Sabtu, Februari 14, 2009

Suatu Ungkapan


buat sendiri

Tiada Siapa Akan Melakukan

Melainkan diri sendiri atau kita dan kami semua yang memiliki iltizam tersendiri. Ini jawapannya, apabila ditanya mengapa gerakan sastera di Sabah kelihatan muram sejak akhir-akhir ini. Tidak ada suatu perhimpunan yang dianggap gemilang sejak 2004 ketika Perkampungan Sasterawan berlangsung di Papar, Sabah. Selepas itu aktiviti persuratan diisi tetapi lebih kepada semacam 'pesta' semata-mata yang tidak banyak meninggalkan bekas setidak-tidaknya bahan-bahan ilmiah yang perlu diterbitkan.

Namun demikian, insyaallah, bulan Mac depan, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan melaksanakan sebuah perhimpunan sasterawan, budayawan dan ilmuan pelbagai kaum di Negara ini yang dijangkakan berlangsung di Kota Kinabalu. Program ini diharap dapat mengisi lompang aktiviti persuratan yang selama ini amat dinanti-nantikan.

Selain daripada itu, Bahasa juga bersama-sama IPS akan menganjurkan pertemuan penulis muda seluruh Negeri Sabah pada tahun ini. Memang bakal mendapat sambutan yang hangat di kalangan generasi muda. Gerakan sastera di Sabah akhirnya perlu ditenagai oleh Persatuan Penulis serta individu-individu yang mempunyai iltizam yang amat tinggi.

Jika bukan kami atau kita atau diri sendiri, siapa lagi. Ungkapan ini terbit daripada hati sanubari pendukung dunia persuratan masa kini.

Rabu, Februari 11, 2009

Gerbang Hasyuda Abadi


Walaupun belum siap sepenuhnya, gerbang rasmi saya di www.kreatifha.com sudah beroperasi, boleh ikuti diskusi yang disediakan. Saya mengalu-alukan kunjungan anda dan mendaftar sebagai rakan di dalam gerbang berkenaan.

Salam Sastera Sejagat
dan Salam Perjuangan

Isnin, Februari 09, 2009

Tentang Melayu

Jika kayu dijaga perlu,
Kayu dipandang diukir teliti;
Jika Melayu melayukan Melayu,
Melayu hilang siapa peduli.

Costa Rica di depannya selat,
Pantai landai kegemaran pelancong;
Satukan kata menyampaikan amanat,
Utuhkan pandai membidas bohong.

Bunga angsana berapung di udara,
Kering daunnya baru bercambah;
Melayu mana yang mudah lupa,
Bila bijaksananya ditafsir salah.

Le Paris @ Costa Rica,
Port Dickson.
5 Ogos 2006

Ahad, Februari 08, 2009

Perjuangan

tentu kau silap saat memberiku api
katamu itulah cahaya membuka
lorong jalan kebenaran
mengajak hati-hati putih ke hadapan
menyonsong panji-panji perjuangan

tentu kau silap saat memberiku mimpi
katamu itulah ruang menterjemah
bayang-bayang masa hadapan
gerbang jaya impian kebahagiaan
jangan henti, katamu lagi, ini perjuangan!

tentu kau silap saat memberiku nafiri
katamu itu suara jati diri
kuasa menenggelam kepalsuan duniawi
berkumpullah sekalian bijaksana
atur gerak semarakkan mara berjuang

telah sekian kali perjuangan dilafazkan
menidakkan hak yang benar
membenarkan batil yang nanar
kebenaran telah tak berharga
menjadi alat-alatan perjuangan buta

tentu kau silap apabila setiap senyap
tak pernah siap dan kata-kata tak pernah lenyap
api, mimpi dan nafiri disaji menggarap malap
perjuangan slogan yang membeku
kering dan layu.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.
8 Feb 2009.

Babak-babak Haprak

Hanya kudengar ledakan kata-kata
menyatakan sasaran-sasaran propaganda
masing-masing meletakkan kebenaran
senjata mereka rasa benci
adu domba khianat
dendam kesumat

hanya kudengar hahuha
sana sini di media-media
kata-kata disulam sebegitu rupa
sambil percaturan diadili
sebagaimana adanya empunya kuasa
retorik pemilikknya hahuha

hanya kudengar sekian lama
dari kukecil hingga dewasa
kukenal kekerdilanku rakyat biasa
kudiperkenal kedewasaanku dunia hahuha
peperangan tak pernah reda
kebijaksanaan yang bodoh dibela
kebodohan yang bijak dipersenda

hanya kudengar kedegilan
di mana-mana musuh dan lawan
di sini bermusuh
esok menandatangani persahabatan
di sana persahabatan
lusa menyatakan permusuhan

inila dunia hahuha
peperangan benci sepanjang zaman
sambil rakyat penonton persembahan
teater kehidupan babak-babak haprak
yang mencalar balar masa hadapan

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu