Sabtu, Jun 29, 2024

Selera Sastera




Salam semua. Puisi: ramai sangat mencintainya. Berfikir dan menuliskannya. Jika dihitung berdasarkan manusia di dunia tentu saja sangat sedikit namun puisi adalah dunia tertentu dan tersendiri.
Apakah anda berfikir setiap detik dan dalam ruang yang pelbagai masih boleh menekuninya. Mencerakin buah-buah fikir, emosi, ilmu, pengalaman dan seumpamanya menjadi bait-bait yang indah dan segar. Ya, memang ada. Setiap hari menjadi hari puisi, hari sastera.
Hari-hari sastera hidup sebenarnya. Seseorang kata tidak tahu apa benda sastera, sebenarnya dia telah pun memiliki pemikiran sastera secara diam-diam. Jika tidak, mana mungkin seseorang itu mampu berbahasa, beremosi, menilai kehidupan dari sudut seni, bahkan berpolitik.
Jangan risau andai gagal menemui seseorang yang memiliki selera sastera yang tinggi, kita bakal menemui ramai lagi yang 'buta' tetapi percayalah dia sebenarnya mampu memberikan nilai yang lain. Duitnya? Tidak semestinya.
Tidak salah untuk mencari (bukan mencuri) duit seseorang yang berkuasa (sebenarnya dia tidak ada apa-apa pun) kerana yang penting memahami bahawa sastera adalah kehidupan sehariannya.
Kita berhasrat bertemu yang meminjam kuasa Tuhan memberi maklum keberadaan sastera dalam diri rakyatnya. Memang tidaklah (dalam konteks layanan sewajarnya) kecuali yang benar-benar faham kehidupannya tanpa sastera kosong, ya kosong biarpun dirasakan sangat kaya, sangat berkuasa, sangat berpengaruh dan sebagainya. Pernah yang meminjam kuasa itu meminggirkan keindahan sastera memilih ada yang lebih penting - sastera tidak memberikan nilai yang segera demi memperkasa kuasa pinjamannya. Tidaklah mengapa, masih ada yang mencintainya, memilih puisi misalnya.
Tidaklah semestinya perlu tahu puisi, meminati cerita-cerita kreatif apatah lagi menulis novel. Peranan seseorang yang ‘tiada’ selera terhadap sastera tetap wujud. Sebelum wujud pemahaman ini kita perlu faham terlebih dahulu sastera ini apa sebenarnya? Sastera yang pasti bukan milik sekelompok masyarakat. Seperti golongan sasterawan, keberadaannya bukan semata-mata di dalam komunitinya. Mereka berada di tengah-tengah kita. Siapalah manusia sasterawan itu, meski diam dan tidak menjanjikan nilai ekonomi tetapi sesungguhnya kemampuannya tidak mampu dilakukan ramai orang.
Tuan, puan antaranya yang berwibawa.
HA

4 Februari 2024

Tiada ulasan: