata-rata berada di alam persekolahan dan institusi pendidikan tinggi memberi pulangan yang berkesan dalam usaha menyemai bibit budaya kita. Memang ini sudah diamalkan di Malaysia. Sebab itu ceramah dan dialog sastera di samping program-program khusus kepada golongan ini begitu diambil kira. Apatah lagi sastera tidak diajar secar meluar di sekolah-sekolah di Indonesia. Keadaan ini amat berbeza di negara saya. Dari tahap satu hinggalah ke peringkat universiti, sastera tidak asing di kalangan pelajar kita. Rakan-rakan penyair muda Indonesia terkejut apabila kami nyatakan buku karya pengarang kontroversi mereka, Pramoedya Ananta Toer pernah menjadi buku teks pelajar-pelajar menengah di Malaysia.

Bentuk Kendalian Bengkel
Ada beberapa kelainan dan menjadi pengalaman saya dari Bengkel Puisi Mastera ini. Pertama, kami mendapat kebebasan yang banyak dan ini memberi ruang kepada para peserta berinteraksi secara berkesan dengan peserta-peserta lain dan para pembimbing serta pihak panatia. Bagaimanapun, keadaan ini tidak sesuai dengan kebiasaan di Malaysia yang menitikberatkan disiplin dan menepati masa. Saya akui disiplin dan mengambil kira masa begitu tidak diambil perhatian langsung oleh para peserta. Masa begitu banyak terbuang dan pihak panatia menganggapnya sebagai biasa.

Kedua, kami dibahagikan kepada tiga kelompok atau kumpulan dengan menggunakan nama penyair-penyair terkenal di ketiga-tiga negara iaitu Usman Awang (Malaysia), Baharuddin H.O (Brunei) dan Amir Hamzah (Indonesia). Saya diletakkan dalam kelompok Amir Hamzah bersama-sama dengan Husnul Khuluqi, Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy, Widodo Arumdono dan Hajah Shaharah Dato Paduka Haji Abdul Wahab.

Biasanya pembahagian peserta dalam kelompok tidak begitu meyakinkan tetapi dalam bengkel ini adalah sebaliknya. Inilah kelainan ketiga yang saya alami. Setiap kelompok akan diketuai oleh seorang penyair yang bertindak sebagai pendamping. Pendamping-pendamping didatangkan dari setiap negara. Semua negara telah menghantar wakil sebagai pendamping kecuali Malaysia yang berhalangan di saat-saat akhir. Kelompok saya diwakili oleh Acep ZamZam Nor, penyair dan pelukis terkenal yang berasal dari Tasikmalaya, Jawa Barat.

Selain bertindak sebagai pembantu pemimbing utama, pendamping berperanan sebagai pengantara dalam sesebuah sessi bengkel. Mereka menjadi pengerusi kepada perbincangan para peserta sambil bertindak mencatat setiap isi diskusi dan akan melaporkannya kepada panatia seselesainya bengkel tersebut. Pembimbing utama mengikuti perbincangan sepanjang sessi tetapi tidak campur tangan ketika perbincangan berjalan. Akhirnya mereka akan berinteraksi dengan para peserta apabila waktunya tiba. Mereka akan memberi tunjuk ajar, pandangan dan komen berhubung dengan topik, menceritakan sejarah penulisan dan sejarah kepenulisan masing-masing.

Pada hari pertama bengkel, satu sessi yang penting dijalankan dengan pembabitan wakil daripada ketiga-tiga negara menyampaikan kertas kerja mengenai perkembangan puisi dan penyair masing-masing. Malaysia diwakili oleh Hazami Jahari dan Mattaib Nordin dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Indonesia diwakili oleh Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy dan Cecep Syamsul Bari manakala Brunei diwakili oleh pendampingnya Haji Jawawi Haji Ahmad dan Sariani Haji Ishak dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Perbincangan cukup hangat dan menarik perhatian peserta. Buat pertama kali penyair-penyair muda dari negara-negara serantau mengenengahkan sejarah, visi, falsafah dan perjuangan penyair-penyair muda negara masing-masing. Kami memperolehi pengalaman dan maklumat baru mengenai cuaca dan alam pengkaryaan dari ketiga-tiga negara. Interaksi yang berlaku cukup mesra walaupun ada waktunya timbul masalah seperti percanggahan nilai, istilah dan sense akibat perbezaan sistem politik pemerintahan negara. Berkenalan dengan penyair-penyair muda Indonesia dan Brunei misalnya Acep Zam-zam Nor, Agus R.Sarjono, Drs. Ahmad Syuhbanuddin Alwy, Cecep Syamsul Hari, Wowok Resti Probowo, Oka Rusmini, Iyut Fitra, Suip, Hajah Shaharah, Sariani dan lain-lainnya memberi nyawa baru untuk memahami dunia lain yang lebih global.

Kehadiran saya dalam bengkel ini sebenarnya tidak dengan tangan kosong. Saya telah mengumpul 58 buah puisi yang pernah tersiar di akhbar dan majalah. Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dijadikan buah tangan untuk dibincangkan dalam sessi bedah karya. Sessi ini amat bermakna kepada kami kerana ruang yang disediakan telah memberi peluang kepada para peserta memberi tanggapan, kritikan dan saranan sehingga akhirnya memperbaiki karya itu sendiri.

Perbincangan memang hangat; ada kalanya mencuit dan mencubit rasa. Saya mengesan keraguan peserta Indonesia memberikan komen mereka terhadap karya dari Malaysia dan Brunei, walaupun sesekali kritikan menenggelamkan keajaiban teknik penulisan puisi kami. Saya menerima kritikan mereka dengan hati yang terbuka kerana itulah cara yang paling berkesan bagaimana kita boleh memperbaiki diri untuk menghasikan karya yang baik dan bermutu. Saya juga tidak malu-malu mempertahankan sikap saya terhadap bentuk penulisan saya dan konsep penulisan yang diamalkan di Malaysia. Begitu juga ketika membedah puisi-puisi penyair-penyair sebaya Indonesia. Tidak timbul masalah low-profile yang harus disingkir dari diri kita. Perbezaan tidak ketara antara kami bahkan membaca karya-karya mereka kelihatan tidak banyak bezanya berbanding karya penyair-penyair kita.

Majlis Sastera Asia Tenggara akan menerbitkan puisi-puisi yang dibengkelkan melalui Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Jakarta.

Lawatan ke Istana Bogor, Muzium Istiqlal dan Kantor Horison
Memang banyak bezanya antara Jakarta dengan Bogor. Bogor seperti Kundasang di Sabah, iklimnya lembab, tiada jerebu ketika itu, sejuk dan di situ memungkinkan para seniman dapat menjana ilham dan kreativitinya. Ketika sebilangan besar menghadapi jerebu yang kronik, hujan turun dengan kerapnya di Bogor.

Sebagai kenang-kenangan kami telah berpeluang melawat beberapa lokasi penting di Indonesia. Kami dibawa melawat Istana Bogor, yang menjadi tempat penginapan Presiden Soekarno dan keluarganya suatu masa dulu termasuk bilik Megawati Soekarnoputri, pemimpin pembangkang utama Indonesia. Di dalam istana ini dipenuhi pelbagai bentuk patung, lukisan dan kelengkapan rumah yang menarik. Menurut ibu yang menyelaras para pelawat, patung-patung berbentuk wanita yang terdapat di sekitar istana merupakan hadiah daripada para diplomat asing kerana Seokarno amat menyenangi wanita. Soekarno juga merupakan seorang seniman dan di dalam istana ini peluang melihat lukisan-lukisannya tentu tidak akan disesiakan terutama sekali sebuah lukisannya yang berjudul ‘Sarina’.

Kawasan istana ini luas sebenarnya. Bangunan istana amat indah, cantik dan kukuh memang wajar menjadi lambang kebanggaan warga khsususnya di Bogor sendiri. Di hadapan istana merupakan sebuah tasik yang dihiasi tumbuhan teratai. Jauh ke tepi merupakan padang yang luas, tumbuhnya pohoh-pohon rendang dan lebih menarik lagi dengan kehadiran puluhan ekor kijang.

Di kesempatan yang lain, kami dibawa pula melawat ke Bayt Al-Quran dan Muzeum Istiqlal; merupakan sebuah muzeum musyaf al-Quran dan terkumpulnya khazanah lama mengenai perkembangan Islam di Indonesia yang mula beroperasi pada 20 April 1997. Muzium ini terletak di kawasan Taman Mini Indonesia Indah. Saya berasa amat bertuah kerana mendapat peluang bermakna menjejaki muzium ini. Bukan hanya disebabkan bangunannya indah tetapi saya berpeluang melihat sendiri himpun bahan klasik khazanah Islam termasuk pelbagai corak musyaf yang berasal dari alam hias Nusantara mulai dari Aceh sampai Timor Timur, dari Tidore dan Ternate sampai ke Irian Jaya; dan juga dari negara saya sendiri. Sebuah musyaf al-Quran yang terbesar diletakkan dalam sebuah bilik kaca. Al-quran ini dihiasi dengan ukiran Musyaf Wonosobo, ditulis dengan tangan oleh Abdul Malik dan Hayatuddin, santri dari Pondok Pasentren al-Asy’ariah Kalibeber Wonosobo; dan disiapkan selama 14 bulan (16 Oktober 1991 hingga 7 Disember 1992). Dalam taklimatnya, Dr. Abdul Hadi W.M. menyatakan program muzium untuk mempelbagaikan lagi bahan-bahan pameran dan artifek-artifek lama supaya dapat dijadikan pusat rujukan utama para pengkaji di rantau ini.

Kami juga sempat melawat kantor baru majalah Horison. Ikanegara dan Taufik Ismail, sidang redaksi Horizon menceritakan sejarah majalah sastera yang berusia 30 tahun itu. Majalah Horison juga turut mengalami pembaharuan apabila kurang sambutan masyarakat yang disebabkan oleh berbagai kendala. Merosotnya minat membaca bahan-bahan sastera, tiras rendah buku sastera, surutnya kritik sastera, masih berlaku larangan terhadap buku sastera, susutnya mutu dan jumlah karya sastera adalah antara lain hal-hal kronis yang harus ditangani oleh komuniti sastera Indonesia. Untuk itu,Horison memanjangkan penerbitannya ke sekolah-sekolah dengan menyediakan sisipan Kaki Langit. Kaki Langit menampung karya-karya para siswa dan guru-guru mereka di samping pemaparan karya-karya para pengarang ternama Indonesia sebagai usaha menanam apresiasi sastera di kalangan mereka. Kami juga mengajukan pemintaan agar naskah Horison dipasarkan ke Malaysia dan Brunei secara berterusan.

Pengalaman Kecil Selalunya Berharga
Berada di kota Jakarta akan menzahirkan sebanyak mungkin karya-karya kreatif kerana di sana kita akan melihat pelbagai hal yang baru terutama sekali mengenai budaya mereka. Saya tidak dapat melupakan pertama kali menjamu makanan di sebuah Gerai Makan Minang setelah dipelawa oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, penyelaras bengkel. Kami duduk seperti biasa tanpa pelawaan pelayan. Tiba-tiba seorang pelayan lelaki membawa makanan dan meletakkan di hadapan kami walaupun tidak dipesan. Di hadapan kami pada masa itu merupakan pinggan-pinggan yang membukit, berisikan lauk-pauk yang kurang menyelerakan. Ini budaya di sini agaknya, fikir saya.

Rakan saya Hazami seorang Pegawai DBP Kuching memandang saya sambil berbisik, kalau lapar apa yang ada di depan tu, lanyak saja! Saya tidak berkata apa-apa, menjamah nasi dan lauk semampu perut yang sedang lapar. Keesukan harinya ketika kami berjalan-jalan disebuah pasar berhampiran tempat penginapan kami, saya melihat keadaan yang kurang menyenangkan. Saya teringat ketika makan malam tadi. Saya amat kesal tapi itulah situasinya walaupun kita tidak menyenanginya. Saya mengambil kesimpulan bahawa kebersihan memang wajar diambil perhatian oleh sesiapa sahaja di mana-manapun, walaupun di tempat itu dihuni oleh jutaan penduduk, seperti Jakarta.

Dalam kesempatan yang ada, saya telah menulis beberapa buah puisi perjalanan yang dicatat semasa berada di Jakarta, Bogor, Kuala Lumpur dan berakhir di Kota Kinabalu. Melalui suntikan pengalaman baru dan penghayatan terhadap masalah sejagat, sejarah, tokoh dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan dunia peribadi yang berbadai, saya amat produktif sekali. Buah fikiran saya mengalir deras. Saya selalu teringatkan kampung halaman, anak-anak, isteri tersayang, negara tercinta dan bangsa yang jauh tetapi dekat sebenarnya. Puisi-puisi berkenaan saya himpun di dalam kumpulan puisi Datang Kembali sebagai tatapan khalayak saya - para penyair, pelajar, guru-guru saya, rakan-rakan, anak-anak kecil yang bakal dewasa bahkan para buruh yang banyak mengeluarkan keringat mereka demi merealisasikan makna pembangunan. Kumpulan Puisi ini telahpun diedarkan untuk tatapan pembaca, para penulis dan peminat sastera.

Pengalaman di Jakarta dan di tempat-tempat lain, tidak dapat saya ukur hanya dengan kata-kata, namun yang jelas saya banyak belajar terutama sekali bagaimana sesebuah karya itu boleh menyediakan makna yang tajam dan luar biasa hanya melalui pemilihan diksi yang tepat. Saya juga berjaya melihat bentuk, kecenderungan dan jati diri ketika mentransformasikan puisi-puisi kepada khalayak.

Tahun 1998 bengkel cerpen MASTERA pula akan diadakan. Mudah-mudahan salah seorang cerpenis yang terbaik dari negeri Sabah akan terpilih. Jika berlaku, saya sarankan supaya menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin. Semua orang memang inginkan peluang yang kecil untuk dirinya seumur hidup tetapi peluang yang kecil itu menjadi ruang yang besar untuknya seumur hidup jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Tiada ulasan: