Sabtu, Mei 03, 2008

Perihal Seniman dan Ahli yang Berhormat

Saya teringat apabila seorang sahabat dipindahkan ke bahagian lain lantaran menyiarkan cerpen karya penulis yang memihak kepada sebuah parti politik pembangkang, tugasnya sebagai editor ternyata mencabarnya antara kebenaran sebagai seniman dan kedudukannya dalam lingkungan 'saya yang menurut perintah'. Ini cerita lama yang saya percaya telah dilupakan. Hari ini saya mengenangkannya apabila seorang sahabat menceritakan kawan-kawan kami yang terlibat dalam pilihan raya umum negara baru-baru ini. Memang ramai kawan-kawan saya bertanding dan malangnya ramai memilih parti pembangkang dan bebas. Saya tahu menyertai pilihan raya sebagai calon bakal menerima pelbagai risiko terutama yang tidak memihak kepada parti kerajaan. Begitu pun sekiranya semua pihak berfikiran rasional, tidak timbul sebarang sikap prejudis, kerana apa yang penting setiap pilihan itu wajib dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kewajipannya untuk berkhidmat kepada rakyat. Kadang-kadang semata-mata untuk rakyat, pelbagai keistimewaan yang pernah diterimanya sanggup dilupakan. Ada kawan yang sanggup melepaskan jawatannya dalam perkhidmatan semata-mata ingin menyatakan sesuatu untuk rakyat jelata.

Saya tidak ingin bersikap prejudis kepada sesiapapun yang memiliki pandangan yang berbeza antara satu sama lain. Pada saya apa yang perlu dilihat ialah fokus perjuangan mereka dan kita biasanya ingin memilih kebenaran. Mungkin saja ada sikap yang tidak baik di kalangan individu-individu tertentu yang harus diterimanya sebagai hukuman. Buat baik wajar dibayar dengan kebaikan, tetapi jika sikap yang tidak baik apakah jawapannya hal yang sebaliknya. Kita lihat rasional perbuatannya terlebih dahulu, saya fikir.

Sudah agak lama juga tidak berjumpa dengan sahabat-sahabat yang dimaksudhakan seperti Awang Karim Kadir selepas sahabat ini bertanding atas tiket Bebas di kawasan Tanjung Kapur Kudat. Seorang penggerak teater yang berkaliber, malah penyair dan penulis cerpen yang baik, petah berhujah dan berpandangan jauh terhadap apa juga isu. Saya ingin mengaitkan fokus tulisan di awal tadi dengan Awang Karim, walau apapun pandangan beliau terhadap dunia kehidupan ini, Awang Karim masih seorang seniman yang harus diberikan tempat sebaiknya di sisi masyarakat seniman. Apakah kerana beliau menyertai pilihan raya dan tidak memihak kepada pemerintah beliau wajar disisihkan, tentu tindakan ini tidak masuk akal sebagai seniman dan dengan pemikiran yang terbuka meletakkannya dalam sebuah bilik yang terasing. Karya-karyanya sudah patut sekali diterbitkan, sewajarnya juga mengetengahkan sebarang karyanya dibicarakan terutama sekali yang terdapat dalam teks KOMSAS.

Memang tidak menghairankan sekiranya ada kalangan yang memandang serong kepada orang-orang seperti Karim kerana bukan beliau sahaja yang menerima natijah sedemikian. Saya tetap menghormati Tuan Haji Ismaily Bongsu atau Jamal Sulai misalnya, walaupun dari segi idealisme politik mereka memilih parti pembangkang tetapi dari sudut kesenimanan mereka saya fikir menjadi soal lain yang harus dihormati. Semua yang mengenali Haji Ismaily (bertanding di Parlimen Kimanis) tentu tahu sikap dan juga caranya berbicara, berhujah, berfikir ... Begitu juga Jamal Sulai (bertanding di DUN Tungku, Lahad Datu), meski siapa pun mereka ini, jangan letakkan jurang yang jauh untuk mereka. Menjadi suatu kerugian kepada gerakan budaya dan juga sastera kita. Saya fikir telah tiba masanya perilaku jumud atau prejudis terhadap seseorang itu diketepikan. Misalnya memadamkan 'bakti dan jasa' mereka daripada peta dan sejarah sastera dan budaya kita. Sudah sampai masanya juga kita berfikiran terbuka, para pengurus gerakan budaya dan sastera kita harus bangun bersama menyatukan buah fikiran secara relevan. Tidak ada ertinya sifat-sifat jumud yang hanya mementingkan realiti semasa tetapi apakah semangat semasa itu berlanjutan atau setakat 'hangat-hangat tahi ayam' atau ketika mereka mengambil kesempatan atas situasi bobrok sekarang lalu meletakkan diri berada di hadapan kononnya ingin menyatukan masyarakatnya yang sedang berpecah belah. Cuba baca ini dan renungkan di mana rasionalnya peranan sebuah pertubuhan yang menjadi tunggangan pihak tertentu. Kita perlu bersikap realistik dengan memecahkan tradisi berburuk sangka, bukankah ini amalan dan sifat yang telah lama didukung, jika tidak tentu tidak terjadi peristiwa perpecahan yang bukan alang kepalang lagi sekarang ini. Ungkapan-ungkapan lama seperti 'carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga', atau 'air ditetak tidak kan putus' atau 'bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat' memang sering diterjemahkan dalam masyarakat kita. Keindahan pada kata tidak semudah atau tidak seindah perilaku kita. Hingga bila telah 'terhantuk barulah terngadah' barulah mencari cara membetulkan silap dan salah.

Kita tidak ingin masyarakat seniman juga menerima peristiwa yang sama khsususnya di Sabah. Komuniti sastera kita tidak begitu besar namun ia boleh digahkan dengan caranya yang tersendiri. Melalui budaya yang telah tercerna sekian lama melalui keindahan bahasa seperti pantun dan syair dan kini corak berhujah yang semakin canggih, saya fikir belum terlambat untuk meletakkan semula segala kekurang yang ada di tempat yang mulia . Kita harus menjadikan peristiwa yang terjadi di Dewan Parlimen baru-baru ini sebagai ikhtibar menerusi cara dan sikap ahli Parlimen kita yang rendah caranya berbahasa. memberi gambaran yang lain tetang masyarakat di Sabah. Tentu kita tidak mahu menerima tohmahan atau ejekan yang lebih buruk daripada itu. Walaupun semua itu berpunca daripada cara melayan emosi, namun kita harus sedar tentang persiapan sebelum memulakan sesuatu. Sebab itu kita harus kembali kepada akar budaya kita. Bukan budaya Melayu sahaja tetapi budaya pelbagai kaum yang sifat akarnya lebih memilih kepada semangat harmoni bukan 'main redah sahaja' sambil memikiran rakyat di luar yang mengharapkan sesuatu yang lebih berharga daripada bercakaran dan berhujah tanpa memberi sebarang makna.

Jumaat, Mei 02, 2008

PPSB - antara sikap acuh tak acuh dan perjuangan

PROGRAM Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) akan berada dalam kem-kem PLKN di enam tempat di Sabah bermula pada 5 Mei ini bagi Peringkat 2/2008. Kem-kem yang akan memulakan sesi latihannya ialah Tanaki Tambunan, Wawasan Papar dan Sinar Jaya Kota Belud. Kem Kubena terpaksa ditutup untuk kali kedua apabila berlaku tanah runtuh. Agak merungsingkan juga lokasi kem ini kerana memang kedudukannya yang berbahaya - kawasannya berbukit tanah merah, risiko untuk runtuh memang ada. Lazimnya bagi manusia yang hanya melihat PLKN sebagai sebuah 'perniagaan' tetapi enggan menyedari apakah risiko keselamatan wajar diambil perhatian terlebih dahulu sebelum ia dijadikan lokasi yang sesuai untuk mendidik anak-anak kita menjadi individu yang mengetahui bagaimana memperkasakan diri mereka melalui latihan-latihan yang terdapat di kem berkenaan. Saya pernah menjadi Ketua Fasilitator (KF) untuk PPSB sejak kem berkenaan dibuka iaitu pada penghujung tahun 2005 - agak memenatkan juga untuk tiba dengan kereta kancil 660cc, sejak itu tidak banyak pembaikan dibuat kerana jalan yang menghubungi kem juga digunakan oleh kenderaan berat keluar masuk pekan Sipitang. Ada ketika kereta kami tidak boleh menaiki bukit terutama padai musim hujan. Ada waktunya juga kami tidak dapat balik ke bandar kerana banjir. Dan sekarang, kem Kubena kembali sunyi sebagaimana sebelumnya! Dalam hati kecil saya (tidak lebih daripada itu) yang barangkali dipersetujui oleh KF-KF atau fasilitor-fasilitator yang lain iaitu alangkah baiknya jika Komandan kem Kubena (yang ditutup itu) mengantikan Komandan kem KK di Bawah Bayu Kauluan Tuaran. Mahu tahu alasannya, tanya orang-orang yang pernah bertugas terutama Penyalaras PPSB Zon 1 Negeri Sabah!

Malam Rabu lepas (tanggal 30 April), semua fasilitator berkumpul di Sudut Penulis DBP Sabah, mengikuti majlis takimat PPSB untuk kesekian kalinya oleh Pengurus PPSB Puan Zaiton Hussin dan Penyelaras PPSB Negeri Sabah (PN) Zon 1 Sdr Jasni Matlani. Seperti lazimnya juga fokus taklimat ialah berkaitan pemantapan PPSB, batas-batas sebagai fasilitator semasa mengajar, boleh dan tidak boleh untuk mengajar hinggalah kepada apa yang boleh dan tidak boleh dibuat tuntutan perjalanan selepas mengajar. Post mortem untuk peringkat 1/2008 juga telah disampaikan oleh PN. Memang banyak isu yang dibangkitkan, dan apa yang masih diperkatakan sejak lama dulu ialah kerjasama di pihak kem termasuklah sikap acuh tak acuh sesetengah Komandan dan para petugas kem-kem berkenaan. Mereka sering melihat PPSB sebagai sesuatu yang 'kurang penting' berada di kem sebagai salah satu elemen pengajaran kepada para pelatih PLKN. Walaupun PPSB telah jelas memberikan input serta output yang amat baik malah menjadi penting terutama dalam usaha mengetengahkan semangat cintakan negara melalui unsur-unsur budaya dan sastera. Saya tidak tahu sama ada para pentadbir di kem-kem terbabit faham kerana bagi mereka nilai-nilai murni yang disemai menerusi unsur-unsur budaya dan sastera itu tidak menguntungkan, samalah barangkali pandangan sesetengah pihak terhadap sastera hinggakan meletakkan subjek ini berada sekadar di pinggiran. Para pelajar sastera secara persepsi menjadi pelajar kelas rendah berbanding pelajar-pelajar sains dan matematik. Ini terbawa-bawa pula ke arena yang lain - kem pembentuk generasi muda ialah PLKN.

PPSB tetap membawa manfaat kepada para pelatih PLKN. Meskipun jangkamasanya hari telah berubah, daripada 6 hari kepada 2 atau tiga hari, program ini telah memberikan makna yang tersendiri. Berlaku persaingan masa untuk PPSB dilaksanakan dan sering terganggu dengan latihan-latihan lain seperti latihan menembak, aktiviti-aktiviti di kem yang bertembung dengan masa yang diberikan untuk PPSB. Pada peringkat yang lepas, banyak aduan diterima oleh KF-KF PPSB selain kerjasama yang tidak memberangsangkan daripada kem malah mereka dengan bersahaja mengganggu PPSB dengan program-program lain seperti sukan Futsal. Mereka membawa para pelatih keluar kem hanya untuk berfutsal tanpa menghormati peranan PPSB sedang berlangsung. Sikap begini bukan baru, apa yang kita sangsikan ialah mengapa pihak pengurusan JLKN tidak memandang serius segala aduan yang pernah diutarakan terutama daripada aspek kerjasama yang amat dituntut. Apakah menunggu masanya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Malaysia campur tangan. Sindrom ini perlu diubah dan diubati. Jangan merasa selesa sangat apabila mendapat sedikit kuasa tetapi tidak berlaku adil kepada pihak lain. Di sini kita juga ingin melihat 'kuasa' yang ada pada DBP Malaysia dalam menangani isu yang sedang berbangkit ini. Saya fikir perkara ini telah berleluasa, ia bukan satu isu yang terpecil dan dipandang mudah. Kesianlah kepada semua KF khususnya dan amnya kepada tenaga pengajar PPSB.

Begitupun semangat para fasilitator PPSB patut dipuji kerana walau apapun juga cabaran, rintangan dan bebanan yang dihadapi, PPSB tetap berjalan dengan lancar. Segala cabaran, rintangan dan bebanan itu menjadi rempah ratus pengorbanan untuk menyemai nilai-nilai baik dan murni yang ada dalam budaya dan sastera kita ke dalam jiwa anak-anak yang menjadi pelatih di PLKN. Jangkamasa yang diberi hanya tidak lebih 18 jam atau 3 hari penuh, namun jika inilah yang telah ditentukan, kita harus menunjukkan kemampuan yang maksimum agar PPSB benar-benar menyalurkan matlamat unggulnya. PPSB adalah milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita mempertahankan kewibawaannya.

Khamis, Mei 01, 2008

Taboo Sebuah Bangsa

Ada ketikanya masyarakat tidak memandang secara adil antara situasi yang normal dengan situasi tidak normal di dalam komuniti berkenaan. Apa juga yang tidak normal itu menjadi 'taboo' bahawa sesuatu yang luar biasa telah terjadi dan ini merupakan sebuah kejayaan. Padahal ia bukanlah hebat sangat namun sengaja dijelmakan dalam fikiran sedemikian rupa. Agak menghairankan apabila taboo ini terjadi, wujud rasa ingin mempersalahkan satu pihak yang lain yang menurutnya memberi tamparan mengapa peristiwa luar biasa itu tercipta oleh komuniti atau bangsa lain? Di manakah maruah bangsa kita yang sewajarnya lebih mendalami, lebih berani, lebih ke depan, lebih jelas dalam keberadaannya apabila kebiasaan tersebut diperlakukan oleh orang lain yang bukan sepatutnya berada dalam komuniti berkenaan.

Apa yang ingin saya sampaikan ini merupakan suatu terjemahan fikiran yang mengasak agar saya menyatakan sebuah pandangan yang amat bertentangan, atau secara sederhana kurang bersetuju dengan kebiasaan pendapat kebanyakan orang malah di pihak yang ingin mempertanggungjawabkan isu perpaduan kaum di Negara kita ini. Cuba anda perhatikan dalam apa-apapun genre, peristiwa atau program yang membabitkan pelbagai kaum, apabila tampil kaum-kaum lain di tengah pentas dan melakukan yang kebiasaannya dibuat oleh orang Melayu, ia merupakan suatu yang amat istimewa. Orang India atau China yang mampu berbahasa Melayu dengan baik dianggap cukup luar biasa. Apabila kaum-kaum ini sanggup dan mampu membaca syair, pantun, gurindam dan bersajak di tengah-tengah khalayaknya orang-orang Melayu, begitu juga apabila orang Melayu mampu berbahasa Mandarin, mereka telah dimartabatkan sebagai hebat. Dan indahnya lagi setiap program digalakkan pula penyertaan pelbagai kaum. Bukankah bangsa Malaysia ini memang realitinya terbangun daripada berbagai kaum dan etnik? Saya tidak melihat ini suatu yang harus dibesar-besarkan. Apabila di dalam sesebuah kelompok tiba-tiba terselit seorang dua yang bukan kaum berkenaan, itu suatu yang luar biasa dan tidak normal. Lantas saya membuat kesimpulan, inikah sebenarnya bangsa Malaysia, yang tidak henti-henti membuat batas-batas keyakinan, kebolehan dan kemampuan seseorang yang lahir dan dibesarkan di Malaysia. Mengapa masih wujud situasi di mana kaum itu dan kaum ini harus mahir, apabila mahir dalam komuniti yang berbeza memberikannya kredit untuk lebih maju, misalnya mendapat tempat yang berbeza daripada orang lain.

Barangkali pandangan ini memberikan impak yang berbeza bagi kebanyakan orang apatah lagi dalam usaha kita menterjemah makna sebuah kehidupan dalam masyarakat majmuk. Kebolehan seseorang dijadikan petunjuk bahawa sedang atau akan wujud keadaan di mana masyrakat Malaysia telah berpadu tenaga mewujudkan Negara yang makmur kerana kaum-kaumnya yang ada itu telah mampu membangunkan Negara walaupun berbeza agama dan kepercayaan, kebudayaan, bahasa dan sebagainya. Saya fikir usaha kita telah berjaya (hanya mungkin apabila wujud idealisme yang digarisi secara politik ia merupakan suatu usaha yang belum benar-benar berjaya), tetapi janganlah ia menjadi taboo, dibesar-besarkan seterusnya memomokkan kelemahan di pihak lain sebagai suatu masalah yang membebankan.

Sebagai contoh, anak-anak India, China, Kadazan atau Iban yang mampu menyampaikan puisi moden atau tradisional berbahasa Melayu dengan baik (atau setakat boleh sahaja) telah mendapat pujian yang tinggi hanya kerana mereka bukan Melayu. Kemampuan mereka telah meletakkan anak-anak Melayu dalam sebuah kotak yang tidak baik lantaran gagal menunjukkan kejati dirian mereka. Ini yang terjadi ketika Program Penghayatan Sastera dan Budaya dilaksanakan. Di Sabah atau Sarawak bahkan di Semenanjung Malaysia, situasi yang dianggap taboo ini terus terjadi, bukan sahaja dalam program yang disebutkan malah dalam bidang-bidang lain. Mengapa kita sering melihat situasi itu sebagai luar biasa atau tidak normal dalam masyarakat Malaysia?

Tentu sahaja interpretasi saya terhadap makna 'taboo' kesasar dari segi pengertian sebenar, namun sesuatu yang dilarang itu telah begitu mengakrab di kalangan kita yang mahukan seolah-olah akan wujud pandangan bahawa apa yang dilarang ialah menidakkan kebolehan dilakukan lantaran berbezaan cara hidup dan latar kepercayaan secara semula jadi, bukan dipaksa-paksakan berdasarkan kehadiran yang disengajakan.


Lihat juga komentar di sini.


Ahad, April 27, 2008

Menziarahi Pak Shuhaibun untuk kesekian kalinya

SEPERTI yang dirancang, kami pun mengunjungi Dangau Budaya di sebuah pagi yang cerah, selepas hujan yang begitu lebat petang kelmarin. Orang yang ingin ditemui segera tampil walaupun sebagaimana yang dikhabarkan isterinya tidak boleh berjalan dengan baik, dengan gagah menunggu di hadapan pintu.

"Mana Jasni (maksudnya: JY)?" Sambil menyambut salam dan saya mencium tangannya. Entah mengapa itu ungkapnya lebih awal selepas membalas salam kami.

"Wah, ini dia orang-orang kuat IPS," Abdul Naddin dan JY menggenggam dan mencium tangannya diikuti oleh anak-anak kami yang turut datang.
Kami sama-sama duduk walaupun beliau agak ketinggalan lantaran tidak mampu berjalan dengan tangkas. Demikian sejak lama tapi kali ini keadaannya agak luar biasa. Dia segera memaklumkan keadaan sebenar bagaimana keadaan kakinya yang menyebabkan dia merasa tidak selesa, kadang merasa sakit yang bukan main-main. Katanya, dia jatuh di sebuah kedai makan di bandar. Kemudian dimasukkan ke hospital hampir sebulan. Diberi ubat oleh doktor sampai sekarang tidak juga sembuh malah betisnya tidak seperti orang lain, keras dan kejang, agak menyeksakan ketika kami memegangnya. Kesian Datuk.

"Syukurlah, kamu datang anak-anakku," ujarnya dengan senyum dan tawa. Sebuah kegembiraan yang amat kami rindukan. Itulah dia Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, budayawan Gapena, seorang sasterawan yang tidak pernah layu di persada sastera tanah air terutama di Sabah. Beliau juga dia seorang ketua yang berjaya mentadbir keluarganya dengan kejayaan anak-anak dalam kehidupan masing-masing.

Kami pun bersembang seperti biasa. Berkunjung ke Dangau Budaya yang tidak mungkin tidak dikunjungi para pelajar, sasterawan dari Semenanjung, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli yang berhormat kerana bila berada di Sabah atau melewati Pekan Papar menjadi tidak sah. Daripada catatan buku lawatannya memang ramai yang datang, bersembang dan melakukan ziarah terhadap budayawan yang baik budi, kelakar dan mesra ini.
Kali ini kami bercakap pelbagai perkara dan tidak sah jika perbualan kami tidak menyentuh tentang penulisan, perkembangan sastera dan penerbitan karya sastera. Datuk Shuhaibun telah menyampaikan rasa kurang puas hatinya terhadap pentadbir DBP Sabah berhubungan dengan manuskripnya dan tanpa berselindung badan sastera ini sering ber****** dengannya. Rupanya tidak selesai juga permasalahan sasterawan ini, cuma entah apa pula kesudahannya bila persoalan pengurusan sastera dan sasterawan tidak pernah aman. Saya terus teringat sebuah kenyataan saya semasa MAIPS baru-baru apabila saya menyebut bahawa 'maruah para penulis kita sering diabaikan'. Memang banyak perkara yang boleh dilakukan oleh organisasi sastera tersebut walaupun kita percaya tidak pernah ada jalan titik untuk sesiapapun berasa puas. Tiada kepuasan dalam kehidupan ini, tetapi kewajaran setiap persoalan yang dibisikkan oleh orang-orang seperti Datuk Shuhaibun Yussuf sewajarnya didengar dan diambil perhatian. Bukan Datuk Shubaibun sahaja malah para sasterawan lain juga. Mana ada badan lain yang memberikan peranan kepada para penulis atau sasterawan selain DBP sebagai organisasi yang dimaksudkan terutama dalam urusan membina, membangun dan memantapkan mereka melalui hasil karya yang sepatutnya sering diperhatikan.

Hujah kami mudah. Apabila para pengurus sastera di Sabah yang berada di gedung mewah itu tidak punya minat yang mendalam terhadap pembangunan sastera secara menyeluruh, tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. JIka dengan terus terang ada kalangan mereka berkata di situ tempat mencari makan semata-mata bermakna pada kami, perlu wujud suatu sikap sebagai nilai tambah agar matlamat organisasi tersebut mampu dilaksanakan lebih telus dan tersusun dengan komitmen yang tinggi. Jika tidak, semuanya akan berlangsung seadanya, asal jadi lantaran itu tugasan semata-mata bukan disebabkan minat dan sebagainya, tidak mencapai tahap yang dikehendaki sepertimana dinyatakan dalam visi, misi, motto, piagam dan dalam standard ISO yang digunapakai. Apakah perlu dalam setiap pengambilan staf ke dalam organisasi berkenaan perlu ditekan juga latar calon yang ditemuduga misalnya apakah gambaran masa depannya apabila diterima bekerja. Tanpa bermaksud mahu mencampuri urusan dalaman, namun ia merupakan suatu hakikat yang mahu tidak mahu perlu difikirkan. Jangan sampai kita mendengar omelan, o tidak macam dululah, kita ada si polan dan si polan yang memang sasteranya mendarah daging dan berjaya melakukan program dengan baik sekali, memajukan sastera dan membangunkan penulis sekali gus. Memang benar, pentadbiran sentiasa berubah mengikut trend dan keadaan semasa. Masa lalu tetap telah berlalu. Hanya menjadi orak arik yang akan diperkatakan dan terus dibualkan malah menjadi bahan cemuhan apabila berlaku sesuatu yang tidak memihak kepadanya.

Inilah juga yang ditimbulkan oleh Bonda Dayang Salmah Salam beberapa hari lalu. Apakah kerana mereka ini penulis lama yang kurang sesuai hadir bersama trend masa kini yang lebih hebat. Kelihatannya inilah nasib penulis-penulis berusia yang sering juga merasakan mereka dipinggirkan, seakan dilupakan apatah lagi apabila menerima layanan yang kurang telus daripada pihak-pihak yang berkaitan. Barangkali ada yang mempertikaikan apalah orang-orang tuan ni, layanan apa lagi yang mereka mahu? Ada caranya sesuai dengan keadaan mereka. Mereka bukan mahu layanan yang berlebihan. Seperti kata Datuk Shuhaibun, dia boleh hidup mewah dengan layanan anak-anak yang telah berjaya. Begitu juga Bonda Dayang Salmah. Namun sebagai seorang sasterawan yang mengalir dalam darahnya roh yang dianugerahi Ilahi, tentulah ingin mendapatkan sesuatu yang paling tidak memberi tempat agar setiap buah fikiran mereka tidak diabaikan.

Apa salahnya jika nama mereka diabadikan menjadi jenama di setiap ruang atau bilik atau dewan yang difikirkan sesuai. Apa salahnya meletakkan khazanah karya mereka yang ada itu disusun mengikuti nama masing-masing bersama koleksi-koleksi yang mereka punyai. Sebuah muzium sastera tentulah tidak begitu praktikal dibina di tempat lain. Jadi apa salahnya diwujudkan muzium sastera itu di dalam gendung yang sedia ada. Bayangkan suatu ketika dulu, Datuk Shuhaibun pernah memungut dana untuk membina 'teratak' bagi menempatkan semua koleksibnya berupa buku, majalah, dokumentasi-dokumentasi serta artifak-artifak yang klasik sifatnya. Dia sanggup 'melukut di tepi gantang' lantaran tiada siapapun yang mahu membantu. Oleh kerana itu adalah wajar sekiranya hal ini difikirkan untuk sebuah tindakan yang lebih membawa faedah secara khusus. Apabila kita memilih yang mega dan megah, jangan pula lupa kepada dunia lain yang kecil dan terpencil kerana kedua-duanya punya makna dan kepentingan untuk pembangunan sastera secara menyeluruh.

Sudah tentu tidak ada kegembiraan yang lahir pada wajah Ahli Kehormat kami ini selain bersyukur dengan kehadiran kami yang sentiasa inginkan buah fikiran dan nasihat daripadanya. Sebaliknya kami juga berhasrat membantu di mana-mana yang dirasakan boleh untuk diketengahkan. Kami berdoa agar Datuk Shuhaibun cepat sembuh dan mampu bergerak seperti biasa. Tahniah juga kami ucapkan kepada beliau kerana akan menerima anugerah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad Kota Belud sebagai Pengetua pertama sekolah berkenaan pada 3 Mei depan. Semoga ayahanda Datuk dan Datin sentiasa diberikan hidayah dan rahmat bersama anak dan cucu yang sedang membesar. Kami sentiasa berada bersama Datuk. Demikian ungkapan sebagai penuntup kunjungan kali ini, kami tetap menyapa senyum dan lambaian selepas enjin kenderaan saya hidupkan dan bergerak balik ke Ibu Kota.