Selasa, Disember 02, 2025

MENANG TANPA MAHKOTA

BERPRINSIP dalam politik bukanlah jawapan mutlak kepada segala kerumitan perjuangan. Politik ialah gelanggang kepentingan - ekonomi, kuasa, pengaruh dan kelangsungan - yang sentiasa bertembung dalam rundingan, pakatan dan pertarungan. Dalam dunia yang dipenuhi strategi dan kompromi, prinsip sering kelihatan seperti beban: indah disebut, sukar dipertahankan. Namun di tengah realiti yang keras ini, satu hakikat tidak dapat dinafikan bahawa orang yang berprinsip sentiasa ‘menang’ meskipun bukan dengan mahkota kuasa.


Hakikatnya, prinsip tidak selalu menyingkatkan jalan menuju kemenangan pilihan raya. Malah, dalam banyak keadaan, prinsip melambatkan, menyekat atau menafikan peluang segera. Mereka yang enggan menipu angka, menolak sogokan, atau tidak sanggup memutar fakta, sering kalah di kertas undi. Dalam politik yang rakus terhadap hasil dan cepat terhadap kelebihan, prinsip tampak seperti kemewahan yang tidak praktikal. Namun, apakah ukuran kemenangan hanya pada kerusi dan jawatan?


Di sinilah perbezaan antara ‘menang politik’ dan ‘menang moral’ menjadi jelas. Menang politik mungkin memberi kuasa, tetapi menang moral memberi makna. Kuasa boleh dirampas, reputasi boleh diputar, tetapi maruah adalah harta yang hanya boleh dimusnahkan oleh empunya diri. Orang yang berprinsip tidak selalu berada di tampuk kuasa, tetapi mereka sentiasa berada di puncak harga diri. Mereka mungkin tidak memiliki jentera, tetapi mereka memiliki nurani. Mereka mungkin tidak memiliki mikrofon tetapi mereka memiliki kebenaran.


Dalam jangka panjang, prinsip membentuk legasi, bukan sekadar biografi. Sejarah jarang mengingat siapa yang paling lama berkuasa, tetapi ia sentiasa mengingati siapa yang paling teguh mempertahankan nilai. Pemimpin yang berprinsip mungkin tewas hari ini, tetapi benih yang ditanamnya tumbuh dalam kesedaran generasi: bahawa politik boleh lebih bersih, bahawa kuasa boleh lebih beradab, bahawa kepimpinan boleh lebih jujur.


Namun perlu diakui, prinsip bukan paspot suci yang membebaskan seseorang daripada realiti politik. Prinsip tanpa kebijaksanaan boleh menjadi kebekuan; idealisme tanpa strategi boleh menjadi kebuntuan. Prinsip perlu diadun dengan keupayaan membaca zaman, memahami peta kekuatan dan merancang gerak. Tanpa ini prinsip hanya menjadi slogan indah tetapi tidak berdaya. Berprinsip bukan bermakna keras kepala. Ia bermakna setia kepada nilai sambil cerdas menavigasi realiti.


Lebih penting dalam politik yang sarat kepentingan, prinsip berfungsi sebagai kompas. Ia tidak menjanjikan jalan paling singkat tetapi menjamin arah yang paling betul. Kompromi mungkin perlu tetapi menggadai nilai adalah kekalahan hakiki. Kerusi boleh dikongsi, kuasa boleh dipinjam tetapi integriti tidak boleh disewa. Sekali prinsip dijual, yang tinggal hanyalah jawatan kosong daripada makna.


Orang yang berprinsip memang menang tetapi kemenangannya bersifat senyap dan mendalam: menang kerana tidak mengkhianati diri, menang kerana tidak memunggungi kebenaran, menang kerana meninggalkan dunia sedikit lebih jujur daripada yang ditemuinya. Dalam politik yang bising dengan janji, kemenangan seperti ini mungkin tidak dirayakan. Namun ia dirasai oleh rakyat yang percaya, oleh sejarah yang memihak dan oleh hati yang tidak pernah berhutang dengan dusta.


Maka benar prinsip bukan jawapan utuh kepada sebuah perjuangan yang berselirat kepentingan. Tetapi tanpanya perjuangan tidak lagi bernilai. Orang yang berprinsip mungkin tidak selalu menang dalam pilihan raya tetapi mereka sentiasa menang dalam peradaban. Dan dalam ukuran sejarah, itulah kemenangan yang paling lama bertahan.


HA

Tiada ulasan: