Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
SESETENGAH penulis beranggapan
bahawa hadiah, anugerah dan pelbagai gelar yang lain merupakan pra-syarat untuk
meletakkan seorang penulis itu sebagai telah berjaya, hebat dan disanjungi. Sesetengahnya
begitu bangga tatkala karya mereka tersiar di media, tidak kira media perdana
mahupun media bukan perdana. Rasa keujaan yang luar biasa ini tidak dapat
dielakkan oleh sesiapa pun. Bukan mudah pihak editor menerima karya seseorang
penulis khususnya bagi yang kurang dikenali walau pun nama penulis berkenaan
popular di media sosial..
Disebabkan itu mereka pun
berlumba-lumba mengejar segala bentuk hadiah, anugerah dan sebagainya agar
boleh duduk selesa dan berbahagia kerana dengan selain memperoleh wang mereka
juga bakal menerima sanjungan dan kebanggaan daripada rakan-rakan. Ramai juga
menjadi rendah diri kerana mereka bukan daripada golongan itu atas alasan karya
sastera mereka belum sampai kepada tahap yang sempurna. Dengan alasan itu juga,
ramai penulis memerapkan karya mereka. Terdapat juga kalangan penulis enggan
memberikan biodata kerana tidak memiliki sesuatu yang dibanggakan seperti
bergelar sarjana sebagai salah satu aras kehebatan seorang penulis.
Jika ditanya kebenarannya sudah
tentu jawapannya tidak semestinya, walaupun ada waktunya isu yang disebutkan
dituntut untuk memperkasakan ilmu seseorang dalam menggarap karya kreatif
masing-masing. Menyertai peraduan penulisan atau menerima hadiah-hadiah sastera berprestij
tentu tidak dihalang sebagai usaha sejauh mana kekuatan karya para penulis. Itu
hak masing-masing kerana ada juga kalangan penulis yang tidak suka menyertai
sebarang peraduan. Bahkan ada yang pernah menolak sekiranya diberikan hadiah
atau sebarang penghargaan.
Menolak sesuatu setelah melalui
penilaian sengit memanglah tidak harus berlaku. Barangkali ramai yang
menjadikan isu begini sebagai peristiwa yang tidak masuk akal. Namun penulis
juga individu yang mempunyai pilihannya sendiri. Malah pada satu sisi di mana
situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, nilai duit yang semakin
rendah, keperluannya terus dituntut pada masa ini. Menulis untuk mendapatkan
wang sepatutnya harus. Seseorang yang bekerja harus menerima upahnya. Salah satu
pilihan ialah menerusi peraduan, sayembara, pertandingan dan penilaian yang
diadakan. Ternyata rezeki seseorang penulis itu tidaklah gampang datangnya. Dia
berusaha untuk mendapatkannya. Dia berusaha juga untuk memperbaiki karya yang
dihasilkannya. Dia banyak mencuba dan rajin bekerja sehingga mampu menggarap
sebuah perutusan dalam sebuah novel atau kumpulan cerpen dengan berkesan.
Realitinya, setiap penulis harus
memiliki pengalaman kehidupannya sendiri ke taraf pengungkapan estetika yang
tinggi mutunya, memiliki persepsi yang tajam dan menampilkan sudut persoalan
yang menarik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan bahasa yang
menyegarkan, konsisten dari segi perkembangan dan pengucapan, mengekalkan
secara berimbang bagi setiap karya yang ditampilkan dan mencapai citra dan jati
diri tersendiri.
Amatlah penting bagi penulis
untuk terus komited terhadap genre yang diceburi, dengan giat menulis,
mempertajam bakat dan menganjakkan mutu karya supaya setanding. Kalaupun tidak,
lebih baik daripada penyair mapan tanah air. Untuk itu, mereka hendaklah terus
menghantar karya ke media arus perdana dan majalah-majalah di peringkat
nasional agar ketajaman bakat mereka dapat dipertingkatkan. Dengan tersiarnya
karya dalam media arus perdana itu, penulis bukan sahaja mendapat galakan dan
keyakinan, tetapi karya akan dibaca oleh khalayak yang lebih luas, dan diberi
perhatian di peringkat kebangsaan, terutama oleh peneliti, sarjana dan
pengkritik sastera yang berwibawa. Mereka perlu menerima hakikat bahawa dengan menyiarkan
karya dalam media tempatan, hanya akan mempersempit gelanggang mereka. Mereka
perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam zon selesa.
Inilah hakikat yang perlu
diterima, dan sekali gus merupakan cabaran kepada mereka untuk terus memperbaiki
kualiti karya yang dihasilkan. Maksudnya, jika ingin terus mencapai kejayaan,
mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan berkarya secara konsisten, bukannya
terperangkap dalam gejala ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.
Hanya penulis yang konsisten
sahaja akhirnya akan dapat membina jati diri dan idiosinkrasi, hingga
meninggalkan kesan besar dalam persada sastera tanah air. Jika kita berpegang
pada pendapat T. S. Eliot yang menyatakan bahawa kematangan seseorang penulis
hanya akan jelas apabila ia telah menulis secara konsisten selama 25 tahun. Untuk
itu katanya, penulis perlu sentiasa ghairah untuk belajar dan membaiki diri
serta mengelakkan diri daripada kejumudan dengan melakukan inovasi yang wajar
ketika berkarya sejajar dengan prinsip 'licentia poetica' yang ada pada mereka.
Selain itu, mereka hendaklah akur
kepada nasihat Ibnu Khaldun yang menganjurkan supaya penulis melalui latihan
yang keras dan bersungguh-sungguh dengan ‘tenggelam’ bersama-sama bahasa
masyarakatnya demi mencapai kefasihan dan keterampilan yang tinggi. Mereka
perlu beranjak misalnya,daripada puisi yang bersifat sederhana, langsung,
literal, dan tidak kompeks kepada puisi yang digarap secara kreatif, inovatif,
indah dan mengesankan dari segi persoalan, gaya, bentuk dan penampilan selari dengan
peningkatan usia kepenyairan dan kematangan pengalaman.
Dalam konteks puisi, kepenyairan,
kreativiti dan kemungkinan perkembangan mereka pada masa depan bukan hanya
bergantung pada bakat alam, tetapi yang tidak kurang pentingnya keupayaan
mereka mempertajamkan dan memanfaatkan bahasa kreatif, kemungkianan untuk
melakukan inovasi, serta kesediaan untuk belajar daripada tradisi kesusasteraan
yang agung.
Dengan itu, para penulis
sewajarnya menerokai dimensi kreativiti berdasarkan ilmu, ketajaman pemikiran
dan kepekaan, kemahiran dan penguasaan bahasa yang sentiasa digilap. Mereka
seharusnya berusaha untuk membentuk peribadi sendiri berdasarkan bakat dan
keyakinan mereka, serta berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan
kekurangan dengan sentiasa belajar daripada penyair agung, alam dan
persekitarannya. Sama ada mereka mampu untuk menganjak diri ke tahap yang lebih
tinggi, dengan mampu menghasilkan karya yang berbobot, berseni dan universal
sifatnya, dengan penampilan bahasa yang segar, banyak bergantung pada
pengalaman, idealisme, komitmen dan sikap mereka terhadap dunia persuratan pada
keseluruhannya.
Dalam keadaan demikian para
penulis perlu menyingkirkan sikap tidak sabar atau gopoh dengan hanya mahu
melihat karya diterbitkan, kerana ini akan menyebabkan karya mereka tidak lebih
sebagai coretan atau catatan kasar yang masih perlu dimurnikan, malah perlu
melalui proses penghayatan dan pengolahan melalui renungan dan penggarapan yang
lebih berseni. Puisi yang indah dan bermutu tetap akan tahan diuji zaman
manakala karya yang mentah hanya meninggalkan kesan sementara, sementelahan
puisi akan sekadar luahan emosi melulu, tetapi gabungan yang indah antara rasa
halus ataupun kemanusiaan dan perimbangan antara emosi dan intelek akan
menempatkannya sebagai adikarya yang diagungi.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan