MASYARAKAT yang sihat ialah masyarakat yang menilai manusia berdasarkan isinya, bukan labelnya; berdasarkan akhlaknya, bukan jawatannya; berdasarkan kebijaksa-naannya bukan kekuasaannya.
Dalam tradisi tamadun yang berakar pada nilai, seseorang dihormati kerana ilmunya yang mencerahkan, kebaikannya yang menenangkan dan tasaufnya yang meninggikan jiwa. Hormat lahir daripada pengakuan batin, bukan paksaan kuasa. Namun realiti hari ini seakan telah mengalih ‘alamat hormat’. Ia tidak lagi bertempat di hati manusia berilmu tetapi di kerusi manusia berkuasa.
Semalam, sebelum pilihan raya, seorang calon adalah insan biasa. Kadang-kadang dipandang sepi, kadang-kadang diragui keupayaannya. Dia dibiarkan berada dalam dunianya sendiri. Bahkan ketika terpilih menjadi calon, keyakinan terhadap kemenangannya tidaklah seteguh mana. Tetapi sesudah diumumkan menang, segalanya berubah sekelip mata. Individu yang sebelumnya berjalan tanpa disapa, kini disambut bertemankan kamera; yang dahulu suaranya tenggelam dalam keramaian, kini setiap katanya direkod dan dijadikan tajuk utama. Dia diikuti, dikejar, diraikan dengan penuh gilang-gemilang.
Apakah yang berubah? Adakah akhlaknya tiba-tiba menjadi lebih suci? Adakah ilmunya bertambah dalam sekelip mata? Atau adakah jiwanya menjadi lebih luhur hanya kerana sehelai sijil kemenangan?Hakikatnya, yang berubah bukan manusia itu tetapi cara manusia memandangnya.
Di sinilah lahir satu penyakit sosial yang halus tetapi merosakkan: manusia mula dihormati bukan kerana siapa dia, tetapi kerana apa yang dia miliki. Bukan kerana hikmah, tetapi kerana pengaruh. Bukan kerana kebijaksanaan tetapi kerana kemampuan memberi dan mengambil.
Dalam keadaan sebegini, wujud pula manusia yang menjadi ‘bahan guna kuasa’, dihargai selagi ada kepentingan tetapi dilupakan apabila kuasa itu surut. Persahabatan menjadi kontrak tidak bertulis, kesetiaan menjadi dagangan dan pujian menjadi mata wang politik. Semua menjadi ‘transactional’ bukan lagi tulus.
Lebih menyedihkan, sebahagian manusia sendiri memilih untuk memindahkan maruah mereka ke tangan kuasa. Mereka menggadaikan pendirian demi kedudukan, menukar prinsip dengan peluang dan meminjam wajah agama atau moral sebagai topeng legitimasi. Kuasa yang asalnya alat amanah bertukar menjadi pentas untuk kepentingan diri. Padahal, sejarah sejak zaman silam telah mengajar: kuasa itu sementara, tetapi nilai itu kekal. Raja boleh jatuh, menteri boleh berubah, wakil rakyat boleh diganti tetapi orang yang berilmu akan tetap dirujuk, orang yang berakhlak akan tetap dikenang, orang yang ikhlas akan tetap hidup dalam ingatan masyarakat.
Kita perlu kembali bertanya dengan jujur: Siapakah yang wajar kita hormati. Orang yang menang undi atau orang yang menang hati?
Jika ukuran hormat hanya berasaskan kerusi, maka kita sebenarnya sedang membina masyarakat yang tunduk kepada simbol bukan nilai. Kita sedang mendidik generasi yang mengidolakan kuasa bukan menghargai kebijaksanaan.
Maka, tugas kita sebagai warga yang sedar ialah mengembalikan hormat ke alamat asalnya: kepada ilmu, kepada akhlak, kepada kejujuran dan kepada ketulusan. Kuasa hanyalah amanah sementara tetapi manusia yang baik ialah warisan sepanjang zaman. Namun apabila kerusi itu kosong dan sorakan itu senyap, yang tinggal bukan jawatan. tetapi siapa kita sewaktu kita memegang jawatan itu.
Dangau Sastera
Sepanggar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan