KARYA seni perlu wujud dalam hidup insan sebagai pendorong kekuatan dan kepuasan estetik (aesthetic pleasure). Jestru saya amat percaya sebuah kelaziman dalam menzahirkan karya kreatif iatu 'menerima dan mencurahkan kepuasan' semaksimum mungkin. Ramai pengarang menikmati nilai rasa ini apabila karyanya dizahirkan, dinikmati audiens. Apatah lagi apabila karya tersebut diterima umum atau sebahagian daripada masyarakatnya yang kemudiannya memaknakannya secara konkrit sama ada karya yang dimaksudkan mencapai standard yang diperlukan atau sebaliknya.
Secara apresiasif memang ada bezanya ketika menikmati sesebuah genre sastera. Karya puisi misalnya, mediumnya relatif terhad berbanding novel atau drama, apa lagi apabila karya berkaitan diperluaskan ruang mediumnya bersama adunan kreativiti pengarahan, pencahayaan, latar, prop, muzik dan elemen-elemen pentas yang lain. Nilainya bertambah, tidak semata-mata ke titik kepuasan penulis skrip (konteks drama dan teater) tetapi bahkan beruntung buat para pekerja produksi dan yang amat penting ialah kepuasan audiens yang hadir menonton. Sebuah hasil kerja yang menyeluruh dan profesional memberikan lagi nilai tambah kepada aktiviti sastera serta seni bangsa kita. Meskipun wujud kepelbagaian persepsi atau tanggapan audiens tidak bermakna sebuah karya yang disajikan itu gagal atau berjaya hanya disebabkan persepsi audiens tersebut. Gagal atau berjaya bukan persoalan pokok. Hebat, gemilang atau apa sahaja ungkapan pro dan kontra juga tidak harus dijadikan asas kepada kecemerlangan sesuatu produksi. Alasannya, ia sebuah karya seni yang memberikan hiburan. Yang harus ditanyakan ialah apakah audiens terhibur dalam erti kata puas?
Sebagai skema perbandingan, sudah tentu kita mahu menjawab pertanyaan apakah teater 'Lagenda Sampang Mangazou' (LSM) lebih menyerlah berbanding persembahan-persembahan teater sebelumnya berdasarkan sukatan yang diutarakan? Slot Teater Perdana (TP) yang diungkayahkan khusus sebagai sebahagian program sempena perayaan ulangtahun rasmi hari jadi TYT Yang diPertua Negeri Sabah. Namun pada saya ia lebih daripada itu kerana kelebihan TP begitu ketara dan menjadi tugas tenaga produksi menggunakan apa juga yang disediakan semaksimum mungkin. 'Perdana' memberi makna ‘yang terutama’ (Kamus Dewan Edisi 4, m/s 1182) melebar kepada besar dan istimewa, Ini standard yang sewajarnya ditekankan. Begitu yang diimpikan begitu juga tidak mampu menghalang kelemahan-kelemahan yang terjadi. Sebagai sebuah produksi yang besar sudah pasti segala sudut dan segi produksi telah diperincikan. Begitu pun tidak bererti setiap orang merasa bersih daripada kekurangan sebagaimana kelebihan yang terlahir telah memberikan kredit kepada produksi.
Setiap orang sudah pasti mengharapkan persembahan yang terbaik sebagai buah tangan penggiat teater dari Pitas, Sdr. Maskuji Maturon walaupun di bawah arahan Haji Manchu Kula. Dari bangku hadapan saya masih melihat ‘roh’ kerja Maskuji berbanding Haji Manchu. Begitu juga set yang meletakkan rumah tradisi suku kum Rungus dan juga Ajong Datu Langkap … tidak sedikitpun memberikan ‘wajah baru’ kecuali mem’fotokopi’ pementasan lalu (baca: Festival Teater 2005). Setakat sebuah persembahan, LSM telah memberikan hiburan istimewa dengan penampilan penyanyi Felix AF3. Saya turut merasai lagu Lagenda Sampang Mangazou yang bakal melekat di sanubari kita sekaligus menjadi buah tangan pasca tontonan teater berkenaan. Melainkan berlaku beberapa pembaikan perlu seperti pencahayaan dan kostum watak utama Datu Langkap, sama-sama kita saksikan pementasan sebenar mulai 18 Ogos ini. Jangan lepaskan peluang terbaik untuk mengetahui bagaimana nama 'Simpang Mengayau' memperoleh nama dan dikenali kini sebagai lokasi pelancongan Negara yang sering disalahtafsirkan sebagai sebuah persimpangan.
Tahniah kepada DBP Cawangan Sabah sebagai penggerak utama TP dan seluruh tenaga produksi yang bekerja keras hingga akhirnya LSM menjadi realiti seterusnya disajikan untuk tontonan kita semua.
*LAGENDA SAMPANG MANGAZOU
Di sini bermulanya sebuah cerita cinta
Tentangnya manusia yang berbeda
Dengan disaksikan laut, langit dan udara
Terlahirlah sebuah lagenda
Cahaya gerhana menjadi petanda
Kematian itu pasti akan ada
Menantikan takdir yang tersurat
Namun janjinya tetap digenggam erat
KORUS:
Laksamanaku gugur akhirnya
Meninggalkan cinta
Panas darahnya masih terasa
Meresap di jiwa
Lirik: JASS/FELIX
Penyanyi: Felix Agus
*Lirik lagu tema LSM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan