Jumaat, Ogos 15, 2008

PASCA-APRESIASI SASTERA BENONI


Menjadi penulis yang bijaksana dan mengencerkan bakat yang dianugerahi Tuhan pada jalan yang benar... inilah bawaan yang menjadi buah tangan anak-anak di sebuah sekolah pada pagi hari ini. Kami berenam masuk ke dewan sekolah sambil membaca fikiran 200 lebih pelajar tingkatan 3, 4 dan 5: saya percaya mereka memikirkan peristiwa 3 jam yang bakal berlangsung atau sebenarnya mereka telah bersiap siaga dengan harapan-harapan yang menggunung agar dapatan mereka pada hari yang baik memberikan makna tersendiri, atau paling tidak menjadi dorongan untuk menghadapi kehidupan. Belajar dan menerima ilmu itulah kehidupan bagi seorang pelajar, yang diajar mengenal abjad serta angka, memahami setiap liku kata dan jumlah ukuran sains dan matematik. Namun ini tidak cukup tanpa jiwa yang mulia, tanpa keindahan yang terserlah daripada budi dan daya, tanpa ukur fikiran yang membangunkan sukma. Mereka sesungguhnya terus dilatih untuk menulis, membaca, mentafsir, memikir, mentamsil, memahami secara formalistik, analitik dan pedagogi yang berterusan. Ini usaha yang harus disungguh-sungguhkan. Dan dengan ini juga panggilan sehingga kami berenam menjejakkan kaki di sekolah berkenaan.

Bermula dengan ucapan sambutan Pengetua, Puan Rohani Abdullah yang menganggap kehadiran rombongan kami sebagai suatu kebahagiaan yang amat dihargai. Beliau berharap pemurnian ilmu harus berlangsung tanpa segan silu kerana sekolahnya sentiasa membuka pintu. Ini saya sambut dengan fikiran yang terbuka luas, apatah lagi usaha yang bakal kami lakukan untuk memantapkan program sastera di Papar menerusi Biro Kreatif yang sedia ada.

Program Apresiasi Sastera SMK Benoni kami mulakan dengan ceramah di bawah tajuk ‘Menikmati Puisi’. Sedikit banyak menyentuh tentang latar puisi – tradisi dan moden, menjawab pertanyaan mengapa menulis puisi dan yang lebih inti berkaitan dengan puisi-puisi yang terdapat pada teks KOMSAS PMR. Itu tugas saya. Noordin Zainal Abidin (NORZA), warga DBP Cawangan Sabah yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi IPS pula berinteraksi dengan para pelajar dengan membincangkan isu-isu cerpen atau cereka. Interaksi mereka cukup bertenaga, untuk menjawab seribu satu persoalan dalam masa 40 minit tentu tidak memandai. Kerana itu Norza dengan bijak memberikan laluan menerusi hubungan telefon atau sms, saya fikir salah satu cara yang baik juga walaupun ini tidak seinteraktif melalui e-mel atau blog. Mohd Fuad Bebit, pensyarah sekolah seni Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga merupakan AJK Tertinggi IPS, menceriakan lagi dewan sekolah dengan peragaan yang istimewa dan meriah. Mohd Fuad yang memiliki ikon tersendiri menerusi puisi-puisi jenakanya telah menarik minat para pelajar, walaupun ala jenaka tetapi menerapkan pengajaran yang jarang-jarang mereka temui. Tentu sahaja hari yang baik ini memberikan pengalaman yang baik juga buat mereka.

Sebagai sebuah apresiasi, saya amat terharu dan berbangga dengan kesediaan warga IPS memberikan ilmu kepada anak bangsa mereka. Pengorbanan masa dan tenaga bukan mudah, apatah lagi pergerakan kami dari ibu negeri seawal pagi meninggalkan tempat bekerja dan ada yang perlu bercuti. Kami sentiasa diceriakan sambutan guru panatia terutama puan Pengetua dan pelajar-pelajar. Malah yang menyentuh hati kecil saya ialah kehadiran warga IPS Papar yang sudah lama tidak kelihatan kelibat dan produk kreatif mereka. Semangat yang ditunjukkan saya fikir IPS akan bersemarak di Papar di bawah pimpinan JY dan RAM Papar. Dua jaguh sastera daerah ini telah saya galaskan tanggungjawab pelbagai rencana, mudah-mudahan akan terlaksana selepas Benoni dan PUSPA Kimanis seterusnya Melagui Kelatuan sebagaimana diutarakan mereka.

Saya membaca beberapa catatan kawan-kawan di Kemsas menerusi ‘Handheld PC’ ... sambil memahami apa yang tersirat dan kembali ke Kota Kinabalu, 1 jam kemudian. Mengingat ungkapan Mohd Fuad: jangan lupa utaraan program Baca Puisi bulanan di DBP Cawangan Sabah, memang wajar diungkayahkan.

Khamis, Ogos 14, 2008

Gema merdeka dalam BPKL


Gema merdeka dalam BPKL

PADA 31 Ogos ini, genaplah 51 tahun negara bebas dari belenggu penjajahan. Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia meraih pencapaian fizikal dan mental yang cukup luar biasa dengan mengatasi negara-negara bebas seusianya.

Pencapaian tersebut tentunya tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan keupayaan pemimpin-pemimpin negara dalam menjalankan tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan tersebut.

Bagi mengenang jasa dan memanifestasikan erti kemerdekaan dalam perspektif seni, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi menganjurkan program Baca Puisi Kuala Lumpur (BPKL).

Siri kelima program yang diadakan sempena Bulan Kemerdekaan 2008 tersebut akan berlangsung di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur pada Sabtu, 23 Ogos ini, pukul 8.30 malam.

Program bertemakan Perjuangan dan Patriotisme tersebut akan dihoskan oleh Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan diacarakan oleh Mansor Abu Bakar (Klasik Nasional).

Antara penyair, artis dan kumpulan yang terlibat menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan pada malam tersebut ialah Mokhtar Yassin, Dr. Krishnan Maniam, Mohamad Daud Mohamad, Ras Adiba Radzi, Selina SF Lee dan Hasyuda Abadi.

Selain itu, persembahan-persembahan lain ialah nyanyian lagu puisi oleh Zubir Ali, nyanyian lagu patriotik oleh Roy dan deklamasi puisi oleh Saifullizan Yahya, Amiruddin Ali, Salleh Mohd. Tahir, Milyana Arshad (Juara Sayembara Deklamasi Peringkat IPTA 2007), Zamzuriah Zahari (Aswara - gurindam), Grupemuisi Rekayasa UiTM dan Kumpulan Dikir Barat Kencana Putera.

Bagi memeriahkan BPKL, Kalam turut mengundang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Datuk Ab. Hakim Borhan (Datuk Bandar Kuala Lumpur), Datuk Johan Jaaffar (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) dan Datuk Norliza Rofli (Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara).

Bersesuaian dengan semangat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-51, semua hadirin dibekalkan bendera jalur gemilang dan akan bersama-sama peserta menyanyikan empat buah lagu antaranya Malaysia Baru, Kerana Mu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan 31 Ogos.

BPKL terbuka secara percuma kepada semua penulis, penyair, penggiat budaya dan teater, pelajar, peminat bahasa dan sastera serta orang ramai.