Sabtu, Oktober 20, 2018

Puisi


PESAN SEDERHANA
UNTUK PERMATA BANGSA
Anak-anakku, seperti embun yang jatuh dan tumbuh di hatiku rama-rama yang menjadi taman. Apakah kalian faham? Tentu tidak, begitu rumit dalam mencari makna kehidupan namun dalam kepayahan itulah pesan untuk terus mencari, menggali, belajar dan belayar hingga di hujungnya kejayaan.

Anak-anakku, setiap hari kita semua telah ada tanggjungjawabnya, Cikgu berada di dalam diri melalui setiap sudut rahsia perbuatan dan fikiran. Kalian tidak bermula dari kosong atau tiada langsung, kalian pandai bercakap, kalian boleh bernyanyi, kalian juga suka bermain, kalian mencintai ilmu. Inilah perjuangan.

Anak-anakku, tugas guru bukan semata-mata menggurukan segala ilmunya, tidak, bukan itu tetapi lebih daripada itu. Guru ingin membina jati diri anak-anak didiknya tetapi tidak semudah itu apabila tanggungjawab anak-anakku semua tidak dilakukan padahal kalian tiada yang tidak boleh. Mesti boleh, mesti boleh. Mesti mahu, mesti mahu apabila yang ada dalam hati dan yang ada dalam fikiran adalah niat benar ingin besar oleh ilmu dan berjuang dengan gigih, dengan rajin dan azam.

Anak-anakku, kalian adalah generasi yang terbaik tetapi mesti menjadi pendengar yang baik, mesti menjadi pelajar yang dinamik, tidak mudah kalah serta putus asa. Jadikanlah masa muda sebagai landasan yang kukuh dalam menimba ilmu. Tanamkan di dalam qalbu mahukan kejayaan sampai jauh. Hingga kemana-mana di tanah air ini. Jangan hanya di sini tetapi pada peringkat yang lebih tinggi.

Anak-anakku, jangan berasa kalah sebelum mencuba. Ketika berusaha mencuba laluilah segala ujian dengan tabah. Tekadkan dalam hati tidak ada yang mustahil andai semangat dipadukan dengan tekad.

Cikgu tidak selamanya bersama namun dalam jiwa ingatilah pesan dan didikan, jangan lupa membawanya di mana jua. Cikgu hanyalah pemudah cara agar jelas jalan dalam memilih yang betul dan benar. Agar jelas dihindari mana yang salah. Kalian permata bangsa. Ingatilah pesan yang amat sederhana ini, kata-kata yang membawa perjalanan kalian lebih membuka pintu masa depan yang gemilang dan cemerlang.

RupHA
Kg Gudon Manggatal.
5.10.2018.

Tiada ulasan: