Sabtu, Januari 15, 2022

PIJAR KILAU KERIS


 
Menjadi bahana orang-orang besar
menarikan pencak silat risau rasanya.
 
Di hadapan cermin dendam lampau
keris hujah diacah ke arah sesiapa saja
tidak jelas siapa musuh
harus dirusuh
siapakah pak gendang
memberi pedoman?
 
Dengan keris hujah tanpa balut
kependekaran orang-orang besar dicemar
sekadar gema
bertempik membaca lincah langkah
beradu dalam gelanggang tanpa lawan
yang ada hanyalah
permainan pantomin seekor gajah
sekawan kuda belang dan sekumpulan seladang
keran diperbodoh mainkan!
 
(Sesekali mengenali semula
janji Tuah dengan Jebat
antara taat setia dan saudara
tewas di hujung senjata buta
tapi pendekar di sini
telah lelah
dijerat jeritan perdaya  dan makna setia)

Kilau keris persis orang-orang besar
menggetarkan tanah pulau
yang kacau!

Bayangkan ketika keris hujah patah
genta loceng meronakan suasana
bertalun di seluruh ceruk rimba
di mana nanti mencari pida paduka
yang diwarisinya di puncak Gunung Agung
menggapai kaki langit menyerah restu.

            Bayangkan tatkala balutnya
            mencari keris hujah yang patah
            pantomin gajah, kuda belang dan seladang
            akan menamukan tanah seberang
            sedia siaga menakluk teluk kemelut
            harus menjelmakan teguh
            bukan kerana jaguh
            tetapi suluh masa depan. 
 

1993

Dewan Sastera, Januari 1993

Tiada ulasan: