Ahad, Julai 15, 2018

Dari Dialogisme kepada Intertekstualiti


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
PENDEKATAN intertekstualiti pertama kali diilhami oleh gagasan pemikiran Mikhail Bakhtin, seorang ahli falsafah Russia yang mempunyai minat besar pada sastera. Pada awalnya Bakhtin menggunakan konsep dialogika sebagaimana yang dihuraikannya dalam buku ‘The Dialogic Imagination’. Pendekatan dialogisme pada Bakhtin menekankan pengertian bahawa sebuah teks sastera dipandang sebagai tulisan sisipan atau cangkokan pada kerangka teks-teks sastera lain, seperti tradisi, jenis sastera, parodi, acuan atau kutipan. Penemuan Bakhtin ini sebenarnya diasaskan kepada teori dialogisme yang berkembang pada akhir abad ke-19 di Russia. Bakhtin menggunakan teori ini untuk membaca dan memahami karya yang dikatakan sukar difahami oleh masyarakat Russia sekitar akhir tahun 1920-an.

Pendekatan intertekstualiti tersebut kemudiannya, dikembangkan oleh Julia Kristeva melalui bukunya,’Semoitike’ . Intertekstualiti merupakan sebuah istilah yang diciptakan oleh Julia Kristeva (Worton 1990:1) menggantikan ‘dialogic’ Bakhtin.. Istilah intertekstualiti pada umumnya difahami sebagai hubungan suatu teks dengan teks lain. Menurut Kristeva, setiap teks merupakan sebuah mozaik kutipan-kutipan, tiap teks merupakan penyerapan dan transformasi dari teks-teks lain (1980: 66). Kristeva berpendapat bahawa setiap teks terjalin dari kutipan, peresapan, dan transformasi teks-teks lain. Sewaktu pengarang menulis, pengarang akan mengambil komponen-komponen teks yang lain sebagai bahan dasar untuk penciptaan karyanya. Semua itu disusun dan diberi warna dengan penyesuaian, dan jika perlu mungkin ditambah supaya menjadi sebuah karya yang utuh.

Intertekstualiti berbeza daripada dialogisme kerana intertekstualiti beranggapan bahawa teks tidak hanya berdialog dengan dirinya (intrateks) tetapi berdialog dengan teks-teks yang lain (interteks). Dialogisme tidak merujuk keluar teks manakala interteks bukan sahaja merujuk keluar teks tetapi juga melakukan penyerapan  dan transformasi teks-teks yang terdahulu. (Kristeva 1992:66, Umar Junus 1996:121 dan Sohaimi Abdul Aziz 2014:35). Dengan kata lain, Kristeva memperluaskan konsep dialogik Bakhtin. Kristeva memperlihatkan hubungan yang rumit bukan sahaja berlaku dalam teks tetapi juga antara teks.

Bagaimanapun, dialogisme Bakhtin dan intertekstualiti Kristeva mempunyai persamaan dalam beberapa istilah seperti “heteroglosia” dan “poliglosia” yang membawa maksud kepelbagaian suara ataupun pengucapan. Walau bagaimanapun kepelbagaian pengucapan ini tidak mengarah kepada penyeluruhan. (Todorov 1994: 64-65, Sohaimi Abdul Aziz 2014: 35). Wujud perbezaan antara dialogisme Bakhtin dan intertekstualiti Kristeva daripada intertekstual gestalt. Intertekstual gestalt menolak unsur heteroglosia dan poliglosia.

Untuk lebih menegaskan pendapat itu, Kristeva mengajukan dua alasan. Pertama, pengarang adalah seorang pembaca teks sebelum menulis teks. Proses penulisan karya oleh seorang pengarang tidak dapat dihindarkan dari berbagai jenis rujukan, kutipan, dan pengaruh. Kedua, sebuah teks tersedia hanya melalui proses pembacaan. Kemungkinan  adanya penerimaan atau penentangan terletak pada pengarang melalui proses pembacaan (Worton, 1990: 1).
       
Intertekstualiti menurut Kristeva mempunyai prinsip dan kaedah tersendiri dalam penelitian karya sastera, antara lain: pertama, interteks melihat hakikat sebuah teks yang di dalamnya terdapat berbagai teks; kedua, interteks menganalisis sebuah karya itu berdasarkan aspek yang membina karya tersebut, iaitu unsur-unsur struktur seperti tema, plot, watak, dan bahasa, serta unsur-unsur di luar struktur seperti unsur sejarah, budaya, agama yang menjadi bahagian daripada komposisi teks; ketiga, interteks mengkaji keseimbangan antara aspek dalaman dan aspek luaran dengan melihat fungsi dan tujuan kehadiran teks-teks tersebut; keempat, teori interteks juga menyebut bahawa sebuah teks itu tercipta berdasarkan karya-karya yang lain. Kajian tidak hanya tertumpu pada teks yang dibaca, tetapi meneliti teks-teks lainnya untuk melihat aspek-aspek yang meresap ke dalam teks yang ditulis atau dibaca atau dikaji; kelima, yang dipentingkan dalam interteks adalah menghargai pengambilan, kehadiran, dan masuknya unsur-unsur lain ke dalam sebuah karya (melalui Mana Sikana, 1994: xv).
       
Berdasarkan prinsip dan kaedah intertekstualiti yang dikemukakan Kristeva, Mana Sikana membuat beberapa rumusan, antara lain: pertama, pendekatan interteks ternyata mempunyai kaedah atau metodologi tersendiri. Kaedah itu mencuba meneliti bahawa sastera merupakan suatu proses pengolahan, pembinaan, dan pencemaran dua aspek, iaitu aspek dalaman dan aspek luaran, yang saling membantu untuk membentuk sebuah karya; kedua, intertekstualiti juga melihat adanya berbagai bentuk hadirnya sebuah teks yang menjadi dasar motif dan aspirasi pengarangnya. Pengambilan atau penggunaan teks luaran menunjukkan kesediaan pengarang untuk memperkukuh karyanya, atau merupakan penolakan terhadap idea, makna, dan unsur lainnya yang bertentangan dengan fahaman atau aspirasi pengarang; ketiga, proses intertekstualiti tidak dapat dipisahkan dari hasrat, aspirasi, dan ideologi pengarang. Oleh sebab itu, penelitian terhadap sebuah teks akan mencerminkan sikap dan aspirasi pengarang itu sendiri (1994: xv-xvi).

Dalam konsep intertekstualiti, teks yang menjadi dasar penciptaan teks, yang ditulis kemudian, dipandang sebagai bentuk hipogram (Riffatere 1978: 23). Karya yang diciptakan berdasarkan hipogram itu disebut sebagai karya transformasi kerana mentransformasikan hipogram itu. Unsur-unsur yang diserap sebuah teks dari teks-teks hipogram yang mungkin berupa kata, sintagma, model bentuk, gagasan, atau berbagai unsur intrinsik yang lain, bahkan dapat pula berupa sifat kontrakdisinya, akan menghasilkan sebuah karya yang baharu sehingga hipogramnya mungkin tidak dikenali lagi, atau bahkan dilupakan (Riffatere 1978:165). Hal itu memungkinkan lahirnya dua buah karya yang mempunyai tema sama, tetapi berbeza cara penyajian ceritanya. Demikian sebaliknya, terdapat cara penyajian ceritanya yang sama, tetapi berbeza dari segi temanya (Culler 1977: 241).       

Sebagaimana dinyatakan Kristeva bahawa setiap teks, termasuk teks sastera, merupakan mozaik kutipan-kutipan dan merupakan tanggapan atau penyerapan (transformasi) teks-teks lain. Oleh kerana itu, suatu teks baharu bermakna penuh dalam hubungannya dengan teks-teks lain  (Teeuw 1983:65). Menurut Riffatere, teks tertentu yang menjadi latar penciptaan teks baru itu disebut hipogram. Selain itu, teks yang menyerap (mentransformasi) hipogram itu disebut teks transformasi. Hubungan antara teks yang terdahulu dengan teks yang kemudian itu disebut hubungan intertekstualiti. Intertekstualiti adalah fenomena resepsi pengarang terhadap teks-teks yang pernah dibacanya dan dilibatkan dalam ciptaannya Hipogram ada dua macam, yakni ‘hipogram potensial’ dan ‘hipogram actual’ (Riffatere 1978:23). Hipogram potensial tidak eksplisit dalam teks, tetapi dapat diabstraksikan dari teks. Hipogram potensial merupakan potensi sistem tanda pada sebuah teks sehingga makna teks dapat difahami pada karya itu sendiri, tanpa mengacu pada teks yang sudah ada sebelumnya. Hipogram potensial itu adalah matrik yang  merupakan inti dari teks atau kata kunci, berupa kata, frasa, klausa, atau kalimat sederhana.

Hipogram aktual pula adalah teks nyata, yang berupa kata, frasa, kalimat, peribahasa, atau seluruh teks, yang menjadi latar penciptaan teks baharu sehingga signifikasi teks harus ditemukan dengan mengacu pada teks lain atau teks yang sudah ada sebelumnya. Teks dalam pengertian umum bukan hanya teks tertulis atau teks lisan, tetapi juga adat-istiadat, kebudayaan, agama dan bahkan alam semesta ini adalah teks (Pradopo 2003:132). Oleh sebab itu, hipogram yang menjadi latar penciptaan teks baharu itu, bukan hanya teks tertulis atau teks lisan, tetapi juga dapat berupa adat-istiadat, kebudayaan, agama, bahkan dunia ini. Hipogram tersebut ditanggapi oleh teks baharu. Tanggapan tersebut dapat berupa penerusan atau penentangan tradisi atau konvensi. Adanya tanggapan itu menunjukkan bahawa keberadaan suatu teks sastera adalah dalam rangka fungsi yang ditujukan kepada pembaca (Soeratno dalam Jabrohim 2003:147).
      
Untuk mengungkapkan adanya hubungan interteks dalam penelitian biasanya didasarkan pada resepsi aktif pengarang dan resepsi pembaca sebagai pengkaji. Maksudnya, pembaca dalam hubungan ini adalah pembaca sebagai pengkaji. Pengkaji  pada dasarnya juga pembaca yang dengan bekal ilmu pengetahuan dan pengalamannya berada dalam rangkaian pembacaan yang terakhir. Dengan demikian, latar belakang pengetahuan dan pengalaman pembaca akan mempengaruhi makna yang diungkapkannya.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: