Seekor
katak terus meraung di longkang, beberapa anak berudu menjenguk di permukaan
kemudian berenang lintang pukang. Hujan telah reda. Tetapi mentari terus
berselimut. Masa suria berkembang mungkinkah suara katak itu mengganggunya atau
memang musim tengkujuh telah datang. Alam tak bermusuh oleh kehendak sesuatu
yang tidak jelas. Mengapa katak dikaitkan dengan hujan? Mengapa pabila hujan
terdengar suaranya. Hingga hinggap dalam kepala manusia sebuah metafora
berbumbu binatang dwialam itu dan fenomena alam yang tidak akan terpisahkan.
Jauh ke dalam rerongga akal mungkin sahaja katak itu seekor negarawan di negerinya.
Terus meraung dan meraung memperdengarkan suaranya yang sulit difahami akal
manusia bahkan fauna-fauna yang lain. Negarawan longkang kemudian kembali ke
sisi ketersisihannya di celahan batang keladi atau di bawah akar-akar bakau nun
di pinggir kota yang kian terpencil dimamah pembangunan. Katak yang kecewa dek
gelagat manusia tetapi bukankah di negerinya ia juga telah merakamkan kelibat
kemanusiaan yang bermusim. Katak dwialam yang licik bahkan sukar diyakini.
Tidak hairanlah ia hidup tersisih mengharapkan helah suara garau dan hingar
bingar yang tidak bersudah. Menyerahkan kepada penghuni dunia mentafsir sedang
suaranya tak siapa peduli. Itulah muzika alam setelah hujan. Kelaziman yang
tidak perlu lagi menjadi pertikaian. Walaupun bingar membingitkan pendengaran.
Katanya, biarkan saja kemudian suara itu akan sirna jua.
HASYUDA
ABADI
Kota
Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan