Jumaat, Januari 16, 2009

Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu

Pertama kali menyertai urusan penjalanan pilihan raya kecil di luar Sabah menjadi satu lagi pengalaman, saya fikir begitu. Walaupun sebelum ini pernah diarah bertugas semasa Pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun 2006, kali ini kelihatannya lebih mencabar. Bertugas mengendalikan pilihan raya tidaklah banyak bezanya kecuali suasana tempat. Namun begitu bagi pilihan raya kecil, suasananya memang hebat kerana tumpuan ramai lebih ke tempat berkenaan.

Saat ini saya berada di Kuala Terengganu dan antara pengalaman yang menarik sepanjang berkhidmat dengan Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia (SPR). Pertama, merasai sendiri perihal 'pesta' pilihan raya seperti gembar gembur dalam media. Kedua, melihat sendiri peperangan saraf menerusi pelbagai saluran pihak parti yang bertanding, seterusnya warna-warni sebuah bandar yang biasa menjadi lebih didekati dan dikenali ramai pihak terutama pekerja-pekerja parti politik serata tanah air. Kadang-kadang saya seperti tidak perlu berada di sini memandangkan keberadaan saya sepatutnya di Sabah tetapi akhirnya semacam penghargaan pula apabila mendapati pilihan raya kecil bakal melalui pelbagai perkara baru, setidak-tidaknya akan menglengkapkan keberadaan saya di jabatan penting ini.

Beberapa perkara baru yang dilalui sepanjang pilihan raya kecil ini ialah penarikan diri Pegawai Pengurus di saat-saat akhir, ini mendapat liputan yang pelbagai di media dan juga persepi orang ramai. Penglibatan MAFREL juga menjadi tumpuan kepada saya kerana sepanjangan pilihan raya di Sabah, badan ini tidak bergerak seperti mana negeri-negeri di Semenanjung. Semasa pilihan raya umum yang lain, mereka dibenarkan masuk ke pusat mengundi tetapi kali ini mereka hanya dibenarkan berada di pintu bilik mengundi walaupun kali ini 2 orang petugas MAFREL diberikan pas kebenaran bagi setiap pusat mengundi.

Jika berada di Kuala Terengganu saat ini memang menarik perhatian. Bukan sahaja pekerja politik dari seluruh negara tetapi anggota polis, salut juga kepada agensi keselamatan itu. Dan kita berharap pilihan raya kecil ini berjalan dengan lebih telus, lebih lancar pengendaliannya sama seperti penghargaan yang diberikan kepada SPR semasa proses penamaan calon.



Dicatat di Hotel Grand Continental,
Kuala Terengganu.


Rabu, Januari 14, 2009

Bius Bisu


Bungkam bersuara tapi adakah yang mendengarnya? Bumi diam seketika ada riuh sukma menyapa bersenandung di puncak sunyi menyaksikan sayap jelita melintasi angkasa melankolis hiba. Tak ada peristiwa mahupun elegi perjalanan terhenti. Sekadar berita jalur warna mencari ketiadaannya. Dibius bisu

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

S
aya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Selasa, Januari 13, 2009

Tragedi Palestin: bilakah berakhir?

Tragedi yang menyebabkan pertumpahan darah di bumi Palestin telah sekian lama kita ikuti. Hanya beberapa ketika seakan dendam dieram bersiaga untuk mengumpul kekuatan baru dan peristiwa yang serupa berlaku lagi. Kesedihan sentiasa juga berulang dan mengulangkan ungkapan, mengulangkan penentangan, mengulangkan harapan-harapan agar bumi suci itu segera aman dan rakyatnya menikmati erti bebas serta merdeka. Malangnya, ia terjadi lagi. Kita pun kembali memandangnya dengan seluruh rasa yang tidak dapat disembunyikan. Para penyair mencitrakan rasa simpati dan marah mereka menerusi puisi, menyulam diksi yang pelbagai, mereka menyampaikan bait-bait puisi yang sarat dengan cinta, tidak kurang amarah yang tidak pernah sampai ke titik yang dicita-citakan. Penderitaan warga Palestin juga sering mengingatkan lagu puisi yang pernah didendangkan oleh Zubir Ali - Balada Seorng Gadis Kecil. Saya juga pernah menulis sebuah puisi panjang tentang hal yang serupa. Semua orang juga punya pertanyaan yang hampir sama: sampai bila? Sampai bilakah pertelingkahan manusia berakhir? Bilakah orang-orang yang zalim itu menerima pembalasan? Seperti lirik di bawah ini:

Berapa banyak lagi
Gadis kecil tak berdosa
Akan menjadi mangsa
Kejaman manusia

Berapa abad lagi
Gadis kecil seperti Munir
Akan menjadi korban
Peperangan...


Ahad, Januari 11, 2009

Di Gaza Jawapan Kerakusan


Israel itu apa, tanya akalku, saat saudaraku di Gaza kehilangan erti bebas tanpa maya menghadang kezaliman dan kerakusan. Melihat kanvas genting yang ditiup debu-debu serta bau peluru sambil irama elegi tangis jerit takut mengiring kesedihan

tiada kata mampu diungkap bahkan tindak yang hidup selain rasa pilu memupuk kejap moral agung insan Islam menjadikan bayangan syahdu melawan arus rakus yang sukar difahami tamadun insan waras

panji-panji janji Ilahi tak pernah larut syiar juang mencahayai bumi suci mengalir bersama rafak doa nazilah setiap umat yang memaknakan ukuwah meski masih tak mampu merawat luka dan duka yang panjang

Israel itu apa, soalku dan mereka telah memberikan jawapan.


Menyeberangi Samudera



Selepas merafakkan doa akhir dan awal tahun perahu hayat membenarkan pelayaran merentas batas hijrah,taburan mawar syukur menerawang aroma cinta. Kucari bingkai cermin menyatukan kekaguman Cinta,Cahaya menyeberangi samudera memandu pelayaran dalam harap yang berganda. Cintaku kembali ke akar cahaya Hijrah.