Sabtu, November 22, 2008

Pemimpin dan Rumah Rakyat


Di kampung saya, telah terjadi cerita yang tidak pernah kunjung habis iaitu tentang pemimpin kami - ada yang memang sudah bergelar mantan pemimpin tapi masih ada hasrat memasuki semula sebuah pintu yang dia pernah duduk di dalamnya dengan selesa dan bangga; ada juga yang baru masuk ke pintu itu dan sedang duduk selesa dikelilingi para ‘macai’ malah ada juga yang masih menjeling, menyubuk atau dalam erti kata yang bercita-cita untuk memasuki pintu yang dimaksudkan.

Seperti di tempat-tempat lain, orang-orang pun menceritakan tentang pemilihan sebuah parti politik. Dan tidak jauh bezanya seperti mana di tempat-tempat lain, kekecohan atau masalah pemilihan menjadi kemestian untuk diatasi. Maka di kampung saya ceritanya pun tidak jauh bezanya. Istilah-istilah seperti ‘indorsement’ dan ‘korum’ begitu basah di lidah waima emak saya sendiri walaupun sebutannya kurang tepat. Pendek cerita, saya pun menyibukkan diri dengan bertanyakan khabar yang saya baca di media massa tentang kekecohan pemilihan parti berkenaan kawasan kami di Sipitang. Emak saudara saya pun bercerita panjang lebar, maklum saja dia pun baru menang dalam kemnya seorang ‘Datuk’ yang juga kawan baik saya di kampung, bekas Pembantu Menteri. Tiada siapa yang mahu mengatakan kemnya salah, begitu juga orang yang begitu menyukai kem yang satu lagi akan mengatakan sebaliknya. Kebetulan kem yang satu itu penyokong kuatnya ialah emak saya sendiri. Kata emak, jangan saja dia (mak saudara saya) cerita di depan ayah, tentu ayah naik angin. Sebelum ini pun dia sering bersuara tinggi bila saya timbulkan dalam perbualan kami tentang pemilihan parti berkenaan. Beliau selalu ungkitkan tanggungjawab yang diabaikan. Saya perlu berhati-hati bila berbual dengan ayah, bekas ketua kampung. Saya faham tapi tidak mungkin mempercayaa mana-mana kem pun kerana kedua-duanya mempunyai cita-cita yang sama - berada di dalam sebuah rumah yang pintunya akan menjadi tumpuan setiap tiga tahun itu bagi pemilihan parti dan empat atau lima tahun untuk pemilihan wakil rakyat. Dan apabila sudah berada di dalamnya, tidak siapa yang boleh mengatakan inilah pemimpin kami yang terbaik kecuali para ‘macai’ atau orang-orang yang saya istilahkan sebagai ‘tali pinggang’ pemimpin akan mengatakan sesuatu yang berbeza.

2.
Saya sudah melihat sebuah rumah yang amat cantik di kampung, tidak jauh dari rumah kami. Tersergam indah. Terserlah bila dipancari lampu berwarna-warni. Orang yang lalu tidak akan memandang sekejap, atau setidak-tidaknya memaling semula ke arah rumah itu untuk menjelaskan bawah betapa cantiknya rumah itu.

Emak tidak berkata banyak kecuali satu, bukan duit dia. Tidak terkejut dengan kenyataan pendek emak, saya segera didatangi diksi terbaik tentang rumah itu - Rumah Rakyat. Kata naluri saya, kau ni pandai-pandai. Apa tidaknya jika duit rakyat, tidak salah namakan saja itu rumah rakyat. Tiba-tiba saya ingin menulis sebuah cerpen tentang rumah itu. Tidak tahu sama ada boleh menjadi.

3.
Catatan ini saya buat masa bersantai di rumah keluarga saya di kampung (lihat foto), selepas sarapan pagi tapi sebenarnya bermula selepas solat subuh. Hanya kadang-kadang talian internet kurang memuaskan, operasi hantaran sering terganggu. Sudah berapa kali sejak kelmarin saya gagal meng’upload’ foto-foto untuk paparan di sini. Nampak harus menunggu sehingga petang semasa sudah berada di Kota Kinabalu.

4.
Menariknya kami sekeluarga berbual tentang pengalaman ahli-ahli keluarga yang pernah berada di Mekah alMukaramah. Insyaallah akan mengerjakan umrah pertengahan tahun depan, mudah-mudahan dapat lebih merasai apa yang dialami ahli keluarga.

5.
Alhamdulillah saya dapat menaik-turun foto-foto yang saya sukai untuk blog ini. Foto rumah keluarga ini tempat saya dibesarkan, tapi sudah banyak diubahsuai apabila keluarga semakin besar. Daripada emak dan bapa melahirkan kami enam beradik kemudian masing-masing bekeluarga kini menjadi 32 orang. Lihat salasilah keluarga kami di sini.

Jumaat, November 21, 2008

R A P U H

Lirik di bawah ini merupakan lagu yang amat saya senangi walaupun sudah lama popular oleh Opick. Bukan saja lagunya memikat kalbu bahkan liriknya cukup mempesonakan...

RAPUH

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku

Meski kurapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu
Maafkan lah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada kuharap hanya diriMu
yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Penubuhan MBSS

Biarpun kelopak-kelopak bunga akan gugur menyembah bumi atau terbang dibawa angin berlalu, namun wanginya tidak pernah hilang dalam apa masa sekalipun. Analogi ini tentu sahaja mudah untuk dimengertikan dan ditamsil sebagai kesinambungan hujahan Datuk Haji Mohd Ariffin Arif di Dewan Undangan Negeri Sabah yang telah saya lestarikan dalam blog ini.

Sebagai individu tentu sahaja pandangan ini begitu relevan dengan keperluan mahupun intisari yang dihasratkan oleh para pendukung sastera dan bahasa. Memang wajar sekali sebagai orang yang berwibawa seperti Datuk Haji Mohd Ariffin, membawa segala persoalan rakyat dan menyampaikannya secara rasional di dewan yang mulia agar satu keputusan dapat digubal demi manfaat yang bakal dinikmati.

Sebagai pemimpin badan penulis, saya bagi pihak Ikatan Penulis Sabah (IPS) ingin menyatakan sokongan dan amat mengalu-alukan penubuhan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah seperti yang dibangkitkan. Selari dengan sokongan yang diberikan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), IPS beriltizam bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan sebuah rumusan yang jitu sehingga majlis ini menjadi realiti. Penubuhan majlis ini amat wajar pada saya sebagai pendukung perjuangan penggiat sastera dan bahasa secara menyeluruh di Sabah.

Aktiviti sastera yang global memerlukan penglibatan ramai pihak termasuklah komitmen pihak kerajaan khususnya kerajaan Negeri. Ini perlu dilestarikan secara sungguh-sungguh dan berterusan. Penubuhan majlis ini juga akan merancakkan program-program berkaitan secara terancang malah lebih terarah bukannya bermusim. Di samping itu ia mampu menjana kepelbagaian citra rakyat Sabah yang terdiri daripada berbagai etnik menerusi elemen-elemen sastera dan budaya serumpun. Malah usaha penubuhan ini amat bermakna kerana dapat mengakrabkan persefahaman dan penyatuan bangsa apabila program-program penataran bahasa serta pemuliharaan sastera setempat dilaksanakan lebih terancang, dipersatu dan bukan berpecah-pecah mengikut kepentingan sesuatu kelompok.

Marilah sama-sama kita mengatur langkah ke arah penyatuan idea dan membentuk satu perjuangan yang jitu demi merealisasikan landasan yang membawa dunia sastera dan bahasa kita bebas bergerak mengikut aliran pemikiran masa kini.

Khamis, November 20, 2008

Catatan Deasoka...Haji Arifin, tiga kuntum bunga dan Bajet 2009



Catatan ini disediakan oleh
Abd Naddin Haji Shaiddin

"Bunga sesungguhnya bahagian dari kehidupan manusia. Sebahagian dari ciri dan nilai hidup manusia dihubungkan dengan bunga. Bunga yang baik dan harum, akan memberi ketenangan jiwa. Bunga yang indah, mempunyai kuasa terapi mengubat jiwa manusia lebih daripada apa yang dapat dilakukan oleh seorang doktor," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif (gambar).

Barangkali inilah buat pertama kalinya dalam sejarah Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, seorang Ahli Yang Berhormat bercakap tentang bunga ketika membahaskan belanjawan negeri atau Bajet 2009.

Haji Arifin yang juga seorang penyair berkata bunga adalah lambang atau simbol atau citra yang selalu meruntun hati manusia dan selalu menjadi daya tarikan yang menjadikan hidup manusia itu lebih bermakna.

Sebab itu, kata Arifin, bunga diabadikan atau hadir dalam kehidupan manusia dalam pelbagai cara. Ada yang menjadikan bunga sebagai nama untuk anak-anak mereka. Dalam filem, malah dalam realiti kehidupan Melayu adan nama dihubungkan dengan jenis bunga, melati, melur, mawar, teratai dan sebagainya.

Arifin bukan saja seorang wakil rakyat. Beliau yang juga seorang lulusan Al-Azhar itu seorang cendikiawan Muslim yang tinggi mutu keilmuannya. Dalam ucapannya itu, beliau mengutip juga mengenai Puteri Nabi, Fathimah Az Zahra. Panggilan Az Zahra itu katanya merujuk makna bunga. Dialah bunga di kebun kehidupan junjungan Rasul SAW, dialah kembang penyeri atau kuntuman bunga di taman ummah. Az Zahra, kemudiannya diabadikan untuk sebuah gedung ilmu tertua di dunia yang diasaskan oleh Kerajaan Fatimiyyun di Mesir. Gedung ilmu itu dikenali sebagai Al-zhar yang berasal dari suku kata semarak atau bunga. Jelas kerana, kata Arifin lagi, gedung itu telah melahirkan dan menzahirkan berjuta bunga ulamak dan ilmuan untuk taman dunia.

Pemimpin yang satu ini juga menyatakan bahawa bunga turut diabadikan dalam bentuk lagu.Lagu-lagu evergreen seperti lagu Seroja dendangan S.Affendi, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, sentuhan M.Nasir dan dinyanyikan Allleycat, Bunga Tanjung dan Teratai dinyanyikan Syarifah Aini dan banyak lagi, adalah antara lagu yang pernah diminati ramai dan menceritakan tentang bunga.

Bunga juga kata Arifin dihubungkan dengan bidalan dan peribahasa Melayu.Berburu ke peadang datar, dapat rusa belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Bagai bunga kembang tak jadi, katanya lagi bermakna, orang yang belajar separuh-separuh tetapi berlagak nak jadi jaguh.Ilmu baru sedikit sampai tetapi memandai-mandai, bagai bunga kembang tak jadi. Orang seperti inilah akhirnya akan menjadi sebagaimana sepotng ungkapan yang mengandung kata bunga iaitu kera seperti kera mendapat bunga.

Demikian juga, apabila kita menyebut Pantun Melayu, puisi rakyat yang paling popular ini turut banyak menyelitkan bunga dalam pelbagai bentuk ungkapan, sebagai pembayang pantun, sehingga ada yang berkata, sesungguhnya, sebahagian besar pantun-pantun Melayu yang indah itu, diperkayakan dengan perbendaharaan kata yang berkaitan atau sinonim dengan bunga.

Pohon Kemboja dahan bercantum,
Tempat jentayu membuat sarang
semalam sahaja baru berkuntum
sekarang layu bilakah kembang?

Bunga melur bunga melati
ketiga dengan bunga kertas
dari telur lagi dinanti
inikan pula sudah menetas.

Sampai disini, wakil-wakil rakyat yang menghadiri sidang DUN itu mungkin masih tertanya-tanya apakah ucapan wakil rakyat Membakut itu hanya membicarakan mengenai definasi bunga semata-mata?

"Ada tiga kategori bunga yang akan saya fokuskan menerusi perbahasan Bajet 2009 ini iaitu pertama Bunga Hakiki, kedua Bunga Bangsa dan ketiga Bunga Seni.

Negeri Sabah kini sudah terkenal di peringkat gobal sebagai negeri yang dikurniakan kekayaan biodiversity.Kawasan tanah hutan kita dilindungi, sekurang-kurangnya menjadi tempat tumbuh lebih 5,000 jenis spesis bunga.Lebih 1,000 jenis daripadanya adalah bunga orkid liar, yang mana 800 jenis terdapat di kawasan Taman Kinabalu.

Inilah yang saya maksudkan dengan Bunga Hakiki. Bunga Hakiki ini, adalah bunga pelbagai jenis yang tumbuh di bumi kita. Sesungguhnya ia boleh dimanfaatkan sebaik mungkin, bukan sahja untuk tujuan melestarikan alam sekitar kita supaya sentiasa kelihatan cantik, indah dan mapan, bukan sahaja menganugerahkan persekitaran udara yang bersih dan selesa tetapi juga, ia boleh diekploitasi untuk meningkatkan industri pelancongan, sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di negeri kita ini.

Bunga kata Haji Arifin boleh dijadikan sumber perniagaan. Industri bunga boleh berkembang serta memberikan pulangan yang besar, jika sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh dan menggunakan kaedah yang betul.

Kita mengenali Thailand sebagai antara pengeluar bunga dunia yang untung kerana industri bunga, demikian juga Singapura. Kata Arifin, seorang usahawan bumiputera di negara ini maju dan berjaya dalam industri bunga sehingga beliau memiliki pusat semaian bunga di Dubai.Seorang lagi usahawan bunga dari Selangor mendapat kontrak berpuluh juta untuk membina lanskap dan taman di Vietnam. Ertinya bunga itu memberi wang dan wangi, bukan saja menampung keindahan tetapi menampung kehidupan.

Arifin mencadangkan agar kerajan negeri atau sektor swasta, individu atau kumpulan semuanya memainkan peranan yang penting menjadikan negeri Sabah sebagai Negeri Taman. Beliau juga mencadangkan agar kita mengwujudkan Lintasan Taman Borneo,
dimana sepanjang jalan bandaraya Kota Kinabalu terus terhias dengan pelbagai jenis bunga. Arifin juga meminta supaya kajian R& D ditingkatkan lagi bagi memajukan industri bunga-bungaan. Kerajaan juga perlu membantu peniaga-peniaga kecil-kecilan di kampung-kampung khususnya dalam empat aspek penting iaitu keilmuan, latihan, atau bimbingan, modal yang penting dari segi pasaran.

Saya teringat kunjungan kami Ke Bandung yang disebut Kota Kembang itu. Bandung, benar-benar maju dengan Kota Kembang. Bahkan sepanjang perjalan kami dari Bandung Ke Cisarua, kiri kanan jalan dipenuhi dengan bunga-bunga, pelbagai jenis bunga. Menarik sekali. Barangkali patut juga dicadangkan supaya pekebun bunga kita diajak untuk melawat Kota Bandung dan melihat bagaimana Petani disana memajukan industri bunga-bungaan.

Bunga Kedua yang diperkatakan Arifin dalam ucapannya ialah Bunga Bangsa yang merujuk kepada generasi muda atau generasi belia.Katanya sambil memetik penulis Cina, Ba Jin yang pernah mengatakan Belia adalah harapan manusia, demikian hebatnya peranan belia dalam membina ketamadunan bangsa dan ketamadunan manusia.

Kategori bunga ketiga yang diperkatakan Haji Arifin ialah Bunga Seni. Bunga Seni, katanya berkaitan dengan usaha melestarikan bahasa, sastera dan budaya.

Beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah lembaga atau Majlis Bahasa dan sastera supaya dengan wujudnya lembaga atau majlis itu nanti, yang setaraf dengan beberapa lembaga yang sedia ada seperti Lembaga Kebudayaan, Lembaga Sukan atau seperti Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) dan ditadbir sebagai sebuah agensi kerajaan dan diletakkan di bawah Kementerian yang dipertanggungjawabkan, maka usaha untuk mendokumentasikan hal yang berkaitan dengan bahasa dan sastera dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan.

Kata Arifin, (juga kata kita semua), jika Kerajaan boleh menubuhkan Lembaga Kebudayaan, untuk hal-hal yang berkaitan dengan sukan, maka mesti ada sebuah lembaga yang ditubuhkan untuk menjaga bahasa dan sastera di negeri kita ini agar khazanah sastera negeri terus terpelihara.

Lebih-lebih, kata Arifin lagi, sastera kita di sabah, kini semakin berkembang dan setaraf, malah mungkin lebih baik, sama ada dari segi kualiti dan kuantiti dengan perkembangan yang berlaku di negeri lain di negara ini.

"Dengan tertubuhnya lembaga atau majlis itu nanti, penulis-penulis negeri ini boleh bernaung di bawah satu badan.Ia juga boleh menjadi pemersatu dan pemangkin perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

"Berapa banyakkah sastera rakyat, cerita rakyat yang telah dapat kita dokumentasikan, berapa buah kamus bahasa sukuan yang telah kita hasilkan, berapa banyakkah bahasa sukuan yang berjaya diserapkan ke bahasa Melayu sebagai khazanah penting negara. Segala persoalan ini, kata Haji Arifin perlu terus kita renungkan agar khazanah seni dan warisan yang paling berharga itu tidak pupus dimamah zaman.

"Bagi saya kewujudan Majlis Bahasa dan Sastera sekurang-kurangnya dapat mendukung usaha melestarikan dan memartabatkan bahasa dan sastera di Sabah.Majlis atau lembaga itu akan menjadi tempat bernaung para sasterawan, seniman, budayawan, penyelidik termasuk para wartawan.

Menurut Haji Arifin, sepanjang separuh abad kita merdeka, hanya 54 buah buku berkaitan bahasa, sastera, budaya dan warisan yang telah dihasilkan. "Tetapi apa maknanya 54 buah buku yang diterbitkan selama separuh abad kita merdeka berbanding dengan berjuta naskah buku yang diterbitkan di dunia dalam masa sehari?

Melalui penubuhan lembaga dan majlis itu, Anugerah Sasterawan Borneo juga dapat diwujudkan sebagai landasan untuk penulis negeri ini menerima penghargaan yang lebih prestij di peringkat serantau seperti Anugerah Sea Write Award di Thailand.

"Dengan membahaskan tiga kuntum bunga iaitu bunga hakiki dengan ribuan jenis flora yang menjanjikan masa depan, dengan bunga bangsa generasi pelapis yang perlu digembeling untuk kelangsungan masa depan dan dengan bunga seni bahasa dan sastera khazanah paling berharga sebagai warisan bangsa dan citra negara perlu didepankan, sesuai baja segar dan subur Bajet 2009 prihatin terhadap masa depan, maka saya mohon menyokong," kata Haji Arifin mengakhiri ucapan perbahasannya.

Saya fikir beliau sengaja mengulang-ulang kata masa depan dalam perenggan akhir ucapannya itu. Menjanjikan masa depan, kelangsungan masa depan, prihatin terhadap masa depan.

Semoga kita dan sastera kita punya masa depan dan bunga-bunga itu tetap mekar dan menguntum.

Beri Aku Bunga Melati, Yang Mekar Di Sudut Hati, kali ini saya mengutip kata-kata Kartini.

Artikel ini seperti dalam Kemsas
dan boleh dibaca di
http://abdnaddin.blogspot.com.

Selasa, November 18, 2008

Membaca Nan

Saya masih ingat apabila Nan menghantar SMSnya begini: Ayah, nan dapat kerja tapi jauh di Sepulut. Saya menggambarkan sesuatu. Tentu saja dia gembira kerana dapat kerja seperti anak-anak muda sebaya, bukan senang menerima tawaran kerja, jadi, di manapun lokasi penempatan aturkan saja, fikir saya dan ini antara jawapan kepada Nan. Namun begitu, baru hari ini sempat membaca surat daripada Nan yang saya maksudkan, anak angkat dan anak didik, penulis wanita muda prolifik dan produktif di pedalaman. Surat itu dihantar dengan tangan oleh tunangnya, Manaf (belum begitu kenal tapi sudah seperti kenal sekian lama). Menceritakan tentang 'dunia' baru Nan sebagai penjawat awam di sebuah sekolah menengah di pedalaman Sabah. Panjang juga cerita tunangnnya itu. Apa yang diceritakan Manaf sama seperti tulis Nan tentang Sepulut Pensiangan, Sabah, suatu tempat yang agak sunyi daripada pelbagai segi tapi tentunya riuh untuk sebuah kehidupan yang tetap mendambakan kemudahan prasarana moden.
2.
Saya barangkali sama seperti peminat-peminat teater di Kota Kinabalu merasakan bahawa persembahan 'Menunggu Tuan Presiden' yang mengisi kekosongan Dewan Besar DBP Sabah tanggal 13 November lalu menjadi penutup tirai pentas berkenaan. Selepas ini tentulah bakal membuka tirainya yang baru, yang pasti pementasan teater kecil mahupun besar menjadi tumpuan penggiat dan peminatnya. Kota Kinabalu sebagai hab aktiviti seni dan sastera di Sabah memang wajar sekali diambil perhatian. Isu ini perlu menjadi fokus pemikir yang terlibat yang bakal merealisasikan semula sebuah majlis sastera dan bahasa baru. Majlis Bahasa dan Sastera 'lama' telah berkubur atau lebih mudah diungkapkan sebagai 'debu' yang dibawa angin entah ke mana memberi impak yang amat besar kepada aktiviti sastera yang bersifat mega. Sekarang tidak perlu membincangkan persoalan tentang 'kehilangan' MBSS tetapi mendapatkan upaya yang lebih dinamik dan segar agar sastera, bahasa, budaya dan seni mampu dicemerlangkan semula. Seperti dimahukan oleh Datuk Masidi Manjun yang kami kunjungi pada 13 November lepas, sudah ada tanggungjawab baru kepada para pemimpin penulis untuk menerajui bahtera persuratan diketuai Yang DiPertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Jasni Matlani.

InsyaAllah 2009 bakal membuka langkah atau hala terbaru untuk sebuah gandingan yang mantap persatuan-persatuan penulis, penulis serta DBP dan juga agensi-agensi berkaitan di peringkat Negeri mahupun Nasional.

3.
Berbalik kepada khabar Nan di Sepulut betapa suasana di daerah pedalaman itu tetap ada keindahan tersendiri, kebahagiaan yang tidak ada di tempat lain. Belantaranya kaya dengan pelbagai khazanah tumbuhan yang mujarab kepada keperluan kehidupan sebagai mata pencarian. Dunia masa kini sudah tidak lagi bercakap tentang tidak cukup makan tetapi mereka memerlukan prasarana yang lebih canggih. Komunikasi dan keperluannya sudah bertambat di daerah itu. Mereka telah kenal dunia luar melalui Astro dan sebagainya. Anak-anak yang bersekolah kebanyakannya memiliki telefon mudah alih yang canggih. Masalah utama di situ cuma air bersih yang diperolehi daripada bukit secara graviti.

Saya teringat pula suatu tempat di Kota Belud, rasanya pernah diceritakan sebelum ini, iaitu di sebuah kampung bernama Lasau Podi, agak jauh juga dari pekan Kota Belud. Untuk sampai memang memenatkan bagi orang-orang bandar yang punya tujuan penting ke situ. Ketika itu saya bersama Pengarah SPR negeri dalam rangka lawatan ke Pusat-pusat Mengundi. Masalah yang sama juga dihadapi oleh penduduk kampung, dan bagi seorang guru yang saya temui, beliau dijangkiti kuman daripada air yang digunakan. Tangannya saya lihat berkudis dan harus ke pekan segera ketika itu. Selain bangunan sekolah yang terhad untuk pelajar yang semakin bertambah, tentulah masalah akar seperti air tidak harus dipandang remeh. Fokus permasalahan begini tidak dapat dielakkan oleh mereka diberikan amanah menggalas penyelesaian. Biar payah dan betapa kompleksnya pengurusan serta birokasi yang rumit, melihat suasana seperti itu memulangkan ingatan ketika membesar di kampung. Betul, dulu air sungai jernih, boleh diperbuat apa sahaja. Mandi, membasuh pakaian, minum malah tidak khuatir diteguk mentah-mentah. Kami amat gembira ketika menjadi kanak-kanak terutama musim banjir. Saya belajar berenang dan mulai pandai menyelam. Berbanding sekarang, berapa ramai anak-anak sebaya yang boleh berenang terutama di bandar, saya percaya di kampung saya tidak lagi ramai yang pandai berenang. Apa lagi dunia kini tidak lagi bermula di sungai. Sungai semakin kering, hanya kenangan bertambat. Perubahan masa menyalian kebiasaan dengan memberikan kemudahan-kemudahan asas misalnya air bersih sudah sampai di rumah melalui besi paip. Elektrik juga sudah singgah di rumah kami. Telefon datang lebih awal kemudiaan Astro di setiap rumah dan bila pemancar telekomunikasi dibangunkan telefon mudah alih mendekatkan dunia dan manusia. Saya boleh bercakap dengan selesa dengan ayah dan ibu serta adik-adik.

Tapi di Sepulut menurut Nan dan diceritakan juga oleh tunangnya, enjin janakuasa elektrik hanya mulai 'hidup' dari jam 6 petang hingga 6 pagi esoknya. Masa siang juga dioperasikan hingga jam 2 petang. Guru-guru dan staf bukan mengajar melangkah pulang ketika jam 2 itu berdetik. Walaupun peraturan pejabat di tempat lain masa pulang (kecuali guru) antara jam 4.30, 5.00 atau 5.30 petang. Tiada siapa yang berkuasa di situ. Semua boleh buat apa sahaja. Tiada siapa yang memantau kecuali Yang Maha Esa yang bakal menghitung berapa banyak masa yang dikorbankan melalui penipuan begitu. Gaji yang diterima tidak berbaloi dengan jumlah masa bekerja. Wah... seperti pernah saya dengar kawan-kawan cakap, kita di bandar tetap dengan peraturan tapi jika di pekan-pekan kecil, boleh memancing atau memburu di hutan ketika kita masih bertungkus lumus menyelesaikan masalah rutin orang ramai yang berurusan di pejabat.

Saya tahu Nan tegar orangnya walaupun lembut. Dia tidak mudah kalah. Agak lama juga tidak mendengar suaranya, begitu juga SMS yang mengkhabarkan fikiran-fikirannya tentang kehidupan dan rempah ratus kerenah manusia sekelilingnya. Tapi saya sering didengarkannya bila ada insan yang gemar 'mengganggu'nya walaupun hatinya telah berpunya.

4.
Mengingatkan Nan, rupanya puteri bongsu saya Fierah (lihat fotonya di sisi blog ini) sudah pandai mencipta sajak yang dilakukan pada PDA saya secara 'curi-curi'. Ini pernah dikhabarkan kepada pakciknya, Abd Naddin Shaiddin. Sebagai motivasi kita ikuti, apakah boleh digelar sajak, entahlah, katanya:

aku adalah aku
aku adalah bukan kamu
aku adalah manusia
yang diciptakan oleh Tuhan
aku adalah hamba yang
diberikan tangan kaki badan
dan sebagainya

janganlah kita mensia-siakan kehidupan kita
dan kita hargailah kehidupan
pada masa kini dan pada masa
akan datang.

SYAHFIERAH

Sastera oh Sastera: beberapa catatan keakraban

1.
Tidak semua perkara penting kepada orang lain walaupun kadang-kadang mahu dikongsi dengan mereka terutama yang dekat. Sebab itu ada waktunya saya diamkan sesuatu itu kerana prinsip dan peraturan hidup.

2.
Setelah beberapa tahun berlalu...saya telah berada di suatu tempat yang dahulunya begitu disukai orang malah sekarang juga, iaitu menjadi pemimpin. Bezanya memimpin sebuah persatuan penulis. Peranan yang cukup berat, punya tanggungjawab tersendiri, sering dijadikan fokus serta perhatian terutama sekali hal-hal sastera dan budaya. Ada juga politiknya. Sesekali memberikan pandangan yang kurang disenangi. Apapun juga natijahnya, sesuatu yang difikirkan itu tidak semua relevan dengan kehendak atau keinginan ataupun keperluan semasa. Hari ini begini, esok lain pula dan seterusnya.

Saya mendengar cakap-cakap yang tidak baik misalnya mengadu domba IPS yang saya pimpin dengan Bahasa yang begitu saya dekat pemimpin-pemimpinnya terutama sekali sahabat baik saya Jasni Matlani dan Aliuddin Mohd Salleh malah Cikgu Ramli dan Kak Rubiah Nordin merupakan insan yang sering memberi jalan bagaimana hala sastera perlu dilalui. Tidak hairan jika ada sesetengah orang yang kurang senang dengan keakraban Bahasa dan IPS. Saya tidak fikir wujud masalah besar dan ini tidak penting. Apa yang perlu difikirkan ialah menerajui sastera. Apa yang penting memperkasakan sastera serta mewujudkan sebuah institusi yang mampu meletakkan Negeri Sabah sebagai hub di rantau ini. Peranan itu akan meletakkan organisasi penulis sebagai teramat penting bukan melayan hiruk pikuk masalah yang lebih merugikan kita semua. Saya bersetuju dengan ungkapan JM baru-baru ini bahawa penulis perlu bersatu kerana kelompok mereka terlalu kecil. Kita perlu membesarkannya, melebarkan kecenderungan masyarakat terhadap kesedaran sastera di kalangan mereka, wujud rasa peduli yang tinggi terhadap kehadiran aktiviti ataupun program sastera sama ada yang berbentuk tempatan, wilayah mahupun nasional oleh pihak-pihak yang berwajib.

3.
Kami sungguh gembira kerana DBP Cawangan Sabah pimpinan Encik Zubaidi Abas memberikan ruang tempat kami menjalankan operasi pentadbiran persatuan. Ini ditambah lagi dengan pelantikan Yang Berhormah Datuk Haji Mohd Ariffin Arif sebagai ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia. Kami disatukan dalam sebuah pejabat. Ini menjadikan kami lebih dekat. DBP dekatan dengan Bahasa dan IPS. IPS dekat dengan Bahasa. Penulis-penulis meramahi DBP dan stafnya. Staf DBP mudah berinteraksi dengan para penulis dan pimpinan persatuan penulis berkenaan. Dan setiap persoalan akan mudah diatasi apabila Datuk Haji Mohd Ariffin kini juga duduk bersama-sama. Ikatan yang baik ini, saya fikir memberikan jalan yang baru dan laluan yang singkat untuk menterjemahkan hasrat, matlamat serta hakikat memperkasakan sastera. Di sini juga boleh dipusatkan aliran-aliran fikiran pada pemimpin persatuan penulis.

4.
Membaca puisi juga menjadi kegemaran saya. Walaupun sedar suara tidak sebaik para deklamator yang ada, tapi kegemaran ini memberikan makna tersendiri. Apatah lagi saat hati didekam rasa yang jika dibiarkan menjadi tekanan dalam hidup. Saya percaya tentang terapi melalui alat sastera. Saya selalu bercakap tentang hal ini. Semasa mengajar sastera di PLKN, ceramah-ceramah sastera dan bengkel-bengkel penulisan kreatif, bahkan baru-baru ini semasa menjadi tetamu Radio Sabah FM saya menjual kenyataan ini: Puisi sebagai suatu terapi.

Deklamasi puisi perlu berguru, setidak-tidaknya dengan kawan-kawan rapat. Saya pernah berguru dengan Marzuki Ali, sekitar tahun 80-an, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah sering menganjurkan bengkel teater. Dalam bengkel ini Abang Marzuki mengajar kami bagaimana menyampaikan puisi yang baik. Sengsara juga dibuatnya. Dia mengajar teater di Pantai Tanjung Aru. Kami bertempik hingga hilang suara. Pertama kali mendeklamasikan puisi di Auditoriun Yayasan Sabah sempena Hari Alam Sekitar dengan suara yang hilang. Selain Abang Marzuki sentiasa mencontohi Haji Ismaily Bongsu (dulu). Dia kini sudah jarang membaca puisi lantaran sibuk dengan perniagaannya tapi penampilan Haji Ismaily jauh berbeza berbanding dulu, barangkali atas faktor usia dan stamina yang kian susut. Tapi saya banyak belajar darinya juga. Sebetul saya juga tidak akan menyembunyikan orang yang banyak mengasah bakat saya dengan kawan-kawan yang bersama-sama sekitar 1979 dan awal 80-an iaitu Kakak Hajah Zaiton Ajamain. Kawan-kawan yang dimaksudkan itu termasuklah Datu Osman Sulai, Masdan Nurasid, Maryam Gambur, Osman Ampang, Datu Ruslan Sulai, Ariah Judah (sekadar menyebut nama-nama yang dekat). Dalam tempoh sepuluh tahun menyertai Kumpulan Anak Seni (pernah menyandang jawatan Setiausaha Kehormat Anak Seni tetapi meletakkan jawatan pada 1988 sebelum menyertai IPS, dua tahun kemudian). Anak Seni banyak menyediakan ruang dan peluang belajar kerana tahun-tahun 80-an merupakan era di mana aktiviti seni dan budaya dan juga persuratan begitu menyerlah. Walaupun aktiviti baca puisi tidak begitu dominan berbanding sekarang, namun pengalaman awal pada era berkenaan amat membantu. Pengalaman itu diperkasa lagi apabila saya sempat bersama-sama Kakak Zaiton dan kawan-kawan menganjurkan Pengucapan Puisi Patriotisme dan ketika terpilih sebagai Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah yang dibimbing oleh Ayahanda Kemala bersama-sama penyair Saibil Madun.

Program-program sastera yang rancak ketika itu menyebabkan saya lebih kenal K.Bali (Allahyarham), Datuk Jamdin Buyong (kini lebih akrab lagi kerana bersama-sama di SPR), Datuk Amil Jaya, Datuk Shuhaibun Yussuf, Datuk Murshidi Nambi, M.Y.Anas, S.Mala, Harun Haji Salleh (Allahyarham). ABM Fajeer, Sairah Haji Antin (Allahyarhamah) dan ramai lagi. Selepas menerima Hadiah Sastera Malaysia pada 1986 saya mula melangkah sedikit dan mendekati Datuk A.Samad Said yang sering berada di Kota Kinabalu, mengakrabi pula penulis-penulis muda seperti Zaen Kasturi dan lain-lain hingga mencetus gejolak kebangkitkan penulis-penulis muda sebagai sebuah kesedaran baru gerakan sastera Negara di Semenanjung. Bahang gerakan ini selanjutnya menempiaskan impak yang luar biasa di Sabah dengan penubuhan IPS. Sebelum ini saya juga amat tekun mengamati corak bacaan puisi penyair-penyair di Semenanjung seperti Pyanhabib, Dinsman, Sutung Umar RS, Moekhtar Awang (ketika menyertai Hari Sastera dan Hari Puisi) dan beberapa yang lain tentu sahaja A.Gafar Ibrahim (AGI), Pak A.Samad Said seterusnya Pak Taufik Ismail (ketika beliau berada di Kota Kinabalu dan Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang juga saya ikuti) serta tidak lengkap jika tak menyebut W.S.Rendra yang juga pernah berada di Kota Kinabalu. Puncak pengakaran dunia puisi ialah semasa menjadi peserta Bengkel Penulisan MASTERA di Jakarta pada 1997 di bawah asuhan Pak Taufik Ismail, Pak Supardi Joko Damono dan Pak Abdul Hadi WM.
5.
Bercakap tentang perbualan di studio Radio RTM Sabah, apa yang saya fikirkan ialah peluang kepada penulis, pemimpin persatuan penulis dan aktiviti sastera. Kebetulan sebagai orang nombor 1 IPS saya pun menjual IPS tetapi tidak pernah lupa menyebut aktiviti-aktiviti yang lakukan oleh Bahasa dan DBP Cawangan Sabah. Impaknya memang baik. Mengudarakan program sastera memang sudah lama tidak dibuat sejak RTM menjenamakan semula organisasi serta program-programnya sesuai dengan keperluan semasa. Program sastera yang amat relevan di RTM Sabah ialah Rancangan Seni dan Sastera. IPS sering dijemput sama ada untuk mempromosikan aktiviti atau menjadikan program tersebut sebagai ruang memperkenalkan penulis kepada pendengar di Sabah. Namun sejak stesen-stesen radio bersaing antara satu sama lain, stesen radio di Sabah juga tidak terkecuali. Ramai penulis merungut dan kecewa, kerana sejak itu juga rancangan Drama dan Cerpen turut menjadi mangsa di'matikan'. Walau pun rancangan drama di radio masih wujud tetapi ia lebih bermusim dan peluang para penulis menghantar skrip masing-masing cukup terhad.

6.
Apa yang masih saya dengar dalam perbualan radio dengan pendengar ialah pertanyaan nama pena saya. Hasyuda Abadi itu terjadi dan ada yang menyangka nama itu seorang perempuan. Pada saya 'asal usul' Hasyuda Abadi tidak lagi penting kerana nama itu menjadi sebuah nama yang hidup dalam dunia sastera kita. Menariknya lagi ramai kawan-kawan yang kenal nama itu jarang menggunakan nama sebenar saya. Misalnya Abd Naddin lekat di bibir 'HA' bila menyapa saya. Ony pula menggelar saya 'Che Da', JM pula sudah basah dengan gelaran 'Dah' kepada saya. Namun sahabat yang paling dekat ialah adik saya Jasni Yakub (JY) kerana membiasakan bahasa 'saudara' bukan sahaja kepada saya tetapi kepada semua sahabat dan rakan yang dikenalinya hinggakan orang pun memanggilnya 'SAUDARA'.

7.
Khabarnya Dialog Teluk di Labuan menjadi 'Lambaian Teluk', kata Dinda kesayangan yang saya temui di Lapangan Terbang Kota Kinabalu beberapa hari selepas program tersebut selesai. Beberapa perkara diceritakannya yang amat saya fahami tapi tidaklah mahu menjadi bagai 'rumah siap pahat masih berbunyi'. Apa yang jelas dialog itu tidak lagi sehebat dulu. Kenyataan yang lebih betul dialog ini tidak lagi melibatkan penulis di rantau teluk yang dimaksudkan kecuali Miri (selepas dikhabarkan Dinda saya itu dengan kehadiran Jaya Ramba dan Paul Nanggang, PUTERA) dan Labuan sendiri. Cerita di Nombor 2 di atas itu sebenarnya 'ole-ole' dari Labuan. Saya juga mendengar dari mulut seorang sahabat penting bagaimana kecohnya dialog berkenaan, daripada masalah penginapan hinggakan wakil IPS, Mabulmaddin Shaiddin hampir dikeluarkan daripada senarai pembentang makalah. Dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah namun kelihatannya masalah itu berpunca daripada kekurangan dana. Ya, saya sentiasa peka tentang ini, agar menyimpan sifat-sifat sederhana, misalnya jangan fikirkan program yang besar jika kemampuan setakat 'paras leher'. Natijahnya amat memalukan dan ia tidak mungkin berkesudahan di situ. Tentang penerbitan antologi puisi sempena perhimpunan dialog tesebut juga menimbulkan kesan yang tidak murni. Penulis-penulis dari luar W.P.Labuan merungut kerana menidakkan mereka. Malah apa yang terjadi menjadi 'kacau' kerana khabarnya puisi sahabat saya Jair Sulai diciplak oleh salah seorang penyumbang buku antologi 'Lambaian Teluk'. Bila kecoh bercampur kacau jadilah program yang baik itu hanya meninggalkan kerugiaan masa, tenaga, duit... Begitupun mudah-mudahan sahaja ia tetap memberikan makna yang tersendiri terhadap kedudukan sastera di kawasan teluk yang dimaksudkan.

Baca reaksi Mabul dan JY.

Isnin, November 17, 2008

BAKTI DIJUNJUNG BUDI DISANJUNG

Ada tanya yang telah berjawab
ada cari yang telah tertunai
di pintu diri menghayati tamsil dan tafsir
menerima saksi sebuah perjalanan melahirkan hasil

Gong kedewasaan menjelaskan merdu peribadi
menyuburkan minda dan ilmu di sanubari
meneroka alam berpedoman lampu pengalaman
menebar tugas dan peranan
menyajikan resepi mentadbir organisasi

Ini negara tidak hanya digahkan perjuangan
diperkasa bahasa retorik atau adu domba yang berleluasa
tanpa jalan-jalan yang membuka kepercayaan
mendukung keadilan di mata rakyat jelata
yang mengimpikan syurga-syurga bahagia
menghadirkan prasarana segala

Ini negara adalah ladang yang semakin subur
Bertambah besar cabar menjadi lautan yang menciptakan pantai
Namun dengan ilmu menjadi benih memancarkan kecemerlangan
Memacu tanggungjawab yang diteruskan

Hanya insan yang berani tenang jati diri
Menghadapi seribu satu peri laku
Mengakrab jurang-jurang yang beradu dalam fikiran
Meski tantangan tak pernah berhenti
Kanan kiri anak-anak panah herdik dan pekik
Menembusi keteguhan sikap dan ketegasan

Dedikasimu mengakrabi setiap seteru dan masalah
bagai kerdip lilin di malam hari
meleburkan cara dengan wibawa yang maha tinggi
menyuntik citra pasukan yang bergerak seiring
berjuang membentangkan ketelusan

Tokoh berjasa terima kasih
di bibir segar diucap mesra diungkap
yang mencanai hari-hari menjadi pedoman
kelmarin ia datang berjabat salam
esok pamit juga berjabat salam
lebih kejap dan semua merasainya
mendakap sebuah makna
lebur yang abadi
jika boleh biarlah hidup seribu tahun lagi
meriuh ujana yang terbina
mengutuh suasana seperti aur dan tebing
umpama kuku dengan isi.
mari semat di hati menghayati erti akrab
makna jauh yang dekat.

Jika permata digali dari lautan yang dalam
kemilau cahaya tetap membersit sinarnya
jika wangi disimpan di lembaran pengalaman
harum aromanya tetap menyatu di kalbu
tak kan hilang
tak kan hilang
di hati kami tak kan hilang.

Unit Pendidikan Pengundi
Pejabat Pilihan raya Negeri Sabah
Kota Kinabalu
16 November 2008


*Dideklamasikan pada 16 November 2008 di Pasific Sutera Kota Kinabalu sempena majlis ‘Bakti Dijunjung Budi Disanjung’ meraikan Pengerusi SPR, YBhg. Tan Sri Datuk SeriHaji Ab. Rashid Bin Ab. Rahman.