Sabtu, Julai 29, 2017

Kebebasan dan penentangan karya-karya eksperimen



Oleh: Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
UMUMNYA rata-rata khalayak sastera di Malaysia lebih menyenangi puisi yang mudah dan jelas untuk ditanggapi maknanya berbanding dengan puisi-puisi eksperimen yang memerlukan daya penghayatan yang lebih tinggi dan mendalam. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam genre puisi malah kepada keseluruhan genre sastera yang lainnya. Karya-karya picisan yang bersifat mudah, tidak memerlukan daya penghayatan yang tinggi, ciri inilah yang sering mendapat tempat dalam kalangan audiensnya. Realitinya, banyak karya ekperimen tidak sampai ke mana-mana. Hal ini disebabkan puisi-puisi seumpama ini memerlukan kesabaran malah untuk menikmati, menghayati dan menilainya memerlukan pengetahuan serta menguasai pendekatan kesusasteraan yang tertentu.
Pendapat ini disokong oleh Dr. Sahlan Mohd. Saman (1995: 110) yang menyatakan khalayak akan lebih menyenangi puisi yang mengharmonikan perihal-perihal yang dideretkan itu. Hanya setelah proses 'menyenangi' itu wujud, proses seterusnya mendapatkan kesan iktibar barulah dapat dirasakan hasil daripada keseluruhan kesan katarsis karya. Hal ini turut ditambah apabila keterasingan definisi mengenai bahasa puisi eksperimen yang tidak popular dan sering dipersoalkan oleh khalayak sastera dicengkam oleh mitos bahasa yang secara psikologinya dibudayakan dan dijadikan amalan oleh sekelompok penyair 'establishment'. Suatu tanggapan mengenai struktur, penguasaan dan fungsi bahasa dijadikan kayu ukur yang seolah-olah muktamad dan mendasari semua aspek penganalisisan, kritikan atau justifikasi semua genre puisi sama ada eksperimen atau bukan-eksperimen.
Penolakan ini turut ditambah apabila pengkritik sastera secara umumnya turut cenderung menghukum puisi-puisi yang terkeluar daripada landasan bahasa monolitik, contohnya bahasa abstrak, bahasa kelam kabut yang tidak mengikut hukum tatabahasa melalui pemboikotan atau kritikan melampau terhadap puisi-puisi eksperimen tanpa menyedari bahawa puisi itu bukan permainan bahasa semata. Puisi sebegini dianggap tidak mempunyai nilai puisi yang tinggi. Dalam banyak hal, sikap segelintir pengkritik sastera inilah menyebabkan munculnya anggapan bahawa angkatan puisi kabur atau pelopor awal puisi eksperimen Malaysia sebagai 'gila' kerana menghasilkan puisi yang tidak ketahuan maknanya (Lihat Mohamad Mokhtar Hassan,1995: 24-25).
Penerimaan yang 'sepi' terhadap puisi-puisi eksperimen disebabkan kebanyakan khalayak sastera masih lagi belum mencapai tahap pemikiran intelektual yang tinggi untuk mengapresiasi puisi-puisi yang membawa makna yang dalam untuk direnungkan. Mungkin peminat yang ternyata kecil bilangannya adalah dalam kalangan pengarang, pengkritik sastera atau pelajar-pelajar universiti yang menceburkan diri dalam bidang sastera tetapi tidak kepada masyarakat keseluruhan terutama pelajar-pelajar sekolah yang lebih menggemari bahan bacaan yang mudah dan menghiburkan. Bagaimana hendak terhibur kerana untuk memahami maksudnya sendiri tidak terungkap sedangkan generasi muda inilah yang seharusnya memperkasakan lagi dunia sastera Melayu.
Beberapa kritikan terhadap puisi eksperimen turut mengheretnya dengan secara tidak langsung ke dalam arus kemelut dunia sastera Malaysia. Apabila timbulnya isu untuk memasyarakatkan sastera, maka isu ini diimplementasikan untuk mengkritik dan menuding jari kepada puisi-puisi ini sebagai pesalah utama kerana dikatakan menjauhkan masyarakat daripada sastera. Pengkritikan terhadap apa sekalipun jika tujuan dan niatnya adalah untuk mencari kesalahan, meruntuhkan atau menegatifkannya maka yang dilihat semuanya keburukan dan kelemahannya. Maka segala nilai baik dan manfaat yang dicernakan dan dikongsi bersama itu akan musnah oleh sikap prejudis sesetengah pengkritik sastera. Setiap hasil kesenian tidaklah harus terikat kepada kehendak segolongan masyarakat biarpun ia adalah majoriti dalam komuniti itu. Kesenian itu mempunyai sifat yang infiniti (tidak terbatas) dan baharu (sentiasa berlaku perubahan). Ia tidak perlu terikat atau terkongkong lantaran untuk memenuhi kesinambungan masa lalu dan mungkin memerlukan bimbingan dan kawalan tetapi bukan peruntuhan.
Kerelevanan puisi-puisi eksperimen yang hadir dalam jagat kesusasteraan Melayu moden harus dilihat daripada pelbagai aspek. Eksperimen dalam karya sastera dilihat sebagai hasil pengucapan seniman yang kreatif dan imaginatif. Hakikat daripada kekreatifan dan keimaginatifan inilah timbulnya kebebasan serta keluasan ruang pendayagunaan bahasa dan bentuk seseorang penyair. Tambahan pula pengarang sentiasa dituntut menjadi pengukir dan pembaharu bahasa. Lanjutan daripada hakikat tersebut pula keinginan pengarang untuk mencapai konsep 'poetic licence' atau kebebasan puitik penyair.
Selanjutnya dunia sastera moden lebih jelas pula dihubungkan dengan ciri-ciri kebebasan dan individualistik. Justeru pengarang akan berusaha lari daripada konvensi, bereksperimen dengan cara menyimpang atau menentang bentuk dan ikatan lama. Pada umumnya, puisi eksperimen tidak mengikat kaedah, bentuk dan nilai kepuisiannya kepada suatu acuan 'standard' sebagaimana pembakuan bahasa yang melibatkan ketetapan ejaan, suku kata, artikulasi, sintaksis dan sebagainya. Proses penghasilannya adalah suatu proses yang mengarah kepada kemungkinan-kemungkinan terhadap bentuk dan teknik penyampaian yang tidak terhad. Ia selalunya terasing, melencong, teralih, terhanyut di luar konvensi bahasa puisi atau tradisi puisi 'establishment'. Dalam erti kata lain, entitinya adalah entiti 'avant-garde' yang seiiring dengan aspek-aspek karya kreatif yang lain seperti seni bina, seni lukis, seni tari, seni muzik dan sebagainya.
Puisi-puisi eksperimen yang muncul dalam dunia sastera Malaysia dapat memberikan banyak alternatif kepada masyarakat untuk memilih dan menggemarinya. Signifikannya, masyarakat akan didedahkan dengan kepelbagaian dan keragaman yang mencetuskan kecerdasan dan seterusnya mengembangkan minda masyarakat tersebut dengan cara mempelbagaikan pendekatan dan kesannya kebijaksanaan khalayak dicetuskan dengan berkesan. Premis susah-senang di dalam kesusasteraan bukanlah sesuatu yang baharu malah ada teori yang menyatakan semakin sastera itu sukar dan ambiguiti sifatnya, semakin ia kaya dan berhasil.(William Empson, 1973: 48).
Kesenian harus bebas dan telus. Bukan sekadar mementingkan komersial dan kepopularan. Masyarakat yang sering didedahkan dengan segala yang senang dan mudah selamanya akan mewujudkan masyarakat yang 'simple minded' dan tidak berfikiran besar. Lantaran itu, masyarakat harus dicabar dengan sesuatu yang mencabar pemikiran mereka. Lalu tidak salah jika ada konvensional, ada futuristik, eksperimental atau metafizik serta pelbagai lagi kerana setiap satunya mempunyai peminat yang tersendiri untuk menilainya. Jika kesemua ini wujud dalam harmoni maka betapa luas dan hebatnya dunia kesusasteraan Melayu moden. Setiap karya adalah ciptaan manusia dan bukan wahyu Ilahi. Sudah tentunya ia tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangannya. Sewajarnya kelemahan dan kekurangan dibaiki secara bersama dalam memperkasakan lagi dunia sastera di Malaysia.
Saya suka menghubungkan kenyataan ini dengan cara sesetengah penulis memilih mauduk dalam tulisannya. Meskipun puisi sifatnya sukar berbanding dengan cereka dari segi penggarapan isu atau isi karya. Sebagai contoh terdapat sesetengah penulis yang angkuh apabila ada penulis lain memilih tokoh politik sebagai mauduk karyanya tetapi bukan dalam blok pilihannya. Dia menolak dengan alasan yang bukan-bukan, sedangkan pada masa yang sama dia menyokong tokoh lain hanya disebabkan senada dengan pemikirannya. Saya fikir semua penulis mempunyai kebebasanya sendiri untuk apa dia menulis. Apa mauduk yang ingin digarapnya adalah pilihannya. Berilah mereka kebebasan dalam menyatakan sikap atau ketika ingin menyatakan penghargaan kepada tokoh-tokoh atau para pemimpin yang pernah berjasa, meskipun ’main stream’ atau jalur utamanya tidak sama. Pengamatan mereka semakin menjelaskan kepada kita sejauh mana kekuatan sesebuah karya mampu dimurnikan melalui pendekatan sastera yang murni. Seperti saya pernah katakan bahawa karya sastera akan menjadi kasar atas perbuatan kasar penulisnya, begitulah sebaliknya. Akhirnya, tampak apakah pilihan penyair yang sebenarnya?
Noor S.I. (1957: 100-102) menyatakan keseluruhan pengertian sesebuah puisi adalah pernyataan keseluruhan perasaan hidup oleh penyairnya. Penyair bebas memilih pengertian-pengertian untuk puisi-puisinya iaitu sama ada ekspresionisme, impresionisme, simbolisme atau realisme bagi menyatakan satu-satu sifat perjuangan, masyarakat atau percintaan. Beliau turut menegaskan bahawa seseorang penyair bebas menggunakan perkataan-perkataan untuk sesuatu frasa dan menyusun dalam bentuk di dalam karya-karyanya. Justeru, ada ketikanya para pembaca sukar untuk menghayati maksud sesebuah puisi, ada ketikanya khalayak menemui frasa yang melanggar hukum tatabahasa yang digunakan oleh penyair. Itulah kebebasan seseorang penyair dalam membina irama dan bentuk atau mencari keharmonian untuk melahirkan perasaannya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Julai 24, 2017

Nilai nila dalam berpesan-pesan



Oleh: HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
SUATU ketika dahulu saya teringat serbuk nila yang digunakan untuk membasuh pakaian terutama yang berwarna putih agar kelihatan terserlah kebersihannya. Emak saya selalu menggunakannya semasa membasuh baju sekolah kami. Jika disebut nila sudah pasti kita membayangkan warnanya. Biru dan cantik. Namun dalam nila juga boleh memberikan makna yang rencam dan pelbagai. Hinggakan dalam peribahasa Melayu ada disebut 'sebab nila setitik rosak susu sebelanga'. Analogi ini membawa maksud yang kurang bagus dalam kehidupan kita disebabkan sedikit kesilapan. Namun nilai nila juga memberikan keutuhan yang tersendiri yakni menceriakan mata memandang pada busana, misalnya.

Ujaran nilai terhadap nila tidak berhenti di situ tetapi sebagai insan yang siuman, setiap sesuatu itu mempunyai maksud baik dan tidak baik. Ini imbangan kehidupan. Satu memberi kejujuran, yang lainnya pula mencemarkan keperibadian. Samalah apabila kita berkata tentang satu nilai baik, ia memungkinkan mewujudkan natijah yang saling bertentangan. Saat kita berpesan ke arah kebaikan, pesan itu bukan satu lesen yang mustajab dan mujarab. Kerana itulah, mengapa dunia tidak pernah harmoni daripada pertelingkahan. Manusia tidak pernah mahu menerima waima pesan atau sesuatu pandangan yang munasabah untuk kebaikan.

Orang yang lalai harus diingatkan. Orang yang lalai wajar diberikan nasihat dan pandangan. Jika tidak dia akan lali. Orang yang begitu takjub dengan budaya lalai akan menjadi lali dan tidak peduli orang lain. Tentang orang lain, kepeduliannya perlu bersebab. Apabila merasakan keutuhan diri, kejayaan, kemewahan telah menguasai, nilai peduli menjadi isu yang remeh. Memang bukan kerja mudah. Begitu rumit juga ketika menilakan pakaian, kerana ia memerlukan cara yang betul. Jika tidak pakaian akan berbintik-bintik kerana serbuk seharusnya ditapis terlebih awal. Perlu pentingnya pendekatan tertentu. Namun soal pesan-memesan atau memberi ingat harus berlangsung waima ia begitu rumit dilakukan, waima tanpa mengira ia diterima atau sebaliknya. Inilah nilai tanggungjawab. Inilah nilai kepedulian seperti nila yang turut memberikan warna yang membahagiakan.

Dalam pesanan biasanya ada mesej penting yang ingin disampaikan. Tetapi nanti dahulu. Gunakan mata hati dan lihat apa lagi yang ada di balik pesanan. Bila kita berpesan, kita mahukan kebaikan terhadap orang yang dipesan. Bila kita berpesan kita mahu memberi peringatan kepada orang yang dipesan. Dalam perbuatan berpesan, ada kelibat kasih sayang. Dalam berpesan, ada unsur memberi perhatian. Berpesan bukan sekadar melantun perkataan tetapi menyampaikan hikmah dengan penuh hemah.

Pesan menyebabkan seseorang individu menyambung perjuangan. Dengan berpesan, ilmu diturunkan. Dengan berpesan, hakikat hidup dijelaskan. Dengan berpesan, tautan hati antara insan terus berkekalan.

Sebagai seorang individu yang hebat, sifat kehebatan itu tidak seharusnya berpusat pada dirinya sahaja. Demi kepentingan suatu misi, dia perlu menghebatkan orang lain. Maka sifirnya orang hebat akan dikelilingi orang–orang yang hebat. Hanya dengan itu, misi dan syiar ilmu itu akan kekal hebat. Caranya? Mereka selalu berpesan–pesan.

Lembaran sirah menggambarkan peristiwa yang sama. Pesanan Rasullulah menghebatkan para sahabat. Hebatnya Rasulullah bukan seorang. Baginda dikelilingi pemuda–pemuda terhebat pada zamannya. Hebat Rasulullah mengalir dalam gagahnya Saidina Umar Al-khattab, petahnya Syaidina Jaafar, uggulnya Ilmu Syaidina Ali dan ribuan lagi para sahabat yang menjunjung syiar Islam. Saban hari Rasulullah berpesan, setiap hadis yang ditinggalkan Rasulullah juga merupakan pesanan yang kekal sepanjang zaman. Jika pesanan itu simbol kasih sayang, maka cuba bayangkan betapa sayangnya Rasulullah kepada umatnya . Hidupnya penuh dengan pesanan.

Jikalau contoh–contoh di atas masih gagal lagi mewajahkan perkaitan pesanan dalam pembangunan masyarakat dan insan maka pejamkan mata; bayangkan sahaja wajah mulus ibu anda. Setiap ayun dan alunan peribadinya adalah lambang kasih sayang beliau kepada anda. Adakala sayangnya melibatkan elemen kesakitan melalui cubitan dan tamparan. Adakala sayangnya membelai–belai hati melali pujian dan hadiah.  Setelah hati dibelai-belai, kadangkala dilambung-lambung dengan leteran dan sindiran. Tatkala anda mula melangkah keluar dari rumah untuk ke menara gading, si ibu akan menyimpulkan kesemua lambungan, cubitan dan leteran tadi dalam bentuk sepatah dua ayat yang cukup bermakna sebagai tanda kasih sayang seorang ibu.

Itulah kata–kata yang anda akan terlepas pandang pada mulanya, tetapi bila tiba detik waktunya, kata–kata itu akan datang tanpa dipaksa. Lalu anda akan berkata, “Oh iya,  mak pernah pesan dulu ni!…”

Akhirnya dengan berpesan, anda akan jadi orang yang hebat. Dengan berpesan, anda akan menghayati erti kasih sayang. Dengan berpesan, anda akan menjadi penyambung legasi perjuangan. Sampaikan pesanan yang baik dan ambillah pesanan yang baik. Sebaik-baik pesanan adalah Al-quran dan Hadis.

Masih tidak mengerti? Nyanyikan lagu raihan bertajuk ‘Demi Masa’ berulang kali.   "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3].

Seterusnya bertanyalah juga mengapa warna nila biru tetapi memberi nilai baru kepada objek yang menutup aib badan manusia.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

PUISI - TAUFIK


TAUFIK

Menghantar persaudaraan
dari qalbu di rumahku
bukan sekadar diksi
kupu-kupu bersama sipunya
menebarkan warna warni salamnya.
ranum baitul muqaddam
buah-buah santun dan mekar rahsia
dihantarkan tujuan
ujana mawaddah bersaksi
ukhuwwah sakinah
dalam samar tengkujuh syawal
sosok penaakulan keajaiban
pintu apakah yang terbuka
sapa salam insan utusan?


RUMAH PUISI
HASYUDA ABADI
30 Syawal 1437H


Puisi bukan sebuah utopia


oleh HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
MENYAMBUNG percakapan tentang bahasa peribadi seorang penulis dalam tulisan yang lepas, saya yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku puisi lalu penulis ini bergelar penyair? Penyair adalah penulis  bagi karya-karya sastera yang perkasa. Barangkali ia seorang yang gelisah, seorang yang memiliki perasaan yang amat perasa.  

Penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Sesuatu yang dirasai mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya sendiri. Bagi Sasterawan Negara,  Dr. Muhammad Haji Salleh, menulislah dan 'diamkan' seketika, adalah lebih baik berbanding melahirkannya dengan tergesa-gesa. Dengan syarat selepas itu, penulis harus berani menyunting semula karyanya itu. Beliau berkata alangkah malunya membaca karya-karya lampaunya kerana dibuat dengan tergesa-gesa. Terserahlah juga kepada pendekatan masing-masing penulis.

Mungkin sahaja ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya adalah setara.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Sudah ada yang dilakukan sebenarnya, bukanlah tidak ada. Soalnya bukti yang jelas bagaimana puisi diterima masyarakat jarang diperkatakan. Ia bukan suatu angan-angan yang sia-sia. Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan. Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawap yang tersendiri. Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai', sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan rakyat. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan.

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain. Demikianlah dua Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apapun yang kita fikirkan, sebagai satu natijah positif, puisi telah begitu dihargai tanpa memilih pentasnya. Lalu kita pun menulis sesuatu untuk pemimpin kita. Di Sabah, para penulis menulis sesuatu mengenai jasa-jasa Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman. Sudah tentu kita inginkan sesuatu daripada bacaan pemimpin ini. Kita menghargainya tetapi apakah beliau dan para pemimpin yang lain menghargai para penulis?

Mudah-mudahan kehebatan puisi terus mendapat tempat di hati setiap orang meskipun akhirnya bait-bait puisi itu akan disimpan di dalam almari, atau dirak-rak buku, dipamer dan dijadi hiasan perpustakaan. Ia menjadi suatu keresahan seperti tulis penyair Ammi Manja:

Dalam diam resah sendiri
Mengenang akan belakang hari
Meniti masa silih berganti
Terasingkah aku di bilik sepi

(Harian Ekspres - 15 Jun 2008, M/surat 5)

Puisi Ammi Manja berjudul 'Resah Puisi' ini merupakan salah sebuah karya terbaik yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2007/2008, menjelaskan tanggapan yang jujur dan benar betapa puisi boleh menjadi 'Kitab Lama', diperlukan bila tiba masanya. Ini diakui Ammi Manja:

Lalu aku diletak
Di merata rak khalayak
Tak ramai yang menyebak
Meski seringkali tampak

Inilah realitinya puisi, cetusan rahsia rasa yang bermula daripada kesunyian, terbentuknya naluri dan perasaan yang tidak mungkin mampu dibaca orang lain. Anugerah Ilahi kepada para penyair yang besar citra fikirnya dan mampu menterjemah hiruk pikuk kehidupan dari yang rumit hinggalah kepada seagung kehidupan. Daya mampu kepekaannya sering menjadi panduan bagai 'cahaya yang menembusi gelap pekat malam', bagai 'lilin yang membakar dirinya' atau bagai 'mata batin yang membuka setiap pedih kegusaran'.

Saya begitu tersentuh membaca bait-bait indah karya Ammi Manja, penyair kelahiran Beaufort ini. Puisi seperti mengumpul keperluan-keperluan yang sedang mengalir ke muara makna iaitu penghakiman yang jujur terhadap kearifan para penyair menyampaikan isu atau isi yang tersirat. Memang tidak semudah yang disangka, seperti ketika kita membuat baju untuk dipakai ramai orang. Atau membuat rumah untuk dihuni ahli keluarga. Bezanya hanyalah sejauh mana cara kita memakainya atau menghuni.

Apakah penilaian kita terhadap intipati yang ada di sebalik yang 'ada' itu. Apakah penciptanya pernah terlahir dalam mata fikir? Penanam kapas yang gigih, penenun kain yang tekun atau pereka dan penjahit pakaian yang hebat. Begitu juga pemotong kayu yang jauh di belantara sana, para pekerja kilang simen dan seterusnya pereka bangunan, para buruh yang membangunkan rumah, para pekerja yang mengurus jual beli dan sebagainya lagi. Apakah penilaian kita terhadap semua ini. Demikianlah puisi. Biarpun jurangnya tetap ada, secara roh dan materi. Sejauh mana puisi itu diperhati, selepas dibaca dan dihayati. Sesungguhnya harga puisi tetap hebat dan secara bermaruah harga puisi ialah nilai yang menjati diri di sebalik makna diksi-diksi yang diadun.

Begitulah tanggapan saya, resah puisi resah penyair tetap sama dan sebati menyatu.
Dalam perkembangan mutakhir penulisan puisi Malaysia, terdapat 16 orang penyair Sabah menyumbang khazanah puisi-puisi tanah air. Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Saya mencadangkan agar kekerapan membicarakan buku-buku puisi diadakan. Perlunya juga pengkhususan tema atau pendekatan para penyair dibuat agar kita dapat menentukan tema yang bagaimana menjadi pilihan para penyair kita. Pada masa depan saya berharap pihak penganjur harus menentapkan genre puisi harus diketengahkan. Pada masa yang sama, memilih para penulis secara adil bukan atas landas kawan-kawan atau disebabkan penulis berkaitan merupakan kerabat dalam persatuan penulis yang dianggotainya. Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesunggunya mampu diterjemah dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari bagaimana puisi diiktiraf daripada mengamatan mereka.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Bahasa peribadi dalam karya sastera


oleh HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
SALAH satu pengertian sastera adalah seni bahasa. Maksudnya adalah, lahirnya sebuah karya sastera adalah untuk dapat dinikmati oleh pembaca. Untuk dapat menikmati suatu karya sastera secara sungguh-sungguh dan baik diperlukan pengetahuan tentang sastera. Tanpa pengetahuan yang cukup, penikmatan akan sebuah karya sastera hanya bersifat dangkal dan sepintas kerana kurangnya pemahaman yang tepat. Sebelumnya, patutlah semua orang tahu apa yang dimaksudkan dengan karya sastera. Karya sastera bukanlah ilmu. Karya sastera adalah seni, di mana banyak unsur kemanusiaan yang masuk di dalamnya, khususnya perasaan, sehingga sulit diterapkan untuk metode keilmuan. Perasaan, semangat, kepercayaan, keyakinan sebagai unsur karya sastera sulit dibuat batasannya.

Karya sastera adalah ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, perasaan, ide, semangat, keyakinan dalam suatu bentuk gambaran kehidupan, yang dapat membangkitkan pesona dengan alat bahasa dan dilukiskan dalam bentuk tulisan. Jakop Sumardjo dalam bukunya yang berjudul "Apresiasi Kesusasteraan" mengatakan bahawa karya sastera adalah sebuah usaha merakam isi jiwa sasterawannya. Rakaman ini menggunakan alat bahasa. Sastera adalah bentuk rakaman dengan bahasa yang akan disampaikan kepada orang lain.

Pada dasarnya, karya sastera sangat bermanfaat bagi kehidupan, kerana karya sastera dapat memberi kesedaran kepada pembaca tentang kebenaran-kebenaran hidup, walaupun dilukiskan dalam bentuk fiksi. Karya sastera dapat memberikan kegembiraan dan kepuasan batin. Hiburan ini adalah jenis hiburan intelektual dan spiritual. Karya sastera juga dapat dijadikan sebagai pengalaman untuk berkarya, kerana siapa pun boleh menuangkan isi hati dan fikiran dalam sebuah tulisan yang bernilai seni.

Sejajar dengan kenyataan-kenyataan di atas, Sasterawan Negara (SN)  Dr. Muhammad Haji Salleh berpendapat, bahasa dalam karya moden lebih merupakan bahasa peribadi seseorang penyair, yang datang daripada dasar dirinya dan memperlihatkan kelainan caranya menggunakan kata-kata (2005:19). Kita sering dapat mengenali seorang penyair melalui bahasanya malah peribadinya melalui bahasanya juga. Misalnya, terdapat penyair yang lebih senang menggunakan bahasa yang lembut dan merdu, atau sebaliknya ada pula yang memilih bahasa yang lebih akliah. Kadang-kadang metafora juga menjadi semacam tanda pengenal untuk seseorang penyair. Terdapat penyair yang sering menjadikan bulan sebagai imej atau bandingannya dan laut sebagai metafora dasarnya.

Kita juga selalu membaca karya-karya penulis terutama yang masih baharu yang kurang menitik beratkan pemilihan diksi yang tepat. Pemilihan diksinya dangkal dan janggal. Mereka memaparkan karya tanpa berusaha sebaiknya membina kedalaman makna yakni apa yang terbina itu masih dalam lingkungan kulit semata-mata. Mereka tidak begitu berhati-hati dalam penyesuaian kosa kata dalam kalimat-kalimat yang dibina sehingga apa yang kita nikmati hanyalah kata-kata yang kering. Padahal bagi karya-karya yang puitis, kegagalan pemilihan diksi yang tepat menyebabkan karya berkenaan kosong selain kurang keindahan yang diperlukan.

Cara bagaimana bahasa digunakan akan menentukan bentuk sesebuah karya. Misalnya, jikalau kita lihat puisi 'Pohon Cemara' oleh A.Latiff Mohidin (1972:35), kita akan saksikan bagaimana pentingnya tugas bahasa dalam menentukan betuk puisinya. Lihat juga bagaimana penggunaan bahasa dihadkan hanya kepada perkataan dasar dan penyair tidak memakai kata terbitan atau abstrak. Kata-kata ini konkrit, imej yang dibawakan agak tajam dan tiada hiasan yang ditemui padanya:

pohon cemara
menanti mati
angin utara
di pinggir kali
angin utara
di hujung jari

Apabila imej dan persoalan dipadatkan, kita akan temui puisi yang tipis bentuknya. Walaupun begitu, bahasa ini dipenuhi oleh 'otot' dan 'urat' makna yang menyiratkan maksudnya. Yang nyata ialah tiadanya 'lemak' atau 'lebihan' di sini. Perkataan-perkataannya agak mudah, tetapi di sebaliknya sarat dengan alusi atau makna gabungan. Bunyi pula patah-patah dan tiada gemalai; malah secara relatif lebih patah-patah.

Pilihan bahasa begini dengan sendirinya akan menentukan bentuk karya itu. Akan tetapi, pilihan bahasa yang lebih mengalir dan merdu akan mengakibatkan bentuk yang sama mengalir dan merdu. Bandingkan puisi di atas dengan sebuah puisi pendek karya Sapardi Djoko Damono yang berjudul 'Tulisan di Batu Nisan':

tolong tebarkan atasku bayang-bayang hidup
yang lindap
kalau kau berziarah ke mari
tak tahan rasanya terkubur, mengapa
di bawah terik si matahari.

Bahasa puisi ini diolah daripada bahasa perhubungan harian, tetapi pada umumnya, lebih beralun daripada baris-baris pendek puisi A.Latiff Mohiddin. Oleh sebab barisnya panjang, maka kemungkinan untuk memasukkan lenggang lagunya lebih besar pula. Terasa pergerakan barisnya lebih panjang dan imejnya tidak dipilih daripada yang pejal dan yang memberi kesan yang agak keras pula. Perkataan terpilih dan watak bahasa seseorang penyair sememangnya mencorakkan bentuk dan bunyi sesebuah puisi. Kita akan lihat garis, sempadan, lentur dan lagunya.

Walaupun bahasa manusia sangat terhad, perbendaharaan katanya sangat sempit untuk kekayaan alam raya dan kepelbagaian hidup, namun tiada lain yang menjadi alat utama penyair kecuali bahasanya. Bahasa inilah satu-satunya alat yang ada padanya untuk melahirkan fikiran, menggambarkan gerak perasaan atau melukiskan suasana hatinya. Penyair ialah manusia yang terlibat sepenuhnya dalam bahasanya dan mengalaminya pada bunyi, pada bentuk serta pada makna pula. (SN Dr. Muhammad Haji Salleh, (2005:35)). Oleh itu, dia harus merasa akar dan sejarah perkembangannya, jenis pemakaiannya, zamannya dan lapis-lapis konotasi yang mungkin dilahirkannya.

Amat tepat dan sesuai pula ungkapan dalam bahasa Melayu yang berbunyi 'gila-gila bahasa', yang bukan sahaja membawa makna asalnya, iaitu peringkat gila yang awal, tetapi juga konotasi seorang yang agak lucu dan bebas dalam bahasa tuturan serta budi bahasanya. Orang yang 'gila-gila bahasa' sering pula seorang seniman atau manusia yang mendekati peribadi seniman, yang selalu mencari kemungkinan baharu untuknya. Benarlah kata-kata penyair-pengkritik Inggeris T.S.Elliot, bahawa seorang penyair itu ialah penjaga bahasa yang selalu memperbaharuinya. Kerja penyair adalah untuk memperkembangkannya menggantikan bahagian-bahagian yang telah lusuh dan mengemaskini peribadinya untuk setiap bahagian usia dan zaman.

Membaca puisi-puisi para penyair Nusantara kita pasti menemukan kepelbagaian bentuk, langgam, stail, pendekatan tertakluk kepada siapa diri penyair-penyair itu. Jika membandingkan antara WS Rendra dengan Kemala sudah tentu jauh bezanya, sedangkan pada sisi yang lain Kemala sendiri boleh beralih ‘suara’ dalam puisi-puisinya apabila kita meneliti ketika dia membacakan puisi dengan puisi-puisi yang kita baca. Maksud saya, semasa membaca puisi Kemala kelihatan begitu ‘bersuara’ tetapi cuba baca kumpulan-kumpulan puisinya yang lebih merdu dan lembut.

Penyair Singapura antara penyair sufi yang terbaik di Nusantara iaitu HB Johar memiliki ‘lesen’ bahasa peribadi yang sukar diikuti orang lain. Di Malaysia, Suhaimi Haji Muhammad dan Shafie Abu Bakar memiliki ciri-ciri bahasa puitis yang sentiasa menarik hati kepada para peneliti. Di Sabah, Ariffin Arif dan Jasni Matlani sudah tidak asing dalam kalangan para penyair tempatan dan juga dikenali di tanah air. Mereka merupakan angkatan penyair yang sama sekitar tahun 80-an yang mempunyai kecenderungan masing-masing. Ariffin menggunakan diksi-diksi yang pendek-pendek sedangkan Jasni mampu memanupulasikan bahasanya dalam kaedah puisi-puisi lirik yang indah. Tentu pemilikan bahasa antara mereka berbeza apabila membaca karya-karya Jamdin B, Suhani S atau Zaiton Ajamain. Bahasa peribadi yang mereka adun dalam puisi-puisi masing-masing membezakan karya, bahasa dan pendekatan.

Setiap manusia menggunakan bahasa dengan caranya sendiri. Pengguna bahasa menjadi penyaring, pewarna dan penyalur untuk bahasa itu. Oleh itu bahasa yang lahir daripadanya ialah hasil daripada proses interaksi antara pengguna dengan bahasa itu sendiri. Sudut peribadinya akan memasuki susunan ayat-ayat, pilihan bunyi kata-kata, lembut atau keras ekspresinya. Cara menggunakan bahasa disebut sebagai gaya atau stail sesebuah tulisan. Pemilihan dan pengetahuan kata-kata pula disebut dalam dunia puisi sebagai diksi.

Seorang penyair ialah seorang seniman yang mencipta karya dan secara langsung atau langsung membincangkan kehidupan. Alatnya, seperti disebutkan di atas, ialah bahasa. Untuk menjadi seorang penyair yang baik, dia harus mengenali bahasa itu dengan sesempurna mungkin kerana dengan pengetahuan ini, dia dapat mengambil atau mengutip daripada beratus-ratus ribu perkataan dan menyusunnya dalam rangka makna yang diinginkannya.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Nilai puisi dalam keperkasaannya


oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
PUISI menjadi genre sastera yang begitu diminati adalah ungkapan biasa. Saya lebih suka untuk mengatakan bahawa puisi begitu digilai ramai penulis ketika ini. Apatah lagi dengan adanya pelbagai medan yang interaktif di media sosial. Setiap detik kita akan menemukan puisi-puisi baharu. Ini merupakan salah satu sumbangan media dalam perkembangan sastera Melayu kita di nusantara bahkan Negara kita juga. Grup-grup sastera di laman maya yang berlambak mengumpulkan ribuan penulis puisi dan ribuan puisi.

Lantaran ghairah berpuisi, kelihatan juga terdapat penulis yang kurang memilih. Mengapa saya katakan demikian atas beberapa asbab. Antaranya disebabkan ingin dikenali, ingin mahu karyanya segera dibaca rakan-rakan atau begitu suka sekali agar puisi-puisinya dipaparkan dalam ruangan yang ada. Tidak kurang juga keseronokan melihat karya-karya terpapar setiap hari. Apatah lagi ingin memastikan berapa ‘like’ atau komen rakan-rakan dalam grup. 

Maka ada ketikanya terdapat penulis kurang berhati-hati, karyanya kurang matang, pemilihan diksi yang lemah dan sebagainya sehingga saya menemukan juga ciri-ciri kain perca dilakukan oleh sesetengah penulis ketika menzahirkan puisi-puisinya. Dia hanya menampal atau menempelkan dksi-diksi yang kosong. Satu yang mengkhuatirkan  saya ialah apabila terdapat puisi-puisi Islami atau yang mempunyai nilai Islami ditulis oleh mereka yang bukan beragama Islam terutama yang berkaitan dengan akidah akan mengelirukan pembaca. Pada saya, ini tidak seharusnya berlaku. Namun inilah alam realiti. Inilah dunia maya tanpa sempadan.

Jelasnya, apa pun juga tema yang dipilih, setiap penulis telah memiliki potensi cipta masing-masing melalui proses kreatif bermula daripada lahirnya idea atau ilham, pemurnian idea, pembugaran seterusnya lahir sebuah karya sebagaimana harusnya bentuk sebuah puisi yang matang.

Berpuisi adalah ekspresi jiwa. Setiap puisi yang dicipta, lazimnya lebih sebagai perwakilan hati. Bukan jarang, seorang penulis keliru dengan kalimat-kalimat yang telah ditulisnya sendiri. Tanpa disedari, muncul kejutan-kejutan ekspresi yang menggambarkan sebuah situasi: cinta, rindu, dendam, kebencian, indah, bahkan permusuhan. Puisi sering juga menjelma menjadi mantera-mantera tertentu yang mampu menakluk kerasnya hati seorang pembaca.

Disebabkan puisi lahir dari dalam diri seseorang, penulis perlu merangsang agar ia keluar menjadi kalimat-kalimat luarbiasa yang indah. Proses perangsangan itu tiada beza dengan saat menulis cerpen atau novel. Hanya saja, menulis puisi lebih diperlukan konsep simbol daripada sumber kata-kata yang harus dipilih bagi mewakili ungkapan perasaan atau suatu situasi yang ingin kita lantunkan menjadi bait-bait puisi yang mempesona.

Untuk itu, sebaiknya kita harus melalui proses perangsangan itu sebagai berikut. Meskipun beberapa orang tidak harus melewati proses ini, sekadar berkongsi ilmu, setidaknya membantu atau mempermudahkan lahirnya sebuah puisi.

Pertama, meditasi untuk ketenangan hati. Meditasi tidak harus dilakukan ‘seperti’ orang sedang melakukan yoga. Anda hanya perlu menenangkan fikiran sebelum melakukan proses selanjutnya. Dalam setiap agama, kita mengenali istilah sembahyang, yang tidak lain sebagai proses 'meditasi' untuk menenangkan diri atau berdialog dengan Sang Pencipta.

Kedua, bagaimana membayangkan peristiwa atau situasi. Jika ketenangan hati telah menghampiri anda, silakan membayangkan peristiwa atau situasi yang indah atau yang selama ini membuat hati anda bergejolak atau tertarik untuk mengamati secara berulang.

Ketiga, setelah membayangkan peristiwa atau situasi, silakan mencuba mengilustrasikannya secara ringkas ke dalam fikiran. Akan lebih mudah jika anda melakukannya dalam bentuk coretan-coretan kalimat atau beberapa kata di kertas, di telefon tangan, di laptop, atau media apapun yang mampu menyimpan gagasan fikiran.

Tahap selanjutnya, ringkaskanlah kalimat-kalimat atau rangkailah kata-kata yang telah anda ilustrasikan dengan kalimat atau kata-kata yang menyimbolkan atau menjadi tanda khas dan menarik sesuai dengan hati dan fikiran. Sekiranya anda telah kenal gaya bahasa elok melakukannya. Misalnya bagaimana atau bila masanya atau di mana setepatnya menerapkan unsur-unsur metafora, alegori, anafora dan sebagainya.

Tadi adalah landasan keempat. Kelima, mari rapikan dan menghaluskan kalimat atau kata. Biasakan bertemankan kamus dan buku-buku rujukan berkaitan. Ada saatnya penyair yang mapan begitu berani mencipta diksi-diksi atau kalimat-kalimat baharu sesuai dengan zaman dan situasi. Keberanian mencipta harus diselami bersama ilmu. Ilmu itu mungkin berpunca daripada pergaulan, perbualan, pembacaan, kuliah dan buku-buku yang dibaca.

Terakhir, jangan lupa membaca berulang-ulang sebanyak boleh kalimat-kalimat yang telah disusun, dan rasai nada dan intonasinya. Jika masih merasakan ada kejanggalan, ulangi terus membacanya hingga menemukan kenikmatan dan kepuasan spiritual atas karya puisi anda sendiri itu.

Begitulah antara proses perangsangan idea untuk menjadi sebuah puisi yang menarik dan mempesona. Kita tidak perlu ragu untuk melakukannya. Sebab, setiap orang memiliki potensi untuk membuat keindahan dalam puisi-puisnya. Mungkin bagi sesetengah pembaca telah mempunyai pendapatnya sendiri dan meletakkan karya anda sebagai karya yang masih lemah, tidak puitis, tiada roh dan seumpamanya. Setidaknya, puisi anda mampu hidup membantu melegakan berbagai masalah yang sedang manusia lain hadapi. Akan lebih beruntung lagi jika dikumpulkan puisi-puisi tersebut, lalu diterbitkan menjadi sebuah buku. Bukankah itu sangat memuaskan secara spiritual. Namun saya senang pada ungkapan bahawa ketika pemimpin berkisah tentang politik para penyair menulis puisi dan salah satu mengenai peristiwa mereka.

Ramai penulis berjaya menghasilkan puisi tetapi tidak semua puisi yang ditulis itu memberikan nilai terbaik buat pembaca. Soalnya ialah sejauh mana potensi kreatif anda dalam keghairahan menulis itu menepati ciri-ciri puisi yang sebenarnya dan nawaitu dari seawal kalimat kata kerana segala roh niat itu membawa kepada sebuah hasil karya yang penuh dengan makna yang besar. Puisi seharusnya dibesarkan oleh intipati selain keindahan bukan pada pemilihan diksi yang sekadar ditampal di sana-sini. Jangan percaya bahawa setiap emoji terbaik yang kita terima di media sosial itu sebangai tanda karya kita memang baik atau memberi nikmat kebahagiaan kepada orang lain. Puisi tidak mungkin sekadar dibaca sambalewa seperti membaca berita di surat khabar. Puisi perlu dirasai, dinikmati, disentuh oleh hati, digerak oleh akal, diperindah oleh kalimat-kalimat yang kita fahami. Puisi tidak harus beku. Ia perlu mengalir dengan tenang. Andai ia laksana kali kita akan menikmati kedamaian panorama alam.

Mungkin puisi juga menjadi medan kemarahan dalam latar kritis penulis. Sudah tentu nuansanya berbeza lalu puisi akan menjadi pentas perbalahan. Ketika membaca rontok segala damai yang seharus ada. Puisi-puisi yang keras menyebabkan lantai keindahan tidak memberikan persembahan yang harmoni. Ada bisa yang tinggal dalam fikiran yang diharapkan mengena sasaran. Saat ingin membetulkan kebobrokan, penyair tersisih di dalam obses membenarkan tindakannya. Persoalan tetap abadi dalam persoalan yang tidak akan selesai kerana suara penyair tidak cukup hanya benturan kata-kata. Fikirannya tidak cukup diurai dengan emosi semata-mata.

Sudah tentu kita tidak mahukan penjelasan-penjelasan tetapi bagaimana mampu dirungkai penyelesaiannya. Banyak persoalan yang memerlukan penyelesaian namun yang sering kita terima hanya penjelasan-penjelasan yang tidak diperlukan lagi. Kebobrokan kepemimpinan sesetengah pihak perlu ditangani dengan sikap yang sepadu. Puisi tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah tetapi melihat ke dalam masalah untuk diperoleh penyelesaian. Pemimpin yang hipokrit perlu ditatang bukan semata ditentang. Bagaimana lagak penentangan itu letaknya nilai puisi, nilai positif fikiran dan nilai sebenar jati diri kita sebagai penulis yang berwibawa. Semoga potensi kreatif anda akan menemukan nilai-nilai terbaik dan terus berkobar-kobar untuk puisi terindah.


PUSTAKA IQBAL NAZIM


HAJI SUKOR BIN HAJI USIN
2017