Khamis, Februari 07, 2019

Kuasa, Kognitif dan Afektif dalam 'Serbakas Idea Tentang Pohon' dimuatkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita'

Oleh **Datuk Haji Dr. Janatan Kandok, Sabah. 

Cerpen Seberkas Idea Tentang Pohon (SITP) karya Hasyuda Abadi yang tersiar dalam Utusan Borneo pada 18 Oktober, 2000 kemudiannya diterbitkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (INPES - 2004) memaparkan tentang kebaikan dan kejahatan manusia. Kejahatan sentiasa dimenangkan melalui pelbagai muslihat—ucapan yang indah, penggambaran kebaikan-kebaikan bagi menyembunyikan kejahatan,  menjadikan mereka yang mempunyai sedikit kebaikan sebagai pengikut atau pekerja dengan syarat mereka sanggup menjadi pak turut, mengongkong kebebasan bersuara, dan  memenjarakan musuh. Akhirnya semua yang disembunyikan—sama ada yang jahat atau baik—terbongkar juga bagi menanti pembalasan. 

Matlamat penilaian

Matlamat utama  saya menilai cerpen SITP ialah mengesan unsur-unsur kepimpinan, atau pengurusan strategik dan pembangunan sumber manusia yang terdapat dalam karya ini.  Bagaimana pun, perkara-perkara lain juga disentuh. Ia bertujuan supaya penilaian ini kelihatan menyeluruh dan tidak tertumpu hanya kepada kepimpinan, pengurusan dan pembangunan sumber manusia sahaja.

Ini perlu memandangkan tidak semua pendekatan  penilaian karya mampu memberi keadilan kepada sesuatu karya. Umpamanya, novel-novel Iwan Simatupang seperti Kering dan Merahnya Merah tidak dapat dinilai  dengan baik dengan menggunakan pendekatan penilaian formalisme (A.Wahab Ali 2000. Kritikan Estetik Sastera, Kuala Lumpur: DBP). Justeru itu, karya-karya seumpama itu perlu dinilai menggunakan pelbagai pendekatan penilaian. 

Isu-Isu Penilaian Sastera

Sebelum memulakan penilaian SITP ini, sebaiknya saya membicarakan sedikit tentang beberapa isu penilaian karya, pertama untuk panduan saya dan kedua sebagai pengetahuan para peminat sastera.

Terdapat sepuluh isu penilaian karya sastera yang perlu diketahui pengarang  dan juga penilai (saya lebih selesa menggunakan istilah penilai berbanding pengkritik) untuk membolehkan kita menghayati sesuatu karya iaitu definisi, matlamat, penilai, objek dan maklumatnya, kriteria, standard, kaedah, proses, dan khalayak penilaian.

Definisi penilaian ialah pengertian penilaian karya. Apakah yang dimaksudkan dengan penilaian karya sastera. Berdasarkan definisi berkenaan, matlamat penilaian dapat ditentukan iaitu apakah yang hendak dicapai dalam penilaian sesuatu karya.

Penilai ialah sesiapa juga yang melakukan usaha-usaha penilaian. Ini termasuklah pengarang sendiri, sahabat-sahabatnya, pembaca, dan sebagainya. Ini bermaksud sesiapa juga adalah penilai sastera. Objek penilaian pula merujuk kepada apakah perkara-perkara yang menjadi fokus penilaian. Contoh objek penilaian ialah bahasa, plot, sudut pandangan, dan sebagainya. Ia hendaklah selaras dengan matlamat penilaian.

Maklumat tentang objek pula ialah perkara-perkara penting tentang objek penilaian. Umpamanya, jika bahasa dijadikan objek penilaian maka maklumat-maklumat tentang bahasa termasuklah gaya bahasa, nahu, ayat dan sebagainya.

Kriteria pula adalah berkaitan dengan ukuran-ukuran tertentu tentang nilai-nilai karya. Misalnya, jika estetik karya yang hendak dinilai, kriteria yang digunakan hendaklah nilai-nilai keindahan sesuatu karya seperti kesepaduan, keindahan bahasa, kemurnian jiwa watak-watak dan sebagainya.

Standard penilaian merujuk kepada apakah hasil penilaian itu berguna atau sebaliknya. Tidak ada gunanya melakukan sesuatu penilaian jika tidak memberi faedah kepada pengarang dan juga kepada perkembangan sastera.

Kaedah penilaian ialah teknik mendapatkan hasil penilaian. Ia boleh dalam bentuk soal selidik, temu bual dan sebagainya bergantung kepada matlamat penilaian. Proses penilaian pula ialah kegiatan-kegiatan yang dilakukan sehingga sempurnanya sesuatu penilaian. Ini termasuklah perancangan dan pelaksanaan sesuatu penilaian karya.

Hasil sesuatu penilaian tentulah mempunyai pembacanya sama ada pengarang, ahli-ahli akademik, peminat sastera dan pihak-pihak yang berkepentingan. Ini dipanggil sebagai khalayak penilaian. Laporan penilaian wajarlah disampaikan kepada mereka supaya dapat melakukan sesuatu tindakan umpamanya membetulkan kelemahan karya atau memberi penghargaan kepada penulis. 

Penilaian karya sastera melibatkan penghakiman. Penghakiman pula melibatkan “hukuman.” Justeru itu, penilaian wajiblah dilakukan dengan serius supaya “verdict” tepat dan adil. Mengetahui sepuluh isu penilaian di atas boleh membantu seseorang penilai mendapatkan penilaian karya yang berwibawa. 

Tema Dan Sudut Pandangan

SITP bertemakan politik. Tema cerpen ini didedahkan pengarang melalui dirinya sendiri. Pengarang sendiri menyatakannya. Ini dapat dipastikan kerana tiada watak yang berperanan mendedahkan tema itu. Dengan perkataan lain, tiada manusia atau simbol yang jelas yang berperanan sebagai “wakil” pengarang untuk mendedahkan tema itu. Pengarang sendiri merakamkan apa yang terakam dalam jiwa dan fikirannya mengenai muslihat politik dalam mencapai sesuatu matlamat melalui sudut pandangan dewa yang mengetahui. Justeru itu, membaca SITP, kehadiran suara atau campur tangan pengarang dalam cerita adalah amat dirasakan. 

Bahasa

Pengarang berjaya meninggalkan makna dan kesan cerpen kepada pembaca melalui penggunaan bahasa yang indah. Kecenderungannya “mengorangkan” (personifikasi) objek dan merangkumkan beberapa idea dalam satu ayat mampu meninggalkan kesan enak pada perasaan—terasa  kelesuan jalan cerita, seolah-olah semuanya santai. Misalnya pada ayat ini:

“Di manakah rumah mahmudahmu? Semua saling berbicara—antara mulut-mulut, antara mata-mata, antara telinga-telinga dan antara kalbu-kalbu.”

Hasyuda Abadi—seperti yang kita kenali—ialah seorang penulis puisi. Karya-karyanya mendapat tempat di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Sebagai penulis puisi tidaklah menghairankan jika gaya penulisannya dalam SITP amat mirip kepada puisi. SITP—jika ditulis menurut bentuk penulisan puisi---ia lebih puisi daripada cerpen.

Kita tidaklah menyalahkan yang demikian. Yang menjadi masalahnya ialah apakah pembaca cerpen dapat menangkap mesej yang cuba ditonjolkan melalui gaya penulisan puisi? Jika cerpen ini “hinggap” di tangan penyair—Haji Ismaily Bongsu, Hajjah Zaiton Ajamain, Haji Arrifin Arif—amat pasti barangkali mesej dapat dikesan dengan mudah. Pun begitu, janganlah terpengaruh dengan cakap saya sebab sudah puluhan kali saya cuba menulis sajak tetapi tidak menjadi kerana penguasaan bahasa saya tidak seberapa. 

Plot

Tidak ada perkara yang dapat diperkatakan dalam konteks plot sebab kehadirannya sukar dikesan. Sungguhpun persoalan atau permasalahan yang ditimbulkan adalah penting dan amat rumit diselesaikan, namun pengarang tidak mewujudkan keadaan yang memerlukan masalah tersebut perlu diselesaikan segera—yang jika gagal ditangani akan mendatangkan implikasi negatif yang mendadak.

Niat pengarang untuk menyelesaikan masalah tidak dapat dikesan. Ketiadaan keadaan keperluan menyelesaikan masalah dengan segera menjadikan permasalahan yang dipaparkan dalam cerpen ini hanya sesuai dikembangkan dalam novel—bukan dalam cerpen. Kerana ketiadaan langkah-langkah penyelesaian, unsur-unsur konflik atau kejutan tidak dapat dikesan secara jelas dalam SITP, maka—selain keindahan bahasa—keseronokan membaca kurang dirasakan. 

Latar

Latar cerita  cerpen ini sukar dikesan, menjadikan persoalan seperti di awang-awangan. Pembaca boleh sahaja mengandaikan peristiwa itu berlaku dalam negara Malaysia dengan mengaitkan isu-isu semasa, namun tidak dapat dipastikan di mana, bila dan sebagainya. Kekaburan tentang latar menjadikan sukar menilai sejauh manakah latar berjaya menyokong  mendedahkan tema dan menghidupkan cerita. 

Kuasa

Apabila politik menjadi tema karya sudah tentu yang dijangkakan ialah penggunaan sumber-sumber kuasa bagi tujuan mencapai matlamat. Dalam SITP, sumber kuasa yang dibangkitkan ialah kuasa sah (position power), kuasa kepakaran, dan  kuasa menghukum.

Kuasa sah merujuk kepada kuasa yang terdapat pada jawatan seseorang. Orang yang mempunyai kuasa ini biasanya mendapat keistimewaan-keistimewaan tertentu kerana ia boleh mencapai matlamatnya atau juga membantu mencapai matlamat orang lain dengan menggunakan kuasa yang ada padanya seperti memberikan kelulusan sesuatu projek.

Dalam konteks organisasi awam, kakitangan amat menghargai atau mengutuk pegawai atasan mereka sebab kuasa sah mereka boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan. Dalam konteks politik pula, kesannya pula lebih besar sebab ia beroperasi dalam konteks makro yang melibatkan lebih ramai orang. Jika ia berlaku di peringkat kebangsaan, kesannya mungkin dirasai semua rakyat Malaysia. Dalam SITP, kuasa sah digunakan untuk memenangkan kejahatan. Dalam politik, perkara ini tidaklah mustahil. Dengan kuasa itu, penjawatnya boleh mengkerbau-lembukan si polan dan si polan.

Kuasa kepakaran (profesional power) yang dapat dikesan dalam cerpen ini digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran. Kejahatan digambarkan sebagai sesuatu yang indah sehingga orang percaya bahawa ia adalah kebaikan yang sebenarnya. Kuasa seumpama ini datangnya dari kepakaran berpidato. Kuasa ini memanglah terdapat pada pemimpin-pemimpin politik tanah air. Di Indonesia kepakaran ini dikenali pengucapan retorik. Ia sungguh berkesan dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.

Kuasa menghukum (reward power) adalah merujuk kepada sumber kuasa yang membolehkan memberi hadiah atau hukuman. Kuasa ini terdapat pada para hakim, pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau rakyat biasa. Kuasa ini amat digeruni terutama jika terdapat alasan yang diyakini bahawa hukuman yang bakal dijatuhkan tidak adil mengikut pandangan mereka yang berkepentingan. Sebaliknya, kuasa ini amat disenangi sebab ia boleh menganugerahkan sesuatu. Umpamanya, kuasa yang terdapat pada Tuan Yang Terutama amatlah disenangi oleh golongan tertentu terutama yang sudah lama mengharap-harapkan gelaran.

Dalam dunia politik, kuasa ini lazimnya dilaksanakan bagi menghargai sumbangan para penyokong setia. Hadiah-hadiah yang diberikan adalah dalam bentuk wang, projek, pingat, pujian dan sebagainya. Tujuan di sebalik pemberian hadiah itu ialah mengekalkan sokongan para pengikut supaya kuasa politik  bertambah kuat. 

Kognitif  Dan Afektif

Unsur-unsur pembangunan sumber manusia dalam sesebuah karya sastera adalah banyak. Umpamanya, apakah  pengetahuan yang cuba disampaikan (diajar) pengarang? Apakah perasaan yang cuba ditanam dalam fikiran pembaca? dan apakah kemahiran-kemahiran yang diperoleh pembaca selepas membaca sesuatu karya?

Seberkas Idea Tentang Pohon  berjaya memberikan pengetahuan (kognitif) tentang sepak terajang politik—penipuan, pemalsuan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini dapat menyedarkan pembaca bahawa dunia politik ini adalah suatu dunia yang mencabar.

Kerana bahasa yang indah yang mampu mengusik emosi, cerpen ini mampu menanam semacam perasaan takut, benci dan waspada kepada segelintir ahli-ahli politik. Walau bagaimana pun, perasaan tersebut tidaklah begitu kuat sehingga mendorong pembaca  melakukan sesuatu tindakan. 

Kesimpulan

Cerpen Seberkas Idea Tentang Pohon mempunyai nilai pembangunan sumber manusia, nilai estetika bahasa, dan unsur kepimpinan.  Bagaimana pun, perlu saya tegaskan di sini bahawa nilai sebenar karya ini hanya dapat dikesan penilai yang lebih pakar. Dengan perkataan lain, masih banyak lagi nilai yang masih tersembunyi  dalam karya  Hasyuda Abadi ini yang bakal didedahkan penilai-penilai lain.

**Penulis merupakan mantan Pengarah Jabatan Kastam Negeri Sabah dan merupakan Pengerusi Institut Penilaian Sastera (INPES)

Tiada ulasan: