Khamis, April 07, 2022

PADA HARI-HARI YANG BERHARGA


Katamu nanti sama sahaja
berikan padaku mandat
dan bermacam-macam akan kubuat
benar, katamu lagi dengan yakin
ini bukan janji, jangan salah faham
ini harapan buat kalian, tolonglah faham! 

Lihat sahaja nanti bila tiba waktunya
berbondong-bondong dengan murahnya menyapa
ziarah rumah walaupun majlis tiada apa-apa
kopi kosong pun boleh sahaja
waima roti kering atau ubi keladi habis rata! 

Salamnya salam yang mengandung amanat
kita pun faham dan tak mungkin salah faham
kali ini harinya tiba mereka mula menjaja.

Puisi ini pun sama sahaja
mencitrakan masa sudah pemimpin
jika baik kukatakan baik atas wibawa
saksama kepada semua
kerja kerasnya tak memilih masa,
jika tak baik lihatlah bagaimana mereka berkata
rajinnya bermusim, rakyat mencari wibawanya
tapi sering sahaja hampa
dan seperti kata bapa, pandanglah sepanjang
hari-hari berharga kau amat dihargai
waima apa pun dan siapapun kau tak perlu gelisah
sentiasa diberi tanpa lagi meminta.
 
Kali ini tak pasti masih bererti lagikah mandat
dan amanat atau hari-hari berharga
kali ini, bijaksana akan mengatasi
kata-kata yang indah yang bergema di udara
kali ini kita mesti berani
membaca fikiran diri sendiri. 


Lumadan-Sabah
22 Disember 2016 


Tersiar di: Mingguan Malaysia, 20/5/2018

Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 2017/2018

Tiada ulasan: