Ahad, Februari 26, 2023

PERANAN SURAH ASY-SYUARAA DALAM MEMANDU SASTERA SABAH : HASYUDA ABADI SEBAGAI TELADAN

Oleh: Noorazlina binti Awang

 ABSTRAK

Al Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW. Mukjizat teragung ini keindahannya merangkumi pelbagai aspek termasuk sastera dan bahasa. Khazanah dan kekayaan ilmu dalam al Quran perlu dirasai dan difahami oleh manusia. Dengan adanya keupayaan fizikal, keupayaan minda berfikir dan keupayaan emosi berperasaan menjadikan manusia adalah makhluk terpilih untuk menerima risalah agung ini. Realiti hari ini, umat islam mempunyai kelemahan untuk berinteraksi dengan al Quran dengan berpandukan ajaran sebenar daripada al Quran. Oleh itu, tulisan ini bertujuan untuk menjelaskan definisi dan kepentingan tadabbur sebagai usaha memperbaiki interaksi dengan al Quran. Selain itu, tulisan ini menerangkan intipati tadabbur Surah asy-Syuaraa sekaligus menjelaskan ibrah Surah asy-Syuaraa untuk dimanfaatkan oleh komuniti penulis di Sabah. Penulisan ini juga bertujuan menganalisis aplikasi tadabbur oleh Sasterawan Negeri Sabah yang ketiga iaitu Hasyuda Abadi di dalam karya puisinya. Hasil penulisan ini merumuskan definisi dan kepentingan tadabbur. Seterusnya, menjelaskan secara ringkas isi kandungan surah as Syuaara merangkumi tiga bahagian utama iaitu pemaparan ujian-ujian yang menimpa para Nabi dan Rasul, pemaparan mengenai kemudahan-kemudahan yang Allah SWT berikan kepada Nabi Muhammad SAW dan pemaparan tugas-tugas penting yang Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW. Surah ini juga pada ayat 221-227 menggariskan ciri penyair yang tercela dan terpuji. Akhir sekali, hasil analisis mendapati aplikasi tadabbur oleh Hasyuda Abadi terkandung dalam beberapa karya dalam buku puisi Kembali Di Lahad Rahsia (2008) dan Akar Cahaya (1997). 

Kata Kunci : al-Quran, Penyair, Sasterawan, Surah as Syuaara, tadabbur, tazakkur 

HASYUDA ABADI

Pengenalan 

Sebesar-besar nikmat Allah SWT kepada kita adalah al Quran al Karim. Ia merupakan kitab yang tidak akan lapuk dek zaman, mengandungi pelbagai keajaiban yang tidak putus-putus, tidak akan terpadam cahayanya, sentiasa segar dan releven. Semakin diulang baca dan dikaji, akan menambah rasa kemanisannya dan dapat memperkukuh keimanan serta kefahaman. (Dr. Fadhl Hasan 2022).

Menurut Dr Fadhl Hasan (2022) hendaklah kita berinteraksi dengan al Quran dengan kaedah interaksi yang sesuai dengan keagungannya. Al Quran merupakan sesuatu yang hidup dan ia akan datang kepada kita bergantung kepada kadar kesungguhan kita datang kepadanya. 

Dalam al Quran terkandung seluruh prinsip kebaikan, kaedah penyelamatan, punca kejayaan, dan dasar kemuliaan dan ketinggian. Di dalamnya terkandung kisah orang terdahulu serta kebaikan golongan kemudian. Al Quran juga mengandungi hukum yang memutuskan apa yang berlaku, serta prinsip-prinsip akidah yang dapat melindungi manusia daripada perkara khurafat, meninggikan nilai, menyucikan diri dan membersihkan jiwa manusia. Ia juga mengandungi perkara dasar berkaitan ibadah yang bertujuan mendisiplinkan dan memperbetulkan tingkah lakunya dengan berfungsi sebagai pendorong kebaikan di dalam hidup. Seterusnya terkandung di dalam al Quran dasar-dasar muamalat yang bertujuan agar kebaikan tersebar luas sesama manusia. Ia membebaskan akal dan jiwa melalui sistem kebaikan yang disyariatkan oleh Allah SWT. 

Aspek Kehidupan Manusia Dan Al Quran 

Kekayaan dan khazanah ilmu yang terkandung di dalam al Quran merangkumi kompenan- kompenan Islah (reformasi) dan Salah (kesejahteraan dan kebaikan). Pecahan topik-topik yang berperanan memperbetulkan dan memperbaiki segala aspek kehidupan manusia, iaitu aspek material, rohani, psikologi dan mental. Setiap aspek ini mendapat tempat masing- masing di dalam al Quran. 

Dari aspek psikologi, ia memisahkan manusia dengan pelbagai emosi negatif yang sering dihadapi seperti kegelisahan, kerunsingan, kecelaruan dan kemurungan. Selain itu, dari aspek material, al Quran mempersiapkan manusia dengan persiapan fizikal yang sempurna.

Contohnya berkaitan halal dan haram, penjagaan kebersihan pada zahir, pakaian dan jasad. Dari aspek mental pula, al Quran memberikan manusia kemampuan berfikir, memberikan pandangan, membuat kesimpulan, meninggikan tahap pemikiran manusia supaya akhirnya menjadi seorang muslim yang dapat memberikan kebaikan kepada seluruh kemanusiaan, kehidupan dan alam semesta. Dari sudut kerohanian, al Quran mempunyai keistimewaan yang akan terzahir ketika membaca dan mendengarkannya. Tidak ada kitab lain yang mengatasi al Quran dalam melakukan reformasi dan pembaharuan yang merangkumi semua aspek yang disebutkan di atas. 

Matlamat Utama al Quran 

Menurut Syeikh Solah Abd Fattah bagi pembaca yang ingin memperbaiki pergaulan dengan al Quran dan mahu belajar daripadanya dan terpengaruh dengannya, perkara paling utama adalah harus memperbaiki pandangannya terhadap al Quran.

Matlamat utama al Quran ada empat perkara iaitu pertama : memberi hidayah dan petunjuk. “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul”(Surah Al Isra : 9) 

Kedua : mewujudkan keperibadian Islam yang seimbang. 

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat)” (Al An’am : 122) 

Ketiga : mewujudkan masyarakat yang harmoni dan murni. 

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna” (Al Anfaal : 24) 

Keempat : mewujudkan kepimpinan Islam dalam perlawanan menentang unsur yang tidak sihat. 

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar, supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” (As Soff : 8-9) 

Al Quran Istimewa Untuk Manusia 

Al Quran diturunkan istimewa kepada manusia, bukan kepada gunung ganang yang akan hancur apabila mendengar firman Allah SWT dibacakan. Dengan kekuasaan Allah SWT, al Quran dianugerahkan buat jantung hati orang beriman. Allah SWT mencipta manusia unik dan berbeza dengan makhluk ciptaan lain. Allah SWT menggabungkan akal dan syahwat pada penciptaan manusia. Dengan adanya keunikan akal dan syahwat menjadikan manusia berilmu, memahami dan mempunyai kehendak. Dengan adanya keupayaan fizikal, keupayaan minda berfikir, keupayaan emosi berperasaan, setiap manusia mempunyai personaliti tersendiri. Dengan potensi dan kapasiti inilah risalah agung diberikan kepada manusia. Maka, al Quran berfungsi sebagai sistem operasi yang berfungsi membentuk cara fikir dan cara berperasaan sesuai dengan fungsi sebagai manusia. 

Namun, realiti hari ini ramai dikalangan Umat Islam tidak memiliki sudut pandang yang betul terhadap al Quran. Ada yang sekadar menjadikan ayat al Quran menjadi hiasan di kedai menjemput berkat seperti menggantung ayat 1000 dinar, ada yang hanya tertarik pada kaligrafi dan khat semata-mata, dibaca pada malam Jumaat sahaja dan pada upacara- upacara khas semata-mata, ada yang menjadikan ayat al Quran sebagai tangkal, mentera dan mendepani hal-hal kebatinan sahaja. 

Hal ini ditegur oleh Prof Yusof al Qaradhawi yang menyatakan antara orang-orang Muslim ada yang mengabaikan hak al Quran sedemikian rupa, tidak menjadikan al Quran sebagai penuntun pertama bagi akal orang-orang muslim dan tidak menjadikannya pengaruh pertama di dalam hati bahkan tidak menjadi penggerak pertama bagi perilaku mereka dan pengubah pertama bagi jiwa mereka (Fazrul, 2017). Umat Islam hari ini mempunyai kelemahan untuk berinteraksi dengan al Quran dengan berpandukan ajaran sebenar daripada al Quran. Buktinya, ramai yang masih tidak memahami apakah tema utama surah Yaasin walaupun merupakan surah yang paling kerap dibaca oleh masyarakat hari ini. 

Definisi Dan Kepentingan Tadabbur Tazakkur 

Antara tuntutan al Quran kepada setiap pembacanya dinukilkan dalam ayat berikut. 

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (As Shaad : 38) 

Imam Ibn Jarir al Tabari (2009) menafsirkan ayat ini sebagai suruhan agar kita mentadabbur hujah Allah di dalam al Quran, apa yang disyariatkan di dalamnya, mengambil peringatan dan beramal dengannya. Orang-orang yang mempunyai akal akan mengambil iktibar daripada ayat-ayat al Quran, merasa takut dengan meninggalkan kesesatan dan akan ditunjukkan panduan dan jalan yang betul. Seterusnya, Prof. Dr Hamka (2015) di dalam Tafsir Azharnya mentafsirkan ayat ini, menyebut bahawa keberkahan paling tinggi di dalam hidup ialah mendapat keterangan yang jelas tentang nilai kehidupan. Iaitu keyakinan yang tertanam di dalam hati bahawa yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Tuntasnya, keberkatan al Quran kepada manusia adalah apabila manusia dapat mengambil peringatan dan mendapat keterangan yang jelas daripada al Quran. Ianya akan terhasil apabila melalui dua peringkat yang disebutkan di dalam ayat di atas, iaitu tadabbur dan tazakkur. 

Dari segi bahasa, tadabbur berasal daripada perkataan Arab yang membawa beberapa maksud. Pertama : perkataan tadabbur daripada pecahan kalimah dabbara yang bermaksud mengatur, merencana dan membuat perancangan. Kedua : tadabbar yang bermaksud merenung, memikirkan, memperhatikan. Ketiga : tadabbur - renungan, pemerhatian. Asas bagi perkataan tadabbur terbina daripada bentuk tafa’ala. Perkataan yang terbentuk pada wazan ini merujuk kepada perbuatan yang dilakukan dengan penuh usaha. Ini menunjukkan amalan tadabbur memerlukan usaha untuk meneliti maksud ayat secara berulang-ulang kali sehingga mencapai kefahaman makna yang sempurna dan bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. Di samping itu, amalan tadabbur juga tidak boleh dipisahkan daripada perbuatan hati yang berperanan untuk menghayati mesej-mesej yang terkandung daripada dalil al- Quran. 

Dr.Majdi al Hilali (2015) menyatakan jalan terdekat untuk memahami al Quran adalah melalui membaca, mentadabbur dan khusyuk dengan mencari ilham petunjuk serta menyatukan isi fikiran semasa tilawah al Quran. Di dalam al Quran, empat kali perkataan tadabbur disebut. Dalam surah Surah al-Nisa’ ayat 82, Surah Muhammad ayat 24,Surah al-Mukminun ayat 68 dan Surah Sad ayat 29. Kesemua ayat ini menjelaskan tentang keutamaan memahami makna-makna dan peringatan daripada al-Quran. 

Selain itu, Dr.Yusuf Al Qaradhawi (2000) menjelaskan bahawa adab membaca al Quran paling utama ialah memperhatikan (tadabbur) makna-makna al Quran. Menurut beliau, maksud tadabbur ialah melihat dan memperhatikan kesudahan segala urusan. Tadabbur hampir maksud dengan tafakkur (memikirkan). Perbezaannya adalah, tafakkur merujuk kepada pemusatan hati dan fikiran ke dalil. Manakala tadabbur memusatkan perhatian kepada kesudahan, hasil akhir kepada sesuatu. 

Kalimah tazakkur daripada kata zakara yang bermaksud ingat atau menyebut. Dalam al Quran disebutkan 292 kali dalam pelbagai kata kerja dan kata nama. Kalimah tazakkara bermaksud menerima pelajaran atau peringatan disebutkan 51 kali di dalam al Quran. Menunjukkan betapa pentingnya al Quran dijadikan sumber peringatan dan nasihat. Wan Ali Akbar Wan Abdullah & Nursafra Mohd Zhaffar (2018) pula menyatakan al Mukjam al Lughah al Arabiyyah al Muasorah mendefinisikan tazakkur sebagai peringatan dan iktibar. 

Secara mudahnya, tadabbur bertujuan memahami secara mendalam isi kandungan al Quran dan tazakkur bertujuan mengambil pelajaran daripada al Quran. 

Sebagai panduan, Syeikh Muhammad Amin Al Syanqiti menggariskan kaedah tadabbur ringkas yang boleh dilaksanakan oleh umat islam. Pertama : Membaca al Quran. Kedua : Memahami dengan membaca terjemahan al Quran. Ketiga : Mengetahui isu kandungan, kepada siapa dan mengapa diturunkan?. Keempat : Melakukan refleksi dengan bertanya soalan kepada diri sendiri “apakah kaitan ayat tersebut dengan saya?” Kelima : Mengamalkan ilmu yang diperolehi semasa membaca al Quran. 

Tadabbur Surah asy-Syuaraa 

Seterusnya, penulisan ini membincangkan isi kandungan surah asy Syuaraa untuk diambil pelajaran dan peringatan. Surah ini adalah surah ke-26 dalam susunan Mushaf Uthmani dan terdiri daripada 227 ayat, ia juga merupakan surah Makkiyyah, diturunkan sebelum hijrah. Menurut Fakhri Fadzli (2022) surah ini dinamakan para penyair kerana golongan ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi manusia pada zaman Nabi Muhammad SAW. Peranan para penyair ini menyamai peranan media massa pada hari ini. Tema surah ini adalah kepentingan dan peranan besar media penyampaian dalam mempengaruhi pandangan dan tindakan manusia. Hamka (2015) menyatakan surah ini dinamakan asy Syuaara bermaksud penyair-penyair yang diambil daripada ayat 224. Pada ayat 224-227 dijelaskan perbezaan sasterawan yang tidak baik dan sasterawan yang baik. 

Surah ini merupakan surah Makiyyah, diturunkan sebelum hijrah dan ketika fasa dakwah Nabi di Mekah untuk menegakkan tauhid. Menurut Ibnu Abbas, Surah Taaha diturunkan terlebih dahulu, diikuti surah al Waqiah dan kemudian surah Asy Syuaara. Menurut al Maududi (1972) latar belakang surah adalah pada ketika golongan belum beriman di Mekah secara konsisten menolak ajakan dakwah oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka mengatakan Nabi tidak mempunyai tanda-tanda kenabian untuk meyakinkan mereka tentang kerasulan Nabi. Bahkan mereka melabel Nabi Muhammad SAW sebagai penyair, ahli sihir dan memperlekehkan ajakan dakwah Nabi SAW dengan mengatakan pengikut Nabi adalah orang bodoh, miskin, dari kalangan hamba. 

Dalam keadaan ini, Nabi Muhammad SAW menjadi risau dengan usahanya untuk menyampaikan dakwah kepada golongan ini dan menyampaikan kebenaran Tauhid kepada mereka. Hal ini menyebabkan keperitan dan kesedihan kepada emosi Nabi Muhammad SAW. Beratnya emosi Nabi kita dapat perhatikan pada ayat ketiga yang bermaksud : 

“Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman” (Asy Syuaara : 3)

Selain itu, tema berulang dalam surah ini yang menonjol ialah konflik antara kebenaran dan kebatilan di muka bumi adalah kekal. Menurut Omer (2019) surah ini adalah surah yang memaparkan bukti kebenaran yang jelas. Dalam bahasa arab bukti disebut sebagai ayah. 12 kali perkataan (ayah) disebut secara mufrad (satu) dan 2 kali disebut sebagai (ayat) dalam keadaan jamak (banyak). Pengulangan ini menunjukkan bahawa bukti yang jelas merupakan penawar kepada penolakan terhadap kebenaran. 

Surah ini juga membawa dua konteks penting. Pertama, membuktikan bahawa al Quran bukan karya syair dan Nabi Muhammad SAW bukan penyair seperti yang didakwa orang yang tidak beriman. Kedua, surah ini menegaskan puisi dan bentuk seni adalah serampang dua mata, yang boleh jadi membawa kebaikan ataupun keburukan untuk agama. 

Dalam surah ini perkataan Mubin yang bermaksud terang dan jelas diulang sebanyak tiga kali dalam ayat yang berkaitan al Quran iaitu pada ayat 2, 30 dan 195. Sesungguhnya al Quran merupakan hujah dan bukti yang paling jelas dalam membawakan kebenaran. Selain itu, perkataan Lisan yang bermaksud lidah disebut sebanyak tiga kali iaitu pada ayat 13, 84, dan 195. Pengulangan ini menunjukkan kepentingan bahasa yang memainkan peranan besar mempengaruhi manusia. Inilah kekuatan utama para penyair yang diberikan kelebihan dalam berbahasa untuk menarik perhatian manusia. 

Menurut Ahmad Zahiruddin (2021) sinopsis surah ini secara ringkas adalah seperti berikut. Tema-tema utamanya dibahagikan kepada tiga bahagian besar iaitu :

  1. Pemaparan ujian-ujian yang menimpa para Nabi dan Rasul.
  2. Pemaparan mengenai kemudahan-kemudahan yang Allah SWT berikan kepada Nabi Muhammad SAW.
  3. Pemaparan tugas-tugas penting yang Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW. 

Surah ini menerangkan cabaran-cabaran yang dilalui oleh para rasul sebagai penguat jiwa Nabi Muhammad SAW. Susunan kisah diceritakan mengikut kadar ketinggian cabaran yang dilalui oleh para Rasul, daripada yang paling tinggi kepada yang paling rendah cabaran mereka. Terdapat tujuh kisah Rasul yang dibentangkan dalam surah ini. 

Kisah Pertama : Nabi Musa a.s. Baginda merupakan rasul yang diuji dengan cabaran paling berat kerana berhadapan dengan Firaun, manusia yang paling zalim dan berkuasa sehingga mengaku dirinya adalah Tuhan. Allah SWT memberikan tanggungjawab berat kepada baginda iaitu membebaskan Bani Israil daripada perhambaan Firaun (ayat 15-17). Nabi Musa a.s diancam dengan penjara (ayat 29), perlawanan dengan ahli sihir (ayat 37-42) dan arahan membunuh Nabi Musa a.s dan pengikutnya (ayat 60-61). Dalam kisah ini, dapat dilihat dengan jelas kesan iman pada hati seseorang sebelum dan selepas beriman. Sebelum beriman kepada Allah SWT mereka hanya memikirkan balasan dunia, jawatan dan kedudukan (ayat 41) tetapi sebaik sahaja beriman, mereka menjadi tidak lagi mahukan habuan dunia bahkan tanpa takut tidak berganjak dengan pendirian mereka walaupun diancam dengan seksaan dan hukuman bunuh (ayat 50-51). Ianya menjadi bukti betapa hebatnya iman yang membebaskan jiwa manusia, tidak takut selain kepada Allah SWT. 

Kisah Kedua : Nabi Ibrahim a.s. Baginda diuji dengan cabaran mengajak kaumnya beriman termasuk seruan kepada bapanya sendiri. (ayat 70).

Kisah Ketiga : Nabi Nuh a.s. Baginda menerima ujian yang paling berat selepas Nabi Musa a.s kerana telah diancam dengan hukuman rejam oleh kaum baginda yang tidak beriman (ayat 116). 

Kisah Keempat : Nabi Hud a.s. Kaum baginda mencabar kekuasaan Allah SWT dan kemudian ingkar kepadaNya. (ayat 136-138). 

Kisah Kelima : Nabi Soleh a.s. Kaum baginda telah menyembelih unta yang dijadikan bukti kekuasaan Allah SWT. (ayat 157). 

Kisah Keenam : Nabi Lut a.s. Baginda diuji dengan kaumnya yang melalukan kekejian yang tidak pernah dilakukan oleh umat lain sebelum mereka iaitu maksiat homoseksual. (ayat 165- 166). 

Kisah Ketujuh : Nabi Shuib a.s. Baginda perlu berhadapan dengan kaumnya yang menipu dalam timbangan dan sukatan. (ayat 181-183). 

Bahagian kedua surah ini, Allah SWT memperincikan anugerah-anugerah yang diberikan secara khusus kepada Nabi SAW untuk menghadapi ujian daripada kaumnya. Anugerah dan kekuatan terbesar Nabi SAW adalah al Quran. (ayat 192-212) dan bahagian penutup surah ini mengingatkan semula tanggungjawab yang diperintahkan kepada Nabi Muhammad SAW. 

Ibrah Surah asy Syuaraa Untuk Komuniti Penulis Di Sabah 

Terdapat beberapa intipati dan refleksi penting daripada surah as Syuaraa ini khususnya untuk komuniti penulis di Sabah. 

Pertama : Dua jenis tanda dan bukti yang perlu dihargai. Pertama : tanda-tanda kebesaran Allah SWT pada alam semesta yang tidak ternafikan. Kedua : bukti-bukti pada sejarah umat terdahulu, kisah 7 orang Rasul yang berjuang menyampaikan seruan tauhid dan umat mereka yang tidak mahu beriman telah diazab oleh Allah SWT. Kedua-dua perkara ini akan dapat membantu mengukuhkan akidah umat Islam sekiranya dapat dimanfaatkan dalam penulisan sastera dalam bentuk puisi, sajak dan sebagainya. 

Kedua : Mentaliti golongan yang tidak beriman, pertikaian mereka, dan alasan-alasan tidak mahu beriman adalah sama dan konsisten sepanjang catatan sejarah. Serta dapat dilihat pada cara para Rasul menghadapi mereka, ajakan dakwah para Nabi secara berhikmah adalah konsisten. Membawakan persoalan, pertanyaan yang rasional, menyentuh akal dan sanubari mereka yang tidak beriman. Cabaran yang sama dihadapi pada zaman kini.

“Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah- limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman.” (Al Ahzab : 43)

Dalam ayat al Quran ini kalimah zulumaat membawa maksud kegelapan yang banyak. Menurut Dr Siddiq Fadzil, kegelapan yang banyak ada di dalam masyarakat hari ini merujuk kepada kesesatan, kejahilan, kezaliman, kesempitan, kemunduran dan kebiadapan. Manakala kalimah nuur adalah perkataan mufrad yang membawa maksud satu cahaya. Cahaya kebenaran hanya satu daripada ALLAH SWT, ia adalah al Quran. Kekuatan utama menghadapi kegelapan yang ada adalah dengan kembali kepada cahaya al Quran.

Ketiga : Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Penyayang dalam masa yang sama. Sejarah mencatatkan contoh kemurkaan Allah SWT dan rahmat kasih sayang Allah SWT. Oleh itu, manusia yang memilih untuk mengejar kasih sayang Allah SWT atau mendapat kemurkaan Allah SWT. Pada ketujuh-tujuh kisah Rasul di dalam surah ini pada semua akhir kisah, Allah SWT berfirman : (ayat 9, 68, 104, 140, 159, 175, 191). 

“Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani” 

Justeru, peringatan-peringatan yang disampaikan melalui sastera perlu menyeimbangkan dua pendekatan ini. Mengingatkan tentang sebab-sebab kemurkaan Allah SWT dan menyebarkan rahmah dan kasih sayang Allah SWT. 

Keempat : Allah SWT memberikan perhatian khas kepada para penyair atau sasterawan secara khusus pada ayat 221-227. Ayat menjelaskan ciri penyair yang tercela dan penyair yang tidak tercela di sisi Allah SWT. Kesemua lima ayat 221-226 menyatakan keburukan para penyair, antaranya penyair yang hanya tahu berkata-kata dan tidak melakukan apa yang mereka katakan. 

Ayat 227 pula menggariskan empat ciri sasterawan yang tidak tercela di sisi Allah SWT. Pertama : beriman kepada Allah SWT, para rasul, kitab dan hari kiamat. Kedua : beramal soleh. Ketiga : Sentiasa mengingati Allah hatta di dalam penulisan karya. Keempat : mendapat kemenangan sesudah menderita akibat kezaliman. Achmad Faqih (2014) menjelaskan bahawa penyair yang terpuji menurut ayat ini adalah mereka yang beriman dan berpegang dengan prinsip tauhid dan kebenaran dalam dirinya. Tauhid dan prinsip kebenaran dijadikan ruh dalam puisi-puisinya yang kemudian dibuktikan dengan amal soleh dalam bentuk tindakan sosial untuk masyarakat dan bangsanya. Dengan berpegang kepada prinsip tauhid dan kebenaran ini mereka berdiri untuk melawan kezaliman yang menimpa diri dan lingkungan sosialnya. 

Aplikasi Tadabbur Oleh Hasyuda Abadi 

Penulisan ini seterusnya akan membincangkan aplikasi tadabbur yang diterjemahkan oleh seorang pengarang prolifik, iaitu Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi yang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga. Penganugerahan ini merupakan hasil usaha beliau memimpin pergerakan sastera di Sabah selama 20 tahun sebagai Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan sehingga kini sudah lebih 3 tahun menjadi Ketua Majlis Penasihat IPS. Kegiatan persuratan yang rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa merasa jemu. 

Dalam buku puisi Kembali Di Lahad Rahsia (2008). Puisi bertajuk Nur, mengambil inspirasi daripada surah Al Fajr ayat 27-30 yang bermaksud : 

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurgaKu.” 

“nur sentiasa bersamamu memelihara tamsil pandang

di ujana kalbu yang sentiasa juga menemukan indah nafs-mutmainnah…” 

Seterusnya, puisi bertajuk Ummu Jamil, adalah refleksi kepada kisah al Quran daripada surah al Masad ayat 1-5 yang menceritakan kisah Abu Lahab dan isterinya yang bernama Ummu Jamil. 

“aku isteri bangsawan memperbuat sesuatu yang lain siapa berani menyiram geram dengan air busuk

melukakan kaki nabi

dengan duri-duri di hadapan pintu?” 

Manakala. di dalam buku puisi Akar Cahaya (1997), puisi bertajuk Getar Penyair (1991) mengambil refleksi daripada surah Asy Syu’ara ayat 225 yang bermaksud : 

“Tidakkah engkau melihat bahawa para penyair itu berkembara tidak tentu arah sedangkan mereka memperkatakan sesuatu yang tidak mereka lakukan…” 

“Para penyair taksub menjelmakan dikasi samar menyeberangkan kepalsuan diri

ke dalam irama lirik

bahasa lenggang songsang…” 

Selain itu dalam buku yang sama, puisi bertajuk Akar Cahaya (1997) adalah refleksi daripada surah An Nur ayat 35 yang bermaksud : 

“…cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu ; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia”

“ucap kalbu : pandang rupanya harus tertumpu hanya pada yang satu

nikmat itu padu di situ utuh mengasuh butaku 

demikan cahaya berada

dalam lapisan-lapisan akar yang jauh di sana”

Kesimpulan 

Lautan mukjizat al Quran pada keluasan mutiara ilmu yang tidak akan habis. Ilmu bahasa, sastera merupakan salah satu cabang ilmu yang membuktikan kehebatan al Quran sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW teragung. Mengambil ibrah daripada tujuh kisah Rasul dalam surah ini, bahawa cabaran getir dalam sepanjang zaman adalah konflik antara kebenaran dan kebatilan, antara kebaikan dan buruk, dan antara kegelapan dan terang. 

Peranan sasterawan sangat signifikan dalam hal ini, dan menjadi mata rantai penyambung seruan dakwah Nabi Muhammad SAW yang bermatlamatkan menyeru kepada tauhid, mengesakan Allah SWT semata-mata dan membanteras kegelapan yang ada di dalam masyarakat. Dalam sejarah Islam tercatat nama sahabat Nabi dari kalangan penyair dan sasterawan seperti Abdullah bin Rawahah r.a., Hassan bin Tsabit r.a. dan Kaab bin Malik r.a. yang telah terbukti merealisasikan empat ciri-ciri penyair terpuji di dalam surah as Syuaara iaitu beriman, beramal soleh, banyak menyebut nama Allah, mendapat kemenangan sesudah menderita akibat kezaliman. Inilah yang akan menjadi kekuatan utama. 

Akhir sekali, penulis-penulis Sabah perlu meneladani tokoh sasterawan Negeri Sabah, Hasyuda Abadi atas kesungguhan dan ketekalan beliau menghasilkan sekian banyak karya- karya sastera bernuansa islami dan mengambil inspirasi serta refleksi daripada lautan ilmu al Quran yang sangat luas. Melalui sastera dan bahasa yang indah, keindahan makna-makna al Quran akan lebih mudah disebarkan serata alam. Al Quran itu perlu berfungsi membetulkan segala kebengkokan yang ada di dalam masyarakat kita hari ini. Al Quran itu perlu berfungsi sebagai peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat kepada manusia.

 

Rujukan

Abadi, H. (1997). Kumpulan Puisi Akar Cahaya. Kota Kinabalu : Ikatan Penulis Sabah. Abadi, H. (2008). Kembali Ke Lahad Rahsia. Kota Kinabalu : Iris Publiching And Distributors. ‘Abbas, D. F. (2022). Tanggungjawab Terhadap Al Quran. Kuala Lumpur : ABIM Press.

Fadzli, F. (2022). Fainni Qarib. Selangor: Jejak Tarbiah.

Faqih, A. (2014). Penyair Dalam Al Quran (Penafsiran atas QS As Syu’ara : Ayat 224-227).

Yogyakarta: Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga . Hamka, P. D. (2015). Tafsir Al Azhar. Jakarta: Gema Insani.

Hilali, D. a. (2015). Di Hati Kita Bermula. Selangor: Grup Buku Karangkraf. Ismail, F. (2017). Nikmatnya Tadabbur Tazakkur. Selangor: Firdaus Press. Maududi, A. A. (1972). Tafhimul Quran. Lahore : Idara Tarjuman ul Qur'an.

Omer, S. (2019). Lessons in art and architecture from the Qur’anic surah al-Shu’ara’ (the Poets). KEMANUSIAAN the Asian Journal of Humanities 26(1), 113-141.

Qaradhawi, D. Y. (2000). Bagaimana Berinteraksi Dengan Al Quran. Jakarta: Pustaka Al Kautsar.

Tabari, I. I. (2009). Tafsir Tabari. Lebanon: Dar Al Kotob Al Ilmiyah.

Zabidi, A. Z. (2021). Peranan sasterawan dalam surah al-Shu‘ara’ menurut Dr. Talib Samat. UFUQ International Journal of Arts and Social Science Research, 27-39.

Zhaffar, W. A. (2018). Penggunaan Istilah Berfikir Berdasarkan Kandungan Al-Quran.

Journal Of Quran Sunnah Education and Special Needs Vol.2 (2) , 77-90.

Tiada ulasan: