Ahad, November 20, 2022

Dato' Dr. Rahman Shaari Sasterawan Negara ke-15 (2022)

Dato' Rahman Shaari dilahirkan di Kampung Utan Lembah, Oran, Perlis pada 1949. Beliau memulakan pendidikan formal di Sekolah Umum Guar Nangka dan seterusnya Sekolah Derma Kangar. Pendidikan menengahnya pula bermula di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur sebelum mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Pendidikan tinggi beliau berterusan sehingga mendapat ijazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Dato' Rahman Shaari pernah bertugas sebagai guru pada 1972 hingga 1973 sebelum berkursus di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM. Beliau meneruskan tugas sebagai guru selepas itu sebelum bertugas di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula 1980 hingga 1982.


Beliau mengambil Ijazah Sarjana Persuratan di UKM pada 1986 dan menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) dua tahun kemudiannya. Pada 1993, beliau dilantik ke jawatan Profesor Madya dan kemudiannya Profesor pada 2003. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Media di UM.


Dato' Rahman Shaari mempunyai pencapaian prolifik dalam bidang sastera, khususnya penulisan puisi. Antara anugerah yang pernah disandang ialah Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986; Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2003); Anugerah Penyair GAPENA (2013); Hadiah Penulisan Esei Utusan Melayu dalam bidang pantun (2014) dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2007.


Pemikir puisi

Langkah sastera Dato' Rahman Shaari bermula pada 1971 apabila sajak nukilannya, Buka Bicara disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Sajak itu turut mendapat ulasan daripada sasterawan, Dharma Wijaya dan Baha Zain. Langkah itu diteruskan sehingga beliau menghasilkan lebih 50 buku berkenaan sastera, termasuk kumpulan puisi, novel dan esei. Terbaharu, antologi puisi pilihan enam penyair yang diselenggara beliau, Bilah Hujan Yang Menikammu dilancarkan ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan baru-baru ini.


Antara sumbangan utama Dato' Rahman Shaari dalam perkembangan sastera negara adalah mengasaskan Teori Anjakan Makna yang menjadi rujukan ramai pelajar dan pengkaji sastera. Menurut Dato' Rahman Shaari sendiri, teori tersebut menyatakan bahawa satu-satu makna tidak berdiri di satu-satu titik, sebaliknya selalu berada di atas garis kontinum dan beranjak.


Dalam pengajian bahasa, anda boleh lihat aplikasi teori ini pada perkataan seperti tangan yang asalnya bermaksud salah satu anggota badan. Maknanya kemudian beranjak kepada mengurus atau mengendali, seperti dalam perkataan menangani. Begitu juga dalam sastera, khususnya puisi. Makna boleh beranjak dari makna asal kepada makna-makna terbitan lain. 


Dato' Rahman Shaari pernah mengulas berkenaan persembahan teater Dari Bintang Ke Bintang yang antara lain menggunakan puisi Kekasih karya Usman Awang. Menurut beliau, sajak Kekasih ialah sajak romantik terhebat di Nusantara. Beliau melihat sajak tersebut sebagai pernyataan cinta daripada kekasih kepada kekasih. 


Namun, pengarah teater tersebut memilih untuk membawa tafsiran berbeza. Sajak tersebut disampaikan dalam nada mengejek. Ini contoh anjakan makna yang berlaku dalam tafsiran sajak. Dato' Rahman Shaari juga tidak menyempitkan Teori Anjakan Makna dalam bidang sastera semata-mata. Dapat juga ditemukan ulasan beliau menggunakan teori sama untuk memahami isu politik.


Persembahan artistik


Satu hal lagi yang menjadikan Dato' Rahman Shaari sebagai sasterawan yang tersendiri ialah persembahan deklamasi sajaknya yang artistik. Beliau malah membangunkan format persembahan puisi artistik untuk disampaikan kepada KPM.


Dato' Rahman Shaari menitikberatkan hafalan sajak apabila dipersembahkan. Bagi beliau, sajak perlu dihafal apabila dipersembahkan  supaya makna sajak dapat disampaikan dengan baik. Untuk menghasilkan persembahan sajak yang artistikDato' Rahman Shaari mementingkan latihan, mimik muka, suara, gerak tubuh, hafalan sajak, pakaian dan hal-hal lain. Ia hampir menyerupai persembahan drama atau teater. 


Bagi beliau, persembahan puisi yang artistik perlu disokong oleh karya puisi yang juga artistik. Puisi yang dipersembahkan perlu mempunyai jalan cerita supaya persembahan boleh disampaikan dengan artistik sepenuhnya. 



Tiada ulasan: