Memaparkan catatan dengan label PPSB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PPSB. Papar semua catatan

Isnin, Februari 23, 2009

Imej-imej Awal PPSB Kem Tanaki Tambunan

Foto1 - Pertemuan dengan Timbalan Komandan Latihan
Foto2 - Bang Mat dalam aksi emosinya ketika menyampaikan cara bacaan puisi
Foto3 - Fasilitator PPSB Kem Tanaki Tambunan Sabah (kecuali blogger tidak kelihatan)
Foto4 - Cikgu Ali Amat Anas mendeklamasikan puisi pada sesi pengenalan PPSB
Foto5 - Sebahagian para pelatih PLKN yang mengikuti PPSB P1/2009
Foto6 - Pelatih memberanikan diri membaca puisi

*Sebuah blog PPSB Tanaki Tambunan telah dibina di sini.







Rabu, September 10, 2008

PPSB Siri 3/2008 Kem Tanaki Tambunan Sabah

Tenaga Pengajar PPSB Kem Tanaki Tambunan Siri 3/2008
Dari kiri Hamidun, Bang Mat, HA, JY, Maznah dan Syafiqa.

PROGRAM Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) versi 3/2008 di Kem Tanaki Tambunan telah sempurna dilaksanakan bermula pada 27 Ogos hingga 29 Ogos 2008. Siri terakhir bagi 2008 ini masih diketuai oleh Jasni Yakub (JY) bersama anak-anak buahnya yakni fasilitator yang terdiri daripada Mohamed Haji Salleh, Nurul Syafiqa Abdullah, Maznah Sulaiman, Hamidun Rahim dan saya sendiri. Kami amat bersyukur kerana DBP mengekalkan senarai fasilitator yang sama walaupun tidak memasukkan Karim Gulam dan Mohd Azroy Abdullah. Karim ditugaskan di Kem Wawasan Ovai Papar sementara Mohd Azroy tidak bertugas bagi siri kali ini.

Sebagaimana azam kami pada siri yang lepas, persiapan pada siri ini cukup memberangsangkan. Apatah lagi PPSB kali ini jatuh tepat pada bulan Ogos di mana kita akan merayakan ulangtahun kemerdekaan negara ke-51. Seperti arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan PPSB pusat, format PPSB telah mencorakan sedikit kelainan berbanding siri ke-2/2008 yang lalu. Ketua Fasilitator (FC) telah merangka lebih awal berdasarkan format yang diberikan dan tentatif aktiviti yang bakal dilaksanakan. Beliau telah membahagikan tugasan kepada kami. Saya ditugaskan bagi pengurusan urus setia, pengurusan pentas digalas oleh Cikgu Nurul Syafiqa, Cikgu Maznah Sulaiman bertanggungjawab terhadap urusan tatarias dan cenderamata, Cikgu Hamidun (persembahan) manakala Cikgu Mohamed Haji Salleh (pengurusan teknikal).


Apa yang menarik ialah janji Cikgu Mohamed Haji Salleh (Bang Mat) dikotakan apabila beliau membawa peralatan lampu miliknya. Dengan peralatan lampu ini kami telah membayangkan persembahan yang bakal diperagakan di pentas kem lebih ceria dan berwarna-warni. Ini pada jangkaan kami menjadi salah satu kelainan yang bakal diperlihatkan kepada Komandan kem dan seluruh warga kem Tanaki Tambunan.

Seperti siri yang lepas juga, kami berusaha untuk menjimatkan masa persembahan. Tidak banyak melibatkan tugas juruacara dan masa menunggu turun naik peserta yang terlibat di pentas. Saya terlupa menyatakan bahawa siri kali ini 'Malam Citra Puisi' telah diganti kepada 'Malam Penghayatan Kemerdekaan'. Dengan tema: Perpaduan Teras Kejayaan, PPSB mengangkat tema ini dengan lebih jelas lagi. Berasaskan jadual aturcara persembahan, KF juga memberikan tugasan utama kepada fasilitatornya: Dekon (Bang Mat), Lagu Puisi (Cikgu Hamidon), Lagu Patriotik (Cikgu Maznah) dan Pengucapan Puisi Berirama (Cikgu Nurul Syafiqa).

PPSB bermula pada pagi 27 Ogos telah diisi seperti biasa dengan sesi pengenalan program. Memperkenalkan semua fasilitator oleh Penyelaras PPSB Zon 1 Sabah, Jasni Matlani yang turut dihadiri oleh Timbalan Komandan Latihan. Saya memperkatakan tentang puisi moden dan puisi tradisi disusuli demonstrasi pengucapan puisi dan nyanyian puisi tradisi oleh fasilitator terbabit. Seperti lazimnya, wira dan wirawati juga tidak ketinggalan menunjukkan bakat masing-masing. Malah siri kali ini TKL juga terpanggil untuk membacakan sebuah puisi. Sebelum itu, Penyelaras PPSB menyampaikan kata-kata aluannya bagi pihak DBP.

Para pelatih PLKN Kem Tanaki Tambunan telah menjalankan latihan lengkap 16 jam selama 3 hari yang diperuntukkan pihak kem. Masa yang diberikan itu telah digunakan dengan sebaiknya untuk melatih berdasarkan keperluan untuk produksi persembahan. Sekali lagi apa yang penting bagi kami ialah interaksi antara para pelatih itu sendiri dan antara fasilitator dengan para pelatih dalam konteks program ini. Persefahaman mengendalikan sebuah persembahan menjadi pilihan nombor satu. Tatkala semua fasilitator telah melaksanakan tugas masing-masing mengikut kumpulan dalam kelas, yakni pada 29 Ogos pagi, kami menggabungkan persembahan kumpulan-kumpulan berkenaan. Daripada pengungkapan patriotik yang diperolehi daripada para pelatih (3 pelatih terpilih) sehingga kepada persembahan finale iaitu bernyanyi beramai-ramai lagu-lagu patriotik, kami berjaya melahirkan sebuah persembahan package yang segar dan seperti yang kami fikirkan sebelumnya. Kami telah mengulangi kecemerlangan pada siri 2 lepas dengan hasil yang nikmat dan memuaskan.

Kami menonton dengan senyum yang lebar. Para pelatih yang kami telah didik mengenai pelbagai perkara menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa diarah. Tukang kero tahu tugasnya. Juruteknik lampu dan audio tahu apa yang patut dilakukan. Pemain muzik pun begitu. Apatah lagi para peserta yang melakukan persembahan mereka. Mereka membaca puisi, berdekon, bergerak kreatif, bernyanyi lagu patriotik bersama-sama dan menyampaikan puisi tradisi (Syair Bidasari). Umm... secara peribadi saya teruja dan sentiasa mengingati peristiwa tersebut. Saya juga perhatikan bahawa pihak kem juga kini semakin akrab malah menerima PPSB dengan penuh minat dan memberikan kerjasama yang diperlukan. Mereka juga telah meninggalkan sesuatu yang baru kepada kami apabila kedudukan kerusi tetamu ditempatkan sedikit jauh di belakang. kebiasaannya dan malah di kebanyakan tempat, barisan tetamu khas ditempatkan di berhampiran dengan pentas. Secara psikologi, perubahan ini menyebabkan para pelatih lebih tertib kerana Komandan berada bersama mereka menyaksikan rakan-rakan mereka beraksi. Selain daripada itu, Komandan lebih selesa kerana dapat melihat dengan aksi para pelatih dalam program ini. Walaupun berlaku sedikit masalah teknikal seperti gangguan mikrofon dan pembesar suara yang kurang stabil tapi ini telah dibantu oleh KF yang memberikan penjelasan secara terperinci aksi para pelatih di pentas.
Dalam tempoh 1 jam (9.00 malam-10.00 malam) 'Malam Penghayatan Kemerdekaan' telah diungkayahkan (tidak temasuk majlis perasmian). Hinggakan Komandan berasa kurang puas menyaksikan persembahan kali ini, mungkin terlalu sekejap. Namun dalam hati saya, biarlah tidak puas berbanding sekiranya Komandan berasa bosan melihat pengurusan pentas yang kucar kacir atau asyik mendengar celoteh pengacara yang ada waktunya tidak penting (berdasarkan pengalaman lepas). Kami rasa PPSB siri ke-3/2008 ini merupakan antara kejayaan yang tidak dapat dilupakan. Mudah-mudahan sahaja kami masih ditugaskan di kem ini pada siri akan datang. Pada waktu itu, kami juga menyimpan azam yang baru.

Tahniah saya ingin ucapkan kepada Cikgu Jasni Yakub selaku Ketua Fasilitator. Beliau seorang yang dedikasi, rajin, kreatif dan dihormati. Kemampuannya mengetuai PPSB di Kem Tambunan telah mengangkat PPSB ke tempat yang terbaik. Saya percaya semua fasilitator yang terlibat di mana-mana juga amat menyayangi PPSB. Inilah salah satu premis terbaik untuk kita menyebarluaskan malah mematangkan sastera dan budaya Negara sekaligus menanam rasa cintakan tanah air kepada para pelatih PLKN mengikut acuan yang telah ditetapkan.


Sabtu, Ogos 30, 2008

Teks Ucapan Malam Penghayatan Kemerdekaan

UCAPAN YANG BERBAHAGIA
KOL. HAJI AZLAN MUSTAFAR
KOMANDAN KEM TANAKI TAMBUNAN
DI MAJLIS ’ MALAM PENGHAYATAN KEMERDEKAAN’
SEMPENA PROGRAM PENGHAYATAN SASTERA DAN BUDAYA
PADA 29 OGOS 2008


Yang Berusaha Mejar (B) Zainan bin Sangit Timbalan Komandan Latihan

Yang Berusaha Kapten Ahmad Zul-Izzi Omran, Timbalan Komandan Pengurusan

Yang Berusaha Saudara Jasni Yakub, Ketua Fasilitator PPSB

Semua Ketua-ketua Jurulatih dan Jurulatih Kem

Semua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya

dan seterusnya semua wira dan wirawati yang dikasihi sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi-wabarakatuh dan selamat malam.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) kerana mengundang saya hadir di Majlis Malam Penghayatan Kemerdekaan pada malam ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-51 kepada semua warga kem Tanaki.

Sebagaimana siri-siri yang sudah PPSB merupakan salah satu landasan penting untuk menerapkan nilai-nilai cintakan Negara dan tanah air di kalangan para pelatih Program Latihan Khidmat Negara. Program ini juga melatih untuk memupuk kerjasama yang tinggi para pelatih yang terdiri daripada berbilang keturunan dan kepercayaan untuk menghasilkan sebuah produksi yang akan dipersembahkan sebagai tontonan kita bersama.

Kehadiran dan impak PPSB sebagai salah satu komponen dalam PLKN kini semakin dirasai, diperakui dan diiktiraf oleh pihak saya selaku Komandan Kem mahupun pihak pengurusan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Dalam usaha untuk mencapai matlamat PLKN, PPSB dilihat sebagai instrumen untuk menyuburkan semangat patriotik di kalangan para pelatih PLKN. Ia amat berkait rapat dengan pembinaan jati diri bangsa, selain dapat menerapkan semangat perpaduan dan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda yang bakal menjadi tonggak Negara pada masa hadapan.

