Rabu, November 11, 2009

Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan

Kita inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungakapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.

Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan buat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran kita untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreaviiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang membetulkannya? Melihat kembali peranan yang perlu difikiran oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing. Kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya barisan penulis yang telah mencapai status yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama).

Catatan ini akan bercambah dari semasa ke semasa. Kita berharap terserlah pandangan-pandangan lain yang lebih mencabar dapat diutarakan. Dari medan ini kita ingin menggarap buah fikiran untuk diimarahkan demi kelestarian dunia sastera, dunia persuratan dan dunia penulis itu sendiri.


~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.

Selasa, November 10, 2009

Percakapan Tentang Seorang Zubaidi

Apabila saya menerima utusan maaf daripada Pengarah DBP Sabah, saya tidak memandang sesiapa kecuali seorang insan penting sebagai pencetus gerakan sastera, bahasa dan budaya di Sabah ketika ini dan beberapa tahun yang lalu iaitu Saudara Zubaidi Abas. Barangkali ayat panjang tadi tidak digemari oleh sesetengah orang tetapi realitinya itulah tanpa tujuan untuk 'angkat kaki' atau 'curi hati' insan berkenaan. Terlalu banyak cabaran dan rintangan yang telah dilaluinya. Saya tidak tahu mengapa ada sesetengah orang di sekelilingnya menyimpan hasrat agar seorang bernama 'Zubadi' ini digambarkan sebagai 'pengarah' yang gagal menyemarakkan sastera di Sabah.

Saya fikir utusan maaf yang saya terima baru-baru ini juga merupakan cetusan beliau sendiri agar pegawainya 'mendengar' pandangan daripada golongan penulis. (Terima kasih kepada saudara saya, Sdr Clif Kamijan, pegawai projek Sayembara Mencipta Lagu Puisi Berkumpulan baru-baru ini; tiada apa kesalahan saudara sebenarnya, hanya corak pengendalian aktiviti sahaja yang harus diperbaiki.) Bagi Zubaidi, penulis merupakan pelanggan utama agensinya, jangan sekali-kali mengabaikan mereka. Dalam banyak keadaan sejak mengenali beliau, apa juga aktiviti berkaitan dunia sastera , bahasa dan budaya akan beliau hadiri. Tidak pernah menghampakan undangan yang kami anjur malah mengambil sikap responsif apabila kami mencadangkan sesuatu aktiviti. Inilah yang wajar dicontohi. Saya mengenali ramai mantan Pengarah DBP Sabah, mereka mempunyai kecenderungan masing-masing. Sudah tentulah wujud perbezaan pendekatan antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain dalam organisasi sastera dan bahasa ini. Begitu juga tentang keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Tentu juga ada yang berpendapat pegawai-pegawai yang dedikasi juga penting bagi memastikan berjaya atau gagalnya sesebuah projek yang dilaksanakan. Kenyataan ini tiada cacat celanya, memang betul, seorang ketua perlukan kerjasama yang mantap, jujur, setia, telus daripada staf bawahan.

Secara peribadi saya berpendapat Zubaidi merupakan seorang individu yang mesra, responsif dan peka terhadap alatan sastera yang diperlukan para penulis, penggiat persuratan tanpa mengira disiplin mereka. Katakan apa saja sama ada teater, penulisan kreatif, gerakan budaya etnik dan pemugaran bahasa Kebangsaan, beliau tetap hadir melalui idea, jika tidak idea hadir bersama sokongannya. Memang Zubaidi insan biasa, kelemahannya juga tidak kurang berbanding kelebihan yang beliau miliki. Beliau begitu meyakini kemampuan staf bawahannya meskipun ada segelintir yang bersikap acuh tak acuh. Saya pernah menulis panjang lebar tentang DBP Sabah dengan jujur dan telus tanpa berselindung. Saya percaya Zubaidi menghayati tulisan-tulisan sedemikian secara positif melainkan telah disilaptafsir oleh segelintir pihak, saya tetap yakin Zubaidi bukanlah orang yang berfikiran sempit demi kebaikan agensi yang diterajuinya di Sabah. Sesungguhnya banyak perkara yang telah dilontarkannya agar dapat dilaksanakan kepada golongan penulis. Sebagai contoh, beliau menyediakan bilik untuk ahli Lembaga Pengelola DBP dan menempatkan IPS dan Bahasa bersama-sama di situ. Beliau meminta kami menganjurkan program Baca Puisi. Mengimarahkan pentas Dewan Besar DBP dengan pementasan teater. Menerbitkan buku. Penyampaian Hadiah Sastera Sabah yang menghadirkan TYT Negeri Sabah. Dan banyak lagi. Ironinya kemarau penulis yang mengunjungi DBP Sabah sekarang ini kononnya disebabkan beliau tidak melaksanakan aktiviti di premisnya. Agak menghairankan juga, siapa Zubaidi dalam organisasi berkenaan menjadi tidak jelas. Jika wujud tanggapan ini, saya menjadi antara golongan penulis yang awal bangun menentang. Jika golongan penulis sudah tidak selalu mengunjungi DBP Sabah, jangan dapatkan punca dengan menyalahkan sesiapapun, cari penyelesaian bukan penyebabnya!

Sebagai pemimpin persatuan penulis, saya tidak memilih siapakah insan yang mengetuai DBP Sabah, kerana yang lebih ditekankan ialah penyemarakan program sastera dan bahasa secara berterusan, bermutu dan bermakna. Setiap ketua wajar dihormati dan disegani. Memang banyak projek kesusasteraan yang telah berkubur beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, saya tidak berniat mengulasnya lagi. Apakah ini juga disebabkan oleh Zubaidi? Saya hanya ingin menggeleng-gelengkan kepala, kerana jawapannya tentu tidak!


~ Hasyuda Abadi ~

Senangkanlah Hatimu


Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana dihadapanmu terbentang kesempatan untuk menunaikan yang sulit-sulit. Segala perbuatanmu dihargai orang, engkau beroleh pujian di mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.

Jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi,lantaran kemiskinanmu. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati, dan tidak ada pintu bagi kebencian.
Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu! Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang, engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh. Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia: Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang akan berlipat ganda, sebab banyak orang yang telah mengecap nikmatnya.

Kalau engkau tidak kuasa jadi dermawan, itupun senangkan pulalah hatimu! Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia, iaitu tiada membalas guna, penghilangkan jasa. Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian pasti datang kepada tiap-tiap dermawan, yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia tidak pembalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan dan beroleh ampunan dari Tuhan.

Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh.Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.

Kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat, mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya. Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.

Kalau engkau dari turunan yang mulia-mulia, tenangkanlah hatimu! Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu. Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan dan kalau kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf, tandanya dirimu mahal dan timbanganmu berat.Yang penting adalah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang, memandang hanya engkau yang benar, lalu masuk ke dalam daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada lagi orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.

Jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu! Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor atau perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya pendirianmu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu, engkau dapat beroleh pelajaran. Mula-mula maksudnya hendak meracunimu dengan serangan-serangannya yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah. Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?

Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu! Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmatNya, lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.

Kalau engkau sakit, senangkan pulalah hatimu! Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan Tuhan iaitu kesihatan dan kesakitan. Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia ataupun kesembuhan yang sejati.

Kalau engkau menjadi orang luar biasa, senangkan hatimu! Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang-benderang tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu, dilihatNya otakmu sehingga cerdas, dilihatNya matamu sehingga jadi azimat, dilihatNya suaramu sehingga jadi sihir. Bagi orang lain, perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja. Tapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat, boleh meninggikan, boleh memuliakan dan menghinakan, sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam: “Adalah”, sehingga diapun “ada”.

Kalau engakau dilupakan orang, kurang dikenal, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu mulut tidak banyak mencacatkanmu, tidak ada orang lain yang dengki kepadamu, tak ada orang yang meniatkan jatuhmu, mata tak banyak memandangmu. Itu, dihadapanmu ada puncak bukit dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakatmu. Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir-pasir yang kecil. Dengan demikian itu, engkau akan merasai kesenangan hati yang kerapkali tidak didapat oleh yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dalam kolam ilham.

Kalau sahabatmu setia kepadamu, tenangkanlah hatimu! Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.

Kalau kawanmu khianat, senangkan juga hatimu! Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.

Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhambakan, senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperhamba kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapat suatu bangsa yang terus menerus dijajah.

Jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu! Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain, ada bagimu kesempatan mencari kekuatan baru. Kemerdekaan itu mesti diisi dengan bahan-bahan yang baik, dan bagimu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.

Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal akan diri dan cita-cita engkau, senangkan hatimu! Kerana di sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda
setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak, menaungi lautan dan daratan.

Kalau engkau hidup dalam kalangan masyarakat yang masih rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau merasa ’sial-dangkal’, maka senangkanlah hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang yang patah sayap itu. Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal, untuk mengubati fikiranmu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwamu.

Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ketelingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersunggguh-sungguh.

Jika engkau mencinta tetapi cintamu tidak terbalas, senangkanlah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah ia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati akan bersih laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau menjadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup ini berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.

Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.

Merasa senanglah selalu!

Ya Allah.. senangkanlah hatiku....selalu.. padaMu..

[dipetik dalam Prof. Dr. Hamka (1996). Tasawuf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Halaman 337-343.]

~Hasyuda Abadi ~

Ahad, November 08, 2009

Bersama Irama Sukma


Sebuah puisi yang kubaca pernah kau bersamanya disulam kelam kusam malam-malam hanya suara sunyi dalam mimpi-mimpi. sebuah puisi yang kubaca merakam denai yang damai memandang kupu-kupu memetik gembira bunga-bunga menghurai makna irama alir jernih suara dari kejauhan batu-batu basah. sebuah puisi yang kubaca diiring deru angin kering mengesel ranting-ranting dan dahan-dahan rimba hingga satu persatu gugur daun-daunnya bersatu di bawahnya serangga yang mengingatkanku sebuah kebun di halaman rumah membentuk rahsia sebuah puisi yang saban waktu kubaca dan kau menjelma bersama irama sukma.


© 2009 Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu,
Sabah.




~ Hasyuda Abadi ~