Rabu, Jun 12, 2024

MENGENALI PENULIS SABAH MUTAKHIR DALAM SASTERA MALAYSIA

Buku-buku Puisi karya
para penulis Negeri Sabah

SABAH telah melahirkan ramai penulis yang berjaya dalam bidang masing-masing baik yang bersifat kreatif mahupun tidak kreatif. Dalam dunia literasi kreatif, ratusan buku telah berhasil diterbitkan untuk tatapan pembaca dan penelaah sastera. Penulis-penulis berkenaan dari semasa ke semasa terus berkembang sebagaimana rancaknya kegiatan persuratan para penulis di tempat-tempat lain di wilayah Borneo ini. Keriuhan ini turut dipandu dan dipandu oleh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta persatuan-persatuan penulis yang sangat aktif. Karya-karya sastera tumbuh subur atas ungkayah para penulis mapan dan penulis baharu. Puncak kepada peranan para penulis dan juga para pengurus persuratan ini ialah dengan pengiktirafan. Prasarana serta medan penulisan yang ada telah memudahkan penilaian dilakukan untuk pemberian penghargaan kepada para penulis termasuk penulis muda yang memiliki karya yang bermutu menerusi Hadiah Sastera Sabah[i] yang diadakan selang dua tahun dan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah[ii] di samping peraduan menulis di surat khabar tempatan.  

Puisi menjadi genre sastera yang amat popular di Sabah dan menjadi kegemaran ramai penulis. Mereka berasal dari merata daerah negeri Sabah. Bagaimana pun peluang mereka melihat karya mereka diterbitkan di dada akhbar tempatan dan nasional amat terbatas. Persaingan yang berlaku antara mereka dengan penulis-penulis mapan menyebabkan penampilan mereka amat perlahan. Disebabkan hal ini kita melihat bahawa hanya kegigihan yang berterusan sahaja yang boleh membuktikan kelahiran mereka sebagai penulis berwibawa mewakili generasi dan usia mereka.

Penulis-penulis di sekitar awal 80-an dan era 90-an timbul dan tenggelam diganti dengan lahirnya penulis-penulis mutakhir yang lebih segar dalam penciptaan mereka. Karya dan wajah penulis 80-an biasanya hanya kelihatan dalam penerbitan buku-buku antologi puisi yang disebutkan di atas. Bagaimanapun para penulis mapan seperti Saibil Madun, Hasyuda Abadi, (Datuk) Jasni Matlani, Dr Raymond Majumah, Juri Durabi, Siba Nita A.S., (Datuk) Dr. Mohd Ariffin Arif, Mabulmaddin Shaiddin, Jamail Masador, Ramli AR, Siti Rahmah G. Ibrahim, Norjannah Mohd Adnan, Sharifah AM Nordin, Dr. Norawi Haji Kata, Dr. Mohd Puad Bebit (sekadar menyebut beberapa nama) istiqomah menelusurkan mata pena mereka di persada kesusasteraan tanah air.

Selain media massa, peranan persatuan penulis juga perlu diambil kira dalam usaha pengembangan keterampilan para penulis muda di Sabah. Terdapat lima persatuan penulis yang aktif di Sabah kebelakangan ini iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Ikatan Penulis Sabah[iii] (IPS), Kelab Penulis KDM Malaysia (MOMOGUNSIA), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dan Pemuisi D’Bayu.

Keupayaan seseorang penulis dalam menghasilkan suatu karya dinilai dalam aspek pemikiran selain nilai estetika keindahnnya kerana pemikiran adalah teras tamadun sesuatu bangsa. Hal ini membuktikan bahawa pemikiran menjadi inti dan unsur paling dasar dalam kehidupan termasuk hubungan manusia dengan penciptanya. Sehubungan itu seseorang penyair tidak terlepas daripada mengutarakan pemikirannya secara berseni melalui karya puisi. Pemikiran dan keindahan tidak dapat dipisahkan dalam sesebuah karya khususnya puisi. Menurut Hassan Ahmad (2004),pemikiran ialah proses kognisi atau akal yang sifatnya sejagat,yakni dimiliki oleh manusia tidak kira bangsa,justeru itulah manusia dikatakan makhluk yang rasional dan berakal,berbeza daripada haiwan. Beliau memberi contoh pemikiran Melayu cukukup analogis sifatnya kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan,kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan,kegeligaan dan bijaksana minda Melayu. Oleh itu, aspek keindahan dan pemikiran dalam puisi sangat penting dibincangkan bagi mengetengahkan kekuatan karya tersebut. Penyair yang kreatif harus bijak menggunakan gaya bahasa dalam menyuarakan pemikirannya serta pemikiran itu perlu ada kaitannya dengan perutusan agama dan perutusan realiti kehidupan. Kesepaduan unsur gaya bahasa dan pemikiran ini disebut stail, manakala perutusan agama perlu ada terkandung dalam al-Quran dan Hadis. Hasil kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran ini dikatakan melahiran keindahan dalam sesebuah karya, misalnya puisi. 



[i] Penilaian ini diadakan tahun sejak tahun 1990 ke atas karya-karya yang bermutu, diberikan kepada para  penulis yang berasal dari Negeri Sabah berdasarkan karya-karya sastera yang tersiar di mana-mana media di   Malaysia

[ii] Hadiah ini diberikan kepada para penulis mapan dan penulis baru berdasarkan keprolifikan mereka berkarya. Karya-karya sastera dalam bentuk puisi, cerpen dan esei sastera akan dinilai. Program ini dianjur oleh DBP Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS).

[iii] Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada tahun 1990 dan didaftarkan melalui Pendaftar Pertubuhan pada  24 Mac 1992. Latarbelakang IPS boleh dilihat dalam laman webnya https://www.ikatanpenulissabah.org/latar-belakang/sejarah


Gagasan apapun, biarlah berdiri sendiri!



Keaslian lokal maksudnya apa? Merujuk kepada kekayaan sumber alam lokal yang boleh diterjemah kepada fenomena semasa bahkan masa mendatang dalam pelbagai dimensi wahana yang sesuai termasuklah puisi baik moden atau tradisional.
Kita biasa membicarakan soal kearifan tempatan yang identik dengan kelaziman masyarakat yang pelbagai. Keadaannya tidak mungkin akan muktamad dalam keadaannya yang boleh ubah, mudah berubah. Puisi moden dan trasional masih mampu hidup dengan sendiri. Masih menjadi pilihan utama kebanyakan orang terutama penggiat sastera kreatif.
Kelahiran apa yang dikatakan gagasan baharu menerusi puisi esei bukanlah suatu yang membimbangkan seolah-olah semua genre bakal tenggelam. Tidak mungkin, tetapi biarlah apa jua yang wujud itu hidup dengan pendekatan masing-masing. Kita bebas memilih genre yang disenangi dan yakin pilihan itu terus berkembang sebagai hasil yang bermakna.
Mode kepada suatu yang baharu memanglah terasa bahangnya. Sekejap juga bakal hilang. Kepada yang mahu mencuba silakan berusaha mendalami, jika difikirkan akhirnya bukan suatu yang sia-sia. Menulis apa pun bidang merupakan aktiviti berfikir, medannya mungkin berbeza-beza, sambil halatujunya masih sama. Bila tiba kepada soal halatuju pastinya pilihan itu sangat diyakini. Saya fikir tidak perlulah melabelkan baik dan tidaknya sesuatu gagasan itu, biarkan masing berdiri sendiri. Jika itu pilihan, pilihlah. Selesai.
Baik sentimen 'puisi kabur' atau 'puisi esei' yang diperkatakan, timbul tenggelam, apa yang kekal hidup adalah 'puisi' itu sendiri. Kita punya pandangan yang tidak sama, bagaimanapun secara sederhana sentiasa meraikan apa juga yang memberikan manfaat dengan harapan perbincangan yang matang harus terus berlaku.
Semoga.
HA

Suatu Kelainan yang Baharu



SETIAP hari di tempat kita sendiri, orang berpuisi dengan bebasnya kerana inginkan kelainan yang baharu. Mereka mahu pemimpin yang baharu dan sebuah pemerintah yang lain. Orang-orang sanggup berbuat apa sahaja, berpidato, berhujah dan berpuisi. Namun alangkah indahnya ketika kita memandang lebih jauh ke dasar penciptaan Ilahi yang tak henti menganugerahkan cahaya-Nya, keindahan dan kebahagiaan:

Melewati tujuh puluh danau
dan gunung ganang
bersahutan seru, bertahanlah
ketika membaca perjuangan
rasa setia menerima takjub
ujian Tuhan

Tujuh puluh zat
tujuh puluh rahsia
tujuh puluh rasa
tujuh puluh iqtifa'
tujuh puluh makna
bertemu keajaiban
sembunyi dalam bunyi
berbunyinya sunyi dalam nyanyi

Tak dibiarkan terjadi
saat semboyan membuka zarah 
yang terbenam di lahad keagungan
bentangkan anak-anak busur zikir
dalam kembang qiam hajat 
memunajat sifat 
terangilah oleh cahaya

Datang serta kembali
tiba dan pulang
jelaskanlah agar kalbu
adalah matahari memataimu.

(Hasyuda Abadi, Matahari Takjub, Jom Sastera, 9 Jun 2017)

Keindahan dalam kehidupan dapat dirasai sekiranya kita melakukan apa yang diimpikan oleh kita sendiri yang mampu untuk memberi kebaikan atau manfaat kepada orang lain di sekeliling. Pelbagai cara dapat kita lakukan untuk memastikan perkara ini berlaku di dunia hari ini.

Maka berbahagialah hamba Allah yang menjadikan saat terindah dalam hidupnya ketika terjadinya keinsafan. Di saat bertaubat nasuha dan berjanji melakukan kebaikan melalui ibadah secara istiqamah. Saat beriadah dalam kesunyian dengan teguh mengimani tauhid dan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.  

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (beristiqamah), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan memberi khabar gembira): “Janganlah kamu merasa takut dan bersedih hati; dan bergembiralah dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah penolong-penolongmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) apa yang kamu minta”. Sebagai hidangan (balasan yang kekal bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (QS Fushilat: 30-32).

Meja SNS
Akademi Rupha