Tuan-tuan, puan-puan dan wira wirawati sekalian,

Negara kita yang berada dalam era kemerdekaan 51 tahun tidak mungkin mampu mencapai kecemerlangannya dengan percuma. Sejarah telah merakamkan jerih perih rakyat dan para pemimpin menggembleng tenaga dan fikiran ke arah itu. Pemimpin yang telah menggalas amanah menyusun strategi, membuat dasar-dasar tertentu untuk membangunkan negara dan melaksanakannya yang kemudiannya disokong oleh kesediaan rakyat berganding bahu menjalankan kewajipan masing-masing dengan cemerlang. Perjalanannya cukup panjang. Setelah terlepas daripada cengkaman dan juga kongkongan penjajah lebih 300 tahun, negara kita merangkak perlahan-lahan dan dari hari ke hari menggerakkan roda kemajuan dengan jayanya.

Semua ini menjadi landas kesejahteraan serta kemakmuran sebagaimana yang kita kecapi hari ini. Apa yang kita inginkan boleh kita mampu perolehi walaupun dari hari ke hari kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang tidak dapat dielakkan. Cabaran globalisasi misalnya menyebabkan masyarakat kita sentiasa berhadapan dengan pengaruh luar. Cara hidup sebilangan masyarakat mengikut rentak perubahan kesan daripada dasar langit terbuka yang mendedahkan pelbagai perkara. Pengaruh luar ini begitu cepat menular terutama di kalangan generasi muda.

Globalisasi menerusi teknologi digital dan IT yang tidak dikawal memberi wadah yang amat membimbangkan. Generasi muda kita tidak dapat menangkis gelombang yang melanda kehidupan moden ini dengan mudah. Lihat sahaja cara mereka berpakaian, cara berkomunikasi, gerak-geri anak-anak remaja kita sudah jauh daripada landasan yang asal, yang pernah datuk nenek kita pertahankan dan pelihara turun temurun. Pada saya , tidak ada langkah atau usaha lain yang lebih mujarab untuk membentuk serta mengajak anak-anak bangsa kita mengenali diri peribadi mereka selain menerapkan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan, nilai-nilai cintakan kebebasan daripada penjajahan budaya luar, nilai-nilai jati diri yang harus diperkukuh melalui program- program yang dirancang oleh kerajaan. Contoh yang paling dekat dengan kita semua ialah PLKN yang para wira dan wirawati hadiri pada ketika ini. Sudah tentu banyak kebaikan yang telah diterima oleh para pelatih dan bekas pelatih yang menghadiri program ini. Sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan kita tahun ini yang berbunyi ‘Perpaduan Teras Kejayaan’, menjadikan program ini begitu sinonim dengan hasrat menerapkan nilai kerjasama. Kerjasama tersebut meletakkan kejayaan yang diinginkan. Ini dapat dibuktikan dengan jelas sejak wira dan wirawati menjejakkan kaki di kem ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan wira wirawati yang dikasihi,

Bersesuaian dengan konsep dan asas program ini yang menjurus kepada semangat patriotik, konsep PPSB yang sebelum ini dinamakan ‘Malam Citra Puisi’ telah memperluaskan konsepnya menjadi ‘Malam Penghayatan Kemerdekaan’. Ini merupakan puncak program bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan pelatih sempena ulang tahun kemerdekaan tanah air. Malam Penghayatan Kemerdekaan ini diselaraskan sebagai acara sambutan kemerdekaan yang lazim menjadi aktiviti tradisi di kem-kem PLKN di seluruh Negara oleh pihak pengurusan kem, pada setiap menjelangnya tanggal 31 Ogos.

Dalam tempoh 3 hari ini, saya percaya semua fasilitator PPSB telah melatih sebaik mungkin agar program tersebut dilaksanakan dengan jayanya. Persembahan yang diperagakan pada malam ini memberikan mesej yang penting iaitu penterjemahan makna cintakan Negara melalui seni sastera seperti deklamasi sajak dan puisi tradisional. Saya juga percaya para pelatih telah menerima sebuah pengalaman baru yang menarik.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang bekerja keras melaksanakan program malam ini. Sebagai mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin sudahi dengan dua rangkap pantun:

Irama puisi memaut rasa,
Gambus dialun gendang dipalu;
Indah peribadi kerana bahasa,
Sopan santun diamal padu.

31 Ogos gema kemerdekaan,
51 usia Negara cemerlang;
Bertema Perpaduan Teras Kejayaan,
Sastera budaya dijunjung gemilang.

Sekian, terima kasih.

(Teks ucapan yang saya sediakan sempena 'Malam Penghayatan Kemerdekaan' di Kem Tanaki Tambunan dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya pada 27-29 Ogos 2008)

Jumaat, Mei 23, 2008

PPSB - tugas besar fasilitator

Saya percaya setiap Ketua Fasilitator mengimpikan sebuah produksi yang mantap pada setiap kali PPSB dipentaskan menerusi Malam Citra Puisi. Tidak juga dinafikan PPSB mencabar kewibawan mereka sebagai orang yang dipertanggung-jawabkan membawa program tersebut berjalan mengikut landasannya. Namun apa yang diharapkan sering kesasar daripada acuan yang ditetapkan. Walaupun betul, para fasilitator tidak punya ruang yang banyak untuk menjadikan pentas PPSB lebih kreatif, namun mereka harus menggunakan pengalaman yang mereka miliki untuk menyesuaikan diri agar PPSB benar-benar menepati matlamatnya. PPSB harus berlangsung dengan kecemerlangan yang tersendiri, tertakluk kepada kebijaksanaan semua fasilitator menyerlahkan kreativiti membentuk para pelatih PLKN. PPSB bukan setakat hidup sebagai sebuah persembahan, jika itu dijadikan asas dalam penelitian keberkesanan dalam program latihan khidmat negara. Ia harus lebih daripada itu dengan erti kata lain mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap kesedaran budaya dan sastera sekaligus menerima keberadaan elemen-eleman ini di dalam kehidupan multi-bangsa di kalangan pelatih-pelatih berkenaan.

Secara peribadi saya amat terganggu dengan kemampuan kebanyakan para fasilitator PPSB yang dilantik walaupun asas pemilihan mereka berdasarkan kebolehan yang telah diuji, tidak kira sama ada melalui sesi suaikenal atau perakuan daripada pihak-pihak tertentu. Namun demikian kemampuan peribadi saya fikir tidak cukup untuk memudahcarakan para pelatih yang terdiri daripada pelbagai latar budaya. Ada perbezaan antara mengajar dan mendidik di dalam bilik darjah sebagaimana kebiasaan para pelatih alami sebelumnya. Meskipun kebanyakan tempat, premis melatih bagi PPSB itu berlaku dalam bilik darjah, situasinya memang berbeza. Fokus PPSB ialah memberikan penghayatan sastera dan mengapliaksikannya bersama-sama elemen budaya yang merangkumi gerak kreatif dan teater, penyesuaian bakat seperti kebolehan vokal, menyanyi dan berlakon. Dengan penetapkan puisi sebagai tunjang utamanya, PPSB sudah pasti menghadapi reaksi yang pelbagai di kalangan para pelatih. Mungkin tidak secara berterus terang kerana kebanyakan daripada mereka lebih gemar mengikut daripada membantah, paling tidak menampakkan sikap acuh tak acuh, tidak bermaya, kurang memberikan respon membina. Ini boleh dilihat sepanjang persembahan. Dari sini, saya fikir para pelatih tidak harus dipersalahkan. Bukan semua daripada meraka yang tidak meminati sastera dan budaya namun disebabkan program ini gagal memberikan kesan yang luar biasa, akhirnya PPSB dianggap tidak lebih daripada kesengajaan yang diatur untuk memenuhi hasrat kerajaan semata-mata. Tidak dinafikan juga ada beberapa orang fasilitator khususnya di Sabah yang memang telah meletakkan PPSB sebagai salah satu mekanisme penerapan nilai-nilai patriotik menerusi gabungan gerak kreatif, dekalamsi sajak dan puisi-puisi tradisional.

Apakah wujud kesan luar biasa kepada para pelatih terbabit? Menjawab pertanyaan ini kita perlu kembali kepada isu awal iaitu sejauh mana kesanggupan fasilitator atau pemudahcara PPSB menzahirkan ilmu mereka untuk menyemai bibit-bibit murni menerusi PPSB dalam suatu jangkamasa yang amat pendek itu. Sebab itu jugalah seharusnya program ini ditangani oleh golongan individu yang luar biasa bukan sekadar membentuk sebuah persembahan semata-mata. Hinggakan ada pandangan bahawa persembahan PPSB tidak jauh bezanya dengan persembahan dalam program-program lain yang mereka ikuti di kem. Apa tidaknya, sekiranya diterapkan juga adegan-adegan tarian, pergerakan yang tidak terkawal umpamanya interaksi berlebihan antara gender, memasukkan juga lirik-lirik pantun serta lagu-lagu yang tidak diperlukan untuk PPSB. Semua ini merupakan larangan yang kerap kali disentuh dan ditegur oleh pengurus PPSB, Penyelaras PPSB Negeri dan juga Ketua-ketua Fasilitator. Namun apa yang terjadi pentas PPSB terus menempatkan pencemaran apabila elemen-elemen budaya dan sastera telah diadaptasi mengikut selera fasilitator. Seperti ungkap salah seorang fasilitator kepada saya, tidak sah jika tidak membawa bermacam-macam prop dan memastikan persembahan itu menyeronokkan! Pada saya prop tiada masalah asalkan bersesuaian dan tidak melanggar Perintah Tetap kem, tetapi unsur-unsur menyeronokkan itu perlu ditangani dengan sebijaksana yang mungkin. Pengabaian unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai membina jati diri para pelatih yang terlibat akan memberikan kesan negatif yang seharusnya dielakkan.

Melihat PPSB secara menyeluruh perlu dijadikan budaya kepada para fasilitator. Dengan begini akan wujud sikap ambil peduli yang amat tinggi untuk memelihara 'kemuliaan' program ini. Bermula pada sesi pertama iaitu sesi pengenalan hingga kepada Malam Citra Puisi, harus mencerminkan kesediaan semua fasilitator. Ketua-ketua fasiliator perlu menyiapkan persiapan dari awal supaya PPSB memberikan impak yang 'menyelerakan'. Menanam keyakinan kepada ratusan pelatih berkaitan misi PPSB di kem PLKN bukanlah suatu kerja yang mudah dan dilkukan secara sambalewa. Setiap sesi atau fasa mestilah diisi mengikut keperluan yang diarahkan. Kita tidak mahu program yang baik ini dilakukan secara asal menjadi. Apa yang penting PPSB berlangsung dan menunggu upah beberapa bulan kemudian. Saya fikir jika ini persepinya, PPSB akan terus diketepikan. Komandan-komandan kem juga mempunyai tugas tersendiri dalam penilaian mereka terhadap PPSB. Mereka akan mengemukakan komentar kepada DBP. Memang banyak reaksi yang kita baca dalam laporan yang diberikan pihak pengurusan PPSB. Malah kita harus juga peka bahawa komandan-komandan kem akan menyaksikan persembahan-persembahan para pelatih setiap siri yakni 3 kali dalam setahun. Sudah tentu mereka mahukan sesuatu yang sentiasa berbeza dari satu siri ke siri yang lain. Walaupun ada sesetengah kem komandan yang tidak serius terhadap kehadiran PPSB di kem mereka.

PPSB harus digandakan lagi kecemerlangannya dan kecemerlangan ini saya fikir perlu digalas oleh para fasilitator yang benar-benar mahir dalam segala perkara. Bayangkan jika seorang penulis novel menjadi fasilitator, atau seorang penulis yang lama senyap dalam dunia penulisan menjadi fasilitator, atau seorang guru sastera, atau seorang penari, seorang penulis puisi,seorang pemuzik dan seumpamanya dilantik menjadi fasilitator - kemahiran mereka ini masih memerlukan nilai-nilai tambah yang lain seperti komitmen dan minat yang amat mendalam terhadap dunia sastera dan budaya serta falsafah yang terbina daripada elemen-elemen tersebut. Para pelatih sudah bosan mendengar celoteh berbentuk motivasi, kerana itu PPSB juga harus meletakkan cara yang betul bagaimana penghayatan sastera dan budaya dilaksanakan. Dengan mengatakan kamu harus begitu dan begini, kamu jangan buat itu dan ini, kamu jangan, jangan, jangan dan jangan ... menyebalkan akal anak-anak muda itu. Sebaiknya kita bersahabat dengan mereka. Kita marah cara sahabat marah. Kita tegur cara sahabat tegur. Kita bekerjasama cara sahabat bekerjasama, dan seterusnya menggabungkan upaya secara profesional. PPSB akan meninggalkan kesan yang tidak akan dilupakan apabila dari awal hingga MCP berlangsung memahirkan semua orang yang ada di kem itu dengan citra sastera. Apabila mereka mendengar gurindam semantan, seloka pak kadok, syair siti zubaidah atau nazam mereka akan melihat PPSB di kem PLKN. Terjelma kenangan tersendiri. Inilah kelebihan PPSB yang harus ditanamkan setiap siri dalam Program Latihan Khidmat Negara.

Khamis, Mei 08, 2008

Merenung Semula PPSB


Memang bukan mudah untuk membezakan antara berkata dan menikmati kata-kata. Semua orang barangkali boleh berkata, memberikan ilustrasi berdasarkan apa yang difikirkannya namun tidak semua boleh menikmati dalam erti yang lain menerima sejujurnya daripada makna kata-kata yang tersusun dengan indah (pada pandangan orang yang berkata) itu.

Begitulah takrif yang ingin saya perkatakan berkaitan dengan Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) sebuah jenama yang dilahirkan sebagai sebuah komponen penting dalam PLKN di seluruh negara. Diakui memang secara positifnya PPSB telah menempatkan sumber sastera dan budaya ke sebuah arena yang amat sesuai walaupun skalanya masih kecil. Ini tentu sahaja boleh dikaitkan dengan realiti penerimaan para pelatih yakni wira dan wirawati berdasarkan peringkat program. Setelah empat tahun, PPSB sudah tidak begitu ganjil di kalangan pengurus kem-kem PLKN, termasuk para Komandan dan juga jurulatih-jurulatih PLKN. Mereka tahu PPSB telah memberikan output yang tidak kurang juga besarnya kepada generasi yang mengungsi doom-doom kem setiap 3 bulan atau 3 peringkat setahun. Memang segelintir pelatih menggambarkan PPSB bagaikan seekor raksasa yang menakutkan mereka, pada mulanya, namun kegerunan mereka (baca: kekalutan) berubah apabila berinteraksi dengan fasilitator-fasilitator PPSB yang diberikan tugas mencabar itu.

Mengapa mencabar? Sama ada Ketua Fasilitator (KF) atau fasilitator rata-rata akan memberikan reaksi yang sama, betapa cabaran hebat yang mereka hadapi memberikan pengalaman bermakna, malah tidak itu semata-mata tetapi mengajak mereka lebih bersedia dengan disiplin ilmu, pengetahuan, pendekatan dan teknik bimbingan. Mereka tidak mengajar subjek sastera atau budaya sebagaimana para pelatih alami di sekolah masing-masing. Namun ada ketikanya tindakan mengajar terpaksa juga dilakukan apabila berhadapan dengan kepelbagaian latar para pelatih berkenaan. Namun demikian tentulah ia sedikit sebanyak 'melonggarkan' matlamat program, sebagai salah satu usaha mengajak anak-anak muda kita memahami rasa cinta yang mendalam terhadap negara dengan melahirkan warga yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi, sekiranya program ini tidak jauh bezanya dengan seorang guru sastera yang menilai sejauh mana anak muridnya lulus menjawab soalan-soalan yang diberikan. Mereka tidak merasakan suatu penghayatan telah dinikmati, samada tidak faham atau memang mereka tidak minat untuk faham, di mana akhirnya yang lebih diutamakan mereka hanya terhibur kerana menjayakan sebuah persembahan tetapi tidak ada sedikitkan 'roh' sastera dan budaya itu melekat dalam jiwa mereka. Mereka membaca puisi, mereka menyampaikan lagu tradisi, mereka beraksi melakonkan watak-watak Pak Pandir, Pak Kadok (?) ... tetapi bagaimana dengan nilai-nilai penting dan teras daripada puis-puisi para penyair besar kita, apakah mereka dapat merasakan keberadaan makna ketika beraksi dengan meriah di pentas? Mereka telah dihiburkan, mereka merasa gembira, mereka berkesempatan mengenakan busana yang indah... selain ada kenangan terindah apabila mampu menyampaikan Gurindam Semantan, Nazam, Syair Bidasari atau Siti Zubaidah dengan baik. Kita juga melihat anak-anak dari keturunan bukan Melayu juga bekerja keras belajar mendeklamasi puisi atau mengaksikan gerak-gerak kreatif. Mungkin mereka masih 'kabur' tentang semua itu tetapi kenangan memberikan makna tersendiri kerana belum tentu ada suatu masa yang baru untuk mengulangi peristiwa yang sama. Ini aspek kejayaan yang wajar dihargai menerusi PPSB.

Kita sebaiknya tidak dikhayali dengan kesan kecil tersebut. Barangkali kita harus juga mengingat kembali sepanjang empat tahun dan merenung apakah peranan kita itu telah berhasil, atau sekurang-kurangnya menilai dari aspek nilai sastera dan budaya yang digembelingkan. Memang semua fasilitator telah bekerja keras mengisi masa 6 fasa atau 18 jam untuk PPSB. Ada fasi yang mampu menampilkan persembahan para pelatih dengan cemerlang kerana latar belakang pengalamannya yang baik dan ada juga fasi yang masih meraba-raba untuk membentuk anak-anak muda ini membuat sebuah persembahan berdasarkan acuan yang disediakan DBP. Di sini timbul pula ketidakseragaman yang mencatatkan program ini secara keseluruhan. Namun hanya kata-kata ini yang dapat diberikan: apa nak buat, itu yang termampu. Maka, kita pun harus menerima dengan terbuka segala kata-kata dan berusaha juga dengan jujur menikmati makna kata-kata yang diucapkan walapun pahit untuk ditelan, kerana itulah sahaja yang termampu. Tepuk dada tanya selera.

KEM TANAKI TAMBUNAN: PPSB YANG TIDAK DILUPAKAN



Seingat saya PPSB Siri 2/2008 di Kem Tanaki Tambunan selama 2 hari bermula 5 hingga 6 Mei baru inilah yang paling menarik, paling mencabar dan memberikan kepuasan yang luar biasa. Saya fikir rakan seperjuangan yang menggalas tugas yang sama seramai 8 orang yang lain juga mempunyai persepsi yang sama. Secara peribadi inilah juga keupayaan yang memberikan kami suntikan terbaik untuk melestarikan PPSB dilaksanakan dengan jayanya.



Kami belum dapat menggambarkan apa yang akan berlaku apabila diberikan hanya 2 hari bertugas oleh Komandan kem berkenaan. Ketua Fasilitator, Jasni Yakub sanggup menerima cabaran itu dibantu fasilitator-fasilitator yang dengan penuh siaga memperkasakan persiapan-persiapan sewajarnya. Kami tiba di kem Tanaki seawal pagi 5 Mei, memang rasa rindu yang amat sangat untuk menemui pelatih-pelatih PLKN walaupun wajah mereka tidak sama dengan pelatih-pelatih yang pernah ditunjukajar dalam PPSB siri yang lepas. Apa yang terbersit dalam fikiran ialah apakah yang bakal kami hadapi kali ini sama sahaja atau lebih hebat rintangannya? Persiapan saya sebagai Fasilitator Urus setia memang ada sedikit tambahan berbanding yang lepas-lepas, ini termasuklah paparan slide untuk sesi pengenalan, di samping input-input lain seperti pengetahuan etiket dan protokol untuk didedahkan kepada para pelatih yang berada dalam kumpulan saya. Bagaimanapun, paparan yang dimaksudkan tidak begitu berfungsi dengan baik kerana dalam keadaan dewan yang terbuka. Namun begitu sesi pengenalan berjalan dengan lancar, memang semua fasi di kem Tanaki mempunyai pengetahuan yang relevan. Masing-masing telah memperagakan kebolehan berseloka, bergurindam, bersajak malah yang mengejutkan saya juga KF sendiri mampu menyampaikan Bongai walaupun barangkali tidaklah sebaik Aripin Said atau Roslan Madun penanyi lagu-lagu rakyat yang terkenal itu. Apa yang penting penampilan para fasilitator PPSB ini telah menarik perhatian para wira dan wirawati. Apatah lagi dengan penampilan Cikg Mohamed Haji Salleh yang lebih popular dengan gelaran komersialnya 'OM'. Dengan semangat yang tinggi, beliau menyampaikan lagi Gurindam Semantan. Kami juga menunjukkan sebuah rakaman PPSB siri 1/2008 kepada para pelatih. Ini sedikit banyak memberikan inspirasi kepada para pelatih.


Hari pertama, hingga jam 10.30 malam. Ditolak sesi pengenalan hanya 5 jam masa yang ada untuk latihan awal. Cuba bayangkan bagaimana cabaran terpaksa dihadapi. Memang tidak dapat diramal apakah para fasilitator dapat memilih pendeklamasi puisi yang baik atau penyampai puisi tradisional yang sesuai. Apatah lagi untuk membawa kalangan pelatih yang bukan berbangsa Melayu yang memang ramai juga ditempatkan dalam kem tersebut. Kami bekerjasama. KF terus memantau, membantu dengan gigihnya di mana akhirnya mampu membentuk persembahan tiga kumpulan yang belum begitu sempura. Kesempurnaan ini akhirnya disaksikan pada keesokan harinya hingga tengah hari. Kami berganti-ganti menggunakan pentas dewan untuk latihan sebagai usaha membiasakan para pelatih dengan disiplin pentas. Hinggalah pada sebelah petang hari kedua itu diisi dengan raptai. Kami menghadapi sedikit kebimbangan, apa jadi malam nanti. Apakah semua kumpulan telah bersedia untuk menunjukkan sesuatu yang baru kepada Tuan Komandan, sesuatu yang tidak pernah beliau saksikan atau setidak-tidaknya mengotakan janji KF sebelum ini bahawa pertunjukan Malam Citra Puisi kali ini lain dari yang lain. Kenyataan ini menambah azam kami semua untuk membuktikannya.


Kerja-kerja pengurus setiaan di bawah saya juga berjalan dengan lancar. Seperti biasa saya melatih dua orang wira dan wirawati menjadi pengacara majlis untuk sesi persembahan kumpulan. Saya memberikan sedikit pendedahan tentang apa yang patut dilakukan dalam mengendalikan sesebuah majlis seperti MCP yang akan berlangsung, misalnya kepada penyambut tetamu, bagaiman etiket mereka, bagaimana cara menyambut. Menariknya lagi, empat orang wira dilatih untuk menggerakkan silat gendang ketika menyambut tetamu. Tugas saya bercambah lagi apabila harus memberikan bimbingan untuk persembahan pula. Saya tiada waktu yang banyak, lantas membuka laptop dan memperdengar lagu seloka Pak Pandir nyanyian Roslan Madun. Saya juga melatih seroang wirawati membaca puisi. Mereka berlatih dan memang berlatih betul-betul menggunakan peralatan muzik yang memang saya bawa seperti gitar dan kompang (dibeli hasil 'upah' PPSB juga). Sambil itu terus memberi panduan kepada wira yang membantu saya menyediakan paparan semasa MCP nanti. Kami harus menyediakan banyak data termasuklah sinopsis persembahan, teks puisi dan juga maklumat fasilitator. Alhamdulillah, meskipun kerja-kerja pendataan hanya mampu saya siapkan ketika balik ke rumah penginapan, saya sempat memperelokkan lagi paparan tersebut bagi memberikan sedikit bantuan kepada Komandan dan para hadiri lain yang tidak begitu memahami bentuk persembahan para pelatih.


Alat siar raya juga telah disiapkan, lengkap. Backdrop juga telah dipasang, cantik. Hadiah dan cenderamata telah disusun di meja. Meja juri juga siap dengan segala dokumentasinya. Bangku para tetamu juga siap. Alat audio visual juga telah dipasang. Memang cukup bersedia. Begitupun KF masih sibuk mengurus pelbagai perkara penting. Saya tidak banyak bercakap, sibuk menyesuaikan paparan pada skrin putih. Setelah segalanya siap, barulah saya bercakap-cakap dengan Cikg Om, Cikgu Karim, Cikgu Hamidun, Cikgu Mariam, Cikgu Maznah, Cikgu Nurul Syafika dan Cikgu Roy yang bersedia untuk memulakan majlis sebaik sahaja Tuan Komandan tiba.


Persembahan kumpualan urus setia membuka tirai panggung. Ini perbaharuan kami, yang biasanya kumpulan urus setia membuat pertunjukan di hujung majlis. Disusuli empat kumpulan pertama tanpa henti. Inipun satu pembaharuan. Selepas itu, tiga kumpulan seterusnya juga tanpa henti. Tiada sebarang cacat cela, rintangan besar tetapi berjalan lancar. Semua wira dan wirawati kumpulan urus setia telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna - daripada penyelaras pentas (diketuai Cikgu Karim Gulam) hinggalah kepada para juri, penjaga masa, pengurus giliran kumpulan dan penyelaras hadiah/cenderamata. Kami amat berbangga anak-anak didik kami memahami apa yang mereka patut buat, walaupun perhubungan kami hanya mekar selama dua hari atau bagi istilah program ini 6 fasa 18 jam. KF menyampaikan salam maaf daripada Penyelaras PPSB Negeri yang tidak dapat hadir tetapi dengan semangat yang menyala menghargai kesediaan Komandan Kem bersama isteri menyaksikan MCP. Kelihatan dengan jelas tuan Komandan berpuas hati kerana kami telah mengotakan kata-kata KF. Tuan Komandan menganggap program yang ringkas ini cukup berjaya, meskipun masanya pendek, hasilnya bakal dibawa pulang oleh para pelatih dengan pengalaman baru yang menarik. Ini diungkapkannya semasa menutup PPSB. Mereka juga disajikan dengan persembahan daripada Jurulatih PLKN ang tidak kurang hebatnya juga di samping persembahan Cikgu Mohamed Haji Salleh (OM) yang menyampaikan lawak yang mengandungi pengajaran untuk semua hadirin.

Kami tidak segera pulang walaupun sudah meninggalkan dewan kem. Di kawasan letak kereta kami mengenang semula peristiwa selama dua hari itu. Kami menilai balik kelemahan dan kelebihan yang ada. Dengan kesimpulan bahawa sebuah kerja yang hasilnya mantap adalah kerana kerja berpasukan tanpa memilih sikap mementingkan pertandingan. Saya fikir inilah yang harus dilakukan kerana matlamat sebenarnya PPSB yang diakhiri dengan majlis MCP ialah untuk melahirkan kesedaran sastera dan budaya sebagai hasil yang harus sama-sama dirasa baik para pelatih mahupun fasilitator. Sudah tentu untuk sesi yang akan menyusul beberapa bulan akan datang ini mengajak para fasilitator ini memperagakan sesuatu yang lebih menarik. Ya, betul, itupun jika nama masih berada dalam senarai, kata Cikgu Mohamed Haji Salleh, satu-satunya fasilitator yang berpengalaman pelbagai bidang seni. Kami juga banyak belajar daripadanya. Terima kasih juga kepada semua rakan seperjuangan.


Tambunan, Sabah,7 Mei 2008

Jumaat, Mei 02, 2008

PPSB - antara sikap acuh tak acuh dan perjuangan

PROGRAM Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) akan berada dalam kem-kem PLKN di enam tempat di Sabah bermula pada 5 Mei ini bagi Peringkat 2/2008. Kem-kem yang akan memulakan sesi latihannya ialah Tanaki Tambunan, Wawasan Papar dan Sinar Jaya Kota Belud. Kem Kubena terpaksa ditutup untuk kali kedua apabila berlaku tanah runtuh. Agak merungsingkan juga lokasi kem ini kerana memang kedudukannya yang berbahaya - kawasannya berbukit tanah merah, risiko untuk runtuh memang ada. Lazimnya bagi manusia yang hanya melihat PLKN sebagai sebuah 'perniagaan' tetapi enggan menyedari apakah risiko keselamatan wajar diambil perhatian terlebih dahulu sebelum ia dijadikan lokasi yang sesuai untuk mendidik anak-anak kita menjadi individu yang mengetahui bagaimana memperkasakan diri mereka melalui latihan-latihan yang terdapat di kem berkenaan. Saya pernah menjadi Ketua Fasilitator (KF) untuk PPSB sejak kem berkenaan dibuka iaitu pada penghujung tahun 2005 - agak memenatkan juga untuk tiba dengan kereta kancil 660cc, sejak itu tidak banyak pembaikan dibuat kerana jalan yang menghubungi kem juga digunakan oleh kenderaan berat keluar masuk pekan Sipitang. Ada ketika kereta kami tidak boleh menaiki bukit terutama padai musim hujan. Ada waktunya juga kami tidak dapat balik ke bandar kerana banjir. Dan sekarang, kem Kubena kembali sunyi sebagaimana sebelumnya! Dalam hati kecil saya (tidak lebih daripada itu) yang barangkali dipersetujui oleh KF-KF atau fasilitor-fasilitator yang lain iaitu alangkah baiknya jika Komandan kem Kubena (yang ditutup itu) mengantikan Komandan kem KK di Bawah Bayu Kauluan Tuaran. Mahu tahu alasannya, tanya orang-orang yang pernah bertugas terutama Penyalaras PPSB Zon 1 Negeri Sabah!

Malam Rabu lepas (tanggal 30 April), semua fasilitator berkumpul di Sudut Penulis DBP Sabah, mengikuti majlis takimat PPSB untuk kesekian kalinya oleh Pengurus PPSB Puan Zaiton Hussin dan Penyelaras PPSB Negeri Sabah (PN) Zon 1 Sdr Jasni Matlani. Seperti lazimnya juga fokus taklimat ialah berkaitan pemantapan PPSB, batas-batas sebagai fasilitator semasa mengajar, boleh dan tidak boleh untuk mengajar hinggalah kepada apa yang boleh dan tidak boleh dibuat tuntutan perjalanan selepas mengajar. Post mortem untuk peringkat 1/2008 juga telah disampaikan oleh PN. Memang banyak isu yang dibangkitkan, dan apa yang masih diperkatakan sejak lama dulu ialah kerjasama di pihak kem termasuklah sikap acuh tak acuh sesetengah Komandan dan para petugas kem-kem berkenaan. Mereka sering melihat PPSB sebagai sesuatu yang 'kurang penting' berada di kem sebagai salah satu elemen pengajaran kepada para pelatih PLKN. Walaupun PPSB telah jelas memberikan input serta output yang amat baik malah menjadi penting terutama dalam usaha mengetengahkan semangat cintakan negara melalui unsur-unsur budaya dan sastera. Saya tidak tahu sama ada para pentadbir di kem-kem terbabit faham kerana bagi mereka nilai-nilai murni yang disemai menerusi unsur-unsur budaya dan sastera itu tidak menguntungkan, samalah barangkali pandangan sesetengah pihak terhadap sastera hinggakan meletakkan subjek ini berada sekadar di pinggiran. Para pelajar sastera secara persepsi menjadi pelajar kelas rendah berbanding pelajar-pelajar sains dan matematik. Ini terbawa-bawa pula ke arena yang lain - kem pembentuk generasi muda ialah PLKN.

PPSB tetap membawa manfaat kepada para pelatih PLKN. Meskipun jangkamasanya hari telah berubah, daripada 6 hari kepada 2 atau tiga hari, program ini telah memberikan makna yang tersendiri. Berlaku persaingan masa untuk PPSB dilaksanakan dan sering terganggu dengan latihan-latihan lain seperti latihan menembak, aktiviti-aktiviti di kem yang bertembung dengan masa yang diberikan untuk PPSB. Pada peringkat yang lepas, banyak aduan diterima oleh KF-KF PPSB selain kerjasama yang tidak memberangsangkan daripada kem malah mereka dengan bersahaja mengganggu PPSB dengan program-program lain seperti sukan Futsal. Mereka membawa para pelatih keluar kem hanya untuk berfutsal tanpa menghormati peranan PPSB sedang berlangsung. Sikap begini bukan baru, apa yang kita sangsikan ialah mengapa pihak pengurusan JLKN tidak memandang serius segala aduan yang pernah diutarakan terutama daripada aspek kerjasama yang amat dituntut. Apakah menunggu masanya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Malaysia campur tangan. Sindrom ini perlu diubah dan diubati. Jangan merasa selesa sangat apabila mendapat sedikit kuasa tetapi tidak berlaku adil kepada pihak lain. Di sini kita juga ingin melihat 'kuasa' yang ada pada DBP Malaysia dalam menangani isu yang sedang berbangkit ini. Saya fikir perkara ini telah berleluasa, ia bukan satu isu yang terpecil dan dipandang mudah. Kesianlah kepada semua KF khususnya dan amnya kepada tenaga pengajar PPSB.

Begitupun semangat para fasilitator PPSB patut dipuji kerana walau apapun juga cabaran, rintangan dan bebanan yang dihadapi, PPSB tetap berjalan dengan lancar. Segala cabaran, rintangan dan bebanan itu menjadi rempah ratus pengorbanan untuk menyemai nilai-nilai baik dan murni yang ada dalam budaya dan sastera kita ke dalam jiwa anak-anak yang menjadi pelatih di PLKN. Jangkamasa yang diberi hanya tidak lebih 18 jam atau 3 hari penuh, namun jika inilah yang telah ditentukan, kita harus menunjukkan kemampuan yang maksimum agar PPSB benar-benar menyalurkan matlamat unggulnya. PPSB adalah milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita mempertahankan kewibawaannya.