Sabtu, Januari 14, 2023

Pengalaman Religius Haji dalam Sajak (Utusan Borneo 4 Disember 2016)




Oleh: Mohd Izzuddin Fitri Abdul Aziz, Sabah. 

TERDAPAT empat buah sajak Hasyuda Abadi terbit pada 13 November 2016 menceritakan tentang pengalaman religius beliau melaksanakan ibadah haji. Pencari Batu, Mengoyak Riyak, Bahasa Istiqamah dan Syiar Aidiladha. Peristiwa atau pengalaman ini ditumpahkan ke dalam bentuk sajak. Bagaimana seorang penyair menuliskan pengalaman itu ke dalam sajak?

Salah satu siri wajib ibadah haji adalah Melontar Jamrah. Jemaah akan bermalam atau mabit di Muzdalifah setelah terbenam mentari pada 9 Zulhijah. Mempersiapkan diri sebelum Melontar Jamrah keesokan paginya. 10 Zulhijah adalah tarikh melontar bersamaan hari raya Aidiladha.

Jamrah bermaksud tiang dalam bahasa Arab. Jemaah akan melontar sebanyak tujuh buju batu. Tiang tu sebenarnya adalah sebagai penanda sahaja. Sebenarnya ia mengimbas kembali perbuatan Nabi Ibrahim a.s melontar syaitan kerana menimbulkan was-was ketika menunaikan perintah Allah. Ia juga mengambil daripada sunnah Rasulullah yang melontarnya setiap menunaikan ibadah haji. Ia sebenarnya protes terhadap tindakan mesir Kuno menyembah Obelisk. Obelisk (tiang) ialah sebuah simbol kepada Tuhan Amun Ra. Dipercayai diambil dari bentuk Sun Pillar.

Sajak pertama mencitrakan pengalaman beliau sebagai pencari batu. Bermalam di Muzdalifah yang diumpakan beliau sebagai taman. Lantainya yang sejuk. Baris ketiga dalam rangkap pertama tiba-tiba bertukar kepada teringat batu sebelum berangkat. Batu itu ada tujuh semuanya untuk dilempar kepada syaitan degil. Pada rangkap ketiga menggambarkan suasana malam di Muzdalifah yang diam namun para jemaah terasa ditemani oleh malaikat dan Tuhan jua yang merestuinya. Begitulah bagaimana kemahiran seorang penyair mendeskripsi situasi ketika berada di sana. Bagaimana semua sedang tunduk menghadap Ilahi. Perasaan yang sungguh menenangkan menjadi buruan jemaah setiap tahun.

Puisi kedua bertajuk Mengoyak Riyak menceritakan tentang bangga diri. Kita tidak harus riyak dalam ketika berada di tanah suci. Allah yang telah menjemput para jemaah menunaikan haji. Ia tidak seharusnya menjadi kebanggan atau riyak dalam hati.

 

Kami datang atas undangan

menjadi dhuyufurrahman

bukan riyak

doa yang dibacakan hanya Dia yang berhak

 

Begitulah penyair Hasyuda Abadi memberi pesan kepada jemaah lain supaya jangan riyak dalam beribadah. Setiap apa yang dilakukan di tanah suci itu akan dibayar tunai. Sudah banyak kisah-kisah haji yang kita dengar mendapat balasan serta merta. Begitulah puisi ini membenarkan dan memberi amaran kepada para jemaah agar sentiasa mengikhlaskan diri dalam beribadah. Jangan terpaksa atau memaksa diri.

Dalam puisi Bahasa Istiqamah, sangkutan daripada puisi mengenai riyak, penyair mula memahami tentang erti cabaran dalamnya aqidah. Akidah merupakan rukun agama yang menjadi asas kepada keimanan yang diyakini. Beliau menuliskan

Telah kufahami erti cabaran

yang lebih mendunia

di dalamnya satu aqidah

 

Lalu beliau mendapati sesuatu tentang bahasa mereka yang ramai menuju ke kiblat di setiap lorong.

 

Kiblat yang dituju

ketika berbondong setiap lorong

kamu berbahasa apa?

Inilah bahasa manusia

ditandai senyum tapi tak semua menerima

atau berjabat tangan, nah ini persaudaraan.

 

Beliau bukan sebenarnya mempersoalkan bahasa apa yang digunakan. Ia sebagai perlambangan kepada kepelbagaian bangsa ia memiliki berbilang bahasa. Bahasa jiwa bangsa. Bagaimana seseorang bertutur itu menunjukkan kebangsaannya. Penelitian beliau mencitrakan jemputan-jemputan yang hadir dari setiap pelosok negara. Walau masing-masing memiliki bahasa, warna kulit, dan adat yang berbeza, tetap memahami konsep Islam Ad-din yang sama. Beliau menyambung lagi…

 

Rumpun ini bukan kecil

kita diamanahkan meningkatkan syiar

dan ini buktinya tuju tawaf dan saie’

 

Beliau sedang mencitrakan kesatuan hati umat Islam beristiqamah dalam perbezaan bangsa demi menengakkan syiar Islam.

Puisi keempat menceritakan kebesaran Aidiladha. Beliau mencatatkan peristiwa yang berlaku semasa menyambut Adiladha di Mina. Ketika cahaya terbenam dalam sirna wajah. Tentang kerinduan terhadap ketenangan jiwa yang dialami. Pada rangkap ketiga baris pertama dan kedua bersangkut paut. Namun baris ketiga berlaku sedikit kekeliruan. Apakah kesinambungan wajah yang riuh tenggelam dalam riang dan cahaya merawat keimanan. Beliau menuliskan begini…

 

meramahi riuh wajah

rupanya tenggelamnya riang

cahaya merawat keimanan

 

Wajah dan keriangan itu berkenaan dalaman dan luaran. Betapa wajah itu dapat memancarkan sinar keikhlasan. Mungkin penyair ingin memgungkapan cahaya yang terpancar di wajah dapat merawat keimanan. Tidak nampak jelas cahaya apa yang dimaksudkan oleh penyair. Mungkin saja tiba-tiba cahaya muncul, menunjukkan segala kemungkinan boleh berlaku atas kekuasaanNya jua.

Bukan mudah untuk menumpahkan pengalaman religius ke dalam sajak. Pemilihan perkataan harus tepat agar tidak menimbulkan kekeliruan. Terutamanya Sajak Pencari Batu yang memiliki sejarahnya tersendiri. Ada istilah tertentu yang digunakan penyair yang tepat, seperti mabit separuh malam. Apabila sebut mabit ia menggambarkan tentang bermalam d Muzalifah. Sekiranya penyair tidak menyebut un Muzalifah menjadi taman pada baris pertama. Pembaca tentu di mana seharusnya mabit separuh malam itu berlaku. Mungkin perlunya pencarian kata habuan terlaknat syaitan degil. Habuan itu biasanya memberi keuntungan kepada orang yang mendapatnya. Jika dilihat semula protes terhadap penyembahan Obelisk sebenarnya ia bukan berbentuk habuan. Lebih kepada simbolik ketidaksetujuan.

Tuntasnya, menumpahkan pengalaman religius ke dalam sajak bukan kerja mudah. Kita harus memiliki kemahiran tinggi dalam menginterpretasinya. Ia soal ketuhanan sedikit sahaja silap boleh menyebabkan kepesongan. Tapi tidak menjadi masalah kepada penyair yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Penyair Islam Sabah (2008). 

Tiada ulasan: