Sabtu, November 01, 2008

Kerana Matahari

aku buta katamu tapi kau memandang aku sebagai objek yang indah bukan juga sebagaimana aku kerana cahaya telah memisahkan pengertiannya. aku bukan seperti di dalam cermin yang sedang fana tapi akuku kau kenali segala-galanya. kerana matahari aku buta katamu, tapi memandang betapa jelasnya keindahan.

Jumaat, Oktober 31, 2008

Huruf-Huruf yang Wangi

Apakah kau dapat membaca huruf-huruf yang bersembunyi di dalam fikiran? Hanya mengandai tentang malam atau detik kehadiran mimpi-mimpi syurgawi menghentikan kata tanpa huruf, meraba-raba mencari punca sedangkan akar akal telah lama bertunjang tapi makna segalanya terhimpun dengan ilusi yang pekat menenggelamkan hakikat menyamai dusta adalah permainan semata-mata. Kegembiraan adalah bahagian perjalanan ke syurga dengan bahagian yang lain memberi makna penghidupan apakah berhasil mengambil erti seadanya atau terus bergelumang dengan tanya dan andaian yang mencuka rasa, tak ada yang tulus memaknai setiap peristiwa adalah duka yang membuka andatila diri, membenarkan kepercayaan titik terjadi sebelum menerima cahaya Maha Cahaya dengan sabar dan redha. Hanya insan kecil yang kurang gagah disergah putus asa membayangkan titik-titik kelam hadam dan khatam dalam zahir kehidupan, kau tak mampu membaca huruf-huruf wangi itu lagi meski sampai berakhirnya pelabuhan itu nanti.


Kota Kinabalu

2 Zulkaedah 1429H

Khamis, Oktober 30, 2008

Seputar Kenangan Kursus Penulisan Kreatif Guru-guru di Tuaran Sabah






























Bukan selalu guru-guru meninggalkan bilik darjah untuk belajar sesuatu yang sebenarnya dekat dengan tugas rutin mereka sebagai pendidik. Inikan pula hal-hal sastera dan penulisan kreatif amat berkait rapat dengan profesion mereka yang mengajar Bahasa Melayu. Guru-guru sekolah rendah daripada daerah Tuaran ini cukup prihati dan komited menghadapi para pembimbing yang dipilih oleh pihak penganjur. Siapa tidak kenal Wak Khalid Salleh, Mohd Fuad Bebit, Jasni Yakub, Jasni Maltani dan Ony Latifah Osman yang masing-masing memiliki kelebihan, keistimewaan serta pengalaman kreatif yang tersendiri. Memang banyak mereka temui, belajar dan sekaligus menyemai nikmat sastera yang luar biasa. Paling tidak pengalaman istimewa itu menjadi salah satu janaan ketika mengajar di bilik darjah, mahupun menjadi asas ketika sekolah mengadakan program-program yang boleh memautkan ruangan sastera bersama-sama.











Foto-foto di atas adalah bahagian kecil yang mampu dirakam. Namun yang lebih penting hasil daripada kursus tiga hari dua malam ini. Kedua, komitmen pihak Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran memuka langkah baru khususnya kepada para pendidik di daerah-daerah lain menggunakan ruang yang ada sebagai usaha menambah ilmu, jika tidak pun akhirnya mahu menjadi penulis sebagai kerjaya sampingan. Dunia penulis bukan suatu kerjaya yang sulit, pelik ataupun hanya untuk golongan tertentu sahaja. Dunia penulisan milik semua golongan, hanya mahu atau tidak, kerana bakat yang dimiliki tidak mungkin mampu ditemui tanpa memulakan sesuatu. Sesuatu yang dimulakan bermula pada garis kemahuan, kemudian kesungguhan dan minat sebagai pemacu. Percayalah apabila anda memasuki pintu dunia penulisan sama ada kreatif atau tidak kreatif, tidak ada pintu yang mudah untuk melupakannya.

Kutundukkan

Kutundukkan kemahakerdilanku
dari keserbaagungan
dari segala kemahaluasan
dari segala kemahabesaran
dari segala kemahabenaran
dari segala kemahabaqaan Tuhan.

Kutundukkan kemahafanaanku
dari segala angkuh dari segala bisik
dari segala alah dari segala helah
dari segala puja dari segala pura
dari segala haloba dari segala punca murba dunia.

Kutundukkan sifat-sifat kemahaalpaanku
menjadi patuh membangun salam khusyuk
menerawangi rahsia-rahsia cahaya iltizam diam
menghambai cemati cinta benar
istiqamah menyeberangi samudera Qalamullah.

Kutundukkan segala indera memandang
tiada selain dari putih kebenaran cahaya istighfar
Kutundukkan kalbuku di lembah uzlah
Kutundukkan qiamku di sukma tarbiah
Kutundukkan titikku pada titikNya...

25 Syawal 1429H

Lihat juga komen JY di sini.

Selasa, Oktober 28, 2008

DBP dan Persatuan Penulis di Sabah


Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP) telah mencipta sejarah terbaru sebagai usahanya mengajak para penulis mengakrabi organisasi tersebut. Langkah ini amat dialu-alukan para penulis yang menaungi Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang memerlukan premis operasi organisasi persatuan-persatuan berkenaan. Berbanding dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki prasarana yang lebih baik, langkah DBP menyediakan prasarana yakni bilik operasi persatuan sedikit banyak mengangkat maruah pertubuhan sastera di Sabah. Setidak-tidaknya dengan adanya presmis berkenaan memberikan ruang terbaik ahli-ahli persatuan terbabit menyelaras aktiviti masing-masing. Ini ditambah lagi dengan pelantikan Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Ariffin Arif sebagai Ahli Lembaga Pengarah DBP Malaysia dan turut ditempatkan di premis yang dimaksudkan menjadi jambatan penghubung antara DBP, persatuan penulis dan penulis dengan pihak-pihak tertentu dalam kerjaaan khususnya kerajaan Negeri Sabah sendiri. Pendekatan DBP ini meletakkan harapan yang amat tinggi semua penulis di Sabah agar program sastera dapat dilaksanakan lebih mantap lagi. Seterusnya mengajak pihak-pihak yang berwajib menghulurkan sokongan dan bantuan sewajarnya.

MAJLIS PENYERAHAN BILIK AHLI LEMBAGA PENGELOLA DBP MALAYSIA









SANTARA juara Sayembara Lagu Puisi

Tahniah dirakamkan ucapan kepada Sdr. Karim Gulam yang mengetuai Kumpulan Seni Teater Asli Tenom (SANTARA) atas kemenangan Sayembara Lagu Puisi Berkumpulan yang berlangsung semalam (26 Oktober 2008). Tahniah juga kepada DBP Cawangan Sabah dengan penganjuran sayembara ini.

Sebagai peminat lagu-lagu puisi, saya begitu menyukai persembahan kumpulan dari Tenom ini. Secara keseluruhannya saya berpandangan bahawa SANTARA menepati konsep sayembara, petamanya sebagai sebuah kumpulan dan lagu yang digubah menerusi puisi-puisi yang dipilih. Berbanding yang lain, jika diamati seakan-akan kurang memahami konsep yang diperlukan.

Kemunculan SANTARA kini tentu tidak sekadar tertumpu kepada teater tetapi sudah bergerak ke arena yang pelbagai termasuklah muzik khususnya persembahan lagu-lagu puisi. Selain daripada, barangkali, bakal menggubah lagu-lagu puisi sendiri, saya fikir memperbanyakkan gubahan lagu daripada puisi-puisi terpilih para penyair Sabah merupakan satu langkah yang terbaik untuk mengangkat puisi khususnya dan sastera secara umumnya sebagai alternatif apresiasi di kalangan masyarakat terutama para remaja.