Sabtu, April 11, 2009

Degup Nurani

kudengar degup nurani dalam senyap diam memandang sirna wujud hanya kalbu yang meneroka. selama silap, hijab perlahan-perlahan menjelaskan warna bukanlah sesiapa kecuali zarah yang bercempera adalah punca diri. gah masa sudah telah ditangkap takluk deraan yang bersahutan tanpa batas dalam waras. sampan-sampan kertas membawanya telah hanyut dirobek-robek samudera suasana. jika tiba masanya hanya nama tanpa wajah merasa degup nurani biarlah dibawa bersatu di udara pada langit yang terbuka. cahaya anugerahNya tak berulang, lebur di lahad maha rahsia...

pustaka iqbal nazim
11/4/2009

Isnin, April 06, 2009

Serbatcinta

aku mabuk meneguk serbatcinta tapi cangkir itu tak pernah kosong biar kuteguk di larut usia. biarkan segala malam terus menyiram dan mengalir seluruh sifat, tak pernah luruh seperti buah anggur yang merekah di gurun-gurun. seperti juga para pemabuk yang merayakan pesta sunyi mereka menuju titik demi titik.

Bertugas di Bukit Selembau (ii)

Memang inilah kali yang pertama sepanjang pengalaman berkhidmat dengan SPR dalam tempoh 24 tahun saya melihat kertas undi terbesar (lihat foto di sebelah) dicetak untuk sebuah pilihan raya kecil (PRK). Inilah sejarah yang menarik untuk dicatatkan dalam diari PRK selain disebabkan bilangan calon yang bertanding yang mengatasi kebiasaan di Sabah iaitu 8 orang. Kini sejarah itu telah berubah kerana dalam PRK N.25 Bukit Selembau seramai 15 orang calon ikut bertanding. Sejarah ini juga telah mengubah beberapa perkara asas selain saiz kertas undi kerana bilangan peti undi juga bertambah apabila sebuah peti hanya mampu menampung sebanyak 200-300 kertas undi sahaja; dulang mengira juga ikut bertambah, begitu juga bilangan kakitangan yang bertugas. Gerakan proses pengundian juga dijangka langka, begitu juga semasa pengiraan undi. Inilah antara perkara yang dilihat sebagai lain daripada kebiasaan. Begitupun, ia tetap suatu peristiwa yang menarik, mencabar dan memberikan ilmu yang amat berguna kepada semau pihak. Dalam ertikata sebuah demokrasi di kalangan rakyat Malaysia sedang terjadi dengan menggalakkan sekali.

Ahad, April 05, 2009

Bertugas di Bukit Selembau

Hari ini saya meneruskan hari-hari yang ada dalam erti kata berkhidmat untuk negara di Negeri Kedah. Untuk ke sekian kalinya bertugas di salah sebuah Pilihan raya Kecil di Semenanjung iaitu Bahagian Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Bukit Selembau. Setakat ini belum ada yang boleh saya catatkan kerana belum lagi berada di arena. Sesampai di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang langsung ke Bandar raya Alor Setar sebelum ke Sungai Petani. Merasa kurang sabar untuk berada di lapangan, malam ini perlu berehat untuk keselesaan bertugas hari esok dan hari pengundian pada 7 April. Saya ditugaskan di SJK (Tamil) Sarawathy, Sungai Petani sebagai bahagian staf sokongan dalam PRK ini.

Park Avenue Hotel,
Sungai Petani,
Kedah.