Ahad, Februari 26, 2023

ANALISIS KESEPADUAN STAIL DENGAN PERUTUSAN AGAMA DALAM KUMPULAN PUISI KEMBALI DI LAHAD RAHSIA

Kembali di Lahad Rahsia


NORAWI HJ KATA
Persatuan sastera dan Budaya Sabah (PSBS)
(norawizah09@gmail.com)

PENDAHULUAN

Keupayaan seseorang penulis dalam menghasilkan suatu karya dinilai dalam aspek pemikiran selain nilai estetika keindahnnya kerana pemikiran adalah teras tamadun sesuatu bangsa. Hal ini membuktikan bahawa pemikiran menjadi inti dan unsur paling dasar dalam kehidupan termasuk hubungan manusia dengan penciptanya. Sehubungan itu seseorang penyair tidak terlepas daripada mengutarakan pemikirannya secara berseni melalui karya puisi. Pemikiran dan keindahan tidak dapat dipisahkan dalam sesebuah karya khususnya puisi. Menurut Hassan Ahmad (2004),pemikiran ialah proses kognisi atau akal yang sifatnya sejagat,yakni dimiliki oleh manusia tidak kira bangsa,justeru itulah manusia dikatakan makhluk yang rasional dan berakal,berbeza daripada haiwan. Beliau memberi contoh pemikiran Melayu cukukup analogis sifatnya kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan,kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan,kegeligaan dan bijaksana minda Melayu. Oleh itu, aspek keindahan dan pemikiran dalam puisi sangat penting dibincangkan bagi mengetengahkan kekuatan karya tersebut. Penyair yang kreatif harus bijak menggunakan gaya bahasa dalam menyuarakan pemikirannya serta pemikiran itu perlu ada kaitannya dengan perutusan agama dan perutusan realiti kehidupan. Kesepaduan unsur gaya bahasa dan pemikiran ini disebut stail, manakala perutusan agama perlu ada terkandung dalam al-Quran dan Hadis. Hasil kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran ini dikatakan melahiran keindahan dalam sesebuah karya, misalnya puisi.

OBJEKTIF
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘Kembali di Lahad Rahsia` dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan agama.

PERMASALAHAN KAJIAN
Hasyuda Abadi merupakan penyair yang aktif menulis puisi berunsur Islam. Penyair bukan setakat berekspresi tetapi puisi-puisinya sarat dengan pemikiran yang hendak disampaikan. Sebagai penyair Islam, Hasyuda pernah disebut sebagai mempunyai kekuatan dari sudut penggunaan gaya bahasa sajak yang bernuansa Islami dan juga membawa pemikiran yang religiuis sifatnya. Persoalannya, bagaimanakah Hasyuda menampilan imej Islami dalam sajak serta kekuatan pemikiran di dalam sajak-sajaknya sehingga beliau dipersepsikan sedemikian.

Bagi memahami hubung kait aspek unsur gaya bahsa sdan pemikiran dalam sajak-sajak Hasyuda, kajian ini akan meneliti persoalan ini dari perspektif estetikanya baik dari sudut tersurat mahupun tersirat. Hal ini penting dalam konteks memberi keabsahan kepada Hasyuda Abadi dan sajak-sajaknya yang disifatkan ramai pengkaji sebagai mempunyai kekuatan yang tersendiri dari sudut Islam. Untuk itu, kajian ini akan memanfaat teori Estetika Bersepadu yang dikemukakan oleh A. Halim Ali (2010) bagi tujaun analisis dan perbincangannya.

METODOLOGI
Dalam menganalisis kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia”, karya Hasyuda Abadi pengkaji akan menggunakan analisis kepustakaan dengan kaedah analisis kandungan. Pengkaji akan memilih beberapa puisi yang sarat dengan pemikiran Islami dan sesuai menggunakan Teori Estetika Bersepadu. Analisis dan perbincangan dibuat secara deskriptif berpandukan kepada dua prinsip dalam Estetika Bersepadu (2010) janaan Abdul Halim Ali iaitu :

I) Kesepaduan stail dengan perutusan

II) Perkaitan stail dan perutusan dengan kebenaran

Walau bagaimanapun, analisis ini tertumpu pada isi kandungan teks puisi yang terkait dengan; kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran(stail)dan perkaitannya dengan perutusan agama.

Kerangka Estetika Bersepadu mengambil penciptaan nabi Adam a.s. sebagai asas rujukan untuk memahami erti keindahan. Nabi Adam a.s. ialah makhluk manusia pertama diciptakan Allah SWT. Kisah penciptaan Nabi Adam a.s. banyak diceritakan dalam al-Quran, Hadis dan juga kitab-kitab sejarah Islam.  Di dalam Surah at-Tin, ayat 4 Allah SWT memberitahu bahawa Dia menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Nabi Adam a.s.(manusia pertama) adalah penciptaan paling sempurna(kesempurnaan) berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Dalam hal penciptaan manusia ini, Haron Din,et al(1997) menjelaskan bahawa manusia adalah sebaik-baik dan seindah-indah kejadian, iaitu keindahan teradun daripada unsur jasmani dan rohani. Unsur Jasmani manusia (al-khalaq) meskipun indah, namun keindahan itu tidak sempurna kerana itu ia perlu kepada penyepaduan dengan unsur rohani(al- Kuluq),supaya ia benar-benar menepati dengan ‘fi ah sani taqwim’ dalam sebaik-baik kejadian.

Sepertimana dirujuk penciptaan nabi Adam oleh Allah SWT, manakala puisi ditulis oleh penyair/penulis. Proses kejadian Adam a.s. ciri-cirinya ialah kesepaduan tanah, roh, akal, nafsu, ilmu, dilantik sebagai pemimpin/khalifah di muka bumi dan fungsinya ialah menyampaikan perutusan Allah. Sesebuah karya yang ditulis pula perlu ada unsur kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran di samping perkaitan gaya bahasa/kiasan dan pemikiran (Stail) dan perkaitan perutusan dengan kebenaran kepada pembaca iaitu manusia.

Mana Sikana(2013) menyatakan proses penyepaduan pelbagai unsur bahasa, idea dan pemikiran, pengajaran dan perutusan yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu yang diplopori oleh Abdul Halim Ali adalah teks sastera yang juga dikenali sebagai “teks keindahan”. Unsur-unsur yang bersepadu atau disepadukan itulah yang paling asas diteliti dan diperhalusi bagi memahami makna keindahan dalam teks. Berdasarkan fungsi manusia sebagai khalifah di muka bumi, tergambar dua perkaitan yang mempertalikan hubungan dan perkaitan tugas manusia, iaitu;

a) Berkait dengan kebenaran keterangan al-Quran dan hadis.

b) Berkait dengan realiti kehidupan manusia di muka bumi.

ANALISIS DAN PERBINCANGAN
Dalam kajian ini pengkaji memberi fokus kepada objektif kajian yang bertujuan untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘kembali di Lahad Rahsia` dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan agama. Sebelum hasil analisis dibincangkan dijelaskan terlebih dahulu serba sedikit tentang diri penyair yang dikaji iaitu Hasyuda Abadi.

Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin mula berkarya sejak akhir tahun 1970-an masih aktif hingga kini. Selain pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah, beliau pernah juga memenangi Hadiah Sastera Perdana. Oleh itu puisi berunsur Islam tidak asing lagi bagi Hasyuda kerana beliau pernah beberapa kali memenangi Sayembara Penulisan Puisi berunsur Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Dan Jabatan Agama Islam Sabah. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai ‘Tokoh Penyair Islam Sabah’. Dalam menganalisis puisi ini, pengkaji akan cuba meneliti kesepaduan keindahan bahasa dan pemikiran (stail) dengan perkaitannya perutusan agama seperti mana yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu.

Kesepaduan stail dengan perutusan agama
Berdasarkan teori Estetika Bersepadu, kesepaduan gaya bahasa dengan pemikiran penyair disebut sebagai `stail`. Stail merujuk kepada gaya yang terisi dengan pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan penyair tidak hanya bertujuan yang meninggalkan kesan estetika luaran tetapi yang lebih utama adalah meniggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran. Pemikiran yang bermakna menurut A. Halim Ali (2010) adalah pemikiran yang mengesankan kebaikan dan bersepadu dengan perutusan agama.

Hasil penelitian ke atas puisi-puisi dalam kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia” (2008) karya Hasyuda Abadi, terdapat enam jenis unsur gaya bahasa yang dikenal pasti banyak dan kerap digunakan iaitu unsur metafora, perlambangan, hiperbola, anaphora, pengulangan dan alusi. Penggunaan unsur bahasa ini dapat dikesan mempunyai kesepaduan dengan pemikiran penyair. Analisis yang dilakukan mendapati terdapat tiga inti pemikiran utama penyair yang ingin disampaikan iaitu pemikiran tentang memperingati masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta.

Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang Mengingati Masa dan Kematian
Stail kepenyairan Hasyuda Abadi banyak terletak pada gaya pengulangan. Penggunaan gaya pengulangan memberi bayangan bahawa penyair ingin menyampaikan sesuatu secara berkesan, apatah lagi perkara yang ingin disampaikan berkait dengan persoalan masa dan kematian. Penggunaan unsur pengulangan dapat dilihat dalam sajak `Pernahkah kau menangis` (Hasyuda Abadi,2008:4). Dalam sajak ini unsur pengulangan hadir dalam bentuk pengulangan perkataan dan pengulangan baris. Pengulangan perkataan yang digunakan ialah `pernahkan` yang dibawa dalam bentuk kata tanya. Manakala pengulangan baris `pernahkah kau menangis diulang beberapas kali pada baris 1, 3,7 dan 9. Lihat contoh petikan sajak di bawah;

Pernahkah kau Menangis

pernahkah kau menangis

apabila malam beringsut tiba

pernahkah kau menangis

ketika terdengar derap senja

semakin menjelma dan gumam

pernahkah kau menangis

saat terbuka saja pintu

dan hanya sunyi menyapa

ke dalamnya

pernahkah kau menangis

waktu membilang usia yang berbaki

dan tidak lagi angka tetapi gelisah

 

(Hasyuda Abadi,2008:4)

Penggunaan kata pernahkah yang diulang-ulang secara konssisten dalam sajak menunjukkan suatu pertanyaan yang sifatnya bersungguh-sungguh dan bernuansa desakan yang mendalam. Jika disepadukan dengan perkataan dalam baris maka yang lebih memberi kesannya. Misalnya penyair menyebutkan;

pernahkah kau menangis

apabila malam beringsut tiba (b.1-2)

Tatkala malam tiba penyair seolah-olah ingin tahu dari sudut hatinya atau pembaca tentang ruang malam yang disediakan Tuhan kepada manusia. Malam disebutkan dalam al-Quran sebagai teempat untuk berehat sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Naba’:9-11:

“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?" (Surah al-Naba’ 9-11)

Malam juga selain untuk berehat, menenangkan diri dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya;

`Sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita (lebih kusyuk)`

Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu. Justeru, setiap datangnya waktu malam itu, penyair ingin tahu, apakah manusia pernah berasa sedih atau penyesalan setelah meninggalkan siang dengan sia-sia. Jelasnya soalan pernahkah kau menangis itu membawa suatu persoalan yang lebih besar kepada diri manusia iaitu tentang ruang waktu untuk menyesali diri dengan soal taubat dan tahajjud.

Penyair membawa kepada pembaca masa atau waktu malam sebagai `tempat` untuk pembaca ingat dan sedar tentang siang waktu yang ditinggalkan dan waktu malam sebagai tempat untuk menumpahkan penyesalan. Bukan masa malam sahaja yang ditanyakan, malah penyair juga menanyakan tentang masa senja dan masa tua dengan masa yang sedikit berbaki sepertimana baris-baris sajak di bawah;

pernahkah kau menangis

ketika terdengar derap senja

semakin menjelma dan gumam

pernahkah kau menangis

 

saat terbuka saja pintu

dan hanya sunyi menyapa

ke dalamnya

pernahkah kau menangis

waktu membilang usia yang berbaki

dan tidak lagi angka tetapi gelisah

 

Dalam sudut estetik bahasa, unsur gaya bahasa pengulangan pada awal setiap baris (anafora) iaitu ‘pernahkah kau menangis’ dapat menyegarkan lagi makna kepada pembaca. Ayat ini diulang sebanya empat kali. Penyair memberi peringatan melalui pengulangan seperti ini ialah untuk memberi peringatan kepada pembaca, sahabatnya atau sesiapa sahaja yang dimaksudkannya membaca puisi ini tentang kesedihan yang bakal manusia alami. Unsur bahasa pengulangan itu merupakan penegasan kepada pembaca agar dapat mengingati pesanan yang disuarakan. Kata ‘menangis’ di situ membawa gambaran tentang kesedihan. Penyair memilih untuk membuat pertanyaan,’pernahkah kau menangis’ dan rasanya bagaimanakah agaknya jika tidak pernah menangis tentang perubahan waktu yang terlalu cepat berlalu.

Dari sudut Estetika Bersepadu, penggunaan unsur bahasa tidak dihadirkan dengan sa- sia atau untuk menikmati estetika gaya semata-mata, tetapi bersepadu erat dengan inti pemikiran penyair itu sendiri. Penggunaan unsur pengulangan dalam puisi `Pernahkah kau menangis` jelas membuktikan terdapat kesepaduan unsur pengulangan tersebut dengan pemikiran penyiar tentang pentingnya mengingati masa, baik yang dinisbahkan kepada waktu malam dan siang atau masa yang berbaki di kala manusia sampai usia tua.

Gambaran yang dapat ditunjukkan dalam analisis ini adalah estetika gaya pengulangan hadir dalam sajak dan berposisi estetika yang lengkap melengkapi dengan pemikiran penyair dan juga perutusan yang disampaikan kepada pembaca. Stail bukan sahaja mendukung aspek gaya dalam maksud formalnya tertapi juga terisi dengan pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan Hasyuda Abadi tidak hanya bertujuan yang meninggalkan kesan estetika luaran iaitu unsur pengulangan` tetapi yang lebih utama adalah meninggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran dan perutusan kepada pembaca.

Hamidah Abdul Hamid (1995) menyatakan bahawa karya-karya seni menggunakan lambang-lambang untuk menyampaikan makna dan maksud tertentu. Lambang-lambang yang diterapkan dalam karya seni boleh meningkatkan mutu karya tersebut atau menjejaskan nilai karya berkenaan. Beliau memberikan contoh penggunaan lambang dalam karya puisi dan karya prosa umpamanya ‘merpati putih’ membawa makna perdamaian,’bulan sabit yang berpasangan dengan bintang di dalam lukisan pelukis Islam melaambangkan agama Islam,manakala ‘kerusi’ yang digunakan dalam drama ‘kerusi’ karya Hatta Azad Khan melambangkan kekuasaan. Oleh itu jelaslah di sini bahawa peranan lambang dalam sesebuah karya itu membawa pengertian dan simbolik pemikiran seseorang pengkarya.

Selepas itu ada ungkapan ‘malam menjelma’ yang boleh ditakrifkan sebagai pengakhiran usia. Apatah lagi penyair kreatif membuat pemilihan kata melalui gaya bahasa personifikasi dalam rangkap 1 baris 8 iaitu ‘dan hanya sunyi menyapa’. Pembaca akan membayangkan suasana kekosongan atau kata lain pengakhiran usia. Unsur-unsur perlambangan seperti ‘malam’, ‘pintu’ amat berkesan bagi menggambarkan pengakhiran usia. Namun demikian, penyair mengigatkan dalam rangkap ke-2 seperti berikut :

menangislah ketika disebut

nama Tuhan

yang menjadikan

yang memelihara

yang mengubah

yang menghilangkan

kerana kita terlalu lama ketawa

 

Dalam rangkap ke-2 ini pula, penyair mengubah strategi penulisannya daripada pertanyaan kepada seruan untuk menangis. Lihat setiap baris dalam rangkap di atas kata pengulangan ‘menangislah ketika disebut/nama tuhan/yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan/kerana kita terlalu lama ketawa. Dalam rangkap itu, penyair jelas memberi peringatan dan penegasan kepada pembaca untuk memelihara kehidupan beragama. Dalam rangkap pertama penyair memulakan pertanyaan, manakala rangkap ke-2, penyair berseru dan mengajak agar menangis ketika disebut nama Tuhan dan mengajak pembaca agar sentiasa memelihara amalan beragama kerana Tuhan sebagai perancang terbaik samada membahagiakan atau menamatkan riwayat umat manusia yang sentiasa mengalami kenikmatan dunia. Kata ‘yang’ merupakan kata sendi diulang sebanyak tiga kali untuk memberi penegasan terhadap kalimat yang disuarakan yakni tentang kekuasaan Tuhan yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan. Jelas sekali kata ‘yang’ digunakan untuk memberi penegasa bahawa penyair ingin mengingatkan kepada pembaca bahawa kekuasaan Tuhan melebihi segala-galanya yang ada di muka bumi ini.

Kata ‘ketawa’ membawa maksud gembira dan mengalami kenikmatan luar biasa di dunia ini. Justeru itu, penyair membawa pemikiran agar manusia mentaati masa dalam melaksanakan tanggugjawab beragama kerana waktu dan usia seiring bergerak dan terlalu cepat berlalu. Jika diabaikan,maka terlalu lewat bagi umat manusia untuk menyesal.

Perutusan yang disampaikan penyair dalam puisi ini sejajar dengan gesaan Allah seperti yang difirmankan dalam al-Quran( Surah Al-Asr :103:1-103:3 ) bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat mensihati supaya menetapi kesabaran.

Puisi lain dalam kumpulan ini yang menyuarakan pemikiran tentang masa dan kematian ialah,’Usia : Kutemui dalam Lebur Mawaddahku’(ms:50, ’Usia’(ms:7),’Ramli di mana kini’(ms:31), ‘Kembali di Lahad Rahsia’(ms:38) ‘Nafas yang Tak Setia’(ms:12), dan ’Menjelang Keberangkatan’ (ms: 38)

Demikian juga dalam puisi ‘Nazak’ penyair mencetuskan pemikiran tentang usia di ambang akhir. Penyair menyuarakan pemikiran melalui kiasan bahasa puisi walaupun ringkas tetapi padat dengan pengajaran.

Waktu ku ditusuk pisau kematian ku

memanggil kejernihan yang ditakluk dingin

kumesrai hampirmu tanpa berjejak lagi pada

ruang tak dapat diukur jaraknya,ku diramahi

perbualan pertama yang belum lagi ada

jawabnya, kusepikan apa juga soalan kalian,

tidak terbongkar leburan hitam yang bertakhta,

kalbuku riuh tanpa siapa membantu, ini titikku

yang hanya Dia yang tahu bukan aku atau kau.

 

Penyair membayangkan kematian yang semakin hampir namun akur akan kematian itu menjadi rahsia Tuhan. Tidak ada sesiapa yang tahu akan tarikh dan masa kematian walaupun sedang berhadapan dengan kesulitan umpamanya nazak. Dalam rangkap 1, baris 1 penyair memilih gaya metafora iaitu ‘pisau kematian’ yang menggambarkan sakitnya sebuah kematian. Pisau secara nyatanya sejenis benda tajam dan menyebabkan tubuh terluka dan kesakitan. Namun dalam puisi ini pisau adalah sebagai lambang yang dikaitkan dengan kematian. Oleh itu jika ‘pisau kematian’ (gaya bahasa metafora)alangkah sakitnya jika seseorang pembaca membayangkannya. Ungkapan bahasa kiasan ‘kumesrai hampirmu’ dalam baris ke-3 bermaksud redha akan kematian yang menjemputnya. Manakala unsur gaya bahasa hiperbola ‘kalbuku riuh’ baris ke-8 menggambarkan kegelisahan yang melanda seseorang ketika nazak. Penyair menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membantu kecuali Allah SWT mengikut amalan seseorang manusia. Pemilihan metafora dan hiperbola ini menunjukkan penyair berusaha memberi gambaran melalui kias banding tentang seseorang yang menamatkan usianya. Walaupun penggunaan hiperbola itu sebagai ungkapan yang berlebihan dan dianggap gangguan dalam pemilihan bahasanya, tetapi ia digunakan untuk memancing perhatian pembaca tentang kegelisahan di saat menghadapi kematian.

Pemikiran yang dicetuskan oleh penyair tentang pemikiran seiiring dengan perutusan dalam al-Quran surah Ar-Rahman ayat 26-27 yang menjelaskan dengan maksud

“bahawa semua yang ada di bumi akan binasa(mati/meninggal dunia),baik manusia,haiwan tumbuhan,mahu pun yang lainnya. Namun Allah maha besar tetap kekal”.

Kesepaduan Stail dan Perutusan dengan Kasih Sayang Terhadap keluarga
Terdapat beberapa puisi Hasyuda Abadi memanfaatkan pemikiran tentang kasih saying terhadap keluarga. Dalam Teori Estetika Bersepadu iaitu kesepaduan stail dan perkaitannya dengan perutusan kebenaran didapati gaya bahasa dan pemikiran(stail)memang ada kaitannya dengan perutusan agama serta realiti kehidupan . Kebenaran dalam konteks Estetika Bersepadu ialah kebenaran berpandukan keterangan al-Quran serta hadis,dan kebenaran yang berpandukan realiti kehidupan. Puisi lain yang terkandung dalam buku ini yang membawa pemikiran yang sama ialah ‘Melihat Cermin’(ms:15),’Anak-Anak’(ms:118).

Terapan dan analisis ini dilakukan ke atas beberapa buah puisi Hasyuda dalam puisi yang berjudul ‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai Anak’ mukasurat 40, yang membawa pemikiran tentang kasih sayang terhadap anak-anak. Dalam puisi ini penyair menceritakan kasih sayangnya terhadap anak-anak sejak kecil hingga dewasa. Penyair menggunakan unsur bahasa pengulangan iaitu setiap rangkap mengulang setiap ungkapan persoalannya di setiap baris pertama yang berbunyi ‘Setiap ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak’.

Penyair menjelaskan, menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang walaupun susah payahnya tidak diketahui anak, namun perjuangan menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang sehingga matang adalah satu tanggungjawab. Gaya bahasa pengulangan, personifikasi, menjadi pilihan penyair dalam mengolah puisi ini dapat menyerlahkan pemikiran tentang kasih sayangnya terhadap anak-anak perempuannya. Cetusan rasa penyair dapat dilihat dalam rangkap ketiga seperti ini :

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak

menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus

datang dan menghalang,malang atau walang,derita atau

ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi,memahami

raung ruang remaja,mengerti malah erti cinta biarpun

cuma anak-anak hingusan yang baru membesar

didewasakan bacaan atau tontonan zaman

 

Penyair dengan jelas menyuarakan erti kasih sayang seorang ayah terhadaap anak remajanya dan dikuatkan lagi dengan unsur metafora ‘tontonan zaman’ yang membawa makna cabaran zaman semasa. Intipati pemikiran penyair dapat dilihat dalam perutusan al-Quran sepertimana dalam firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu(berhala);neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya);mereka yang menderhaka kepada Allah terhadap segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka,dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkannya.” (Surah al-Tahrim 66:6)

Justeru itu menjaga anak dan memberi kasih sayang kepada mereka merupakan tanggungjawab yang wajib walaupun berat. Dalam mejaga anak, ibu bapa juga wajib memberikan anak-anak hak perlindungan, memberikan pendidikan dan kasih sayang. Jawiah Dakir(2019) menyatakan walau sibuk sekalipun seorang seorang ibu atau bapa, walau seramai mana pun anak-anak mereka,ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang terhadap anak mereka ketika kecil. Kewajipan itu termasuk juga memberikan nafkah oleh bapa sebagai ketua keluarga. Manakala Rahimah Abdul Hamid(2015) berpandangan sensitiviti dan kreativiti seseorang pengarang untuk berkarya ada kaitan langsung dengan psikologi-estetik di mana penyair atau pengarang mendapat ilham dari jiwa sebenar. Dalam erti kata lain pengalaman sebenar pengrang yang bersuara dalam bentuk karya sastera adalah lebih terasa kesannya kepada pembaca. Dalam puisi lain, penyair juga meluahkan kasih sayangnya terhadap seorang ibu tercinta melalui puisi berjudul ‘’Mengunyah Jadam’ mukasurat 84. Penyair meluahkan akan kesabaran bondanya dalam mengharungi kehidupan bersama anak-anak. Seseorang ibu\ sanggup mengharungi kepayahan kehidupan dan inilah yang dirakamkan penyair yang tahu akan derita sengsara seorang ibu demi keluarganya seperti dalam rangkap pertama(b.1-2);

Perih pedihmu mengunyah jadam kehidupan

Tega meriwayat hayat segala rasa

 

Gaya bahasa metafora yang ditimbulkan dalam puisi ini dapat menonjolkan makna keperitan hidup,yakni seorang ibu yang dimaksudkannya dalam mengharungi kelangsungan hidup.Muhammad Haji Salleh(2014)berpendapat bahawa dalam pencarian makna,antara yang ditemui adalah beberapa keserupaan,kesamaan,pertindihan,dan keselarian di antara hal yang berlaku dalam alam dan pada diri manusia secara peribadi atau kelompok. Sehubungan itu, penyair juga menyuarakan makna berdasarkan pengalaman hidup yang ada persamaannya dengan sehingga dapat membuat kiasan dalam puisinya. Penyair yang merupakan seorang anak amat terkesan akan kepayahan ini dan memberi kata-kata rangsangan seperti dalam puisi rangkap ke-3 (b.4-8) yang berbunyi;

dengarlah suara itu,ummi,rama-rama menyapa

wangi bunga-bunga

aku pulang memulangkan kepercayaan

membebat duka dan perih pedihmu

yang tak berkesudahan (b.4-8)

 

Unsur gaya bahasa personifikasi dalam rangkap puisi di atas iaitu’ rama-rama menyapa wangi bunga-bunga’ menggambarkan indah dan mulianya perjuangan dan kasih saying seorang ibu. Namun demikian penyair memberi jaminan kepada ibunya untuk membantu membahagiakan seorang ibu yang dikasihinya seperti dalam unsur gaya bahasa metafora iaitu ‘membebat duka dan perih pedihmu’. Dalam puisi ini juga pengkaji dapat mengesan bahawa penyair mengemukakan pemikiran akan kecaknaan seorang anak yang berjauhan dengan ibunya. Seorang anak sanggup pulang, walau sesibuk manapun untuk membantu ibunya atau sekurang-kurangnya merawat kerinduan seorang ibu. Di sinilah pembaca dapat melihat dan menilai akan betapa pentingnya kecaknaan seseorang anak dalam aspek memberi kasih sayang terhadap ibu, menghilangkan kesepian mereka dengan perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Cetusan pemikiran penyair dalam puisi ini ada kaitannya dengan perutusan kebenaran dan realiti kehidupan.

Oleh itu, Islam menentukan kewajipan anak terhadap ibu bapa mereka.Abu Umamah meriwayatkan hadis yang cukup bermakna untuk diambil iktibar iaitu yang bermaksud;

seseorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW,apakah hak kedua-dua ibu bapa terhadap anaknya? Bagind menjawab: Kedua-dua mereka adalah syurga dan neraka kamu.” (sumber : Ibn majah,Sunan Ibn Majah,Kitab al-Adab Bab Birr al-Walidayn,no.3653)

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan Tuhanmu memerintahkan kamu supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali- kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perbuatan yang mulia.” (Surah al-Isra’ 17:23)

Oleh itu menjaga hati ibu bapa termasuk adab menghormati dan menjaga kebajikan adalah sangat dituntut dalam Islam. Menurut Muhammad Haji Salleh(2000), karya-karya sastera mengajar kita menghormati orang lain, menghargai budi baik,mengasihi orang tua dan juga mengingatkan tentang keburukan menderhakan. Di sinilah kejayaan penyair untuk mengemukakan pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga iaitu kasih sayang kepada anak-anak termasuk juga ibu bapa yang merupakan keharmonian bagi setiap keluarga yang mengamalkannya. Keharmonian sesebuah keluarga dapat membantu keharmonian masyarakat dan juga negara.

Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang Hakikat Cinta

Dalam puisi ‘Harum Rindu’(ms:60), penyair menunjukkan rasa cintanya kepada maha pencipta iaitu Allah SWT. Penyair menceritakan tentang kesedaran dirinya untuk beriman kepada Allah,menjaga segala amalan yang diperintahkan,memelihara nafsu dan perkara- perkara yang dilarang.Sidek baba(2015)menyatakan cinta Allah dan cinta Rasulullah SAW harus difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Hal ini bukan hanya bersifat ritual semata-mata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan,iaitu apabila kita kembali kepada Allah dan rasulullah SAW melalui pedoman al-Qur’an dan hadith. Sehubungan itu,mesej yang sama terdapat dalam kandungan puisi ini yang berkaitan tentang hakikat cinta kepada Allah. Penyair menyebutkan;

menghampar nafasmu

hangat menakluk dingin

semarak gerak batin

mengikat kalbu mengimani rindu

mula kumembuka rahman

Yang kubaca saban malam.(b.1-6)

 

Penggunaan unsur hiperbola ‘menghampar nafasmu’ dan mengikat kalbu mengimani rindu’ menunjukkan penyair ingin memberitahu dengan sungguh-sungguh akan keinginannya untuk mendapat keredhaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Penyair ingin menyampaikan pemikirannya tentang betapa pentingnya manusia untuk menelaah kembali ayat-ayat suci al- Quran yang menjadi pedoman terhadap kehidupan manusia.

memelihara nafasmu

taman ayu mengharum

segera kupulang ke ruang

menghafal ajaran kebenaran

berlabuh memintal suluh (b.9-13)

 

Penyair juga menunjukkan pemikirannya untuk mengajak pembaca agar menghargai nikmat dunia yang diberikan dan agar mentaati ajaran kebenaran sebagai penyuluh hidup di dunia dan di akhirat. Penggunaan unsur hiperbola ‘memelihara nafasmu’ tidak menjejaskan maksud sebaliknya menunjukkan rasa syukur penyair akan nikmat nafas yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepadanya,manakala ‘berlabuh memintal suluh’ menunjukkan ajaran kebenaran merupakan suluh kehidupan. Dalam al-Quran Surah An-Nissa ayat 69 yang bermaksud : “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul(Muhammad)maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah,iaitu para nabi,para pencinta kebenaran,orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh.Mereka itulah teman sebaik-baiknya.” Manakala puisi ‘Sukma Malam’(ms:46) juga menyampaikan rasa cinta kepada pencipta(Allah SWT) dalam bait-bait berikut;

menghuni malam-malam yang lain

ini,tak ada garis mengulang ungkap

menyampaikan rahsia yang Engkau

ketahui;terlalu saujana kurnia ini,ya Rabb,

hingga akalku hanya memiliki rasa syukur

dan insaf (b.1-6)

Sekali lagi,penyair ingin menyampaikan rasa bersyukurnya terhadap sebarang kurniaan yang telah dikecapi. Malah rasa insaf itu diucapkannya kerana merasakan tidak ternilai nikmat yang telah dimiliki dengan penggunaan unsur bahasa metafora yang dapat menjelmakan makna, cetusan pemikiran sekaligus keindahan dalaman puisi ini. Ciri-ciri keindahan menurut pandangan V.I. Braginsky(1994) melalui bukunya Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik ialah keindahan dalaman, isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman(menyempurnakan akal dengan faedahnya), keindahan luaran(apa yang dirasa oleh deria lihat dan deria dengar manusia yang hanya dapat menghibur lara), keindahan mutlak dan keindahan rohani. Oleh itu ciri-ciri puisi ini dapat menjelmakan keindahan kerana mengandungi kata-kata islamisasi yang jelas.

RUMUSAN

Berdasarkan analisis terhadap puisi-puisi yang terhimpun dalam “Kembali di Lahad Rahsia”, terdapat tiga inti pemikiran penyair yang ingin disampaikan kepada pembaca iaitu peringatan tentang masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta kepada Allah. Dalam analisis tersebut mendapati kesepaduan unsur bahasa metafora,personifikasi, hiperbola,anaphora dan alusi dapat menguatkan makna setiap bait puisi dan menyerapkan perutusan serta pemikiran penyair.

Gaya pengulangan dan imej yang dibawa oleh penyair merupakan suatu penegasan makna. Pembaca dapat merasakan emosi penyair dengan menghadirkan diksi Islami yang tepat di samping unsur bahasa yang menggambarkan sesuatu peristiwa. Penggunaan gaya bahasa hiperbola bukanlah tujuan untuk berlebih-lebihan dalam berbahasa tetapi ia dihadirkan oleh penyair sebagai memancing perhatian terhadap apa yang disampaikan.

Kekuatan penyair, Hasyuda Abadi bukan hanya pada kreativitinya sebagai penyair semata tetapi, penghayatan pengalaman dan tugas dakwah yang beliau laksanakan, Amalan ini membuktikan estetik kepenyairan Hasyuda kerana beliau bukan setakat menyuarakan pemikiran semata tetapi apa yang diucapkannya melalui puisi adalah realiti dilakukannya. Pegangan penyair seumpama ini boleh diikuti oleh pembaca kerana puisi-puisi Hasyuda Abadi adalah gambaran diri dan sikapnya terhadap pemikiran yang disampaikan.

Secara tidak langsung penyair memanfaatkan ilmu serta amalan keagamaannya sehingga dapat melontarkan pemikiran yang indah dan berkesan kepada pembaca. Latar belakang penyair sebagai pengasas Baitul-Muqaddam dan memberi sumbangan terhadap aktiviti keagamaan merupakan bukti perjuangan beliau dalam mengembangkan syiar agama dan ia selari dengan pemikiran yang disampaikan.

Justeru itu,kata pengulangan dan hiperbola yang banyak digunakan oleh penyair dalam setiap puisi yang terkandung dalam ‘Kembali di Lahad Rahsia merupakan penegasan peringatan terhadap apa yang disuarakan umpamanya dalam memberi pesan agar manusia insaf akan usia,kematian,kekeluargaan dan rasa insaf dan bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Di sinilah berlakunya teks sastera yang dapat mendidik pembaca melalui gaya pengucapan yang indah dan dapat menjelmakan makna pemikiran yang bersesuaian dengan perutusan kebenaran. Unsur bahasa yang bersepadu dengan makna yang indah akan memancarkan pemikiran dan perutusan yang berguna kepada pembaca.

 

RUJUKAN :

Al-Quran dan Terjemahannya.(1428 H). Cetakan Kerajaan Arab Saudi

Abang Mohd Razif Abang Muis. (2015). Pembangunan Insan Berteraskan Islam.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Halim Ali.(2010) ‘Konsep Estetika Bersepadu : Terapan dan analisis Terhadap karya puisi Ahmad kamal Abdullah’. Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abdul Halim Ali.(2018). Sorotan Perkembangan Genre Puisi Moden Di Sabah dan Analisis Ringkas Terhadap Sajak-Sajak Terpilih Lima Penyair. Jurnal

Arbak Othman (2012). Sufisme Dalam Puisi Ariffin Arif. Mahrajan Sastera Islam Sabah. Kota Kinabalu, Sabah.

Asmiaty Amat (2000). Api Laut Merah: lambang Keteguhan Seorang Penulis. Wadah, DBP Sabah. Braginsky,I.V.(1994) Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Hasyuda Abadi.(2008). Kembali di Lahad Rahsia : Kumpulan Puisi. Kota Kinabalu. Iris Publishing & Distributors.

Hamidah Abdul Hamid.(1995). Pengantar Estetik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Haron Din.(1997).Manusia Dan Islam. Jilid Satu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan pustaka.

Jasni Matlani (1995). Kiswah Rindu dan Rindu Illahi: Pengukuhan Puisi Berunsur Islam di Sabah. Nadwah Sastera Islam. Kota Kinabalu, Sabah

Jawiah Dakir.(2019). Nabi Muhammad SAW dalam Konteks Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Kasmizun Enuni Mohd Sarji & Kamariah binti Kamarudin.(2017). Nilai Islam dalam Teks

Misa Melayu. Rumpun Jurnal Antarabangsa Persuratan Melayu. Perak: Persatuan Penulis Budiman Malaysia

Mana Sikana (2013), Berdiri di Akar Diri: Penerbit Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)

Mohd Affandi Hassan.(1996). Pendidikan Estetika Daripada Pendidikan Tauhid. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Haji Salleh. (2000).Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Haji Salleh.(2016). Ghairah Dunia Dalam Empat Baris. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Buku Malaysia. Nurul Hilwany Che Shaffine.(2015) Pemikiran Islam Dalam ‘Ayn Karya Kemala. Jurnal Melayu Bil 14(2)

Rahimah A. Hamid.(2017). Proses Kreatif : Sensitiviti Dan Kreativiti Pengarang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Shafie Abu Bakar,1992. “Sastera Islam : Teori Pengindahan Mengemukakan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”. Kertas Kerja dalam seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka,di Port Dickson,29 hingga 31 Oktober.

Shaik Abdullah Hassan Mydin.(2015). Manusia daripada Perspektif Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Sidek Baba.(2015). Fikrah Kesatuan Ummah . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tiada ulasan: