SETIAP kali pilihan raya, rakyat diangkat seperti raja. Tangan disalami, bahu dirangkul, rumah diziarahi walau kopi kosong pun terasa manis. Namun sebaik keputusan diumumkan, rakyat kembali ke asal jadi hiasan dinding demokrasi, sedang para pemenang berpindah ke singgahsana kuasa.
Di pentas awam, pemimpin bercakap tentang amanah; di belakang tabir, mereka bergomol tentang jawatan. Sumpah dilafazkan di hadapan rakyat, tetapi dilupakan di hadapan kerusi empuk. Janji tidak lagi ditunaikan, hanya diwar-warkan. Rakyat disuruh bersabar, sementara pemimpin sibuk mengatur meja kuasa.
Ironinya, dalam politik kita hari ini, pengkhianatan bukan lagi aib, ia aktiviti rasmi. Lompat parti dinamakan “langkah strategik”, mungkir janji disebut “realistik”, dan berebut kuasa ditakwilkan sebagai “demi kestabilan”. Bahasa politik tidak lagi alat kebenaran, tetapi kamus pemutihan dosa.
Lebih tragis, pemimpin berprinsip sering dicemuh sebagai keras kepala, tidak fleksibel dan tidak pandai ‘politik’. Prinsip dianggap penghalang kepada kemewahan, bukan panduan kepada kemakmuran. Dalam politik sebegini, mereka yang lurus akan selalu nampak bengkok.
Rakyat pula disuap drama. Hari ini ditayang lakon setia, esok tayang babak tikam belakang. Rakyat diharap lupa, maaf dan undi semula. Demokrasi menjadi siri televisyen: penuh adegan emosi, miskin tanggungjawab.
Namun satu hal tidak boleh disorok selama-lamanya: sejarah. Kerusi boleh hilang, gelaran boleh luput, kuasa boleh tanah, tetapi pengkhianatan kekal dalam ingatan. Masa depan tidak dibina oleh mereka yang cekap berbohong, tetapi oleh mereka yang berani setia.
Dalam politik hari ini, yang tanpa prinsip hidup dalam sehari. Yang berprinsip hidup dalam sejarah. Jika rakyat masih memilih yang sama, jangan salahkan pemimpin. Mereka hanya mengajar apa yang kita benarkan. Demokrasi tidak roboh kerana pemimpin jahat, tetapi kerana rakyat terlalu cepat memaafkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan