Selasa, Mac 25, 2014

Numera menghimpun penyair nusantara


oleh Hasyuda Abadi
(yang mewakili Malaysia dalam Acara Baca Puisi Dunia Numera 2014)

 
PERSATUAN  Sasterawan Nusantara Melayu Raya (Numera) Malaysia ditubuhkan pada 31 Disember 2011 bermatlamat menjaga mutu bahasa, sastera dan seni Melayu. Bermula 21 Mac 2014 hingga 24 Mac 2014, persatuan ini telah mengadakan Acara Baca Puisi Dunia Numera 2014 di ibu Negara Kuala Lumpur. Acara ini merupakan kali yang kedua seumpamanya ia dilaksanakan. Acara dua tahunan yang dimulai pada 2012 ini diadakan bagi memperkasakan bahasa dan sastera Melayu ke tingkat yang lebih gemilang selain menjadi sebuah pengacaraan penyatuan seniman dan pengkarya yang menghimpunkan sejumlah sasterawan, sarjana, seniman dan artisan. Kali ini ia melibatkan 6 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Belgium dan Russia.

Acara baca puisi berprestij yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr. Awang Syarian ini telah juga diisi dengan majlis Anugerah Puisi Dunia Numera. Anugerah ini telah diberikan kepada empat penerima hadiah utama iaitu Rosmiaty Shaari, Syarifuddin Ariffin, Basri Abdillah dan Muhammad Rois Rinaldi.

Para penyair yang menyertai acara ini terdiri daripada yang terpilih menerusi pemerhatian dan tapisan khas. Begitu dinyatakan  oleh Sasterawan Negara (SN)  Dato' Haji Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) selaku Presiden Numera. Dari Indonesia penyair-pelukis Acep Zamzam Noor merupakan antara penyair yang diundang. Di sampingnya adalah Sastry Bakry, Rara Gendis Danerek, Fakhrunnas MA Jabbar dan Soni Farid Maulana. Sementara Profesor Hudan Hidayat yang turut hadir membawa misi sastera nusantara sempena pertemuan kami ini.

Dari Singapura diwakili oleh Asnida Daud seorang aktivis seni. Negara Brunei Darussalam pula diwakili Tuan Haji Jawawi Haji Ahmad. Belgium mendatangkan Jean Severy, manakala Anna Pogadaeva dari Russia. Sementara saya bersama Datuk Dr. Zurinah Hassan, Poul Nanggang, Profesor Che Husna Azhari dan Roseni Hiplee mewakili Malaysia. Di samping barisan penyair terpilih, acara ini turut dihadiri oleh pemerhati seperti Hajah Zaiton Ajamain, A. Ghafar Ibrahim, Siti Zainon Ismail, Asmira Suhadis, Ariany Isnamurti, Akhmad Taufiq dan Abrar Khairul Ikhrima. Mereka ini merupakan pakej yang saling mencanaikan keindahan warna puisi acara gilang gemilang versi Numera ini.

Dalam lingkaran merekayasa puisi, sering sahaja kita dipertanyakan prosesnya. Secara dasar memang masing-masing penyair memiliki caranya, pendekatannya, pengalamannya ketika meneroka alam puisi sebelum ia  dijabarkan secara meluas kepada dunia khalayak. Demikian kata Dr. Arba'ie Sujud ketika mengisi acara pemakalahan. Terlalu banyak mahu diceritakan kerana puisi itu bersangkut soal kehidupan. Ia juga berkait dengan dunia pengalaman. Tidak sedikit pengalaman menceritakan masa sudah bahkan masa depan. Lazimnya pengalaman akan mencorakkan kelainan-kelainan pemikiran, maksudnya fokus atau hala tuju isu yang diperkatakan. Semisal hal-hal semasa, masa lalu dan masa depan itu semampunya digarap penulis. Mungkin jangkauannya meragut masa yang pendek, tidak mustahil menerawang waktu yang amat panjang. Terserah kepada keperluan, kreativiti dan kemesraan fikir, kata serta situasi kreativiti.
Sejarah itu menarik orang bukan orang menarik sejarah, kata Profesor Hudan Hidayat. Kerana itu sejarah itu penting. Dalam konteks sejarah kreativiti, ia bukan suatu paksaan untuk berkata atau memperkatakan. Kalau kita mahu melorongi ke segenap diri penyair di mana juga, dikesan bahawa setiap mereka melalui sumber-sumber tertentu. Misalnya kesan linguistik berlatarkan budaya meletakkan dunia fikir sebagai mendapan pengkaryaan menjadi lebih dinamik. Budaya itu sifatnya andatila. Sungguh luas bahkan kadang berkuasa. Terserah kepada sesiapa juga bagaimana ia berusaha membuka ketajaman akliahnya.

Dato' Kemala menikmati puisi ibarat minum syarbat asyik, yang meneguknya akan terasa haus kembali dan dia ingin meneguk syarbat puisi itu lagi dan lagi. Dunia manis yang ceria. Dunia mensejahterakan manusia sejagad. Bagi Acep Zamzam Noor, puisi baginya merupakan dunia ghaib yang sukar untuk menceritakan bagaimana ia terjadi walaupun telah diceburi kesekian kali lamanya. Proses penciptaan itu seperti memproses batu arked, begitu inginkan hasilnya yang terbaik ia harus melalui proses yang panjang. Sebuah hasil karya yang jadi itu adalah hasil yang lahir dengan rasa kasih sayang, kepuasan dan keselesaan. Kita harus mengharapkan hala tuju kebaikan bertunjangkan nawaitu yang murni.

Setiap penyair bertolak dari daerah yang sama, penyair akan menjadikan watak peribadinya sebagai model untuk menggarapkan idea dalam penulisannya. Ini dikatakan oleh Haji Jawawi Haji Ahmad. Seorang bernama Rara Gendis Danerek, penyair berbadan kecil dari Jakarta meyakini puisi sebagai salah satu karya sastera yang dianggapnya sebagai sebuah karya sastera tingkat tinggi. Dia mempercayai bahawa karya sastera itu harus nikmat dan bermanfaat. Sekali pun kata-kata dalam puisi dirasakan sulit untuk dicerna dan difahami namun ketika pembaca mencuba mencari pemaknaan hingga membuat orang yang mendengarkannya merasa nikmat dan memahami isi dari puisi tersebut.

Daripada kepercayaan Sastry Bakry, ada hubungan antara keperibadian dan karya sastera. Kualitinya ditentukan kualiti daya nalar, kehidupan, pengalaman dan lingkungan penulis. Menilai sebuah karya sastera bererti juga menilai ideologi atau fikiran-fikiran seseorang. Kadang pilihannya ada dalam jiwa pengarang namun persepsi yang muncul boleh sahaja di luar diri pengarang. Sastry merumuskan sastera adalah merpati yang mampu mendengarkan pesan dan menghanyarkannya pada kita semua agar berubah menjadi manusia yang memiliki peradaban dan keadilan.

Saya berasa bertuah diundang menyertai acara puisi dunia yang bagi saya bukan baru. Pada tahun 2000 saya terlibat menyertai acara Baca Puisi Dunia Kuala Lumpur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Bezanya versi Numera ini setiap penyair utama diberikan ruang untuk memperkatakan proses penciptaan. Sebagaimana pernah saya hadiri dalam Program Pertemuan Penyair Korea-Asia Tenggara pada 2011 di Pekanbaru, Riau, setiap penyair diundang membacakan proses kreatif masing-masing. Tidak rugi memberitahu proses diri tetapi mengikuti setiap jalur proses ciptaan kepenyairan para penyair lain itu sudah pasti cukup penting. Meskipun gambarnya mungkin sama yang kanvasnya puisi namun cerita serta prosesnya sungguh berbeza. Barangkali pemula seseorang itu hanya hal-hal mengenai peribadi yang biasa-biasa semata-mata, hanya berupa catatan-catatan kecil atau lakaran-lakaran mengisi buku nota, kotak rokok, kertas tisu dan sebagainya, namun itulah akhirnya yang bakal mengangkat menjadi sebuah karya agung yang bernilai tinggi.

Saya suka memetik sebuah kata-kata Pramoedya Ananta Toer yang dipetik oleh penyair dari Sarawak, Roseni Hipeli dalam anekdotnya: orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, dia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian. Soalnya, apakah sorot ini yang menjadi pegangan atau intipati pemikiran kita dan anda yang sudah punya cita-cita ke arah dunia itu?

Selain diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang DBP, acara baca puisi ini juga diadakan di Quayside Hotel Melaka, di Theatre Datuk Faridah Merican Sentul, di Juempa d’Ramo dan UPSI Perak. Semoga sahaja, akan terlahir atau dilahirkan karya-karya yang bisa digarap oleh manusia yang berfikir terhadap para pemikir iaitu para penyair yang menyerahkan jiwa raganya. Pada satu titik yang menjadi idealisme Numera menurut SN Dato' Kemala yang mahu melihat agar jurang perbezaan diketepikan sambil kesepaduan matlamat menjadi agenda utama melayu Numera.


Tiada ulasan: