Selasa, November 29, 2022

NADWAH SASTERA ISLAM SERANTAU 2022

*KESYUMULAN ISLAMIYAH PERSURATAN ISLAM

SEBAGAI PEMANGKIN KEMAKMURAN

 

Mukadimah

Kertas kerja ini berhasrat untuk mengemukakan fikrah di sekitar mauduk persuaratan Islam menjadi landasan atau pemangkin kemakmuran sejagat. Pengutamaan dan kecenderungannya lebih merupakan satu pembicaraan bagaimana sastera Islam telah memainkan peranan dalam menghubung-intimkan budaya bahasa dan sastera dan menunjangi budaya ummah khususnya di Nusantara yang lebih erat persefahaman dan keakrabannya. Memang telah banyak diutarakan perbincangan, polemik dan akhirnya teori sastera Islam yang kini menjadi asas untuk menganalisis karya-karya sastera mutakhir berasaskan sumber-sumber kesusasteraan Islam.

Al-Quran dan Hadis menggesa umat Islam supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Allah telah menyediakan jalan yang lurus, maka kita hendaklah ikuti. Dalam konteks ‘al-hayat al-Islamiyyah’ yang ‘syumul’ dan merangkumi termasuklah budaya bahasa dan sastera, maka kita digesa merujuk budaya Islam atau ‘al-thaqafahtal-Islamiyah’ yang telah dilandasi oleh al-Quran dan Hadis (Mana Sikana, 1998: 185). Tanpa menyedari dan mentaatinya, umat Islam akan terseleweng atau diselewengkan.

Menyedari hal di atas, sebenarnya bukan sesuatu yang baharu; kerana Islam telah lama menyeru umatnya berpegang teguh dengan apa yang telah diprinsipkan. Dalam hubungan ini elok juga kita kembali kepada ilmu-Nya, semoga kita mendapat hidayah dan taufik-Nya.

 

Segompal Sejarah Persuratan Islam di Nusantara

Pembangunan sastera  Islam di Nusantara telah digerakkan  dari pengaruh dakwah dan harakat  pengislaman yang meluas antara  abad 13-16 Masihi. Gerakan Islamisasi yang bermula pada abad ke 13 Masihi itu telah membawa perubahan yang penting  dalam  sejarah kebudayaan  Melayu, dengan  penyerbuan pengaruh sufi yang  berkembang  di  abad  ke  17,  dan  “menghasilkan  pencerahan  umat  secara meluas  dan  merata  sehingga  memecahkan  monopoli  kepujanggaan  istana.” (Siddiq Fadzil, 2012:128).

Ledakan dari  gejala  Islamisasi  ini  telah  memulakan  babak  baharu  dalam sejarah persuratan Melayu-Islam, yang melahirkan umat baharu dengan pandangan agama dan kebudayaannya, umat yang melihat segala sesuatu dengan worldview tawhidik,  menyikapi  segala  sesuatu  berasaskan  etos  dan  tatanan  nilai  Islami. (Siddiq Fadzil, 2012: 3) Ini dibuktikan dari pemetaan tamadun dunia Islam yang dilakarkan Malik Bennabi, di mana kedudukan dunia Melayu diiktiraf sebagai sebuah zon tamadun Islam yang berkeperibadian Melayu-Islam (Siddiq Fadzil, 2012).

Dengan pengaliran faham dan pengaruh dari syair sufi yang berkembang di abad ke 17 itu, khazanah kesusasteraan Melayu-Islam banyak terkesan dengan corak pemikiran tasawuf, di mana sepanjang proses penyempurnaan itu sastera terus terhasil dan setiap karya mencerminkan tahap Islamisasi yang dilaluinya. (Siddiq Fadzil, 2012:179). Ini turut ditekankan oleh Mana Sikana (1983), dalam bukunya tentang sejarah perkembangan sastera Islam dan beliau mengakui yang kedatangan Islam secara lebih pesat ke pulau Sumatera ialah melalui jalan sastera tasawuf.   

Ia  jelas memberi  dampak  dalam perkembangan  pemikiran  dan nilai,  di mana  perkembangan  dan  perubahan  yang  dibawanya  cukup  menentukan, melibatkan perubahan pandangan sarwa (weltanschauung), sistem nilai dan cara hidup keseluruhannya.” (Siddiq Fadzil, 2012:141) Ia turut menjadi katalis kepada transformasi masyarakat melayu daripada “masyarakat estetik  kepada saintifik, tradisi lisan kepada budaya tulisan, alam tahyul kepada tamadun ilmu” (Al-Attas, 1990). Semua ini berlaku apabila ditunjukkan nilai-nilai Islam yang syumul bagaimana nilai-nilai mujahadah mampu menjadi katalis atau pemangkin ummah hidup bertoleransi.  

 

Nilai-nilai Persuratan Islam – Perbincangan Umum

Dalam tulisannya tentang ‘nilai kebudayaan  dalam  bahasa dan kesusasteraan  Melayu’, Al-Attas  (1975)  menekankan  pengaruh  Islam  atas kesusasteraan Melayu ini: “Tiada pernah dimanapun direnungkan bahawa sejarah bahasa dan kesusasteraan Melayu itu harus dirumpunkan sebagai sejarah bahasa dan kebudayaan Islam.” Oleh sebab itulah, menurut beliau, nilai-nilai saintifik, nilai-nilai rasionalisme yang bersendikan intelektualisme yang dibawa oleh Islam dan yang terdapat  dalam  struktur  bahasa  serta  isi  kesusasteraan  Melayu-Indonesia  yang  telah  diperislamkan  itu  tiada  pernah  dipertimbangkan  dan dibicarakan secara ilmiah.”

Inilah yang tidak diperhatikan dalam kajian-kajian Barat tentang proses kemasukan Islam yang memungkinkan penerobosan pengetahuan saintifik dan rasional ke Alam Melayu. Proses yang berpengaruh dalam menggerakkan harakat bahasa dan kebudayaan di mana agama dan penghayatannya diperluas dan dipertingkatkan, dan harakat dakwah  disemarakkan. Di saat ini  sastera memainkan peranannya yang utama sebagai saranan dakwah dan pendidikan yang merakyat  dan  memasyarakatkan  ajaran  Islam  sehingga  berlaku  transformasi ketamadunan yang sangat bererti itu.” (Siddiq Fadzil, 2012: 141).

Ketinggian  sastera  Melayu  yang  terhasil,  mendapat  sentuhannya,  dari karya-karya sufi yang mengalir di Baghdad dan Damsyik, dan tersebar di alam Melayu  dari  pengaruh  ulama  dan  pujangga  Islam  seperti  Shamsuddin  al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abd al-Ra’uf Singkel, Bukhari al-Jauhari, Syeikh Ahmad al-Fatani, Amir Hamzah, Raja Ali Haji, dan Hamzah Fansuri dari Acheh yang menghasilkan  Mi’ratul Mu’minin, Syair  Perahu, Sharab al-‘Asyiqin,  dan Zinatul  Muwahhidin.  Ini  seperti  ditegaskan  oleh  Abdul  Hadi  W.M.,  “sebagai penyair besar  dan pencetus syair, Hamzah  Fansuri tidak hanya mempengaruhi perkembangan  sastra  Melayu  pada  abad  ke-17  dan  18  Masihi,  tetapi  juga sesudahnya.” (2012). Perkembangannya  turut  terkesan  dari  tradisi  kepenyairan Islam di tanah Arab, Parsi, dan Andalus, yang dipelopori oleh Ibnu Arabi, Sadr al-Din al-Qunyawi, Ibrahim Hakki, Lubaid, Jalaluddin al-Rumi, Najm al-Din al-Kubra,  Farid  al-Din Attar,  al-Hallaj, dan  Rabiah al-‘Adawiyah, yang terkenal dengan karya-karya puitis dan keTuhanannya.

Fenomena ini  ditanggapi  dengan  jelas  oleh  Braginsky  (1993:ix)  dalam analisisnya  yang  mendalam  tentang  sejarah  dan  pengaruh  tasawuf  yang menyebar luas di alam Melayu yang  menggerakkan  kebangkitan  sastera: “sejak akhir  abad  ke  14  terutama  sekali  abad  ke  16-17,  tasawuf  selalu  memainkan peranan  yang  sangat  penting  dalam  sejarah,  agama  dan  budaya  di  kawasan Melayu-Indonesia yang maha luas itu. Cukup dikatakan, bahawa justeru bentuk sufi ternyata bentuk yang paling sesuai dengan mentaliti rakyat di dunia kepulauan  itu,  tersebar  khasnya  Islam  di  kalangan  mereka.  Semangat toleransi yang menjadi kelaziman dalam tasawuf mazhab Ibn Arabi yang agung itu, serta juga kecekapan dan kefasihan mubaligh-mubaligh sufi yang tahu jalan-jalan menuju hati, baik para intelektual dan aristokrat yang terpelajar mahupun rakyat jelata, sangat memperindah bagi masuknya agama Islam ke dalam semua serata masyarakat.”

Ini turut membentuk tasawur Islam yang jelas dalam pandangan kosmologi Melayu, di mana “kebangunan  kembali Islam  ini  bererti  penyejagatan nilai-nilai agama  itu,  langkah  pembetulan  terhadap  penyimpangan  dalam  kehidupan  dan masyarakat,  dan  penambahan  dimensi  kepada  realiti  atau  kewujudan  itu sendiri…perubahan  pada  pendekatan  hidup,  sekurang-kurangnya  dari  segi penekanan ataupun pemberatannya, berhubung dengan alam-jagat, atau falsafah hidup.  Apabila tasawur Islam membentuk  persekitaran  atau mendefinisikan keadaan,  maka  dengan  sendirinya  pemikiran  dan  perlakuan  individu  terlibat menjuruskan kepada pembentukan manusia rabbani dan orde tauhid” (Mohamad Abu Bakar, 2003).

Perkembangan  sastera  Islam  di  abad  moden  mula  digerakkan  dengan peranan pujangga dan sasterawan dan pengaruh Islam yang pesat pada akhir 30-an.  Ini  diperkukuh  dengan  karya-karya  sastera  yang  mengalir  dari  Indonesia, yang  ditulis oleh  Hamka,  dan wacana  penting  yang  dicetuskan oleh  penggiat sastera. Gagasan  penting tentang  kesusasteraan Islam ini telah  dicetuskan oleh Yusof Zaki Yaakob  (1986). Pemikiran ini dilanjutkan dalam makalahnya, dan dari beberapa pandangan yang dilontarkan oleh S. Othman Kelantan dalam bukunya ‘Ruang Perjalanan’ yang mengungkapkan idea dan falsafahnya tentang sastera Islam.  Diskusinya  terus hangat  pada 1980  ketika tercetusnya  polemik tentang  sastera  Islam antara  Shahnon Ahmad dan Kassim  Ahmad,  yang  cuba membedah dan membongkar tradisi sastera bernafas Islam dan melihat pengaruh dan impaknya dalam masyarakat.

Dalam waktu yang sama, penghasilan  sastera  Islam  terus  dijelmakan dalam pelbagai genre, melalui karya-karya  penting Abdul  Hadi W.M.  (seperti sajak.  Tuhan, Kita Begitu Dekat), Taufiq Ismail, S. Othman Kelantan, Habiburahman El-Shirazy, Suhaimi Muhammad dan A. Samad Said.  

Puisi Al-Amin yang dihasilkan oleh A.Samad Said  setebal 317  halaman telah  diangkat  sebagai  karya  agung  yang  merakamkan  nilai  yang  puitis  dan ketinggian ungkapan sastera  yang signifikan  dan bersejarah.  Dalam naratifnya tentang  perjalanan  hidup  Nabi  (saw),  “tetap  diselitkan  dengan  pesanan-pesanan atau  nafas-nafas  rohaniah”  yang  tinggi.  Mengulas tentang  kekuatan karya  ini, penerbitnya mengungkapkan, “dari sisi gaya, puisi Al-Amin jelas memenuhi ciri-ciri  ‘puisi  liris”  yang  diadun  dengan  ciri-ciri  “puisi  naratif”  secara  harmoni. Memang  terlihat  kematangan  seorang  penyair  membentuk  urutan  tema  dan persoalan yang dilatari sejarah perjuangan seorang Nabi besar (saw).” (A. Samad Said, 2001) Ini turut menzahirkan kenyataan tentang daya kreativiti yang tulen dan kesan spiritual yang mendalam yang dizahirkan  dari  lakaran  puisi  yang ditampilkan, di  mana  “puisi  ini tidak sahaja  menunjukkan  perkembangan  daya kreativiti  dan  sensitiviti  A. Samad  Said  terus  subur,  tetapi  juga  memberi sumbangan  yang  amat  tinggi  nilainya  dalam  memperkaya  khazanah  sastera Melayu.”

Dalam komentarnya terhadap karya puitis ini, Muhammad Bukhari Lubis, mengakui kehebatan daya kepenyairan Pak Samad yang menandingi keupayaan pujangga Melayu besar di abad ke 17 dan penghasilannya ini telah memperkukuh tradisi kesusasteraan lama  dari warisan  Arab, Parsi, dan  Turki:  “tidak pernah saya lihat dalam kesusasteraan Arab, Parsi dan Turki, puisi keagamaan sebegini panjang”, manakala  Baharuddin Ahmad  pula menekankan ketinggian nilainya dan  sumbangannya  dalam penerusan  tradisi  penulisan  dan  pemekaran  sastera klasik: “selepas  gurindam Raja  Ali  Haji dan puisi  Amir  Hamzah, tiada usaha yang  kukuh dalam  genre puisi  yang  dapat  secara kreatif  meneruskan tradisi sastera agama.”  (2001).

Puisi yang tercipta ini, dalam  perkembangan  sastera  Arab, disebut  al-Madaih  al-Nabawiyah (saw) “sejenis  puisi  yang  disebarkan  oleh  ahli  tasawuf sebagai cara mengucapkan rasa cinta dan kasih keagamaan dalam bentuk sastera yang  tinggi  nilainya.  Puisi  ini  hanya  diilhamkan  oleh  kalbu  yang  penuh kebenaran dan kejujuran” (Rogayah A. Hamid, 2005: 27). Puisi At-Tariq yang dihasilkan oleh Suhaimi Muhammad, penyair surealis dan mistik  akhir abad ke-20, pula  memaparkan falsafah kesusasteraan,  hal-hal ketuhanan,  tasawuf,  dan  kebatinan.  Ia “merealisasikan  puisi  daripada  aliran mistik yang menerapkan falsafah dan pemikiran Islam sebagai titik tolak, inti sari pembicaraan  dan  penyelesaian”  Menurut  penilaian  yang  diberikan, “pembicaraan,  analisis  dan  penyelesaiannya  lebih  bersifat  Islam  dalam  konteks antarabangsa, moden dan global” (2000).

Puisi  ini  mengungkapkan  kecintaan  yang  tinggi  terhadap  al-Khaliq,  di mana  “melalui  wujud,  Suhaimi  telah  berjaya mengungkapkan  persoalan  cinta martabat  tinggi,  cinta  terhadap  al-Khaliq,  Pencipta  segala  pencipta.  (Dewan Sastera, November 1996).  Jaafar Rahim, dalam komentar dan analisisnya terhadap  kekuatan  sastera  yang  diungkapkannya  memandang  puisi  ini “mempunyai  makna  yang  amat  luas, membicarakan hubungan  dirinya dengan Ilahi,  hubungan  manusia  dengan  Ilahi  dan  sifat-sifat  ketuhanan.”  (Utusan Malaysia, 4 Sept 1996).

Ini selari dengan falsafah sufistik yang digarap dalam pengkaryaan sastera Islam yang mengungkapkan keresahan dan perjuangan insan dalam ranah kehidupannya yang menyeluruh, seperti diungkapkan oleh Haris Effendi Thahar (1982), sarjana, dan pengkritik sastera dari Indonesia, “bahawa  keresahan seorang sufi ialah keresahan manusia seluruhnya dengan segala perjuangannya.”  Habiburrahman el Shirazy melalui novelnya Ayat-Ayat Cinta, yang telah meraih ‘PENA Award Novel Terpuji Nasional 2005’ dan ‘Anugerah Penghargaan The Most Favorite Book 2005’ telah mengangkat karya Islam ke puncak pencapaian sastera yang terbaik, yang digolongkan dan lingkaran novel Islam. Nilai ijtihad dan nafas Islam yang digarap dalam karya ini dijelaskan oleh Mohd Faizal Musa “sebagaisebuahkarya  sastera  Islam,  Ayat-Ayat  Cinta karangan  Habiburrahman el  Shirazy  memuatkan  banyak  ajaran  Islam. Antara aspek ajaran Islam yang disentuh dalam novel ini adalah konsep ijtihad.” (2011). Dalam kata pengantar yang ditulisnya, Hadi Susanto, menyifatkan novel ini sebagai “kayu ukur dan pedoman  untuk pengarang muda yang  mahu  berjinak-jinak dengan  sastera  Islam.” (Mohd Faizal Musa, 2011) Menurutnya, novel ini berhasil menggarap  pesan dakwah,  tema  cinta,  latar  belakang  budaya  suatu bangsa dengan menarik, kerananya ia “perlu menjadi acuan terutama bagi penulis yang mahu berjinak-jinak untuk menulis sastera Islami.” (Susanto dalam Shirazy, 2007).  

A.  Samad Said, dalam ulasannya yang jitu dan sangat bermakna, menyifatkannya sebagai “sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan…rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.” (A.Samad Said dalam Shirazy, 2007). Novel Imam, yang dihasilkan oleh sasterawan negara Abdullah Hussain dan telah meraih Hadiah  Novel Nasional 92/94, turut diiktiraf sebagai karya sastera  Islam  yang  penting.  ‘Imam’ dikerjakan selama tiga  tahun  enam bulan semasa  beliau  bertugas  di  DBP  Brunei,  sebagai  pegawai  kontrak yang  turut memperlihatkan  sikap  dan  pemikirannya  yang  terbuka  dan  moden.  Ia memaparkan tentang perjuangan dan kebangkitan seorang Imam (Imam Mihad) di Kampung Anggerik Desa. Dalam usahanya  menganjurkan  pembaharuan, beliau  bangkit  melakukan  revolusi  mental,  memperbetul  kepincangan,  dan menekankan  kepentingan mendalami ilmu.  

Sasterawan Negara Prof. Rahman Shaari  dalam kertas kerjanya ‘Kamar Hati dan Kamar Akal dalam Imam’ merumuskan bahawa novel ini mempamerkan keindahan  nilai estetika  Islam dengan pewarnaan  tempatan: “novel ‘Imam’ menepati novel yang berada dalam lingkungan sastera Islam yang buat masa ini  kurang diperkatakan. Saya berpendapat Abdullah Hussain ketika menghasilkan novel ‘Imam’ berada di tingkat  kesedaran  bahawa beliau  mesti menghasilkan karya yang  memuatkan asas estetika dalam Islam”  (Talib  Samat, 1998).

Karya yang menyentuh pelbagai aspek keagamaan dan sejarah ini, cuba mengetengahkan nilai pembaharuan yang digerakkan oleh kaum muda dengan mengangkat idealisme dan mencanangkan ijtihad. Ia menggembleng pemahaman asas tentang gagasan  pembaharuan dan tajdid  dan berusaha menangani ikhtilaf mazhab  dengan pandangan  fiqh yang  luas dan  landasan hukum  dan  maqasid syariat.  Tulisannya  turut  menyentuh  isu  perpecahan  masyarakat  Islam  yang berlaku hampir di semua negara Islam  kini,  “yang  dilanda kemelut perpecahan, perebutan jawatan, intrik, harta (kebendaan) dan keruntuhan moral yang terjadi di mana-mana  negara  Islam.”  Ia turut menzahirkan  kritikan  keras  terhadapkesempitan  faham  kaum  konservatif  yang  terbelenggu  dengan  taklid  dan pemahaman  agama  yang  beku  dan  sikap  yang  permisif  dan  tunduk  kepada telunjuk  pemerintah.  Tulisannya memperlihatkan sikap yang sinis  terhadap “golongan  imam  dan agama yang  menulis  teks-teks  khutbah  Jumaat  yang setengah-setengahnya tidak berpijak di bumi nyata, terlalu melebihkan golongan raja dan  memuliakannya tidak bertempat,” dengan mesejnya agar mereka turun padang melihat sendiri permasalahan masyarakat dan umat Islam (Talib Samat, 1998: 147-150).

 

Penutup

Dari perbincangan ringkas di atas, kita telah melihat dengan jelas kekuatan nilai dan perspektif khusus yang membentuk pandangan sastera Islam, seperti unsur tauhid, moral, ihsan, kebenaran, keindahan, nilai mistik, sufisme dan sebagainya. Pandangan dan idealisme yang tinggi ini telah mewarnai sastera Melayu  danmembentuk falsafah dunianya yang dinamis. Usaha penyebaran sastera Islam dan penerapan  pengaruhnya  ke rantau  ini  haruslah ditingkatkan  bagi  membangun nilai dan keperibadian  Islam yang  kental  dan  melanjutkan  pengaruhnya yang ekstensif  dalam  tradisi  pemikiran  dan  persuratan  Melayu  dan  warisan kebudayaannya, terutamanya nilai-nilai inklusivisme dan transendentalnya. Kita haruslah memperjuang dan mengangkat martabat sastera dan mempertahankankhazanah kesusasteraan Melayu-Islam dan mengetengahkan sumbangannya yang signifikan dan penting dalam menggerakkan kesedaran dan kebangkitan sastera dan “menyingkapkan tabir bagi  angkatan muda buat selanjutnya  menyelami sastera Islam yang sangat luas itu.” (Hamka, 1966: 4).

Sebagai kesimpulannya, perbincangan kertas kerja ini merumuskan bahawa persuratan Islam dapat memainkan peranannya sebagai pemangkin penting ke arah pemakmuran ummah. Jika selama ini kita menggunakan atau akan menggunakan pelbagai kaedah, teori dan metodologi luaran, namun telah terbukti usaha para pengkaji dan pemikir kita mengaplikasikan Islam sebagai turuq ke arah kejayaan menyatu padukan umat di dunia belahan sebelah sini. Yang penting daripada segala-galanya ialah kepercayaan kita terhadap Islam dan karya berunsur Islam berjaya memaikan peranan dan fungsinya. Kita yakin hanya Islam dapat membantu dan terus memperakalkan budaya, bahasa dan sastera kita. Semoga Allah memberikan berkat dan rahmat-Nya. Amin.

 

Rujukan dan bahan bacaan

A. Samad Said. 1999. Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah s.a.w. dalam Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..  

Abdul Hadi W.M. 2012, Sept 7. Jejak Sang Sufi: Hamzah Fansuri dan Syair-Syair Tasawwufnya.  Diakses dari http://jalantelawi.com/2012/09/jejak-sang-sufi-hamzah-fansuri-dan-syair-syair-tasawufnya/.  

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1975/76. “Nilai Kebudayaan dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu”, Jernal Jihad, 64-72.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib.  1990.  Islam dalam  Sejarah  dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib.  2001.  Risalah  Untuk  Kaum  Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.

Habiburrahman el Shirazy. 2007. Ayat-Ayat Cinta. Kuala Lumpur: Ar Risalah Product.  

Hamka. (1966). Lembaga Hikmat. Jakarta: Bulan Bintang.

Haris Effendi Thahar. 20 Okt, 1982. Harian Singgalang, Indonesia.

Kamariah  Kamarudin.  2010.  Antara Komersialisme  dengan  Intelektualisme dalam Novel Getaran Rindu. Jurnal Pengajian Melayu, 20 (1), 99-118.

Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad. 1987. Polemik Sastera Islam. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Mana Sikana.  1983.  Sastera Islam di Malaysia.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Sarjana.

Mana Sikana. 1998. Khazanah Islam: Falsafah dan Kesusasteraan. Selangor: Penerbitan Karyawan.

Mana Sikana.  2009.  Wajah  Sastera  Melayu  Singapura  Selepas  Perpisahan dengan Malaysia. Sari, 27 (2), 27-57.

Mohd.  Affandi Hassan.  1990, Januari-Jun.  Pendidikan Estetika  daripada Pendekatan Tauhid I-IV. Dewan Sastera, hh. 31-35.

Mohd Faizal Musa.  2011.  Persoalan Ijtihad dalam  Novel  Ayat-Ayat  Cinta. Alayasastra Jurnal Ilmiah Kesusasteraan, 7 (1), 1-15.   

Rogayah A. Hamid, Wahyunah Abd. Sani (penyelenggara). 2005.  Pandangan Semesta Melayu: Syair. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.. 

S. Othman Kelantan. 1987. Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shahnon Ahmad. 1981. Kesusasteraan Dan Etika Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd..

Siddiq Fadzil.  2012. Islam dan  Melayu: Martabat  Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.

Suhaimi Muhammad. 2000. At-Tariq: Kumpulan Puisi Mistik dan Kerohanian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..  

Syed Hussein Alatas 2015. Kita dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Talib Samat. 1998. Islam di Antara Percikan Sastera dan Budaya. Batu Caves: Thinker’s Library. 


* Makalah ini dibentangkan semasa Nadwan Sastera Islam Serantau anjuran DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Kesusastera Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 29 November 2022.


Tiada ulasan: