Ahad, Oktober 15, 2017

Bulan bahasa kebangsaan, apa yang kita mahu?


oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

OKTOBER semestinya bulan yang dinanti-nantikan saban tahun oleh pencinta bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap tahun pada bulan Oktober, seluruh rakyat Malaysia akan menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK), iaitu salah satu program tahunan negara.

Pada tahun ini, sudah semestinya pelbagai aktiviti kebahasaan dirancang untuk memeriahkan lagi sambutannya. Program ini diadakan, antaranya, untuk mempromosikan produk bahasa, sastera, penerbitan dan budaya Melayu di samping memantapkan jaringan kerjasama antara DBP dengan pelbagai pihak. Selain itu, BBK yang diadakan ini diharap dapat meningkatkan kecintaan rakyat Malaysia terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu, serta memperkukuh bahasa, sastera dan budaya Melayu yang melibatkan khalayak umum.

Bermula dengan nama Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sekitar dekad 60-an, gerakan memartabatkan bahasa Melayu terus ditingkatkan dengan pelbagai kempen kebahasaan. Pada tahun 1999, gerakan ini telah diubah namanya kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Sepuluh tahun kemudian, nama BBSN telah ditukar kembali kepada nama asalnya, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada setiap masa dan diperhebat lagi ketika sambutan BBK yang diadakan di seluruh negara.

Bahasa bukan sahaja penting sebagai alat komunikasi, tetapi bahasa juga melambangkan nilai dan hati budi sesuatu masyarakat walau di mana-mana mereka berada. Oleh itu, untuk meletakkan bahasa Melayu pada tahap yang lebih tinggi sehingga menjadi salah satu bahasa utama dunia, pelbagai usaha perlu dilakukan secara berterusan dan hal ini memerlukan kerjasama semua pihak dan lapisan masyarakat.

Amalan mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu asas kecintaan terhadap negara yang perlu dipupuk sedari kecil. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak  mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka, baik di rumah mahupun di sekolah dan tempat awam. Sekiranya kepentingan penggunaan bahasa Melayu diterapkan sedari mereka kecil, sudah pasti mereka akan dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang. Ini juga boleh membantu mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Namun begitu, kita sering melihat budaya sesetengah pihak yang suka mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, terutama dalam urusan rasmi, termasuk dalam wawancara yang disiarkan oleh media elektronik. Hal ini menyebabkan penggunaan bahasa rojak yang meluas dalam kalangan masyarakat sukar dibendung dan perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Sekiranya bahasa rojak ini tidak dikawal, dikhuatiri jati diri dan citra bangsa Malaysia akan lenyap ditelan zaman.

Penobatan atas Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembqgaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui komunikasi pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan pentadbiran.

Bahasa juga mencerminan kehalusan dan kesopanan budi bahasa penuturnya dan ketinggian adab susilanya, iaitu merupakan asas dan unsur utama dalam pembentukan sesebuah peradaban. Oleh hal yang demikian, Malaysia memerlukan satu rasa dan semangat kesetiaan wilayah dan kaum. Kesetiaan tersebut memerlukan pemilikan citra nasional dan perhubungan yang harmonis antara kaum dengan wilayah yang berbeza-bezanya, yang dengannya dapat dibentuk perasaan patriotisme yang kukuh terhadap negara bangsa.

Menurut Saidatul Nornis Haji Mahali (2017), perasaan bangga negara ialah rasa setia kepada tanah air, dan kesetiaan kepada negara bangsa mengatasi kesetiaan kepada kaum etnik dan wilayah asal. Gejala ini hanya dapat disemai, dipupuk dan dibina melalui perasaan patriotisme yang kukuh dan pada terhadap negara.

Rentetan itu, tiga elemen sepunya dalam kalangan rakyat Malaysia sangat penting disemai dan dipupuk serta boleh melahirkan elemen yang ketiga, iaitu perasaan patriotisme yang kukuh. Elemen itu ialah: (a) bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa penyatuan dan bahasa pengantar pendidikan yang sama yang dapat membudayakan ilmu sains dan teknologi kepada seluruh rakyat jelata dalam acuan dan citra bangsa Malaysia, (b) keindahan yang mendalam terhadap sejarah pembinaan negara bangsa yang sama yang akan menjadi unsur ikatan, (c) sifat patriotisme, iaitu perasaan bahawa Malaysia ialah tanah air tempat tumpah daerah yang sama. (Saidatul Nornis Haji Mahali, 2017: 156).

Datuk Jasni Matlani
Presiden BAHASA
Pada asas ini sesungguhnya bukanlah begitu mudah untuk mencapai apa yang diharapkan. Sudah pasti banyak halangan yang harus dihadapi. Malah dalam apa pun perjuangan tanpa pengorbanan dan kegigihan hasilnya barangkali tidak seindah yang patut dikecapi. Dalam syarahan Teguh Bahasa semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Sabah, Datuk Jasni Matlani menjelaskan bagaimana masyarakat pelbagai etnik di Sabah telah mengorbankan bahasa ibunda masing-masing demi melestari bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan dan bahasa perpaduan dalam kalangan mereka. Walau pun berlaku kepelbagaian laras bahasa namun mereka daripada pelbagai kaum ini dapat memahami maksud bahasa yang dituturkan.

Sejarah perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan utama di Sabah yang menjadi bahasa utama dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sabah perlu dirakam secara terperinci. Kita tidak pernah membaca sebarang artikel yang turut meletakkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan di Sabah. Peranan Tun Datu Mustapha Datu Harun, Datuk Zulkifli Abdul Hamid dan Datuk Jamdin Buyung pada tahun-tahun 1969 hingga tahun 70-an yang membincangkan keperluan sebuah bahasa penyatuan di Sabah wajar dimaktubkan dalam sebuah khazanah agar dapat menjadi rujukan para pengkaji bahasa khususnya sejarah perkembangan bahasa Melayu di Sabah. Begitu juga peranan besar BAHASA sendiri melalui gerakan aktiviti-aktivitinya di setiap daerah menjadi pendorong sehingga bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa rasmi negeri Sabah pada 1973 dan rentetan daripada keputusan ini juga iaitu pada 1977 ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Lebih empat dekad, bahasa Melayu telah menjadi bahasa penting di Sabah. Sudah tentu kebanggaan kita tidak harus berhenti tanpa memeliharanya secara berterusan. Memang banyak perlu ditangani. Sebagai agensi kerajaan, DBP tidak mampu melakukan secara bersendirian bagaimana pemartabatan bahasa Kebangsaan terus perkasa tanpa sumbangan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita perlu serius dalam menangani persoalan penggunaan bahasa dan ejaan yang betul pada papan-papan tanda, kain-kain rentang, gegantung dan sebagainya. Kecercamerbaaan penulisan di media sosial, penggunaan bahasa loghat di stesyen-stesyen radio swasta (bahkan radio kerajaan juga) adalah antara isu yang perlu ditangani dengan sebaiknya.

Dalam konteks Sabah, meskipun latar penduduknya sangat berbilang keturunan, mereka disatukan di bawah satu bahasa kebangsaan yang telah disalurkan dengan jayanya, khususnya menerusi medium pendidikan, dan usaha ini secara tidak langsung turut menjayakan proses penyatuan seluruh penduduk di Sabah. Usaha pemantapan bahasa masih berterusan bagi memastikan integrasi antara khalayak luas di negeri ini yang telah terjalin diperkukuh dan dipasakkan selamanya sebagai pengantara interaktif utama.

PUSTAKA IQBAL NAZIM, 2017

Tiada ulasan: