PERSOALAN sama ada benar atau sebaliknya apabila memasyarakatkan sastera merupakan salah satu instrumen untuk menempatkan sastera dalam kehidupan mereka terus menjadi kekangan sastera lestari. Penggiat sastera mempunyai pandangan besar apabila melihat masyarakat menjadi sasaran penting terutama dalam pemasaran karya bahkan secara langsung memberitahu kepada mereka sastera itu wujud dalam kehidupan mereka. Namun hingga saat ini sastera hanya dilihat sebagai salah sebuah subjek dalam pendidikan yang diabaikan. Sastera hanyalah pilihan dan sesuatu yang sering dipinggirkan. Sastera itu dianggap hanya milik satu pihak iaitu penulis!
Sehingga ada yang berasa janggal apabila menempatkan penulis berada dalam lingkungan kumpulan bidang yang berkaitan dengan kaum atau etnik. Apabila membaca sesuatu etnik atau kaum, tumpuan kebanyakannya kepada busana tradisional, tarian, muzik dan nyanyian yang berkaitan dengan adat istiadat. Mereka berpendapat penggiat sastera tiada hubungan dengan kelompok etnik. Sebaliknya sastera pula difahami semata-mata melalui penulisan kreatif seperti novel, cerpen, puisi, pantun, gurindam dan sebagainya.
Berlaku kontradiksi antara sastera dan seni, apakah seni itu juga sastera atau sastera telah sekian lama mendominasi dalam kesenian tidak dianggap sedemikian. Atas persoalan tersebut, tulisan ini mengajak pembaca memahami konsep sastera dan seni dalam kehidupan manusia yang hidup secara bermasyarakat. Akhirnya membuktikan bahawa sastera juga mampu menjadi alat menyatupadukan rakyat. Etnik tanpa sastera yang dimilikinya adalah etnik yang tidak berkembang dan tidak mempunyai akal budi yang perlu dibanggakan.
Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et al;2006: 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.
Pernyataan ini disokong oleh M.K dan Ziger dan W.S jahnson (1983:2) yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.
Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif.
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan membincang dan menjelaskan konsep kesusasteraan, memperihal perkembangan kesusasteraan Melayu serta fungsinya dalam masyarakat dengan contoh-contoh yang bersesuaian.
Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidang ilmu. Ia berada segaris dengan bidang keilmuan lain sama ada sejarah, bahasa, sains, teknologi dan sebagainya. Sebagai suatu bidang ilmu Kesusasteraan Melayu akan menyingkap segenap perkara berkaitan dengan corak penciptaan karya sastera, bentuk pengucapan, sejarah perkembangan bangsa, reaksi kritis terhadap karya, dan hubungan karya sastera dengan penulis dan masyarakat. Termuat sama dalam lingkungan ilmu sastera ialah alam fikiran pengarang yang memungkinkan memberi kesan terhadap pembentukan sifat karya itu sendiri.
Sifat karya sastera pula dibentur oleh pelbagai inovasi dan faktor luaran yang menjelmakan sifat karya itu sendiri. Zaman tradisi ditandai oleh karya-karya seperti pantun, syair, seloka, nazam, gurindam dan sebagainya. Manakala dalam bentuk prosa pula ia melibatkan sastera sejarah, sastera hikayat, epik, cerita berbingkai dan lainnya. Begitu pula karya-karya yang muncul pada era pemodenan yang terdiri dari cerpen, novel, sajak dan drama. Sifat-sifat karya ini pula perlu diteliti dengan menggunakan kayu ukur yang sesuai dengan zaman dan era penghasilannya. Ia tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya kerana penelitian karya sastera perlu berpegang kepada objektifannya. Ia bukan penelitian berpandukan perasaan dan rasa hati.
Masyarakat Melayu dan pribumi di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Namun, kesemua kesenian tersebut bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat. Ini termasuklah kesenian berbentuk syair, cerita rakyat dan seni rakyat yang merupakan alat komunikasi tradisional yang berbentuk lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pada masa yang sama, ianya turut tekenal sebagai salah satu cabang kesusateraan melayu yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Umumnya, sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama yang disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan pribumi, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Masyarakat Melayu dan pribumi yang menghasilkan sastera lisan masih bersifat tradisional, ketinggalan dari segi teknologi, masyarakat yang masih mengamalkan sistem sosial yang terikat dengan semangat kerjasama dan kolektif, masyarakat yang masih statik serta tidak banyak hubungan dengan masyarakat luar.
Sastera lisan merupakan hak milik bersama (kepunyaan) bangsa Melayu dan pribumi. Ia hidup dalam masyarakat secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya. Juga tidak diketahui bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan sastera banyak mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat. Oleh sebab itulah ahli-ahli antropologi sendiri lebih selesa menggunakan konsep tradisi rakyat apabila mencirikan masyarakat yang hendak dikaji (Norazit Selat, 1997: 1).
Menurut Anisah, (2009), nenek moyang masyarakat Melayu dan pribumi banyak meninggalkan khazanah tradisi komunikasi yang tidak diketahui oleh generasi kini. Sebahagian tradisi komunikasi tersebut terpinggir apabila generasi tua meninggal dunia dan tidak ada generasi pelapis. Khazanah komunikasi tradisi tersebut termasuklah amalan sapaan, tatacara menyampaikan maklumat, jemputan ke majlis kenduri-kendara, dan sebagainya. Komunikasi dalam tradisi Melayu lebih menekankan pertuturan bersemuka (interpersonal communication), yakni berkomunikasi secara dua hala. Komunikasi berbentuk dua hala ini cepat mendapat maklumbalas dan merupakan kaedah komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej.
Sastera terus hidup kerana adanya hubungan antara sastera dengan masyarakat. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat dalam dua sudut pandangan iaitu sudut pandangan yang lama dan baharu. Ia sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis dan fungsinya. Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957 (Wadiosoffi Jaafar, 2017). Matlamatnya untuk membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia.
Sastera adalah ilmu untuk mempelajari bagaimana kita menggunakan bahasa menjadi sesuatu yang bermakna yang tentu saja kental dengan sentuhan seni. Dari kaca mata akademik, sastera adalah ilmu pengetahuan (sains) sedangkan karya sastera itu sendiri adalah seni. Ibarat seruling, hanya bambu berlobang dengan jarak tertentu untuk menghasilkan nada yang berbeza. Nah, nada-nada teratur yang di hasilkannya, itulah seni. Intinya: ilmu sastera adalah alat untuk menghasilkan tata bahasa baik dan benar. Karya sastera itulah seninya.
Pada dasarnya, semua ilmu pengetahuan memiliki nilai seni, tergantung apa yang dihasilkan dari ilmu itu dan tidak lepas juga oleh dan dari sudut pandang ketika kita melihatnya. Sayangnya hal ini tidak menjadi terlalu penting bagi yang lebih mementingkan hiburan semata-mata. Padahal sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan berupaya memberi pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera tetapi masih relevan iaitu erti sastera kepada kehidupan manusia termasuklah sahsiah, akal budi dan permuafakatan yang amat berkesan.
Bahan Bacaan:
Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. DBP. Kuala Lumpur.
Arba’ie Sujud. (2008). Sastera Melayu Suatu Pengantar . Kuala Lumpur : Tinta Press Sdn Bhd.
Asmah Haji Omar. (2008). Ensiklopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah et al.( 2006). Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
M.K. Danziger & W.S Johnson. (1983). Pengenalan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Hj. Salleh. (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tentang manusia, sastera dan cengkaman teknologi oleh Wadiosoffi Jaafar. Dipetik dari laman web: https://selangorkini.my/2017/05/tentang-manusia-sastera-dan-cengkaman-teknologi/
Fungsi Sastera dalam Masyarakat oleh Mohd Radzi. Dipetik dari laman web:
2018 © Pustaka Iqbal Nazim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan