Sabtu, Mac 04, 2023

Persembahan Puisi Fragmen dari Pemuisi D'Bayu (Sabah Maju Jaya - karya Hasyuda Abadi)



SABAH MAJU JAYA 

Puisi juga sangat dekat dengan sesuatu inspirasi cerakinan sesuatu hal atau isu yang lebih besar. Puisi ingin menjelaskan intipati sesuatu daripada bentuk yang terbuku kepada imaginasi agar membuka ke ruang yang lebih terbuka. Puisi menggambarkan kepada umum ruang lingkup perjuangan, hala tuju mahupun impian seseorang atau sekumpulan pemikir. Demikianlah kemampuan seorang sasterawan dalam merentas pemikiran untuk dirasai, dinikmati, diterima dari sudut yang berlainan. 

Sabah Maju Jaya ditulis bersempena setahun YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah yang dimuatkan dalam Majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada September 2021. 

Sabah Maju Jaya telah lama disejatikan dalam jata negeri Sabah. Namun apabila mutakhir untuknya menjadi sebuah dasar penting untuk merujuk kepada pembangunan di Negeri Sabah. Paksi SMJ ditekankan agenda membina masyarakat dan negeri yang bersatu padu dan makmur, penggunaan sumber asli dan hasil mahsul secara optimum, merangsang  pemulihan ekonomi dan melonjakkan pembangunan modal insan. Inilah manifestasi kepada aspirasi dan kehendak rakyat Sabah yang diterjemahkan melalui peti undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada 26 September 2020. 

Penyair tertarik dengan isu-isu pembangunan yang diutarakan dalam dasar yang digaris dalam teras strategi dan pemboleh daya melalui SMJ Jalan ke Hadapan. Memindahkan dasar-dasar dalam pelan pembangunan ke dalam ungkapan-ungkapan puitis sudah tentu menghadapi tantangan yang tersendiri. 

Penyair memulai dengan sejarah masa lampau “membaca bait-bait sukma bangsa’ yang dirasai rakyat melalui jatuh dan bangun seebuah pimpinan di negeri Sabah “membentang benang jaya” dan “menjahit luka-luka masa sudah”. 

Langsung memasuki era keberadaan sewajarnya buat negeri yang sangat kaya dengan sumber asli dan kelebihan-kelebihan dalam ekosistem semula jadinya. Penyair melukiskan wajah bumi Sabah yang “mewah, segar dan subur" adalah realiti sebenar. Di situlah wujud “akar sebuah sumpah menjaga ibu pertiwi”. Merekayasa “harga diri dan akal budi” yang telah menjadi pegangan setiap individu yang mencintai tanah airnya. Ini sudah tentu telah lama terpahat dalam sanuberi para pejuang dan pahlawan tempatan semasa melawan penjajah dahulu. 

Oleh sebab itu, kemampanan kemakmuran negeri Sabah tidak harus diabaikan dalam arus pemodenan dunia melalui pengiktirafan pimpinan melaksanakan hala tuju mereka. Bagi penyair, SMJ menjadi payung rakyat jelata menerusi para pemimpin yang siaga dan lebih berani membesarkan idea dan pemikiran mereka.Sehingga akhrinya kelak tampul dibanggai negara dan dunia. Di sinilah terpamer rahsia jaya SMJ sebenarnya.


Tiada ulasan: